27 December 2006

Selamat Tinggal 2006 I


Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Berat untuk memulakan petikan jari. Apatah lagi setelah mouse 'sakit' dan amat menggangu kerja-kerja menaip yang hendak dilakukan. Sekali klik, berpuluh-puluh kali yang ditekan. Kadang-kala merosakkan kerja, kadang-kala mejadi penguji diri. Maklum sajalah kerja yang mudah menjadi lambat dan tertangguh. Ada saja kesilapan yang cukup menggeramkan. Kalu tidak kerana mouse ni dibeli dengan duit, sudah tentu aku campak dan buang!. Nilainya duit.

Berlalu tarikh keramat TSUNAMI, maka semua mula menarik nafas lega. Terengganu yang digembar-gembur dengan BANJIR BESAR kerana pelbagai kejadian pelik dan aneh, maka kini mula melebar senyum. Kejadian kemunculan ikan duri di pantai, gamat putih, ikan lumba-lumba dan pelbagai kejadian yang tidak pernah berlaku memang menimbulkan pelbagai tanda tanya. Tidak kurang yang amat takut dan gerun dengan pelbagai kejadian yang disifatkan hampir sama dengan petanda TSUNAMI.

Seorang kawan yang tinggal di Seberang Takir (sebuah perkampungan nelayan di Kuala Terengganu) menceritakan bagaimana gelisahnya seorang jirannya apabila pelbagai tanda ini muncul di Terengganu. Jirannya itu berkira-kira mahu pindah ke kawasan yang dikira lebih pedalaman dan jauh dari pantai. Jika di Terengganu, kawasan yang jauh dari pantai tentulah Hulu Terengganu. Tetapi bila difikirkan di Hulu Terengganu terdapat Tasik Kenyir yang luas, maka dia terpaksa berfikir dua kali. Tasik yang menakung air yang beribu-ribu gelen itu mungkin bila-bila masa sahaja pecah dan menelan penduduk sekitarnya. Betapa takutnya manusia kepada kematian.

Seorang kawan pernah bertanya, benarkah ombak begitu besar di Terengganu dan adakah Empangan Kenyir sudah mula retak? Soalan ini ditanyakan ketika berlangsungnya Monsoon Cup. Aku cuma mampu menjawab, sekarang (ketika itu) tiada angin langsung di Terengganu. Masakan ombak boleh kuat dan besar. Pelayar yang bermain kapal pun seolah-olah bermain di dalam tasik yang tenang. Memang ketika itu Terengganu cukup tenang tanpa angin dan hujan. Aku kira penganjur tersilap membuat ramalan cuaca. Manusia punya asa, Tuhan punya kuasa.

Monsoon Cup meninggalkan kenangan manis buat seorang teman yang membuat kerja-kerja pengiklanan. Cuma tahun ini dia mendapat projek bagi penyediaan gerai-gerai pameran bagi negeri Terengganu. Aku kira banyak juga habuan yang diperolehinya. Jika tidak, masakan sudah dua kali dia mengajak aku keluar minum. Rezeki itu kerja Allah, datangnya dari pelbagai sumber yang mahu diberikannya. :)

p/s: Ini baru cerita bulan 12.. masih banyak bulan lagi yang tidak dikongsi.. Nanti aku fikirkan betapa perlu atau tidak pengalaman lain untuk dikongsi..

wallahua'lam

No comments: