27 November 2008

Kenapa Yoga Haram?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

INTIS: Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan Tepat

Dua fatwa terbaru yang diumumkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) telah dilihat menimbulkan reaksi kurang senang segelintir pihak sama ada dari kalangan umat Islam mahupun bukan Islam. Jika kita mengamati kedua-dua fatwa tersebut, iaitu fatwa tentang pengharaman pengkid dan amalan yoga, keduanya berpijak di atas satu landasan yang sama iaitu hukum `tasyabbuh’.

Apakah itu tasyabbuh? Tasyabbuh di ambil dari perkataan al-Musyabahah yang bermaksud meniru, mencontohi, menjalin, mengaitkan diri dan mengikuti (Dr.Nashir Bin Abdul Karim Al-Aql, Man Tasyabbaha Bi Qaumin Fahuwa Min Hum).

Dr.Nashir Bin Abdul Karim Al-Aql menerangkan bahawa tasyabbuh yang dilarang di dalam Islam ialah meniru orang kafir dalam segala bentuk aqidah, ibadah, kebudayaan dan tingkah laku yang menunjukkan ciri khas golongan bukan Islam tersebut.

Ini adalah berasaskan hadith Rasulullah yang bermaksud: “Barangsiapa menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah sebahagian daripada mereka” (Hadith riwayat Abu Daud).

Jika diamati, Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) telah menjelaskan bahawa pengharaman yoga adalah kerana ia berkait dengan ajaran agama Hindu. Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) bertepatan dengan sabda Rasulullah di atas.

Oleh yang demikian, umat Islam sewajarnya mentaati fatwa tersebut. Terdapat beberapa hikmah kenapa umat Islam dilarang daripada menyerupai golongan bukan Islam.

Pertama, kesemua ajaran agama selain Islam dibangun di atas asas yang terpesong dan rosak.

Kedua, dengan meniru ajaran bukan Islam, ia akan menjadikan umat Islam pengikut mereka.

Ketiga, meniru perbuatan orang bukan Islam akan menimbulkan rasa kagum kepada kepercayaan dan tatacara hidup mereka.

Keempat, meniru ajaran bukan Islam akan melahirkan rasa cinta dan kesetiaan kepada orang-orang yang ditiru, iaitu bukan Islam.

Kelima, meniru bukan Islam akan menyebabkan umat Islam terjerumus ke dalam kehinaan kerana akan sentiasa merasa rendah diri kepada orang kafir.

Jika kita mengamati isu pengkid pula, ia berkaitan dengan hukum tasyabbuh jua iaitu larangan menyerupai jantina lawan. Ini jelas berdasarkan hadith Rasulullah iaitu:

Dari Ibn `Abbas ra meriwayatkan bahawa : “Rasulullah saw melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki” (Hadith riwayat al-Bukhari)

“Rasulullah saw melaknat lelaki yang memakai pakaian wanita dan wanita memakai pakaian lelaki”.(Hadith riwayat Abu Daud).

Berdasarkan dalil-dalil di atas, jelas terbukti bahawa fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) bertepatan dengan al-Quran dan as-Sunnah.

Oleh kerana itu, umat Islam hendaklak patuh dan tunduk. Sebagaimana firman Allah :. Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran pertunjuk (yang dibawanya), dan dia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. (An-Nisa’:115) .

Selain daripada itu, diharapkan jua, agar fatwa yang berkaitan dengan lelaki yang menyerupai wanita atau ‘tomboy’ dapat dikeluarkan. Ini bagi mengelakkan kekeliruan sesetengah pihak yang menuduh Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) cuba mendiskriminasi golongan wanita.

Majlis penerangan berkaitan fatwa-fatwa yang dikeluarkan hendaklah diperhebatkan bagi menangkis tuduhan-tuduhan melulu sesetengah pihak yang cuba memburuk-burukkan agama Islam. Umat Islam jua hendaklah berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan agama mereka terutamanya di dalam bidang akidah. Ini bagi mengelakkan kita daripada terjerumus ke dalam perbuatan yang boleh menjejaskan keimanan kita.


Mohd Masri Bin Mohd Ramli
Unit Penerangan dan Penerbitan
INTIS Consultant

http://intisonline. com


No comments: