Showing posts with label Umno. Show all posts
Showing posts with label Umno. Show all posts

25 July 2010

Gambar Kenangan

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Siapa kata UMNO Setiu berpecah? Gambar di bawah menjadi bukti bahawa mereka telah berbaik antara satu sama lain. Cuma gambar di bawah adalah gambar kenangan yang dipercayai hanyalah suatu lakonan semata.


Petikan Sinar Harian tahun lalu.

Video Muhyiddin di Setiu - KLIK.

24 January 2010

Aduka Taruna, Lahanat Jebat dan Ketua Pemuda PAS

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Awal-awal pagi lagi aku dapat satu maklumat yang agak panas tentang seorang kenalan TKO asalnya, kemudian lebih menjadi kenalan di alam blog. Semuanya gara-gara satu tulisan nakal (?) dari postingnya yang sudah dipadamkan dari blog peribadinya. Dengan rasa bersalah mungkin, atau ada rasa takut dalam dirinya, maka dibuat satu posting meminta maaf dari seluruh rakyat Malaysia.

Mungkin aku tidak perlu perkenalkan dirinya, apatah lagi posting ini sudah menceritakan siapa dirinya. Jika sesiapa yang bermain dengan dunia blog yang menjurus kepada isu politik, blog berkenaan sudah tentu sedia dimaklumi. Apatah lagi blog berkenaan biasa dikunjungi kawan dan lawan dalam politik. Nak kata pro-PAS, asyik sungguh menghentam PAS. Nak dikata pro-UMNO, ditampal poster pertubuhan tidak berdaftar, PAS-Reform.

Walaupun menggunakan nama Aduka Taruna, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Aduka baru sahaja hilang terunanya. Malah kenduri di pihaknya tinggal tidak sampai seminggu sahaja lagi. Aku sendiri walaupun jauh di Terengganu turut diundang ke majlis tersebut beberapa minggu yang lalu.

Walaupun banyak perkara yang tidak aku senangi tentang Aduka, terutamanya tulisannya mengenai PAS, cara penulisannya yang tidak bertapis, tetapi secara peribadi aku masih merasakan dia seorang sahabat. Sahabat yang mesti ditegur dan perlu dibimbing. Sayangnya, keghairahannya menulis dengan buah fikirannya yang dirasakan terlampau betul itu menyebabkan dirinya benar-benar jauh dan hanyut. Apatah lagi ramai pula yang menjadi pengikutnya.

Sejujurnya aku tidak kenal rapat dengan Aduka. Tidak pernah bersua muka pun. Berhubung cuma melalui Y!M, kadang-kala meninggalkan komen pada tulisan-tulisannya. Selalunya niat untuk meninggalkan komen berakhir dengan tidak jadi. Kerana 'geram' dan ada kalanya merasakan tidak perlu dilayan tulisan-tulisan Aduka.

Menjenguk blog Aduka, maka terlihatlah suatu iklan apa yang dinamakan Aduka sebagai E-novel bertajuk "Lahanat Jebat". Walaupun aku tidak pernah membaca novel tersebut, tetapi berdasarkan tulisan-tulisan Aduka sebelum ini, melihat kepada kritikan-kritikan Aduka sebelum ini, maka tidak terlalu susah untuk menafsirkan apa yang dimaksudkan dengan E-novel tersebut.

Ketika artikel ini ditulis, Bernama sudah menyiarkan satu berita mengenai Blog Aduka. Ketika aku sedang melayari blog tersebut jam 1 pagi, 25 Januari seramai 1312 pengunjung sedang melayari blog tersebut.

Apa yang menarik, walaupun sudah merasakan akan berdepan dengan pelbagai tekanan dan sedang ditekan, Aduka memilih suatu posting yang agak menarik dengan menyerang Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Tantawi dan PASTI!

Apa yang sedang berlaku ini aku kira suatu pengajaran yang sangat berguna kepada semua. terutama Aduka yang 'berjari lembik'. Walaupun aku boleh bertanyakan apa jadi dengan kain rentang "KAMI NAK IDRIS NATANG" di Terengganu awal 2008 yang lalu? Bagaimanakah kesudahan kes tersebut dan sebagainya, namun aku mengira tindakan Aduka tetap tidak patut.

Wallahua'lam.

Nota:

Ramai kawan-kawan yang bising kerana bimbang nama PAS diburukkan dengan tindakan AT ini. Namun, bagi mereka yang mengikuti blog AT tentu dapat membezakan penyokong PAS sejati dengan penyokong PAS Reform yang konon-kononnya mendoakan ke arah perubahan PAS.
Akhirnya terserlah PAS Reform sentiasa mendoakan kehancuran PAS!

23 August 2009

Salam Ramadhan, Salam Permatang Pasir

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Salam Ramadhan. Selamat berpuasa, dan selamat menjalani ibadah. Itu antara SMS yang diterima dengan tibanya Ramadhan kali ini. Tidak banyak sebenarnya ucapan SMS yang diterima tahun ini, entah kerana diri ini sendiri tidak mengucapkan pada sahabat-sahabat lain, atau sememangnya masing-masing sibuk dengan urusan dan ibadah sendiri sahaja. Apapun, Selamat berpuasa dan menjalani ibadah.

Salam Permatang Pasir. Hari ini genap seminggu aku di Permatang Pasir. Sekejapnya masa berlalu. Hari ini juga sempat bertemu muka dan bersalaman dengan blogger Al-Hussien. Entah di mana datangnya Al-Hussien kerana namanya tidak pula terdapat Hussien.

Hari ini juga mendengar cerita bagaimana marahnya Shahrizat terhadap calon BN yang mengabaikan isteri keduanya. Kelakar pun ada.

Diberitakan pihak polis dengan segera ke Jengka apabila didedahkan Rohaizat mempunyai isteri kedua. Selepas bertemu dengan ibubapa Rafizah, segera laporan sampai kepada Kem BN. Maka mengamuklah Shahrizat apabila mendapat tahu kebenaran cerita tersebut. Apatah lagi Rohaizat menafikan berita itu sebelum ini.

"Muka nampak alim, tak sangka I Rohaizat tu macam tuu"

Itulah lebih kurang kata-kata Shahrizat kepada Rohaizat. Kata-kata kecewa yang tidak dapat disembunyikan lagi. Aku tidak pasti kekecewaan itu lahir kerana peribadi calon BN bakal 'menggelapkan' harapan BN, atau kerana sikap calon BN terhadap seorang wanita.

Dikhabarkan juga hari ini isteri pertama Rohaizat tidak lagi mahu mengikutnya dari berjalan menemui pengundi. Entah kecewa, geram, marah, tertipu dan apa lagi yang bersarang di hati wanita itu. Sebelum ini digambarkan mereka pasangan yang romantik apabila berjalan beriringan tangan.

Apabila terbaca tulisan Ustaz Nasrudin Tantawi, lebih terkejut besar dengan apa sebenarnya yang berlaku. Tidaklah dapat aku selami sejauh mana perasaan wanita apabila berjauhan dengan suami, namun berada seminggu di sini sudah membuat si isteri ternanti-nanti kepulangan.

Semoga Ramadhan ini memberkati, memberi kebaikan yang banyak dan mengampuni kita semua.

Wassalam.

P/s: Nota sebelum sahur selepas hampir 2 minggu tanpa posting...

Sahaja aku puasa esok hari kerana Allah Taala...

27 July 2009

ISA: Khairy tersepit antara glamour dan taat.

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Betapa Khairy cukup tidak glamour kini. Sungguh tidak glamour. Walaupun jawatan yang dipegang Khairy kini adalah antara tangga yang tertinggi dalam UMNO, tetapi dia tidak glamour kerana merupakan menantu Pak Lah. Tapi, kerana menantu Pak Lah juga Khairy pernah menjadi glamour sebelum ini.

Dalam liku-liku perjuangan Khairy, dia dilihat 'baik dan taat' dengan bekas Ketuanya yang kini merupakan Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin. Khairy sebelum ini dipetik Bernama berpendirian, oleh kerana Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah memulakan proses kajian semula terhadap akta ISA, maka Pemuda UMNO diarahkan tidak membuat sebarang pendirian samada menyokong atau tidak akta itu.

Tidak dapat dipastikan samada kenyataan Khairy itu kerana kurangnya keyakinan UMNO untuk mengumpulkan penyokong akta zalim dan jahat tersebut, ataupun memang Khairy sendiri sudah tidak ada apa-apa dalam UMNO samada untuk memberi arahan dan sebagainya.

Bagaimanapun, reaksi Khairy yang melarang anggota pemuda UMNO dari menyertai Himpunan ISA nampaknya membangkitkan kemarahan 'pe KID aa' yang rata-ratanya gila ISA. Pada mereka yang bergelar 'ayahanda' itu, tindakan Khairy sebagai kenyataan yang boleh memecahkah Melayu.

Lebih menarik bilamana puak-puak 'ayahanda' ini mengatakan di bekalang Khairy hanya ada 200 orang sahaja. Wallahua'lam.

amdang: Tak dengar plak apa kata 'ayahanda pe KID aa' di Terengganu ni.

29 June 2009

Penjual Ikan Vs Pengurus Projek

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Kata Muhyiddin:

"Calon kita nak bela umat Islam dan bawa obor perpaduan. Beliau seorang yang berpengalaman, ada rekod kerja yang baik di sini, bukan seorang penjual ikan, dan berkelulusan tinggi. Penting untuk pilih calon yang berilmu kerana dialah yang nak bimbing masyarakat di sini, tak ada ilmu bahaya kerana mungkin dia terseleweng,"

Kata Muhyiddin calonnya nak bela Islam. Tapi, tidak pula dikhabarkan bahawa calonnya punya kelulusan yang tinggi dalam bidang agama. Katanya nak bawa obor perpaduan, tetapi Kerajaan Negeri Kelantan sejak dahulu dianaktirikan.

Dikatakan calonnya berilmu kerana takut jika tidak berilmu berlaku penyelewengan. Apa yang biasa kita tahu, lagi berilmu seseorang, lagi banyak idea-idea untuk dia membuat rasuah. Lagi tinggi kedudukan seseorang, lagi besar peluang untuk melakukan penyelewengan.

Namun, hanya iman sahaja yang mampu menjadi penghalang kepada segala salah laku dan penyelewengan. Iman mampu menghalang seorang penjawat awam dari melakukan rasuah. Iman mampu menghalang seorang yang berkedudukan tinggi menyeleweng.

Pengurus projek belum tentu mampu mengurus rakyat. Rakyat ini banyak ragamnya. Apatah lagi jika penduduk yang jauh dari kota seperti Manek Urai. Pada mereka semua perkara perlu dilayan Wakil Rakyat. Sakit, demam, anak masuk sekolah, beranak, kahwin, cerai, mati dan sebagainya. Rumit. Pengurus biasanya berurusan dengan mandur, atau pegawai di bawahnya sahaja. Lebih teruk jika pengurus tidak tahu mengurus, tetapi hanya tahu mengarah!.

Lihat pula pada si Penjual Ikan. Secara umumnya penjual / peniaga ini berurusan dengan ramai orang setiap hari. Dia perlu berjumpa dengan pembekal, dia juga perlu berurusan dengan pembeli-pembeli. Dia perlu berhadapan karenah pembekal, dia juga perlu melayani karenah pembeli. Ada yang hanya suka ikan Selayang, ada yang alah kepada Ikan Aya (Tongkol). Ada yang tidak memandang ikan Kembong dan Lolong (apa nama standard lolong ek?), tetapi sentiasa mahukan Tenggiri dan ikan Merah.

Melayan kerenah pembeli, berdepan kerenah pembekal membuatkan si penjual biasanya dikenali ramai. Sikap ramah, mudah berkira (mmudah bbaso - ayat YB Zul Mamat), tidak kedekut, jujur dalam timbangan akan dapat dinilai oleh pembeli peribadi si penjual.

Dari pemerhatian dan perbualan dengan orang-orang Manek Urai yang sempat dikunjungi 2 kali setakat ini, secara umumnya mereka mahukan YB yang bersama mereka. Dapat membantu ketika susah, mudah dirujuk apabila payah.

Apapun, secara umumnya kedudukan keduanya adalah masih 50-50. Dikatakan pengundi luar Manek Urai (bekerja/ belajar di luar) seramai 800 orang berada di sekitar Lembah Kelang. Itu tidak termasuk berada di negeri-negeri lain. Mereka ini dikenalpasti sebagai yang biasanya membantu kemenangan PAS. Dengan hari pembuangan undi pada hari Selasa, PAS dilihat tidak berada pada kedudukan selesa. Apapun penilaian, penduduk Manek Urai berhak memilih Penjual Ikan mahupun Pengurus Projek.

Wallahua'lam.

01 April 2009

Ahmad Said beri projek pada Kroni Deris?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Berita dari Bernama.

Peruntukan RM100 Juta Indahkan Pekan Kuala Besut

BESUT, 1 April (Bernama) -- Kerajaan Terengganu memperuntukkan RM100 juta bagi membangunkan serta menyusun semula pekan Kuala Besut di bawah Rancangan Kawasan Khas (RKK), dalam usaha menarik kedatangan pelancong ke kawasan itu.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata pembangunan kawasan itu penting kerana ia menjadi tempat persinggahan pelancong sebelum bertolak ke Pulau Perhentian.

Beliau berkata pekan berkenaan akan diperindahkan, antaranya dengan menambah bangunan baru, rumah kedai dan jeti bagi kemudahan pelancong serta penduduk tempatan.

"Kita dapati Kuala Besut menjadi tumpuan pelancong sebelum mereka pergi ke Pulau Perhentian. Jadi, kita perlu mengindahkan pekan itu yang sebelum ini agak sesak dan tidak diurus seperti pekan koboi," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah tapak rumah pangsa Kuala Besut di sini hari ini. Turut hadir, bekas menteri besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Jertih.

Ahmad berkata di bawah program itu, kerajaan negeri akan membina 150 unit rumah di kawasan seluas 1.4 hektar bagi keperluan penduduk di kawasan berkenaan dan ia dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.

Beliau berkata rumah yang akan dibina itu adalah sebahagian daripada 4,500 unit rumah mampu milik yang bakal dibina kerajaan Terengganu di seluruh negeri itu, tahun ini.

"Kita akan bina rumah-rumah untuk keperluan rakyat di setiap daerah yang sudah mempunyai tapak. Tempat-tempat yang ada kawasan (tapak) kita buat (bina) dulu," katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata kerajaan negeri telah meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengkaji untuk mendalamkan muara sungai Kuala Besut serta mengatasi masalah hakisan yang sering berlaku di kawasan tersebut.

"Kami tidak mahu peruntukan yang besar dikeluarkan, tetapi hakisan tetap berlaku," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan negeri membenarkan penduduk melaksanakan projek menyedut pasir bagi mendalamkan muara sungai itu tetapi mereka perlu terlebih dahulu mendapat kebenaran dari Pejabat Daerah Besut.

-- BERNAMA

p/s: Selepas heboh dikatakan Ahmad Said meminggirkan Besut, alih-alih datang plak projek. Aku harap Ahmad Said tak lupakan Setiu yang mana kampung halaman isteri nombor 2 dia.

02 January 2009

YB Hj Mohd Abdul Wahid Endut Pilihan yang tepat!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Mungkin bagi kebanyakan orang yang berada di luar Terengganu, pemilihan YB Hj. Mohd Abdul Wahid Endut sebagai calon PAS di Parlimen Kuala Terengganu dilihat sebagai suatu keputusan yang silap. Namun, bagi penduduk dan pengundi di Kuala Terengganu ini khususnya, pemilihan yang dibuat tersebut adalah pilihan yang tepat dan mampu memenuhi kehendak ramai.

Tuan Guru Presiden PAS ketika mengumumkan menyebut Hj Wahid sebagai mewakili golongan muda dan tua. Umur 52 tahun ketika ini benar-benar dilihat sebagai umur pertengahan apabila wujud polemik tersendiri terhadap calon muda dan tua. Bagi golongan muda, calon muda menjadi taruhan kerana mahukan calon yang segar, manakala golongan tua mahukan calon lama yang berpengalaman. Hj Wahid memiliki kedua-duanya.

Hj Wahid berkelulusan Universiti Putra Malaysia (UPM) memenangi kerusi Dun Wakaf Mempelam dalam pilihan raya umum lalu dengan majoriti 2,193 mengalahkan calon BN, Othman Awang. Hj Wahid memperolehi 9,645 manakala Othman mendapat 7,452.

Kerusi Wakaf Mempelam sudah 5 kali ditandingi beliau dan tidak pernah sekalipun tewas. Dalam PRU 12 lalu, majoriti yang diperolehi di Dun ini mengatasi YB Dr. Syed Azman di Dun Batu Burok dan YBM Dato' Tengku Hassan di Dun Ladang. Parlimen Kuala Terengganu mempunyai 4 Dun yang mana satu daripadanya dimenangi BN di Dun Bandar. YB Hj Wahid juga pernah menjadi Exco ketika PAS memerintah Terengganu pada 1999 - 2004.

Walaupun terkenal di Kuala Terengganu atas sifatnya Wakil Rakyat dan YDP PAS Kawasan Kuala Terengganu, populariti Hj Wahid di peringkat nasional lebih terserlah di Youtube. Rakaman Sidang DUN Terengganu pada penggal lalu menyaksikan bagaimana Hj Wahid mendepani Adun-adun BN termasuk Dato Ahmad Said sendiri yang kini menjadi MB Terengganu.



Mengikut pemerhatian aku pemilihan ini memang tepat walaupun menafikan beberapa nama lain. Namun, inilah strategi dan buah pulas pertama yang PAS berjaya berikan kepada Jentera BN. Ketika mana BN dan SB sudah mula membuat onar dan menabur hasutan sokongan terhadap calon tertentu, pemilihan Hj Wahid telah memberi tamparan yang hebat kepada lawan!

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!

amdang: Di saat ada yang cuba memperlekeh kepimpinan Ulama', TG Presiden dengan penuh tanggungjawab membuat keputusan yang tepat dan memberikan senyuman kepada semua jentera PAS Terengganu.

24 December 2008

Wan Farid dan Selamat Tinggal UMNO

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Pilihan Raya selalu menyaksikan pelbagai taktik dan kempen dilakukan oleh kedua-dua belah pihak yang bertanding. Taktik yang biasa disebut dan digunakan antaranya adalah ahli parti A keluar dan melompat masuk ke parti B. Taktik ini yang biasa digunakan UMNO terutamanya UMNO Terengganu dan Kelantan sejak dahulu lagi mungkin akan digunakan juga dalam Pilihan Raya Kecil P036 Kuala Terengganu ini.

Mungkin kali ini UMNO sedikit tersentak apabila dalam demam PRK ini, tiba-tiba sahaja bekas Ketua Bahagian Umno Petaling Jaya Selatan, Datuk Zahar Hashim menyerahkan borang keahliannya untuk menyertai PAS kepada Ustaz Nasharuddin Mat Isa. Lebih menarik apabila kekuatan UMNO yang dimilikinya akan turut dibawa masuk bersama. Datuk Zahar juga dikatakan akan turun untuk berkempen di Kuala Terengganu.

Aku sebenarnya ternanti-nanti apakah gimik Wan Farid dalam menentang calon PAS. Ini berikutan Wan Farid sebenarnya tidak mendapat mandat dari UMNO Terengganu, terutamanya Ahmad Said. Jika benar Wan Farid akan dicalonkan, mana mungkin jawatan Senator diserahkan kepada Wan Farid. Aku secara peribadi melihat jawatan Senator yang disambung oleh Ahmad Said sebagai syarat supaya Wan Farid menarik diri dari menjadi calon. Namun Wan Farid cuba berlagak jantan.

Aku suka menyifatkan Wan Farid sebagai pengkhianat kepada UMNO Terengganu dan rakyat Terengganu. Mengkhianati UMNO Terengganu dengan beria-ria mahu menjadi calon dan menafikan pilihan Ahmad Said iaitu Zuber Embong. Wan Farid juga mengkhianati rakyat Terengganu apabila mahu meletak jawatan dari senator yang mahu disambung tugas walaupun dilihat langsung tidak berperanan sebenarnya.

Mungkin antara isu yang akan dimainkan adalah Terengganu akan kehilangan 2 Timbalan Menteri sekaligus selepas kematian Datuk Razali jika Wan Farid turut tewas dalam PRK ini. Ini berikutan Wan Farid tidak boleh dilantik semula sebagai senator. Ini mungkin dilihat akan menggamit simpati pengundi.

Namun, sesuatu yang perlu kita sedari adalah, Wan Farid sebenarnya langsung tidak berperanan sebagai Timbalan Menteri. Wan Farid tidak membantu rakyat Terengganu dan Ahmad Said untuk mendapatkan semula Royalti. Sedangkan dengan kedudukan yang ada, mungkin dapat memberikan sedikit tekanan kepada Pusat. Ini berikutan kedudukan Ahmad Said yang dilihat team yang berbeza dengan dirinya yang berada dalam team Idris Jusoh.

Kesimpulannya Wan Farid memang telah gagal meyakinkan UMNO Terengganu, dan gagal untuk menjadi calon yang perlu dipilih untuk PRK P036 Kuala Terengganu. Habis, mana calon PAS? Tunggulah dulu. Biarlah Wan Farid bersilat sendiri dulu, nanti bila dia sudah letih barulah kita buat pukulan TKO!

27 July 2008

Memahami Politik TG Nik Aziz

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum w.b.t

Aku semalam menghadiri satu program yang dinamakan Medan Pemuda Islam Batu Rakit atau singkatannya Membara '08. Program ini adalah kali ketiga dianjurkan oleh Pemuda Dun Batu Rakit dan menjadi program tahunan pemuda dun berkenaan. Apa yang menarik perhatian aku semalam selain acara bola sepak 5 sebelah dan tarik tali, aku turut tertarik dengan sehelai T-shirt yang tertera gambar TG Nik Aziz.

"Satu dalam sejuta". Itulah tulisan yang dimaksudkan pada gambar TG Nik Aziz pada T-Shirt berkenaan.

Semalam TG Nik Aziz dipetik sebagai berkata "Bubar Umno dan PAS, tubuh parti baru". Adapun, parti baru itu perlu berlandaskan Islam bagi menyatukan orang Melayu dan sebagai tempat berlindung kepada semua pihak termasuk bukan Islam.

Sekali pandang, macam bubar Pas dan Umno, Umno dan Pas berpakat atas satu parti baru je. Tetapi jika dua kali pandang, bubar Umno, Umno masuk Pas je.

Aku cukup suka politik TG Nik Aziz! :)

02 July 2008

Idris-Ahmad bertembung di Hulu Terengganu

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Sumber: Malaysiakini

Pertandingan ketua Umno bahagian Hulu Terengganu akan menyaksikan pertembungan antara penyokong bekas menteri besar Datuk Seri Idris Jusoh dengan penyokong menteri besar sekarang Datuk Ahmad Said.

Bekas exco kerajaan Datuk Rosol Wahid hampir pasti mencabar bekas timbalan menteri kewangan Datuk Tengku Putera Tengku Awang dalam pemilihan parti, September ini.

"Mereka akan berentap dalam pemilihan jawatan ketua bahagian kali ini kerana kedua-duanya amat memerlukan jawatan tersebut.

"Rosol memerlukan jawatan itu untuk masa depan politiknya setelah terpinggir berikutan ketuanya Idris tidak lagi menjadi menteri besar,” kata satu sumber Umno Hulu Terengganu kepada Malaysiakini hari ini.

"Manakala Tengku Putera digugurkan dari bertanding dalam pilihanraya umum lalu kini bergantung harap kepada jawatan ketua bahagian untuk menuruskan kerjaya politiknya."

Sumber itu berkata, persaingan antara mereka berdua sudah lama tetapi semakin menyerlah apabila Tengku Putera digugurkan daripada jawatan timbalan menteri kewangan pada 2006.

Ada pihak mendakwa itu semua, antaranya, permainan Rosol yang meminta Idris mencadangkan kepada perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya Tengku Putera digugurkan daripada jawatan tersebut.

"Kemarahan Tengku Putera terhadap Rosol semakin bertambah apabila namanya tidak disenaraikan dalam pilihanraya umum lalu," kata sumber itu lagi.

Menurut sumber itu, pengguguran Tengku Putera adalah disebabkan oleh Rosol, waktu itu setiausaha badan perhubungan Umno, yang mahu mengangkat kawan baiknya Mohd Nor Awang bertanding di kerusi parlimen Hulu Terengganu.

Sementara itu, menurut sumber itu lagi, Tengku Putera telah merancang strategi menyingkirkan Rosol sebagai ahli dewan undangan negeri Ajil dalam pilihanraya umum akan datang dengan seorang muka baru.

Manakala Tengku Putera sendiri akan mengambil semula tapak lamanya di kerusi dewan undangan negeri Telemong, sekaligus akan menyaksikan exco pertanian negeri Rozi Mamat terpaksa berpindah ke kerusi parlimen.

19 May 2008

Mahathir keluar Umno: C4 atau kentut?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Bila Mahathir keluar Umno, aku melihat ini merupakan senjata terakhir bagi Mahathir mendesak Pak Lah meletak jawatan sebagai PM dan Pengerusi Umno dan BN. Pernyataan jelas dari Mahathir yang beliau keluar dari Umno bukan kerana mahu menyertai mana-mana parti memberi gambaran yang Umno masih disayanginya.

Tindakan Mahathir ini sangat tepat bagi memberi tekanan kepada Pak Lah supaya berundur. Dengan pengunduran Pak Lah, maka BN dijangka dapat mengekalkan kuasa dengan Najib sebagai PM. Najib dilihat akan diberi peluang untuk mentadbir sebelum dinilai prestasinya walaupun mempunyai keperibadian yang boleh dipersoalkan.

Matlamat utama Mahathir, tiada sebarang peralihan kuasa kepada Pakatan Rakyat. Caranya hanyalah dengan Pak Lah turun dari kerusi PM yang ada sekarang. Bagi memberi tekanan kepada Pak Lah dengan menyeru ahli Umno keluar dari Umno secara beramai-ramai dengan dirinya menjadi permulaan.

Sebagai seorang yang cukup lama dalam politik, Mahathir dapat membaca kebarangkalian yang mungkin berlaku. Peristiwa kemenangan besar BN pada 2004 adalah berpunca dari sikap tanggungjawab Mahathir kepada Umno dengan melepaskan jawatan tertinggi kepada Pak Lah. Ketika itu walaupun tiada tekanan dari mana-mana bahagian atau individu dalaman parti, namun Mahathir melihat rakyat sudah mula mempersoal tindakannya khususnya dalam isu pemecatan Anwar Ibrahim.

Mahathir sebelum ini sudah cukup memberi tekanan kepada Pak Lah bagi melepaskan jawatan tertinggi itu. Kritikan, surat, dan forum antara medan yang digunakan bagi menyerang dan memberi amaran. Namun, seperti biasa Pak Lah tetap dengan sikapnya yang tenang dan memejam mata dengan apa yang berlaku di sekitarnya.

Jika benar Pak Lah akan melepaskan jawatannya terkesan dengan keluarnya Mahathir dan para penyokongnya dari Umno, maka peluang Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih kerajaan dalam masa terdekat akan semakin malap. Ini kerana Najib sudah tentu akan bertindak lebih bijak dalam menangani kemelut lompat-melompat yang digembar-gemburkan sekarang ini. (lupakan seketika bagaimana strategi PR untuk mendapatkan sokongan sekiranya Najib mengambil alih kerusi PM)

Umno juga akan dilihat lebih selamat sepertimana kata Tun Musa Hitam. Keluarnya Mahathir, maka telah keluarnya 'duri dalam daging' dari Umno. Mahathir akan dilihat sebagai 'orang luar' yang hanya memberi pandangan kepada Umno jika terus cuba mengganggu Umno. Ini kerana tindakan Mahathir itu tidak lebih kepada memakan diri sahaja.

Seorang sahabat memberi contoh keluarnya Mahathir dari Umno umpama turunnya Mahathir dari sebuah bas yang pemandunya Pak Lah. Namun, dia tetap tercegat di tepi jalan tanpa naik mana-mana kenderaan lain yang ada sehingga bas itu dipandu pemandu lain. Bas akan terus berjalan bila tiba masanya, namun Mahathir bimbang-bimbang mati kerana dilanggar oleh kenderaan yang lain.

Apapun, situasi ini mungkin merupakan klimaks kepada perbalahan Pak Lah dan Mahathir. Mahathir telahpun bertindak ke tahap 'mengebom diri' bagi memastikan Pak Lah turun dari kerusi PM. Bom itu akan berkesan sekiranya terkena kepada mana-mana Jeneral-jeneral Kanan Umno. Namun sekiranya setakat bekas-bekas yang sudah dilupakan seperti Sanusi Junid dan ahli-ahli beberapa cawangan sahaja, bom itu tidak lebih seperti kentut yang berbunyi kuat, gempanya menakutkan namun baunya tiada.

Wallahua'lam

13 May 2008

Boleh ke kerja dengan Umno / BN?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Aku cuba kongsi satu persoalan yang ditimbulkan oleh seorang pengunjung blog ini. Mulanya aku merasakan malas juga menjawab persoalan ini kerana jauh dari bidang aku. Namun, aku cuba menjawab dari pandangan seorang ustaz yang pernah memberi pendapat dalam bab ni. Apapun, jawapan sahih dari ustaz berkenaan aku dah lupa. Aku cuma cuba-cuba ingat kembali. Kalu ada salah dan pendapat lain dialu-alukan la. Sekadar yang ingat...

At 10 May, 2008, Anonymous biskutliat said…

dam, kawan aku tanya.. kita keje ngan kerajaan BN tetapi x sokong BN. benci BN, nape hukum gaji kita? sedangkan kita tahu BN menghalalkan arak dan judi dalam malaysia. mungkin gaji kita sedikit sebanyak bercampur dgn duit haram tu. gane pendapat mung dam?

Sesuka hati dia je panggil aku DAM. Ingat aku Dam Aji ke? Hehehhe.

Ustaz tu jawab tak apa.

Pendapat aku pun tak apa. Kerajaan hak rakyat, bukan hak parti mana-mana. Parti tu hanya diberi kuasa untuk memerintah.

Ustaz tu bg pendapat, hukum kerja makan gaji ni harus je. Harus sebagaimana kerja-kerja lain untuk mencari nafkah. Itu hukum kerja makan gaji. Walau siapa majikan sekalipun samada kerajaan memerintah itu Pas, Umno, Melayu, Cina mahupun Amerika.

Tak perlu timbul soal sokong kerajaan ke tak. Cuba bayangkan jika kita tinggal di Amerika, takkan langsung tak boleh kerja sebab Amerika tu kita kata kafir? Sedangkan kerajaan Amerika tu lagi la ntah apa-apa sumber pendapatan yang mereka ada.

Aku pernah ditegur kerana tidak mahu kerja dengan kerajaan. Alasan aku terdedah kepada banyak benda tak baik dan terdedah kepada sumber rezeki yang tidak baik seperti rasuah, salahguna kuasa dan sebagainya.

Rupa-rupanya Imam Hassan Al-Banna pernah menyebut tentang kerja makan gaji dengan kerajaan ni dulu-dulu. Aku lupa buku apa. Kerja dengan kerajaan memang tidak digalakkan. Namun, adalah lebih baik sekiranya jika kita merasakan dengan memegang sesuatu jawatan / tugas di sana, kita dapat mengawal suasana dari bertambah teruk.

Mungkin jika mereka yang tiada fikrah Islam memegang sesuatu jawatan, maka setiap keputusan / aktiviti yang bakal direncana juga tiada nilai Islam. Maka, boleh la diadakan majlis tarian, karaoke, joget lambak dan sebagainya. Begitu juga dengan dasar muamalat yang akan berlaku seharian.

Namun, dengan kita yang mempunyai kefahaman tentang Islam memegang jawatan itu, maka kita akan berjaya mengawal suasana yang ada tu, maka di situ la letaknya keharusan untuk menerima jawatan tersebut. Mungkin kita menukar akaun bank dari konvensional kepada yang lebih islamik dan sebagainya.

Gitu la lebih kurang yang aku ingat.

Kadang-kadang, kita tengok si A tu baik je. Tapi kenapa la kerja jadi Polis. Kerja yang tersangat-sangat la aku minta jauh keturunan aku dari menceburinya. Namun, mungkin di situ la letaknya kebaikan si A tadi menjadi polis. Maka, dengan dia jadi Polis dan tidak mengamalkan rasuah, ugut dan halalkan maksiat, maka ada la polis yang baik dalam banyak-banyak polis yang tidak baik itu.

Namun, jika yang bersama Umno atau bekerja untuk Umno secara langsung, aku berpendapat ianya berbeza dengan hukum kerja dengan kerajaan. Aku lebih cenderung mengatakan ini lebih teruk dari kerja dengan kerajaan walaupun mungkin ada yang berniat mahu mengubah dari dalam.

Wallahua'lam.

UMNO Masih Kuat : Rosol

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Petikan akhbar Sinar Harian.

KUALA TERENGGANU - UMNO Terengganu menafikan bahawa wujudnya perpecahan serius melibatkankan pemimpin utama dalam parti itu, selepas tercetusnya krisis pelantikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said yang menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh, sebaik sahaja berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-12 baru-baru ini.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata, sehingga ini beliau tidak nampak berlakunya sebarang perpecahan antara rakan pemimpin yang lain dan menganggap ia sebagai satu dakwaan tidak berasas.

“Sebenarnya UMNO Terengganu masih lagi kuat, sama seperti dulu,” ulasnya kepada Sinar Harian, ketika dihubungi, semalam.

Rosol memberitahu demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan wujudnya perpecahan antara pemimpin UMNO Terengganu, menyebabkan parti itu masih gagal mengadakan Mesyuarat Perhubungan sejak berakhirnya pilihan raya umum lalu.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Rosol memberitahu, pihaknya masih belum membuat keputusan berhubung mesyuarat tersebut kerana ia akan diputuskan sendiri oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri yang kini masih dipegang oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh.

“Beliau (Idris) yang berhak memutuskan tarikh sebenar mesyuarat berkenaan dan sehingga kini saya masih belum menerima apa-apa arahan daripada beliau mengenai perkara itu,” ujarnya.

Menurut Rosol, pada kebiasaannya Mesyuarat Perhubungan diadakan sebulan selepas pilihan raya umum, tetapi kini setelah dua bulan proses pilihan raya umum berlalu, ia masih belum diadakan.

Ditanya sama ada perkara ini menjejaskan pentadbiran dan perancangan UMNO sendiri beliau memberitahu, ia langsung tidak menggugat perjalanan parti dan pihaknya juga tidak menerima sebarang desakan daripada pemimpin serta anggota UMNO.

“UMNO Terengganu masih lagi sama seperti dulu dan kita akan meneruskan usaha serta strategi untuk berjuang demi kepentingan rakyat selain membantu mereka meraih kehidupan lebih baik dalam segenap segi,” ujarnya.

Mengulas mengenai ulang tahun UMNO ke-62 yang disambut semalam, bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri itu berkata, UMNO masih lagi relevan untuk semua masyarakat Melayu di negara ini walaupun sudah lebih enam dekad berlalu.

Beliau berkata, dalam tempoh berkenaan UMNO ternyata berjaya membawa banyak perubahan kepada rakyat dan negara termasuk kewujudan lebuh raya sebagai laluan perhubungan dan pelbagai dasar ekonomi ke arah meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Oleh itu, sempena ulang tahun UMNO ini saya berharap pemimpin akan melaksanakan tugas mereka dengan lebih baik. Jangan bertengkar dan bergaduh sesama sendiri kerana rakyat yang akan menjadi mangsa.

“Kasihani rakyat terutama mereka yang tinggal di kampung kerana tidak pernah mengenal erti penat lelah dalam berjuang untuk parti,” katanya.