30 July 2009

Catatan Anak Seorang Tahanan ISA - Oleh Suhaib Mat Sah. Anda wajib BACA !!!!!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Nama saya Suhaib. Saya berusia 16 tahun. Ketika bapa saya, Mat Sah Satray ditahan di bawah ISA pada 18 April tahun 2002, saya berusia 8 tahun 5 bulan. Saya masih terlalu kecil dan tidak dapat mengingati semua peristiwa. Ketika itu saya sedang tidur, tetapi terjaga apabila beberapa orang polis masuk ke bilik tidur saya dan dengan kasar menyelak cadar, mengangkat hujung tilam, menarik rak baju, membuka serta menutup almari pakaian hingga mengeluarkan bunyi kuat yang membuatkan saya terjaga. Umi, panggilan saya pada emak, mendukung saya dan diletakkan di sebelah abah yang ketika itu duduk di sofa di ruang tamu. Aku menoleh ke arah Abah dan nampak kedua-dua tangannya bergari. Aku menangis kerana terlalu takut melihat gari itu. Gambaran gari yang melengkar di kedua-dua belah tangan Abah amat sukar untuk hilang dari minda saya......

Agak lama juga polis menggeledah rumah kami. Seorang wanita sibuk menyoal Abah dan Umi bergilir-gilir dan kemudian menulis sesuatu di atas kertas. Manakala lima orang lelaki yang lain, sibuk membuka rak buku Abah, mengeluarkan Quran dan buku-buku agama serta menyelak-nyelak setiap muka surat dengan pantas. Saya tidak tahu, apa yang mereka cari. Tidak lama selepas itu, mereka membawa Abah masuk ke dalam van putih. Umi dukung saya dan kami berdua sempat melambai tangan kepada Abah. Sebaik sahaja van putih hilang dari pandangan, aku menangis lagi sambil memanggil-manggil Abah. Saya baring di riba Umi hingga tertidur...

Saya bagaikan melalui satu mimpi buruk di mana Abah dilarikan dari rumah oleh sekumpulan lelaki. Bila terjaga dari tidur, saya mencari Abah di semua bilik termasuk bilik air tetapi tidak ditemui. Saya mendapatkan Umi yang sedang membancuh minuman untuk bertanya tentang Abah, tetapi saya nampak Umi juga sedang menangis....

Saya asyik teringatkan Abah. Dari pagi saya tunggu Abah, tengah hari, hinggalah cuaca gelap dan masuk waktu maghrib, Abah masih juga belum pulang. Saya mula menangis kerana rindukan Abah... Ketika itu telefon rumah berdering, saya dan Umi berlari ke arah telefon tetapi apabila gagang diangkat, tiada siapa yang bercakap di hujung talian....

7 tahun telah berlalu

Peristiwa buruk itu telah berlalu tujuh tahun yang lalu, namun ianya sukar untuk hilang semuanya dari fikiran saya. Tujuh tahun lalu Abah saya dibawa pergi, hingga kini beliau tidak pernah balik ke rumah kami.

Pada tahun 2009 ini, maknanya hampir separuh usia saya membesar tanpa belaian kasih sayang, bimbingan dan sentuhan Abah walaupun beliau masih hidup. Saya membesar bertemankan barang-barang peribadinya seperti jam tangan, dompet, baju, seluar, kain pelikat dan buku-buku beliau. Saya sekadar mengikuti nasihat dan kata-kata beliau melalui surat-surat kirimannya. Jika rasa terlalu rindu padanya, saya akan pakai baju, seluar dan kain pelikat beliau. Saya letak gambar Abah di dompet duit bersebelahan dengan gambar saya.

Umi akan memastikan kami melawat Abah sekurang-kurangnya dua kali sebulan. Namun waktu lawatan selama 45 minit itu jauh dari mencukupi untuk Abah menghilangkan rindu, memberikan bimbingan, tunjuk ajar serta melepaskan kasih sayangnya kepada saya.

Satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan ialah ketika lawatan pertama ke Kem pada 24 Jun 2002. Setelah hampir tiga minggu tidak melihat Abah sejak pertemuan terakhir di Bukit Aman, saya rasa terlalu rindu kepadanya. Kami berbual selama 45 minit dan di akhir pertemuan, Abah dibenarkan keluar dari bilik kurungan untuk bersalaman dengan saya dan Umi. Abah mengangkat, mendukung dan mencium saya berkali-kali. Saya terlalu rindukan Abah dan apabila warden bertugas menyuruh Abah masuk kembali ke bilik kurungan, saya menangis dan tidak mahu melepaskan pegangan pada lengan Abah...

Bagaikan binatang di zoo

Sejak hari pertama penahanan Abah hinggalah di saat ini, saya tidak pernah berpeluang mengerjakan solat dan membaca quran bersama beliau. Saya tidak mengharapkan duit belanja atau keluar membeli belah kerana memahami semua itu tidak mungkin dapat dilakukan bersama. Namun, satu perkara yang lebih memedihkan bermula pada bulan April 2005, kami keluarga tahanan hanya dibenarkan bertemu menggunakan interkom di sebalik dinding kaca lutsinar. Bila sahaja melihat Abah di sebalik cermin kaca, hati saya terasa hancur... Ketika itu, saya teringat binatang di zoo yang diletakkan di dalam kotak kaca. Apakah dosa dan kesalahan Abah diperlakukan sedemikian rupa. Sejak tarikh itu, setiap kali melawat Abah, saya hanya berpeluang bercakap melalui interkom dan duduk di sebalik kaca. Saya hanya dapat melihat wajah Abah, tetapi tidak dapat menyentuhnya...hati ini memang pedih yang teramat sangat.

Tujuh tahun saya dipisahkan dari Abah, namun tiada sebarang tanda beliau akan dibebaskan. Walaupun pada tahun 2009 ini ada dua pembebasan beramai-ramai yang mendapat tempat di dada media, namun nama Abah saya tiada dalam kedua-dua senarai pembebasan tersebut....

Perpisahan dengan Abah benar-benar membuat saya rasa rendah diri dan terpinggir. Saya terlalu ingin menjalani kehidupan harian bersama Abah. Saya ingin makan, berbual, bergurau senda dan melakukan pelbagai aktiviti harian bersamanya. Saya juga punya keinginan mempunyai keluarga yang lengkap, sama seperti orang lain.

Hingga kini saya tidak faham kenapa Abah saya, seorang yang pendiam dan mudah tersenyum, masih juga belum dibebaskan. Saya tidak tahu apakah sebenarnya kesalahan beliau kerana tahanan ISA lain yang ditahan bersama Abah tujuh tahun dulu, hampir semuanya telah pun dibebaskan... namun Abah masih tetap dikurung di Kem. Saya setuju dengan pendapat Umi bahawa Abah sepatutnya dibicarakan di mahkamah. Kalau benar ada bukti menyatakan dia salah, sekurang-kurangnya hakim akan menetapkan, bilakah tarikh akhir dia menjalani kehidupan sebagai banduan. Saya amat sedih mengenangkan kehidupan Abah dalam ketidakpastian selama tujuh tahun dan terus berlarutan.

Saya akan terus berdoa pada Allah supaya Abah segera dibebaskan...

*Testimoni ini ditulis oleh Suhaib Mat Sah, anak kepada tahanan ISA Mat Sah Satray. Mat Sah Satray ditahan sejak tahun 2002, dituduh terlibat dalam aktiviti Jemaah Islamiah, namun tidak pernah dibuktikan di mahkamah.

**Ibu Suhaib adalah Puan Norlaila pemilik laman web http://lailagmi.blogspot.com/ @ merah hitam.

27 July 2009

ISA: Khairy tersepit antara glamour dan taat.

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Betapa Khairy cukup tidak glamour kini. Sungguh tidak glamour. Walaupun jawatan yang dipegang Khairy kini adalah antara tangga yang tertinggi dalam UMNO, tetapi dia tidak glamour kerana merupakan menantu Pak Lah. Tapi, kerana menantu Pak Lah juga Khairy pernah menjadi glamour sebelum ini.

Dalam liku-liku perjuangan Khairy, dia dilihat 'baik dan taat' dengan bekas Ketuanya yang kini merupakan Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin. Khairy sebelum ini dipetik Bernama berpendirian, oleh kerana Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah memulakan proses kajian semula terhadap akta ISA, maka Pemuda UMNO diarahkan tidak membuat sebarang pendirian samada menyokong atau tidak akta itu.

Tidak dapat dipastikan samada kenyataan Khairy itu kerana kurangnya keyakinan UMNO untuk mengumpulkan penyokong akta zalim dan jahat tersebut, ataupun memang Khairy sendiri sudah tidak ada apa-apa dalam UMNO samada untuk memberi arahan dan sebagainya.

Bagaimanapun, reaksi Khairy yang melarang anggota pemuda UMNO dari menyertai Himpunan ISA nampaknya membangkitkan kemarahan 'pe KID aa' yang rata-ratanya gila ISA. Pada mereka yang bergelar 'ayahanda' itu, tindakan Khairy sebagai kenyataan yang boleh memecahkah Melayu.

Lebih menarik bilamana puak-puak 'ayahanda' ini mengatakan di bekalang Khairy hanya ada 200 orang sahaja. Wallahua'lam.

amdang: Tak dengar plak apa kata 'ayahanda pe KID aa' di Terengganu ni.

25 July 2009

ISA: Unit Amal sedia berdepan PEKIDA

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Mengikut Malaysiakini, GMI akan menugaskan 1000 anggota Unit Amal untuk bertugas ketika himpunan MANSUH ISA. Pada masa yang sama PEKIDA yang merupakan 'budak suruhan UMNO' sudah mendapat sokongan Perkasa dan Persatuan Silat Lincah. Perkembangan ini dipercayai akan menjadikan Kuala Lumpur sebagai pertempuran ISA!.


Hebatnya perhimpunan itu nanti apabila laluan dan tempat berhimpun keduanya adalah berdekatan. Apa yang tidak hebatnya adalah masa perhimpunan terbabit tidak sama. Jika tidak, tentu hebat dan lagi menarik himpunan itu!.

Apa yang menarik perhatian aku adalah berapa ramai puak-puak pencacai UMNO dari PEKIDA yang akan datang untuk menyokong ISA yang jelas tidak mengikut syarak. Himpunan-himpunan UMNO biasanya tidak akan sampai 1000 orang jika tidak dikerah dengan T-Shirt percuma, topi percuma, air kotak percuma, nasi bungkus percuma, wang saku beberapa ringgit dan juga beberapa janji-janji lain.

Ini jauh berlainan dengan hasrat dan kesungguhan penentang akta zalim ISA tersebut yang memang sudah maklum tiada apa yang percuma kecuali air dan gas pemedih mata. Jika bernasib lebih baik, dapat pukulan dan sepakan percuma. Itu belum dikira yang dapat makan percuma dalam lokap.

Apapun, sama-sama kita nantikan perkembangan ini yang semakin menarik. Menarik kerana ini himpunan raksasa pertama selepas Najib jadi PM. Himpunan pertama selepas Hishamudin jadi Menteri Dalam Negeri yang sebelum ini ditentang Himpunan Mansuh PPSMI ketika Hisham menjadi Menteri Pendidikan. Ini lebih menarik! Sudah tentu Hishamudin tidak mahu dia sentiasa tidak glamour dengan dibantah dengan himpunan demi himpunan!!

Aku sudah tidak sabar untuk turun ke KL! KL menjeritlahhhh. Mansuhkanlah ISAA!!!

23 July 2009

TG Presiden PAS akan sertai Himpunan anti-ISA

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh berkata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pimpinan atasan Pakatan Rakyat yang lain termasuk Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat dan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan turut serta dalam himpunan MANSUH ISA pada 1 Ogos ini

Beliau mengumumkan demikian dalam satu sidang media selepas menyerahkan surat pemakluman kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung hasrat GMI menyerahkan “deklarasi rakyat” pada tarikh tersebut.

Surat tersebut diserahkan kepada pegawai perhubungan awam Istana Negara, Mohd Khairi Abdul Rahman di pondok pengawal, kira-kira jam 11.50 pagi tadi.

Syed Ibrahim diiringi oleh Setiausaha Pemuda PAS Kamaruzzaman Mohamad.

Sudahkah anda mempunyai T-Shirt MANSUH ISA ?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Antara persediaan awal untuk turun ke Himpunan Mansuhkan ISA pada 1 Ogos ini adalah baju hitam. Lebih baik sekiranya baju itu seragam dengan logo atau kata-kata yang menunjukkan maksud ISA mesti dimansuhkan. Aku percaya kini sudah banyak baju-baju MANSUH ISA berada di pasaran sekeliling kita.


Tilam Balqis juga jadi background

Ini adalah baju yang aku dapatkan dari Setiausaha Dewan Pemuda PAS Terengganu, Saudara Wan Faizul Wan Abbas. Baju ini dijual untuk kroni dengan harga RM10 sahaja. Aku tidak pasti adakah harga sama juga akan dijual untuk bukan kroni.


Pandangan depan

Kepada kroni-kroni aku yang mahukan baju sebegini, leh dapatkan dari aku sementara stok masih ada dengan harga RM10. Size yang masih ada XXL- 3 helai sahaja lagi. Lain-lain saiz yang XL, L dan M masih agak banyak.


Belakang (Tapi kenapa KEJAM? Aku rasa sepatutnya ZALIM!)

Apa lagi yang perlu aku cerita tentang ISA?

Wallahua'lam.

22 July 2009

ISA: Himpunan 100 000 Vs 100

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Kata Malaysiakini:

Pendukung Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) juga akan berarak beramai-ramai ke Istana Negara seperti kumpulan penentang akta kontroversi itu pada 1 Ogos, demikian diputuskan malam tadi.

Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) bersama sepuluh NGO Melayu, yang bermesyuarat tentang perkara itu malam tadi, memutuskan untuk mengumpulkan tandatangan di Dataran Merdeka dan kemudian ke istana.

Ribuan penentang akta itu yang menganjurkan Himpunan MANSUH buat pertama kali bersemuka di jalanan dengan penyokong ISA yang mengadakan perhimpunan bertemakan "1Malaysia, Selamatkan Malaysia, Kekalkan ISA dan Pertahankan Hak Keistimewaan Orang Melayu."


Sementara Mstar pulok royak:

Setiausaha Gabungan Bersama NGO Malaysia, Mohd. Jurit Ramli mengesahkan pihaknya sudah memutuskan untuk mengadakan perhimpunan pro-ISA di ibu negara 1 Ogos ini. Keputusan itu dicapai pada satu mesyuarat malam tadi.

"Kami mengambil keputusan untuk meneruskan rancangan mengadakan perhimpunan," kata beliau ketika dihubungi mStar Online. Perhimpunan mereka akan berlangsung di Dataran Merdeka kira-kira 12 tengah hari.

Mohd. Jurit berkata, pihaknya akan menyampaikan memorandum kepada kerajaan meminta agar ISA dikekalkan.

Kata beliau, perhimpunan itu dianjurkan untuk menunjukkan bahawa bukan semua rakyat yang mahukan ISA dimansuhkan.

"Kami akan meminta kerajaan mengekalkan ISA dikekalkan, tapi dibuat pengubahsuaian mengikut keadaan semasa. Kita di negara yang penduduknya pelbagai kaum memerlukan ISA," katanya.

Kata beliau, walaupun tidak mendapat keluluskan polis pihaknya akan meneruskan perhimpunan ini.

Nota Aku:

Apa kaitannya ISA dengan Melayu? Apakah Melayu itu dimaksudkan adalah Rosmah Mansor? Atau Najib? UMNO tetap dengan labu-labunya.

Apapun, aku percaya puak-puak kononnya penyokong ISA itu akan mengatakan himpunan mereka tidak jadi kerana Polis tidak benarkan. Mereka patuh arahan dan sebagainya. Percayalah!!

21 July 2009

Maaf, hanya artikel berkenaan ISA sahaja!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Sehingga 1 Ogos, blog ini akan memuatkan artikel berkenaan Himpunan Mansuhkan ISA pada 1 Ogos ini sahaja. Artikel-artikel lain akan termuat sekiranya benar-benar penting macam cerita Balqis atau lain-lain yang difikirkan sesuai.

Jom turun!!!

Wallahua'lam.


Nota: Balqis tidak akan mengikuti Himpunan Mansuhkan ISA memandangkan dia mengalami sedikit kegatalan. Bimbang jika terkena air asid akan menambahkan kegatalan tersebut. Bagaimanapun sokongan untuk ABI akan terus diberikan. ;)

JAYAkan Himpunan Mansuh ISA! - KP PAS

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

1. Tarikh 1 Ogos 2009 adalah tarikh yang mesti dipahat dalam sejarah . Tarikh yang memansuhkan akta drakonian negara dengan himpunan raksasa seluruh rakyat prihatin menentang kezaliman di ibu negara KL jam 2 pm [ Sogo , Masjid Jamek , KL Central ] .

2. Serentak tarikh ini juga , semangat solidariti ummah bangkit berhimpun untuk menentang semua bentuk kezaliman termasuk tragedi yang menimpa Teoh setelah dijumpai terbunuh di Plaza Masalam sejurus disiasat oleh SPRM.

3. Saya harap seluruh rakyat dapat sebarkan maklumat ini dan pastikan semua dapat turun bagi mendesak agar undang - undang lapuk [ ISA ] dimansuhkan dan pihak yang melakukan kezaliman serta mengakibatkan penderitaan dan kesengsaraan rakyat dikutuk dan dicemuh secara keras sehingga menghentikan segala peluang dan menutup segala pintu yang menghela mereka melakukan kezaliman .

4. Khasnya Dewan Pemuda PAS Kawasan dan Negeri dapat memobilisasi seramai mungkin anggota mereka dan para pemuda yang anti kezaliman dan simpati kepada mangsa kezaliman untuk turut serta dengan yakin , semangat dan tabah .

5. Wahai Pemuda Insaf ! kalianlah sandaran rakyat dan negara untuk menyaksikan segala kesengsaraan akibat ISA yang zalim ini lenyap . Tenaga kalian yang gagah , semangat kalian yang waja dan cita - cita kalian yang tinggi menjadi harapan bernaung golongan mustadhafin [ orang yang lemah dan tertindas ] .

copy dari SINI.

ISA 'penyelamat' pemimpin pemerintah, bukan keselamatan negara - Presiden PAS

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

ALOR SETAR, 21 Julai (Hrkh) -Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada masa ini bukan lagi undang-undang keselamatan negara sebaliknya menjadi undang-undang keselamatan kepada tokoh dan pemimpin parti yang memerintah.

Demikian ditegaskan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang baru-baru ini berhubung akta 'tanpa bicara' yang telah mendapat bantahan seluruh masyarakat sekaligus menggesa kerajaan memanmsuhkannya serta-merta.

Katanya, ISA adalah undang-undang zaman penjajah sedangkan negara ini memerlukan satu undang-undang yang merdeka tanpa mengongkong rakyat sebaliknya bertujuan untuk menjaga keamanan dan keselamatan.

"Bukan kita tidak boleh bertindak untuk selamatkan negara. Tetapi undang-undang itu sudah lapuk, undang-undang yang diamalkan oleh penjajah. Kita sudah merdeka, mesti undang-undang yang tidak mengongkong rakyat, yang menjaga keamanan, keselamatan.

"Apa yang berlaku hari ini undang-undang keselamatan negara menjadi undang-undang keselamatan pemimpin-pemimpin parti yang memerintah, keselamatan tokoh-tokoh yang memerintah, ini bukan undang-undang keselamatan negara!" tegasnya pada sidang media di Hotel Holiday Villa, di sini semalam

Ditanya wartawan mengenai kedapatan pihak dalam Umno yang mulai mempertikaikan ISA, Ustaz Hadi menyifatkan perkara itu sebagai kejayaan dari teguran dan kritik dibuat selama ini.

"Menunjukkan bahawa mereka (Umno) sudah tidak bersetuju dengan konsep ISA itu dan dasarnya yang perlu dikaji semula, perlu dinilai semula. Apatah lagi akta ini akta dari zaman penjajahan, negara kita telah mencapai kemerdekaan, sepatutnya dilakukan pembaharuan termasuklah pembaharuan undang-undang; memerdekakan undang-undang negara, undang-undang negara mesti dibebaskan dari belengu-belengu kezaliman yang mengongkong rakyat.

"Umno juga ada yang setuju mansuh, ada yang setuju pinda, (maknanya) dalam Umno sudah ada perbahasan di dalam mereka," ujarnya pada sidang media selepas selesai Retreat PAS Pusat yang berlangsung selama tiga hari itu.

Turut serta pada sidang media tersebut ialah Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa; Naib Presiden, Dato' Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man dan Dato' Mahfuz Omar; Ketua Muslimat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh; Setiausaha Agung, Dato' Mustafa Ali; Ketua Penerangan, Ustaz Idris Ahmad dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak. - azm _

Rakyat diseru hadiri perhimpunan MANSUH 1 Ogos nanti

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menyeru seluruh rakyat dan ahli-ahli PAS bersama-sama pejuang memansuhkan kezaliman Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berarak ke Istana Negara pada 1 Ogos.

Sebagai Komander perhimpunan MANSUH, beliau menyeru agar ahli-ahli PAS dan penyokong Pakatan Rakyat serta rakyat Malaysia yang prihatin agar dapat turut berdemonstrasi secara aman pada hari tersebut dengan memakai baju merah dan hitam.

"Saya menyeru agar seluruh rakyat Malaysia yang prihatin beramai-ramai turun untuk berdemonstrasi secara aman dan berarak ke Istana Negara pada 1 Ogos nanti tanda bantahan terhadap akta zalim ISA.

"Akta rimba ini sudah tidak sesuai lagi digunakan dan ia juga satu tanda kezaliman BN yang menggunakan akta ini kepentingan plitik mereka," tegas beliau.

Tegas beliau lagi, demonstarsi ini diadakan sebagai tanda bantahan terhadap akta ISA dan menuntut agar mereka yang masih ditahan supaya dibebaskan dengan segera.

Perhimpunan MANSUH anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dijadualkan diadakan pada 1 Ogos nanti bermula pada pukul 2.00 petang dari beberapa tempat sebelum berarak menuju ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum kepada pihak istana menuntut supaya akta itu dimansuhkan. - mns_

15 July 2009

Manek Urai: Satu Muhasabah - Malaysiakini.

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...



Aku suka membaca satu analisis dari Malaysiakini berkenaan kemenangan PAS yang 'nyawa-nyawa' ikan dari calonnya seorang pemborong ikan. Pada aku, analisis berkenaan lebih merupakan satu muhasabah yang perlu dipandang serius. Walaupun tidak keseluruhannya aku bersetuju dengan lontaran-lontaran analisis berkenaan, namun aku percaya ianya masih membantu.

Cuma, dari dalam parti aku suka melihat apa yang berlaku ini dari sudut 'dosa-dosa' yang telah berlaku sepanjang proses pilihan raya kecil Manek Urai berjalan, mahupun sebelumnya lagi. Soal wala' kepada pimpinan, sikap dan adab berjemaah yang ada dan sebagainya. Wallahua'lam.
---------------------------------------------------------------------------
Sumber: Malaysiakini

Mahu tidak mahu, kemenangan PAS mempertahankan kerusi DUN Manek Urai dengan majoriti tipis 65 undi pasti menimbulkan pelbagai persoalan.

Dalam pilihanraya umum tahun lalu, calon PAS Ismail Yaakob mendapat 5,746 undi dan calon BN, Zulkepli Omar mendapat 4,394. Ismail menang dengan majoriti 1,352 undi.

Malah, pada jam 3.40 petang tadi, pengarah pilihanraya PAS Kelantan, Fatah Harun dengan yakin menyatakan bancian awal jentera pilihanraya kecil tersebut menunjukkan calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah "menang dengan majoriti hampir 2,000 undi".

Para penyokong PAS pula sudah merayakan kejayaan tersebut, serta mengucap tahniah kepada Fauzi ketika beliau tiba di markas utama PAS Manek Urai pada jam 4.40 petang tadi.

Bagaimanapun, keadaan itu berubah pada kira-kira jam 7 petang apabila para penyokong BN pula dilihat begitu gembira apabila mendapat tahu calon BN Tuan Aziz Tuan Mat mendahului dengan 30 undi.

Manakala Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin pula, melalui twitter, melaporkan detik-detik cemas dan mendebarkan keputusan pengiraan undi yang begitu rapat antara PAS dan Umno yang saling dahulu-mendahului.

Akhirnya, PAS menang dengan 65 undi. Apa yang tidak kena dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai?

Pengaruh BN makin pulih

Walaupun tewas, Umno sudah pastinya akan melaungkan bahawa pengaruh parti itu sudah semakin pulih sejak krisis kepemimpinannya dan prestasi buruk pilihanraya umum 2008.

Manakala pengaruh PAS khususnya, dan Pakatan Rakyat amnya, semakin terhakis.

Apatah lagi dengan kehadiran tokoh-tokoh besar Pakatan - Datuk Seri Anwar Ibrahim dari PKR dan Lim Kit Siang dari DAP. Manakala Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat pula mengetuai jentera pilihanraya PAS di Manek Urai.

Manakala jentera pilihanraya BN, khususnya Umno, diketuai oleh Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama dengan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed.

Nampaknya, harapan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak untuk menjadikan pilihanraya kecil DUN Manek Urai sebagai petanda berakhirnya kekalahan BN dalam siri pilihanraya kecil selepas pilihanraya umum 2008, begitu hampir menjadi kenyataan.

Namun, kemampuan BN menghakis majoriti PAS - daripada 1,352 undi kepada hanya 65 undi - boleh dianggap satu kejayaan terbesar kepada BN di Semenanjung dalam enam pilihanraya kecil.

Apatah lagi, DUN Manek Urai merupakan kubu kuat PAS selama ini. BN hanya berjaya merampas DUN tersebut pada pilihanraya umum 2004 dengan majoriti tipis 53 undi.

Punca kegagalan PAS

Bagaimanapun, dalam pilihanraya umum lalu, calon lama PAS berjaya merampasnya semula dengan menewaskan Zulkepli.

Tentunya apa yang bermain di fikiran ramai orang ialah punca kegagalan PAS untuk mengekal majoriti yang dimenanginya pada 2008.

Adakah ia ada kaitan dengan 'ketegangan' dalam kepimpinan PAS berhubung isu cadangan kerajaan perpaduan dengan Umno? Atau pengaruh Nik Aziz, yang begitu lama memimpin PAS, kini kian merosot?

Apakah kepimpinan PAS sudah dapat menghidu masalah tersebut dan bersungguh-sungguh berusaha untuk memastikan seramai mungkin pengundi Manek Urai yang tinggal di luar Kelantan - termasuk 867 orang di Selangor dan Wilayah Persekutuan - balik mengundi?

Malah, satu majlis mengenainya telah diadakan di sebuah hotel di ibu negara yang dihadiri sendiri oleh Nik Aziz dan juga exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa.

Malah, pagi tadi, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar turut mengakui bahawa PAS mampu mengekalkan kerusi DUN Manek Urai tetapi “dengan majoriti yang berkurangan”.

Maka timbul persoalan sama ada kemenangan Pakatan Rakyat dalam siri pilihanraya kecil sebelum ini, sebenarnya atas kekuatannya sebagai sebuah gabungan parti pembangkang, atau atas isu-isu yang tercetus ketika ia berlangsung?

Tugas berat menanti PAS

Mungkin ada kebenarannya dalam pilihanraya kecil parlimen Bukit Gantang pada April lalu di mana Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin mendapat undi simpati susulan disingkirkan oleh BN daripada jawatan menteri besar.

Dan dalam kes pilihanraya kecil Kuala Terengganu, kejayaan calon PAS, Abdul Wahid Endut merampas kerusi dari BN dilihat akibat kelemahan peribadi serta sabotaj ahli Umno sendiri terhadap calonnya Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Dengan keputusan mengejutkan di Manek Urai, tugas berat menanti PAS Kelantan khususnya dan Pakatan Rakyat amnya untuk duduk semeja bagi merenung semula insiden-insiden yang mendorong keputusan nyawa-nyawa ikan kepada seorang pemborong ikan di kerusi DUN tersebut.

Malah, kehadiran Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa - yang sebelum ini amat dimarahi Nik Aziz kerana menyokong idea kerajaan perpaduan dengan Umno - juga tidak membantu.

Kalau di Kelantan sendiri, yang sudah 19 tahun ditadbir oleh PAS, ia menang tipis di Manek Urai, bagaimana pula dengan nasib kerajaan Pakatan di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor yang masih setahun jagung?

Mungkin juga para pengundi DUN itu termakan umpan BN mengenai latar belakang pendidikan dan kerjaya calon yang sepatutnya mewakili mereka - Tuan Aziz seorang lulusan universiti, manakala Mohd Fauzi seorang pemborong ikan.

Persoalan demi persoalan terus bermain di fikiran PAS, para penyokong Pakatan dan semua pengamat politik. Semuanya menghentak keasyikan tempoh bulan madu pembangkang sejak 8 Mac tahun lalu sewaktu gerhana singgah di Manek Urai.
------------------ abis copy n paste ------------------------------------

14 July 2009

Kenyataan Akhbar Himpunan Mansuhkan ISA

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...


KENYATAAN AKHBAR
HIMPUNAN MANSUH ISA AKAN DIADAKAN PADA 1 OGOS 2009
Isnin, 22 Jun 2009

1. Sekretariat Himpunan MANSUH sebagai penganjur Himpunan MANSUH ditubuhkan khas bagi menggerakkan rakyat menyatakan sikap terhadap akta zalim, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) melalui perhimpunan secara aman.

2. Sekretariat diwakili oleh wakil-wakil daripada anggota Gabungan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) terdiri daripada badan bukan kerajaan (NGO), parti-parti politik dan mahasiswa. Jawatankuasa Pepandu Himpunan MANSUH diwakili oleh pimpinan parti-parti politik dan NGO.

3. Hari ini Sekretariat Himpunan MANSUH ingin memaklumkan secara rasminya tarikh Himpunan Besar-besaran Mansuhkan ISA iaitu pada hari Sabtu, 1 Ogos 2009.

4. Tarikh 1 Ogos 2009 dipilih sempena 49 tahun ISA yang digubal pada 1 Ogos 1960. Selama 49 tahun negara dinaungi kezaliman ISA. Masa yang terlalu lama untuk negara dibiarkan diselubungi dengan akta yang empunya kuasa amat luas menahan tanpa bicara, menghukum tanpa bukti dan memenjarakan tanpa tempoh menentu. Sudah tiba masanya akta usang itu bukan sahaja dikajisemula tetapi dimansuhkan sama sekali.

5. Himpunan MANSUH dianjurkan dengan hasrat untuk rakyat menzahirkan sikapnya secara jelas dan lantang dengan membuat tiga tuntutan:
a. Bebaskan semua tahanan ISA
b. Mansuhkan ISA
c. Tutup Kem Kamunting - Kem ’Guantanamo’ Malaysia

6. Pada 3 April 2009, sebaik menjadi Perdana Menteri ke-6, Dato’ Seri Najib telah membebaskan 13 orang tahanan ISA (termasuk dua orang tahanan Hindraf) dan mengumumkan untuk mengkajisemula ISA. Satu tindakan yang dikatakan bukan populis. Empat hari kemudian pada 7 April, Pilihanraya Kecil 2 Bukit 1 Batang berlangsung.

7. Pada 8 Mei 2009, 13 orang lagi tahanan dibebaskan termasuk tiga orang lagi tahanan Hindraf. Sekali lagi ini dikatakan bukan tindakan populis sedangkan sehari sebelumnya berlaku titik hitam di Perak.

8. Dalam pada pembebasan diumumkan, secara senyap-senyap empat orang tahanan baru ditahan sekitar bulan April termasuk Mas Selamat Kastari yang dilaporkan lari daripada ISA Singapura. Bahkan sebenarnya di Kem Kamunting masih terdapat seramai 14 orang tahanan ISA seperti yang dilaporkan GMI. Tiga orang daripadanya telah ditahan lebih daripada 7 tahun.

9. Cadangan untuk kajisemula ISA pula dibuat sejak 3 April 2009, lebih dari 2 bulan yang lalu. Tetapi sehingga kini, tiada sesiapa tahu bila sebenarnya kajian tersebut akan siap. Suhakam sudah mengesyorkan ISA dimansuhkan sejak 2003 lagi. Pada masa yang sama, sudah ada peruntukan undang-undang sediada yang mencukupi untuk menangani keganasan.

10. ISA memusnahkan konsep asas undang-undang berperlembagaan. Ia mencemar asas pengasingan kuasa. Ia membenarkan kuasa eksekutif melangkaui kehakiman dengan menahan seseorang tanpa waran, tanpa bicara dan tanpa hak peguam. ISA telah menghapuskan apa juga semakan undang-undang yang disyorkan perlembagaan. ISA juga membenarkan kuasa yang luas, arbitrari dan tidak boleh dicabar mahkamah yang menyebabkan berlakunya penyeksaan fizikal dan mental.

11. Kemuncak asas-asas ISA ialah elemen mengancam, mengugut dan mewujudkan rasa takut dan gerun…”climate of fear”…”under siege mentality”… sehingga merencatkan daya fikir dan teguran berani serta fitrah manusia yang bebas.

12. Atas sebab keadaan ini, atas sebab kezaliman berterusan dengan penahanan tanpa bicara, arbitrari, tanpa pembelaan dan tanpa diketahui bilakah dibebaskan, penganiayaan ke atas isteri, anak dan keluarga dan atas tuntut keadilan, maka rakyat perlu zahirkan kebenciannya terhadap ISA dan mendesak Kerajaan bertindak segera mansuhkan ISA. Tindakan populis dan berlengah-lengah oleh Kerajaan mesti dihentikan. Rakyat tidak harus terpedaya dan membenarkan amalan begini berterusan.

13. Himpunan MANSUH dianjurkan sebagai kesinambungan pelbagai usaha Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) selama ini dalam membawa kesedaran tentang kezaliman ISA, membela nasib tahanan dan keluarga, membongkar kezaliman ISA dan mendesak Kerajaan untuk membebaskan tahanan, memansuhkan ISA dan menutup Kem Kamunting sehinggalah membawa kepada pembebasan ramai tahanan ISA dan janji kerajaan untuk mengkajisemula ISA.

14. Beberapa program akan dianjurkan menjelang Himpunan tersebut. Antaranya jelajah ceramah seluruh negara, pengedaran risalah, pertunjukan seni, forum, pengumpulan tandatangan, petisyen on-line dan sebagainya.

15. Himpunan MANSUH menganjurkan Himpunan besar-besaran bagi menyeru dan menggembleng seluruh warganegara Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat, budaya, bangsa dan agama yang cintakan keadilan, kebenaran dan keamanan rakyat untuk turut serta berhimpun pada 1 Ogos 2009 bagi menyatakan sikap tegas kita terhadap ISA. Bersama memansuhkan ISA dan membebaskan bumi Malaysia daripada kezaliman!

Mansuhkan ISA!
Bebaskan Tahanan!
Tutup Kemta – Kem Guantanamo Malaysia!


Syed Ibrahim Syed Noh
Pengerusi Sekretariat Himpunan MANSUH
Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI)

09 July 2009

'Menunggu Kata Dari Tuhan' di Terengganu!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Pernah dengar tentang teater Dinsman yang bertajuk 'Menunggu Kata Dari Tuhan' (MKDT) yang dilakonkan oleh Sabri Yunus? Mungkin pernah. Mungkin juga ada terbaca tentang teater ini di mana-mana akhbar, mahupun dilihat posternya di mana-mana. Tapi, pernahkah melihat teater tersebut?


Poster 'Menunggu Kata Dari Tuhan'. Pinjam dari blog Cikgu Azizi.

MKDT adalah sebuah teater yang mengisahkan seorang sahabat Nabi, Ka'ab bin Malik yang liat dan bertangguh hendak berjuang ke medan perang (berjihad) dalam peristiwa Perang Tabuk. Perilaku Ka'ab ini telah menyebabkan Rasulullah saw memerintahkan para sahabat memulaukan Ka'ab.

Pemulauan itu berterusan sehingga 50 hari sehinggalah datang firman Allah:

“Dan terhadap tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat) mereka, hingga apabila bumi telah menjadi sempit bagi mereka, padahal bumi itu luas, dan jiwa mereka pun telah sempit (pula terasa) oleh mereka, serta telah mengetahui bahwa tidak ada tempat lari dari (siksa) Allah melainkan kepada-Nya saja. Kemudian, Allah menerima taubat mereka agar mereka tetap dalam taubatnya. Sesungguhnya Allah-lah Yang Maha Menerima taubat lagi Maha Penyayang.” (At-Taubah:118)

Jadi, di mana teater ini akan dipentaskan di Terengganu? Klik poster di bawah.



Wallahua'lam.

08 July 2009

'Jendela' dibuka, tetap istiqamah dengan dasar parti - Presiden PAS

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Hrkh) - Debat, hantar surat, menasihat, berdialog dan wacana adalah antara 'jendela-jendela' yang dibuka oleh PAS yang ada dalam amalan Nabi Muhammad s.a.w dalam menyampaikan risalah Islam.Image

Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata banyak lagi 'jendela-jendela' yang dibuka seperti apa yang diperkenalkan oleh Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat untuk mengadakan perbincangan dengan parti-parti lain dalam menyampaikan mesej PAS berdasarkan risalah Islam yang wajib di sampaikan kepada seluruh manusia.

"Namun apa pun jendela yang kita buka, kita mesti istiqamah dengan dasar dan parti kita sendiri. Ini sangat penting," katanya dalam satu temubual ringkas Harakah bersama beliau di pejabat agung PAS dekat sini, semalam. Image

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung pelawaan Musryidul Am PAS Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat terhadap Perdana Menteri Malaysia Dato' Seri Najib Tun Razak untuk berdebat.

"Dan saya yakin Umno tidak bersedia untuk berdebat," katanya.

Sementara itu ketika ditanya berhubung perkembangan mutakhir yang memberi gambaran negatif dan 'isyarat' yang salah terhadap PAS, beliau menyeru semua pihak agar tidak terperangkap dengan permainan sesetengah media yang disalahguna untuk menyerang PAS yang sentiasa berpendirian teguh terhadap dasar parti.

"Kita minta seluruh pemimpin dan ahli PAS istiqamah dengan dasar dan konsep perjuangan kita.

"Dan dalam masa yang sama kita tidak melatah dengan usikan media-media yang tidak bertanggunjawab," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang. - azm

Nota:

Diharap jangan ada pihak yang 'melatah' dengan berterusan menabur fitnah bahawa jendela-jendela yang dibuka ini bertujuan menyertai UMNO. Itu merupakan suatu fitnah besar pada pimpinan yang sengaja diada-adakan oleh pihak-pihak tertentu.

Tiada sebab sebenarnya untuk pimpinan-pimpinan utama untuk membawa PAS kepada UMNO melainkan isu tersebut sebenarnya telah dimanipulasikan oleh beberapa pihak. PAS Terengganu sendiri tersiksa dengan rampasan royalti minyak oleh UMNO. Pimpinan-pimpinan PAS tidak terlepas dari ISA yang zalim. Malah ada yang terbunuh gara-gara kejahatan UMNO. Percayalah, tiada sebab dan tiada niat untuk pimpinan utama membawa PAS kepada UMNO melainkan isu ini dimanipulasi.

Siapa pihak yang telah memanipulasikan isu terbabit? Kenapa tidak dibongkar dengan sebongkar-bongkarnya?

Percayalah pimpinan yang ada itu ikhlas dalam perjuangan. Jika berlaku perselisihan, mereka mahu ianya diselesaikan dengan cara baik. Cara damai. Apatah lagi ianya masalah keluarga. Sebab itu seakan tidak kedengaran suara mereka menjawab walau diserang. Kerana mereka tahu menjawab akan memanaskan keadaan. Menjawab akan menyebabkan suasana tegang.

Semuanya dengan harapan, si penyerang memahami perjuangan. Memahami prosedur berjemaah. Memahami semangat setiakawan. Memahami semangat persaudaraan. Aku percaya, di situlah letaknya ketinggian dan mulianya akhlak pimpinan walau diserang.

Geram juga melihat kenyataan 'pimpinan penyerang' yang tidak sudah-sudah. Seolah-olah berterusan mahu memcipta 'salah' pimpinan. Geram, dan memang geram. Lebih geram bilamana berbohong bila berdepan dengan media.

Aku... aku tidak pasti sampai bila mampu bertahan dengan berdiam. Namun, aku percaya di luar sana terlalu ramai yang faham, sabar dengan ujian yang menimpa perjuangan ini.

Semoga Allah memberi aku kesabaran sebagaimana sahabat-sahabat dan pimpinan utama. Diam bukan bererti salah.

Wallahua'lam.

p/s: Ini tulisan emosi. Aku percaya tidak bersendiri.

07 July 2009

Menanti Ulangtahun Pertama Balqis

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Umur Balqis kini dah 10 bulan lebih. Lagi sebulan lebih akan memasuki usia setahun. Satu usia yang aku percaya ditunggu-tunggu oleh kebanyakan ibu bapa. Kebetulan usia setahun Balqis jatuh pada bulan Ramadhan, maka aku fikir ada baiknya dibuat suatu majlis berbuka puasa yang ringkas. Paling tidak, dibuat makanan dan dibahagi-bahagikan kepada jiran-jiran dan sahabat terdekat buat berbuka.

Pernah suatu hari aku membawa Balqis menziarahi seorang kenalan blog, nafastari yang baru memperoleh cahaya mata. Tiba-tiba, dia menghampiriku dan memohon maaf untuk bertanya. Rupa-rupanya dia mahu bertanya apakah Balqis ni mengalami 'down sindrome'. Patutlah dia memohon maaf, kerana takut aku terasa hati. Aku jelaskan kepada saudara nafastari yang sebenarnya yang aku ada ceritakan di blog. Mungkin kerana hanya melihat gambar-gambar, maka dia tidak perasan apa yang ditulis.

Balqis kini sudah 2 bulan masuk 'sekolah'. Setiap minggu, selama 2 jam Balqis akan dihantar ke Pusat Harian Sindrom Down di Kuala Ibai. Di sini Balqis akan diajar 'senaman' dan seni bermain-main. Senaman diajar untuk menguatkan ototnya, manakala permainan pula lebih untuk belajar mengenal warna, bunyi, rasa dan sebagainya. Minggu lepas, Balqis diajar bermain air. Berendam di dalam kolam dan menepuk-nepuk air. Sebetulnya kami dan Balqis yang diajar. Kami perlu mengulangi apa yang diajar di rumah.


Bergaya di sekolah pada hari pertama.

Mengikut pengalaman kenalan dan beberapa individu yang mempunyai anak istimewa sebegini, sekurang-kurangnya 2 tahun diperlukan untuk mereka belajar berjalan. Otot-otot mereka yang lembut adalah penyebab utama mengapa mereka lambat berjalan. Aku dan isteri memasang azam untuk memastikan Balqis dapat berjalan sebelum 2 tahun. Sekarang, Balqis sudah boleh duduk jika dibantu. Namun, akan jatuh kembali. Pinggangnya masih belum cukup kuat.


Lihat gaya kaki dengan 180' sambil menghisap jari


Gaya Extreme! Kaki diangkat ke muka. Kadang-kala ibu jari kaki boleh masuk mulut!

Akhir-akhir ini Balqis sudah mula mengenal orang. Suatu ketika dahulu, sesiapa sahaja boleh mengambil Balqis. Dia tidak akan menangis. Namun, hari ini dia sudah mula pandai menunjukkan muka masam. Paling teruk dia akan meraung sekuat hati! Mujurlah dia tiada masalah dengan pengasuhnya.

Balqis juga akhir-akhir ini sudah mula pandai 'buat-buat merengek'. Dia akan berpura-pura menangis bagi meminta perhatian. Pada mulanya aku cepat simpati, namun atas tunjuk ajar gurunya di sekolah, dia minta tidak dimanjakan. Akhirnya, aku lihat Balqis akan diam sendirinya jika dia tahu dia tidak dilayan.

Sesuatu yang menggembirakan Balqis akhir-akhir ini adalah jika dipakaikan tudung. Dia seolah-olah tahu jika dipakaikan tudung, dia akan dibawa berjalan-jalan. Walaupun tudung tidak kekal lama di kepalanya mungkin kerana kepanasan, namun sikapnya dengan tudung amat positif setakat ini. Apapun, pada aku Balqis memang comel bertudung. Cuma wajahnya pada aku lebih jelas kelihatan wajah Monggolianya bilamana dia bertudung.







Suatu soalan yang sering ditanya isteriku adalah, apakah Balqis dapat bercakap dengan baik dan mudah difahami apabila dia besar nanti? Suatu soalan yang aku sendiri mengharapkan jawapannya adalah YA. Namun, faktor lidah yang biasanya terjulur, dan keadaan lidah yang agak tebal memungkinkan ianya menjadi TIDAK.

Hujung minggu ini Persatuan Sindrom Down Terengganu akan mengadakan Hari Keluarga di Pulau Kapas. Sayangnya, aku sudah mempunyai program yang tidak dapat dielakkan. Sayang kerana aku tidak pernah sampai ke Pulau Kapas. Sayang juga kerana aku masih belum dapat bersama-sama ahli persatuan ini kerana selalu bertembung program. Mungkin banyak perkara lagi yang perlu aku pelajari dan ketahui.

Maaf, kerana sudah agak lama tidak membuat posting berkenaan Balqis. Posting kali ini adalah bagi mengingatkan aku yang esok adalah giliran aku membawa Balqis ke sekolah. Jom Dik, esok gi sekolah!

Wallahua'lam.

NOTA: Pesakit sindrom down juga disebut sebagai berwajah Monggolia.

01 July 2009

Iklan: Himpunan Pemuda Pakatan Rakyat

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...



Ini sahutan dari ketua pemuda yang baru. Cuma ditulis 100 000 pemuda PR. Manek Urai tu bukan besar sangat. Kalu betul-betul turun 100 000, mahu jam tahap gaban la Manek Urai tu. Dah la jalan-jalan kampung kecik je. Apapun, itu hanya 'gimik' nak tunjuk SEMUA kena turun!!

Apa lagi? pakat-pakat standby la turun!