19 May 2008

Mahathir keluar Umno: C4 atau kentut?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Bila Mahathir keluar Umno, aku melihat ini merupakan senjata terakhir bagi Mahathir mendesak Pak Lah meletak jawatan sebagai PM dan Pengerusi Umno dan BN. Pernyataan jelas dari Mahathir yang beliau keluar dari Umno bukan kerana mahu menyertai mana-mana parti memberi gambaran yang Umno masih disayanginya.

Tindakan Mahathir ini sangat tepat bagi memberi tekanan kepada Pak Lah supaya berundur. Dengan pengunduran Pak Lah, maka BN dijangka dapat mengekalkan kuasa dengan Najib sebagai PM. Najib dilihat akan diberi peluang untuk mentadbir sebelum dinilai prestasinya walaupun mempunyai keperibadian yang boleh dipersoalkan.

Matlamat utama Mahathir, tiada sebarang peralihan kuasa kepada Pakatan Rakyat. Caranya hanyalah dengan Pak Lah turun dari kerusi PM yang ada sekarang. Bagi memberi tekanan kepada Pak Lah dengan menyeru ahli Umno keluar dari Umno secara beramai-ramai dengan dirinya menjadi permulaan.

Sebagai seorang yang cukup lama dalam politik, Mahathir dapat membaca kebarangkalian yang mungkin berlaku. Peristiwa kemenangan besar BN pada 2004 adalah berpunca dari sikap tanggungjawab Mahathir kepada Umno dengan melepaskan jawatan tertinggi kepada Pak Lah. Ketika itu walaupun tiada tekanan dari mana-mana bahagian atau individu dalaman parti, namun Mahathir melihat rakyat sudah mula mempersoal tindakannya khususnya dalam isu pemecatan Anwar Ibrahim.

Mahathir sebelum ini sudah cukup memberi tekanan kepada Pak Lah bagi melepaskan jawatan tertinggi itu. Kritikan, surat, dan forum antara medan yang digunakan bagi menyerang dan memberi amaran. Namun, seperti biasa Pak Lah tetap dengan sikapnya yang tenang dan memejam mata dengan apa yang berlaku di sekitarnya.

Jika benar Pak Lah akan melepaskan jawatannya terkesan dengan keluarnya Mahathir dan para penyokongnya dari Umno, maka peluang Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih kerajaan dalam masa terdekat akan semakin malap. Ini kerana Najib sudah tentu akan bertindak lebih bijak dalam menangani kemelut lompat-melompat yang digembar-gemburkan sekarang ini. (lupakan seketika bagaimana strategi PR untuk mendapatkan sokongan sekiranya Najib mengambil alih kerusi PM)

Umno juga akan dilihat lebih selamat sepertimana kata Tun Musa Hitam. Keluarnya Mahathir, maka telah keluarnya 'duri dalam daging' dari Umno. Mahathir akan dilihat sebagai 'orang luar' yang hanya memberi pandangan kepada Umno jika terus cuba mengganggu Umno. Ini kerana tindakan Mahathir itu tidak lebih kepada memakan diri sahaja.

Seorang sahabat memberi contoh keluarnya Mahathir dari Umno umpama turunnya Mahathir dari sebuah bas yang pemandunya Pak Lah. Namun, dia tetap tercegat di tepi jalan tanpa naik mana-mana kenderaan lain yang ada sehingga bas itu dipandu pemandu lain. Bas akan terus berjalan bila tiba masanya, namun Mahathir bimbang-bimbang mati kerana dilanggar oleh kenderaan yang lain.

Apapun, situasi ini mungkin merupakan klimaks kepada perbalahan Pak Lah dan Mahathir. Mahathir telahpun bertindak ke tahap 'mengebom diri' bagi memastikan Pak Lah turun dari kerusi PM. Bom itu akan berkesan sekiranya terkena kepada mana-mana Jeneral-jeneral Kanan Umno. Namun sekiranya setakat bekas-bekas yang sudah dilupakan seperti Sanusi Junid dan ahli-ahli beberapa cawangan sahaja, bom itu tidak lebih seperti kentut yang berbunyi kuat, gempanya menakutkan namun baunya tiada.

Wallahua'lam

No comments: