Showing posts with label Kelantan. Show all posts
Showing posts with label Kelantan. Show all posts

10 February 2010

PAS & UMNO: Berbincang bukan bekerjasama - Wan Nik

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Pada Khamis, 4 Februari lepas Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz, Menteri Besar Kelantan hadir ke majlis penutup Seminar Pemikiran Islam mengenai pemakaian 'kalimah Allah' di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa. Seminar tersebut anjuran Tabung Amanah Tok Kenali (Tatok) dengan kerjasama NGOs. Tatok merupakan sebuah badan amanah di bawah Kerajaan Negeri Kelantan yang diterajui Mohd Khir Zahri Abd Ghani.

Seminar tersebut diisi dengan forum oleh barisan ahli panel terdiri daripada Ketua Eksekutif Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra, Dr Johari Mat; Editor akhbar Herald, Lawrence Andrew dan dan Loo Coo Chiang mewakili penganut Buddha. Di samping sesi pembentangan kertas kerja oleh Dr. Mohamad Noor Manuty dan Wan Ji Wan Hussin.

Dalam ucapan penutup Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah memulakan dengan petikan firman Allah bermaksud:

“Rasul (Nabi Muhammad SAW) sendiri telah beriman kepada al-Quran yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, demikian pula orang-orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya dan rasul-rasul-Nya (mereka mengatakan); “Kami tidak membeza-bezakan antara seseorang pun (dengan yang lain) dari rasul-rasul-Nya,” dan mereka mengatakan; “Kami dengar dan kami taat,” (mereka berdoa); “Ampunilah kami ya Tuhan kami dan kepada Engkaulah tempat kembali. (al-Baqarah, ayat 285)

"Sesungguhnya pihak Kerajaan Negeri Kelantan dengan dasar Membangun Bersama Islam sentiasa mengamalkan toleransi dalam kehidupan masyarakat pelbagai kaum. Ia sesuai dengan amalan agama Islam sendiri yang berteraskan nilai-nilai sejagat yang boleh diterima oleh semua kaum tanpa mengira warna kulit, budaya dan adat resam. Maka, Kerajaan Negeri amat komited di dalam melaksanakan pentadbiran ke arah perdamaian, ketenangan dan kesejahteraan untuk semua kaum dan agama.

"Oleh itu, penganjuran Seminar Pemikiran Islam ini amat dialu-alukan dan ia amat wajar ke arah memahami secara lebih mendalam inti pati ilmu Islam di dalam menangani persoalan kehidupan semasa. Walaupun, seminar kali ini memfokuskan kepada isu “pemakaian kalimah Allah,” apa yang saya harapkan ia mampu mengemukakan asas-asas ilmu yang merangkumi kesemua aspek kehidupan yang ada kaitannya dengan aspek kehidupan yang berasaskan keagamaan. Kerana Islam adalah cara hidup yang lengkap, menganjurkan keselamatan, kesejahteraan dan kedamaian. Sesuai dengan firman Allah yang bermaksud, “Masuklah kamu ke dalam agama Islam yang membawa keselamatan, kesejahteraan dan perdamaian.” (al-Baqarah ayat 208)

"Semoga Seminar ini yang diisi dengan sesi pembentangan dan sesi forum telah menemui persefahaman yang jitu dan dapat merapatkan hubungan harmoni antara kaum dan agama di negeri dan negara ini.

Sementara ketika sidang media selepas selesai sesi ucapan penutup itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah menegaskan, "segala kemelut agama dalam negara hari ini adalah disebabkan kegagalan Umno yang mentadbir negara ini lebih 50 tahun."

Hakikatnya, penegasan Tuan Guru Nik Abdul Aziz pada sidang media itu boleh difahami betapa, "Umno telah gagal memberitahu Islam sebenar kepada rakan-rakan kita yang bukan beragama Islam, gagal mempraktikkan Islam sebenar malah menolak undang-undang Islam di dalam mentadbir negara, menerima sekular dan menolak Islam, sehingga orang Melayu sendiri yang beragama Islam tidak faham Islam sebenar. Sedangkan Islam adalah agama yang mengajar kehidupan yang sempurna, Islam adalah 'way of life' dan bila diamalkan akan membawa kesejahteraan, keharmonian dan tidak berlaku kekalutan seperti isu penggunaan kalimah Allah."

Sebenarnya, sebelum menyampaikan ucapan penutup itu, pada Isnin, 1 Februari, Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah hadir ke Pulau Pinang berucap pada karnival harmoni anjuran PAS Pulau Pinang. Tuan Guru dimaklumi tentang program PAS di sana yang berjaya mengadakan dialog dengan rakan-rakan bukan Islam di salah sebuah gereja. Dilaporkan, kesan dialog itu amat positif, kerana mereka baru nampak dan faham kebaikan Islam. Maka, pada Tuan Guru Nik Abdul Aziz ia suatu langkah proaktif. Khabarnya Tuan Guru juga amat gembira dengan usaha PAS Pulau Pinang itu, tetapi agak terkilan kerana tugas itu sepatutnya dibuat oleh Umno yang memegang tampuk kuasa.

Maka, Tuan Guru menanggapinya punca kekalutan isu-isu agama di negara ini disimpulkan sebagai kegagalan Umno selaku pemegang tampuk kerajaan. Pemimpin Umno telah gagal menjalankan tanggungjawab agamanya kepada rakyat di negara ini. Sebab itulah orang Islam sendiri tidak faham Islam, sementelah pula orang bukan Islam jauh sekali untuk memahaminya. Contohnya, pemimpin MCA dan MIC mahupun Gerakan tidak faham-faham tentang Islam meskipun lebih 50 tahun berkawan dengan pemimpin Umno.

Lalu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz mengemukakan rasionalisasi demi penyelesaian segala-gala kemelut agama yang dicetuskan oleh Umno sejak berkuasa!!

Menerusi sidang media di majlis penutup seminar anjuran Tatok itu, kenyataan spontan Tuan Guru Nik Abdul Aziz antaranya menyebutkan, "saya datang hanya untuk menutup majlis, tapi saya sangat gembira kalau boleh majlis macam ini dibuat antara PAS dengan Umno.

"Lebih 50 tahun kita bertengkar dengan Umno, 50 tahun Umno bertengkar dengan PAS. Apa hasil? Banyak masa habis, Umno guna masa begitu banyak, kepakaran begitu banyak, lawan gerakan Islam yang dibawa oleh PAS, apa hasilnya?

"PAS adalah sebuah parti yang ditubuhkan oleh alim ulama dalam Umno sendiri dan adalah tidak wajar berlaku perbalahan yang terus menerus.

"Tolong fikirlah, 50 tahun Umno bertengkar dengan PAS dan PAS ini dibuat oleh alim ulama Umno.

"Pada 1946, semua orang Melayu bersama Umno; tok gurunya, cikgunya, pelajar, tetapi pada 1951, alim ulama telah keluar Umno dan buat parti baru namanya PAS, Persatuan Islam Se-Tanah Melayu kemudian berubah jadi Parti Islam Se-Malaysia.

"Jadi apa pentingnya Umno bertengkar dengan PAS, sedangkan PAS bawa Islam... (kena faham-P) selepas kita mati, Melayu tidak ada guna, Cina tak ada guna, Arab tak ada guna.., yang berguna hanya Islam dan yang bertakwa kepada Allah. Jadi apa gunanya berjuang kebangsaan (merujuk kepada Umno-P)?

"Jika isu pembangunan yang menjadi punca Umno memusuhi PAS, ia tidak sepatutnya berlaku kerana PAS juga bawa pembangunan kepada negeri yang kita perintah.

Atas asas rasionalisasi tersebut Tuan Guru Nik Abdul Aziz meminta tokoh-tokoh Umno agar sedia untuk berbincang dengan PAS.

Walau bagaimanapun, apabila akhbar arus perdana keesokan harinya (5 Februari) telah memutar kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz di sidang media penutup seminar tersebut. Akhbar-akhbar itu telah mengemukakan tajuk berita yang agak terkeluar daripada konteks asal maksud Tuan Guru. Sehingga ada pembaca yang terkeliru yang kononnya PAS mahu menjalin kerjasama politik dengan Umno.

Maka, di sana dilihat peranan akhbar mahupun media elektronik turut mengambil peluang memanaskan kenyataan Tuan Guru, termasuk menyiarkan maklum balas pemimpin Umno dan tidak terkecuali Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib memberi maklum balas dengan nada yang sinis, apabila menyifatkan pendirian Tuan Guru Nik Abdul Aziz selalu berubah-ubah seperti ramalan cuaca.

Paling tidak tepat dan tersasar apabila akhbar Utusan Malaysia (8 Februari) melaporkan kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang semasa lawatan kerjanya ke Kuching, Sarawak. Berita berkaitan isu yang sama atas tajuk "PAS sedia kerjasama dengan Umno" dan berita yang sama turut disiarkan oleh Utusan Borneo. Akhbar berkenaan telah memetik kenyataan yang sebenarnya menggambarkan wartawan berkenaan tidak memahami konteks sebenar apa yang diterangkan oleh Presiden PAS.

Wartawan berkenaan melaporkan, "Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu sedia bekerjasama dan berbincang dengan Umno dalam setiap perkara termasuk yang berkaitan dengan hal politik dan agama.

"Polisi kerjasama antara PAS dan Umno sama ada membabitkan perkara yang boleh dibincangkan atau sebaliknya bukanlah pertama kali dilakukan kedua-dua parti berkenaan dan ia merupakan polisi yang berpanjangan dari dulu hingga hari ini.

"Kerjasama di dalam politik merupakan amalan demokrasi sebagaimana yang diamalkan negara ini yang mana PAS boleh bekerjasama dalam perkara yang boleh dipersetujui dan jika perkara sebaliknya berlaku, parti akan memberi nasihat dan ia amalan biasa bagi negara demokrasi.

“Dalam negara demokrasi, kita tidak berperang, sebaliknya kita berhujah, berdebat, berbahas dan berbincang. Tidak ada pemisahan antara agama dan politik bagi PAS.

"PAS akan memberi pandangan dalam menangani perkara berkaitan sosial, ekonomi dan ketenteraman awam malah ada antara pandangan parti diterima kerajaan secara senyap-senyap.

Apapun catatan wartawan berkenaan, ia telah tersasar dan tidak menepati maksud sebenar kenyataan Presiden PAS. Ini kerana maksud asal cetusan Tuan Guru Nik Abdul Aziz adalah berbincang atas dua isu utama mengenai kepentingan agama Islam, iaitu berkisar kepada persoalan kenapa Umno tolak Islam terima sekular dalam perjuangannya, dan hakikat kemelut salah faham terhadap Islam adalah kerana kegagalan Umno menguruskan kefahaman Islam yang menyebabkan rakyat tidak memahami Islam sebenar.

Oleh itu, Presiden PAS pun mengeluarkan kenyataan di atas konteks yang sama dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, yang menyatakan kepada wartawan semasa di Kuching bahawa isu agama yang dicadangkan untuk berbincang dengan Umno itu adalah dalam skop memahami Islam adalah agama yang lengkap - meliputi semua aspek kehidupan termasuk ekonomi, politik pentadbiran, pembangunan, sosial, undang-undang, kehakiman, mahupun ketenteraman.

Maka, amat tersasarlah cara Utusan Malaysia mengemukakan tajuk "PAS sedia kerjasama dengan Umno". Kerana kerjasama akan membawa implikasi hubungan politik bersifat persetujuan politik, sedangkan usul asalnya berbincang yang bererti pendekatan bagi menyampaikan maksud tertentu kepada Umno, iaitu isu-isu berkaitan agama.

Sayugia, pihak akhbar dan media amnya dapat bertindak adil di dalam melaporkan sesuatu yang tidak tepat dengan maksud sebenar. Dalam isu, kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang tidak sepatutnya dijadikan asas untuk mengeruhkan misi PAS bersama Pakatan Rakyat berdepan dengan Umno dan BN demi keadilan, kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.

Semoga Tuhan Yang Esa membekalkan kewarasan nyata kepada mereka yang tumpul daya warasnya, dan terzahir keharmonian Islam sepanjang zaman.

Wan Nik Wan Yussof,
Setiausaha Politik
Menteri Besar Kelantan.


23 December 2009

Wajarkah Dr Rosli Allani Melepaskan Jawatan?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Aku secara peribadi tidak bersetuju dengan keputusan Dr Rosli Allani melepaskan kesemua jawatannya di dalam parti selepas keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu memerintahkannya tinggal berasingan dengan isteri keduanya. Alasan yang diberikan adalah bagi mengelakkan masalah peribadinya menjejaskan imej PAS.


Mesyuarat melahirkan hasil yang baik

Aku tidak bersetuju jika keputusan yang diambil oleh Dr Rosli Allani itu adalah keputusan peribadi beliau. Sebaliknya jika itu keputusan jemaah, atau paling tidak telah berbincang di dalam mesyuarat mahupun usrah Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, aku kira keputusan yang diambil lebih baik dan lebih elok.

Perlantikan sesuatu jawatan dalam jemaah adalah suatu amanah. Amanah ini bukan diberikan kepada sebarangan individu, tetapi biasanya melalui suatu mesyuarat atau pemilihan. Jika jawatan Ketua Penerangan, aku percaya ianya dipilih melalui pemilihan memandangkan jawatan tersebut merupakan Organisasi Harian kepada Dewan Pemuda PAS Kelantan.

Mungkin ada sebahagian yang bersetuju dengan perletakan jawatan Dr Rosli Allani kerana menganggap tindakan tersebut betul dan keputusan mahkamah tersebut akan memberi kesan kepada PAS. Tetapi sebenarnya persepsi masyarakat adalah sebaliknya dan melihat perletakan jawatan tersebut sebagai suatu pengakuan bahawa Dr Rosli Allani dengan sedar dan sengaja melakukan kesalahan tersebut!

Keputusan mahkamah hanya memerintahkan Dr Rosli Allani mufarakah dengan isteri keduanya dan belum memutuskan bahawa pernikahan mereka dibatalkan. Mereka sedang dibicarakan dan masih tidak didapati bersalah. Cuma apabila melibatkan isu suami-isteri, arahan mufarakah adalah sesuatu yang biasa dan wajar sementara perbicaraan diteruskan.

Aku percaya, sehingga pengumuman perletakan jawatan oleh Dr Rosli Allani semalam, surat perletakan jawatan masih belum dihantar kepada DPPNK. Janganlah budaya 'melepaskan jawatan' ini dijadikan suatu amalan, apatah lagi kesalahan dan jawatan yang dipegang tidak berkait secara langsung.

Mungkin ada yang beranggapan tindakan tersebut sebagai hero, tetapi bagi aku ianya tidak lebih dari tindakan cepat mengalah.

Teringat kata-kata seorang teman, jika mahu jadi ahli politik mesti bertelinga tebal, mulut mesti manis. Jika tidak tahan dengan sedikit cubaan, usah masuk politik.

Apapun, ianya adalah PERSEPSI sahaja. Persepsi oh persepsi...

Nota: Pimpinan PAS Kelantan ramai yang 'terpalit' dengan masalah poligami. Harap ada kursus khas bagaimana menguruskan poligami di kalangan pimpinan. :)

15 July 2009

Manek Urai: Satu Muhasabah - Malaysiakini.

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...



Aku suka membaca satu analisis dari Malaysiakini berkenaan kemenangan PAS yang 'nyawa-nyawa' ikan dari calonnya seorang pemborong ikan. Pada aku, analisis berkenaan lebih merupakan satu muhasabah yang perlu dipandang serius. Walaupun tidak keseluruhannya aku bersetuju dengan lontaran-lontaran analisis berkenaan, namun aku percaya ianya masih membantu.

Cuma, dari dalam parti aku suka melihat apa yang berlaku ini dari sudut 'dosa-dosa' yang telah berlaku sepanjang proses pilihan raya kecil Manek Urai berjalan, mahupun sebelumnya lagi. Soal wala' kepada pimpinan, sikap dan adab berjemaah yang ada dan sebagainya. Wallahua'lam.
---------------------------------------------------------------------------
Sumber: Malaysiakini

Mahu tidak mahu, kemenangan PAS mempertahankan kerusi DUN Manek Urai dengan majoriti tipis 65 undi pasti menimbulkan pelbagai persoalan.

Dalam pilihanraya umum tahun lalu, calon PAS Ismail Yaakob mendapat 5,746 undi dan calon BN, Zulkepli Omar mendapat 4,394. Ismail menang dengan majoriti 1,352 undi.

Malah, pada jam 3.40 petang tadi, pengarah pilihanraya PAS Kelantan, Fatah Harun dengan yakin menyatakan bancian awal jentera pilihanraya kecil tersebut menunjukkan calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah "menang dengan majoriti hampir 2,000 undi".

Para penyokong PAS pula sudah merayakan kejayaan tersebut, serta mengucap tahniah kepada Fauzi ketika beliau tiba di markas utama PAS Manek Urai pada jam 4.40 petang tadi.

Bagaimanapun, keadaan itu berubah pada kira-kira jam 7 petang apabila para penyokong BN pula dilihat begitu gembira apabila mendapat tahu calon BN Tuan Aziz Tuan Mat mendahului dengan 30 undi.

Manakala Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin pula, melalui twitter, melaporkan detik-detik cemas dan mendebarkan keputusan pengiraan undi yang begitu rapat antara PAS dan Umno yang saling dahulu-mendahului.

Akhirnya, PAS menang dengan 65 undi. Apa yang tidak kena dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai?

Pengaruh BN makin pulih

Walaupun tewas, Umno sudah pastinya akan melaungkan bahawa pengaruh parti itu sudah semakin pulih sejak krisis kepemimpinannya dan prestasi buruk pilihanraya umum 2008.

Manakala pengaruh PAS khususnya, dan Pakatan Rakyat amnya, semakin terhakis.

Apatah lagi dengan kehadiran tokoh-tokoh besar Pakatan - Datuk Seri Anwar Ibrahim dari PKR dan Lim Kit Siang dari DAP. Manakala Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat pula mengetuai jentera pilihanraya PAS di Manek Urai.

Manakala jentera pilihanraya BN, khususnya Umno, diketuai oleh Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama dengan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed.

Nampaknya, harapan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak untuk menjadikan pilihanraya kecil DUN Manek Urai sebagai petanda berakhirnya kekalahan BN dalam siri pilihanraya kecil selepas pilihanraya umum 2008, begitu hampir menjadi kenyataan.

Namun, kemampuan BN menghakis majoriti PAS - daripada 1,352 undi kepada hanya 65 undi - boleh dianggap satu kejayaan terbesar kepada BN di Semenanjung dalam enam pilihanraya kecil.

Apatah lagi, DUN Manek Urai merupakan kubu kuat PAS selama ini. BN hanya berjaya merampas DUN tersebut pada pilihanraya umum 2004 dengan majoriti tipis 53 undi.

Punca kegagalan PAS

Bagaimanapun, dalam pilihanraya umum lalu, calon lama PAS berjaya merampasnya semula dengan menewaskan Zulkepli.

Tentunya apa yang bermain di fikiran ramai orang ialah punca kegagalan PAS untuk mengekal majoriti yang dimenanginya pada 2008.

Adakah ia ada kaitan dengan 'ketegangan' dalam kepimpinan PAS berhubung isu cadangan kerajaan perpaduan dengan Umno? Atau pengaruh Nik Aziz, yang begitu lama memimpin PAS, kini kian merosot?

Apakah kepimpinan PAS sudah dapat menghidu masalah tersebut dan bersungguh-sungguh berusaha untuk memastikan seramai mungkin pengundi Manek Urai yang tinggal di luar Kelantan - termasuk 867 orang di Selangor dan Wilayah Persekutuan - balik mengundi?

Malah, satu majlis mengenainya telah diadakan di sebuah hotel di ibu negara yang dihadiri sendiri oleh Nik Aziz dan juga exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa.

Malah, pagi tadi, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar turut mengakui bahawa PAS mampu mengekalkan kerusi DUN Manek Urai tetapi “dengan majoriti yang berkurangan”.

Maka timbul persoalan sama ada kemenangan Pakatan Rakyat dalam siri pilihanraya kecil sebelum ini, sebenarnya atas kekuatannya sebagai sebuah gabungan parti pembangkang, atau atas isu-isu yang tercetus ketika ia berlangsung?

Tugas berat menanti PAS

Mungkin ada kebenarannya dalam pilihanraya kecil parlimen Bukit Gantang pada April lalu di mana Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin mendapat undi simpati susulan disingkirkan oleh BN daripada jawatan menteri besar.

Dan dalam kes pilihanraya kecil Kuala Terengganu, kejayaan calon PAS, Abdul Wahid Endut merampas kerusi dari BN dilihat akibat kelemahan peribadi serta sabotaj ahli Umno sendiri terhadap calonnya Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Dengan keputusan mengejutkan di Manek Urai, tugas berat menanti PAS Kelantan khususnya dan Pakatan Rakyat amnya untuk duduk semeja bagi merenung semula insiden-insiden yang mendorong keputusan nyawa-nyawa ikan kepada seorang pemborong ikan di kerusi DUN tersebut.

Malah, kehadiran Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa - yang sebelum ini amat dimarahi Nik Aziz kerana menyokong idea kerajaan perpaduan dengan Umno - juga tidak membantu.

Kalau di Kelantan sendiri, yang sudah 19 tahun ditadbir oleh PAS, ia menang tipis di Manek Urai, bagaimana pula dengan nasib kerajaan Pakatan di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor yang masih setahun jagung?

Mungkin juga para pengundi DUN itu termakan umpan BN mengenai latar belakang pendidikan dan kerjaya calon yang sepatutnya mewakili mereka - Tuan Aziz seorang lulusan universiti, manakala Mohd Fauzi seorang pemborong ikan.

Persoalan demi persoalan terus bermain di fikiran PAS, para penyokong Pakatan dan semua pengamat politik. Semuanya menghentak keasyikan tempoh bulan madu pembangkang sejak 8 Mac tahun lalu sewaktu gerhana singgah di Manek Urai.
------------------ abis copy n paste ------------------------------------

29 June 2009

Penjual Ikan Vs Pengurus Projek

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Kata Muhyiddin:

"Calon kita nak bela umat Islam dan bawa obor perpaduan. Beliau seorang yang berpengalaman, ada rekod kerja yang baik di sini, bukan seorang penjual ikan, dan berkelulusan tinggi. Penting untuk pilih calon yang berilmu kerana dialah yang nak bimbing masyarakat di sini, tak ada ilmu bahaya kerana mungkin dia terseleweng,"

Kata Muhyiddin calonnya nak bela Islam. Tapi, tidak pula dikhabarkan bahawa calonnya punya kelulusan yang tinggi dalam bidang agama. Katanya nak bawa obor perpaduan, tetapi Kerajaan Negeri Kelantan sejak dahulu dianaktirikan.

Dikatakan calonnya berilmu kerana takut jika tidak berilmu berlaku penyelewengan. Apa yang biasa kita tahu, lagi berilmu seseorang, lagi banyak idea-idea untuk dia membuat rasuah. Lagi tinggi kedudukan seseorang, lagi besar peluang untuk melakukan penyelewengan.

Namun, hanya iman sahaja yang mampu menjadi penghalang kepada segala salah laku dan penyelewengan. Iman mampu menghalang seorang penjawat awam dari melakukan rasuah. Iman mampu menghalang seorang yang berkedudukan tinggi menyeleweng.

Pengurus projek belum tentu mampu mengurus rakyat. Rakyat ini banyak ragamnya. Apatah lagi jika penduduk yang jauh dari kota seperti Manek Urai. Pada mereka semua perkara perlu dilayan Wakil Rakyat. Sakit, demam, anak masuk sekolah, beranak, kahwin, cerai, mati dan sebagainya. Rumit. Pengurus biasanya berurusan dengan mandur, atau pegawai di bawahnya sahaja. Lebih teruk jika pengurus tidak tahu mengurus, tetapi hanya tahu mengarah!.

Lihat pula pada si Penjual Ikan. Secara umumnya penjual / peniaga ini berurusan dengan ramai orang setiap hari. Dia perlu berjumpa dengan pembekal, dia juga perlu berurusan dengan pembeli-pembeli. Dia perlu berhadapan karenah pembekal, dia juga perlu melayani karenah pembeli. Ada yang hanya suka ikan Selayang, ada yang alah kepada Ikan Aya (Tongkol). Ada yang tidak memandang ikan Kembong dan Lolong (apa nama standard lolong ek?), tetapi sentiasa mahukan Tenggiri dan ikan Merah.

Melayan kerenah pembeli, berdepan kerenah pembekal membuatkan si penjual biasanya dikenali ramai. Sikap ramah, mudah berkira (mmudah bbaso - ayat YB Zul Mamat), tidak kedekut, jujur dalam timbangan akan dapat dinilai oleh pembeli peribadi si penjual.

Dari pemerhatian dan perbualan dengan orang-orang Manek Urai yang sempat dikunjungi 2 kali setakat ini, secara umumnya mereka mahukan YB yang bersama mereka. Dapat membantu ketika susah, mudah dirujuk apabila payah.

Apapun, secara umumnya kedudukan keduanya adalah masih 50-50. Dikatakan pengundi luar Manek Urai (bekerja/ belajar di luar) seramai 800 orang berada di sekitar Lembah Kelang. Itu tidak termasuk berada di negeri-negeri lain. Mereka ini dikenalpasti sebagai yang biasanya membantu kemenangan PAS. Dengan hari pembuangan undi pada hari Selasa, PAS dilihat tidak berada pada kedudukan selesa. Apapun penilaian, penduduk Manek Urai berhak memilih Penjual Ikan mahupun Pengurus Projek.

Wallahua'lam.

25 June 2008

Tumit Tinggi dan Gincu: Gol untuk MPKB-BRI!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Cepatnya media melenting dan melentingkan. Itulah yang aku kira berlaku semalam apabila rata-rata media membuat telahan seolah-olah larangan memakai gincu dan berkasut tumit tinggi dikuatkuasakan di Bandar Kota Bharu. Tajuk-tajuk yang sekali pandang jelas seolah-olah larangan tersebut menyeluruh kepada semua yang berada di Bandar Kota Bharu.

Semuanya bermula daripada surat pekeliling serta risalah etika berpakaian untuk wanita muslimah yang dikeluarkan Majlis Perbandaran Kota Baharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI). Surat pekeliling dan risalah 'MPKB-BRI Cakna Anak Muda' yang memaparkan etika berpakaian wanita muslimah diedarkan bersama seolah-olah itu adalah 'arahan' yang dimaksudkan.

Sebenarnya surat pekeliling dan risalah itu tiada kaitan secara berarahan. Surat pekeliling meminta peniaga Islam tidak kira lelaki atau wanita menutup aurat sementara peniaga bukan Islam berpakaian sopan. Ianya merupakan arahan yang dikeluarkan setiap tahun sejak tahun 2002 lagi. Oleh kerana ianya diedarkan secara bersama, maka ianya dilihat dan difahami sebagai suatu arahan.

Risalah berkenaan sebenarnya adalah kempen untuk memperjelaskan kepada kaum wanita mengenai etika berpakaian sebenar mengikut ketetapan Islam termasuklah larangan pemakaian gincu dan kasut tumit tinggi. Gincu dan kasut tumit tinggi dijadikan contoh larangan mungkin disebabkan kedua-duanya mempunyai daya tarikan tersendiri.

Gincu dengan warnanya yang menyerlah misalnya sudah tentu dapat menarik perhatian terutamanya lelaki. Apatah lagi sesetengah wanita memang menggunakan gincu sebagai daya penarik. Mungkin ada yang beralasan bergincu kerana menutup warna bibir yang kusam dan pucat. Alasan tetap alasan, namun jika kecerahan bibir sama dengan warna merah 'trafic light', itu memang mahu orang yang melihat itu berhenti.

Begitu juga dengan kasut tumit tinggi. Aku tidak tahu sebenarnya rasional kasut tumit tinggi ini kepada wanita melainkan bagi menampakkan mereka lebih tinggi. Mungkin dirasakan dirinya anggun bila tinggi. Atau nak berdiri sama tinggi, dan duduk sama rendah?

Apapun, kasut tumit tinggi memang secara umumnya akan melahirkan kesan hentakan yang lebih dari kasut biasa. Hentakan itulah yang akan melahirkan tarikan kepada pendengarnya. Ini kerana si pemakai terpaksa 'memacak' hentakan kakinya bagi memastikan jalannya stabil dan kemas. Jika tidak mereka mudah tergelincir dan terjatuh. Kebaikan kasut sebegini adalah mereka akan berjalan dengan berhati-hati.

(nota: aku tulis bab kasut tumit tinggi ni berdasarkan agak-agak aku. Aku tidak biasa dengan kasut tumit tinggi. Lagipun adik beradik aku semuanya tinggi-tinggi. Jadi agaknya sebab itu mereka tiada alasan lagi mahu memakai kasut tumit tinggi.)

Dua perkara di atas adalah sebahagian contoh sahaja dalam risalah berkenaan. Risalah terbabit turut menyentuh pemakaian baju ketat dan seluar dikalangan wanita serta tudung yang kecil dan jarang. Namun, oleh kerana dua perkara di atas tadi dilihat agak kurang relevan (pada mereka yang tidak punya mata), maka ianya diperbesar-besarkan.

Aku kira risalah berkenaan tepat dikeluarkan. Ini kerana pakaian muda-mudi hari ini amat keterlaluan dan memang merimaskan. Hari ini sudah sukar mahu melihat anak-anak muda bertudung dan berbaju kurung. T-shirt ketat dan bertudung memang ramai. Budaya bungkus tangkap muat sahaja. T-shirt singkat sehingga tunduk / angkat tangan, ternampak kulit.

Apapun, pada aku kebanyakan wanita Kelantan, memang antara yang paling suka bersolek dan 'berjangok' berbanding wanita-wanita di negeri lain. Tahniah kepada MPKB-BRI atas usaha yang dijalankan. Aku kira media yang berniat memberi kesan negatif kepada Pas Kelantan akhirnya telah memberi hebahan program yang telah dijalankan di Kelantan. 1 Gol untuk MPKB-BRI.

Kenapa Satu gol?. Musim bola. Wallahua'lam.