Showing posts with label catatan 0. Show all posts
Showing posts with label catatan 0. Show all posts

06 February 2011

Kisah Sedih: Mereka-mereka yang dilupakan...

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Ketika mana sedang menunggu juadah tengahari di sebuah warung, seorang sahabat bertepuk dahi sambil menyebut yang beliau terlupa untuk mengambil anaknya yang berumur 5 tahun di sebuah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI). Ketika itu, jam sudah menunjukkan pukul 1.00 tengahari. Kebiasaan PASTI menamatkan persekolahan sekitar jam 12.00 atau 12.30 tengahari.

Kemudian, muncullah cerita-cerita 'sedih' yang dikongsi di warung tersebut.

Cerita 1:
Seorang Ustaz tiba-tiba teringat anaknya yang belum diambil dari sekolah ketika mengangkat takbir solat Isyak! Ketika itu mujurlah beliau menjadi makmum. Sebelum itu, beliau memberikan kuliah Maghrib yang sangat bersemangat kepada jemaah surau. Sebaik selesai solat, beliau terus pergi mencari anaknya di perkarangan sekolah. Namun tiada. Waktu persekolahan tersebut tamat sekitar jam 6.00 petang.

Dengan keyakinan bahawa anaknya sudah diambil oleh bapanya (datuk anak), maka beliau ke rumah bapanya. Alhamdulillah, anaknya sudah berada di rumah datuknya itu. Beliau pula diceramahkan oleh ibunya selepas itu.

Cerita 2:
Seorang bapa tertinggal anaknya di sebuah kedai. Setelah selesai membeli belah, si bapa dan anak-anak terus masuk ke dalam kereta. Sesampai di rumah, sebaik sahaja pintu kereta dibuka dia terkejut kerana anaknya sudah tiada dalam kereta. Dalam fikirannya, cepat betul anaknya. Sekejap sudah masuk ke dalam rumah. Setelah diperiksa, barulah dia sedar salah seorang anaknya tiada.

Kemudian, si bapa dihubungi seseorang mengatakan anaknya tertinggal di sebuah kedai. Mujur sahaja anak tersebut tidak menangis ketika si bapa pergi mengambilnya.

Cerita 3:
3 orang pemuda dalam satu perjalanan dari Kuala Lumpur ke Terengganu melalui lebuhraya Pantai Timur. Kejadian berlaku tengah malam. Penumpang di belakang tertidur semasa kenderaan bergerak. Tiba di satu stesyen minyak, pemandu dan penumpang di depan keluar untuk ke tandas. Setelah kembali ke kenderaan, mereka terus meneruskan perjalanan dengan menyangka penumpang di belakang masih ada. Sedangkan penumpang belakang turut turun ke tandas dan masih belum kembali!

Akhirnya mereka terpaksa melakukan U-Turn di susur keluar berikutnya bagi mendapatkan kembali sahabat mereka yang tertinggal setelah sahabat yang ditinggalkan itu menghubungi mereka melalui telefon bimbit.

Cerita 4:
Seorang ayah terlupa mengambil anaknya di Taska. Apabila petang, si isteri bertanyakan perihal anak-anak yang tidak cukup seorang dengan jangkaan si anak ke taman permainan. Barulah si bapa teringat yang anaknya belum diambil di Taska.

Cerita 5:
Setelah menghantar si isteri membeli belah di sebuah pasaraya, seorang suami terus menguruskan si anak yang mempunyai urusan lain. Apabila urusan si anak selesai, si suami terus pulang ke rumah dengan anak. Apabila mahu diminta si isteri membuatkan air, barulah disedari yang si isteri masih belum diambil di pasaraya yang ditinggalkan pada pagi tadi. Semuanya gara-gara si isteri terlupa membawa telefon.

Cerita 6:
Semalam ketika berehat seketika di sebuah masjid, aku didatangi seorang wanita agak berumur dengan hanya berselipar jepun. Dia mengadu dirinya telah ditinggalkan menantunya dan anak-anaknya ketika mereka berhenti solat. Lebih malang lagi kerana kejadian sebegitu pernah berlaku kepada anaknya yang lain. Apabila ditanya nombor telefon menantu atau anak-anak, makcik tersebut tidak ingat nombor-nombor mereka. Mulut makcik tu dah mula bising.

"Gini la orang muda, hok tua ni dia tak ingat..."

Kemudian, makcik tu semacam tersedar sesuatu. Dia bertanyakan adakah masjid tersebut mempunyai pintu masuk yang lain? Sambil menunjukkan ke satu arah, aku lihat makcik tersebut berjalan dengan satu harapan...

Tamat.

Wallahua'lam

25 November 2010

Permata Hatiku: Kerenah 2 Anak.

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...


Alhamdulillah, hari ini sudah masuk hari ke 28 Izzah dilahirkan. Secara jujurnya, sangat kurang masa yang dapat aku luangkan untuk bersama Izzah. Mandikan Izzah tidak pernah. Salin lampin dan pakaikan baju adalah beberapa kali. Menyusukan, hanya 2 kali rasanya (susu badan yang dimasukkan ke dalam botol. Aku tidak mengambil pil / suntikan bagi mengeluarkan susu!). Paling kerap pun tidurkan Izzah atau mendukung Izzah dan melarikannya dari serangan Balqis!. Apatah lagi kali ini aku memberi peluang untuk isteriku berpantang di rumah ibunya. Makin jaranglah kami berkumpul.

Dalam 28 hari ini juga, aku lebihkan banyak masa terhadap Balqis. Biarlah Izzah dengan uminya. Balqis aku bawa balik ke rumah sewaku, ada kalanya turut membawa dia ke pejabat. Hujung minggu pula aku selalu larikan Balqis ke rumah mak dan ayah aku. Awal-awal kelahiran Izzah, Balqis aku lihat cukup 'terasa' yang dia dipinggirkan. Apa tidaknya, pintu bilik sentiasa ditutup bagi mengelakkan Balqis mengganggu Izzah. Gurauannya agak kasar. Kepala adik akan ditampar setelah menggosok perlahan beberapa kali.

Alhamdulillah, perkembangan Izzah sebaik Balqis. Cuma tidak sebaik Balqis. Kedua-duanya tidak terkena kuning. Sihat dan sangat menyenangkan. Cuma jika nak dibandingkan, Balqis sudah tentu menang dengan kebaikannya.

Hari pertama pulang dari HSNZ, Izzah menangis hampir sepanjang malam. Suatu trauma bagi kami yang tidak pernah mengalaminya sebelum ini. Jika dibandingkan dengan Balqis, sungguh mudah. Tidur sahaja kerjanya. Siang dan malam. Laungan Izzah pula bukannya perlahan. Sekali nangis, terus masuk gear 5 kata isteriku.

Rupanya mimpi ngeri itu tidaklah berlarutan. Hanya semalaman itu sahaja Izzah menangis. Malam-malam lain, dia akan terjaga ketika mahukan susu dan merengek-rengek. Disuakan apa yang diingini, senyaplah dia. Begitu juga dengan siang hari. Cuma Izzah lebih kuat menyusu.

Balqis, kami ajar tidur tanpa buaian. Alhamdulillah ianya berjaya. Kami tiarapkan Balqis supaya tidurnya lebih lena. Berbanding Izzah, kerana agak sukar tidur kadang-kala, memaksa Tok Ma (ibu Mertuaku) membuka kembali buaian yang sudah lama disimpan di dalam stor. Tapi Izzah cuba dielakkan dengan buaian. Cuma jika tidak tahan dia terjaga dan mendukungnya, barulah dibuaikan. Terfikir juga, apakah Izzah selepas ini akan bergantung kepada buaian?

Membezakan kedua-dua anak ini, melahirkan rasa syukur yang amat sangat terhadap kurniaan Allah. Allah melebihkan kedua-dua anakku dengan kelebihan masing-masing, diuji dengan ujian yang berbeza-beza. Semoga Allah memelihara kedua-dua anakku ini dengan melindungi mereka dari fitnah dunia dan kerosakan manusia. Semoga Allah memberi kami kekuatan dalam menunaikan tanggungjawab yang ditambah ini. Wallahua'lam.

P/s: Aku pernah ditegur seorang kawan berpangkat ustaz. Katanya, dulu ketika bujang aku rajin update blog. Selepas kahwin makin kurang. Agaknya sekarang dia akan kata selepas anak sorang, dah makin kurang, bila anak dua laagiii jarang. ; )

30 August 2010

Merdeka dan 10 Malam Terakhir.

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Ramadhan (pemuda UMNO menyebut RamaDahan) ni bulan berkat. Alhamdulillah kerana keberkatan Ramadhan inilah pihak-pihak berwajib yang biasanya menyambut malam Merdeka dengan konsert dan hiburan melalaikan menangguhkan semua program tersebut. Kerana keberkatan Ramadhan jugalah ada pihak yang tidak putus-putus memainkan isu agama sebagai modal politik sempit mereka.

Merdeka selalu dikaitkan dengan penjajah. Cuma dalam konteks Malaysia, penjajah adalah Jepun, British, Komunis dan parti pembangkang. Malaysia adalah merdeka bilamana UMNO yang memerintah. Itulah takrifan merdeka di Malaysia. Sebab itu tidak ramai yang mengibarkan Jalur Gemilang samada di kereta, rumah mahupun premis perniagaan.

Definisi merdeka disempitkan. Begitu juga dengan Islam dan ibadah itu sendiri. Ibadah di Malaysia ini hanya berlaku pada bulan Ramadhan, malam Jumaat dan pada hari-hari kebesaran Islam. Juga pada kematian dan majlis pernikahan. Itupun sudah bercampur gaul antara agama dan adat. Tapi, inilah realiti Malaysia hari ini. Itu tidak termasuk menyempitkan ibadah pada masjid dan surau sahaja.

Bercerita tentang masjid dan surau, kini bising lagi isu masjid dan surau dicemari oleh golongan non-muslim memasukinya. Kata pihak-pihak tertentu, ianya perbuatan mencemarkan. Apatah lagi wanita non-muslim tersebut tidak menutup aurat (memakai tudung) ketika dalam masjid tersebut. Heboh jugalah satu Malaysia. Pembaca berita di Buletin Utama yang tidak memakai tudung pun menyebut non-muslim tersebut tidak menutup aurat. Malaysia oh Malaysia.

Apabila isu wanita non-muslim tersebut disebut-sebut, pihak penyokong Pakatan Rakyat mempersoalkan tindakan Rosmah (Ibu UMNO) yang sangat sukar dilihat memakai tudung dengan sempurna dalam mana-mana majlis, hatta di surau dan masjid. Bahkan, ketika menghadiri Majlis Tilawah Al-Quran peringkat Antarabangsa pun Rosmah tidak bertudung dengan sempurna.

Malu, kecewa, geram dan marah rasanya melihat tindakan pelampau-pelampau Melayu yang sengaja mengapi-apikan isu sebegini yang boleh memberi gambaran buruk kepada non-muslim terhadap Islam dan Umat Islam. Jika kita berterusan bertindak begini, bagaimana kita mahu merapati dan menyebarkan Islam di kalangan non-muslim.


Percayalah, pihak-pihak yang rasis dan sempit politik ini akan terus mencetuskan isu-isu yang kita tidak terfikir, malah melampau batas-batas norma masyarakat Malaysia. Walaupun di satu sudut kita melihat mereka bodoh, melampau dan gila, tetapi percayalah, mereka yakin tindakan mereka sebenarnya tetap berjaya untuk mengukuhkan kedudukan mereka. Keyakinan mereka sudah tentu dipadukan dengan nasihat daripada APCO!.

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan dan selamat meneruskan ibadah di penghujung Ramadhan ini.

Wallahua'lam.

13 July 2010

Selamat Tinggal Afrika, Selamat Beradu Tok De

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Lama sungguh tidak menconteng blog. Terasa semacam 'segan' sedikit untuk menulis dan terus menulis di blog ini. Segan kerana terlampau lama membisu.

Jika mahu dikatakan sibuk, tidaklah terlalu sibuk. Entah kenapa, jika di rumah sekarang ini sudah amat malas mahu membuka laptop. Aku rasa lebih selesa mengadap TV sambil bermain-main dengan Balqis. Apatah lagi Balqis akhir-akhir ini amat aktif dan memang memerlukan perhatian yang lebih.

Jika aku duduk di atas sofa, Balqis akan datang dekat dan mengangkat sebelah kakinya untuk memanjat naik. Ada kalanya berjaya (dengan sedikit sokongan). Jika tidak berjaya, dia akan menangis sehinggalah aku menaikkannya di atas sofa, atau dia diam sendiri jika tidak dipedulikan.

Alhamdulillah, Piala Dunia sudah melabuhkan tirai. Harapnya semua akan kembali normal dan tenang-tenang sahaja. Tiada lagi hendaknya anak-anak muda bertempik di tengah malam sehingga mengganggu tidur Tok De (Mak Sedara yang mengasuh Balqis). Sepanyol sudah menang, Belanda juga cemerlang dan Jerman juga bukan sebarangan. Selamat Tinggal Afrika.

Wallahua'lam.

p/s: Catatan Kosong semata. Maaf, jika ianya mencuri masa.

01 June 2010

Agaknya Kerana Takut Dikatakan Zalim Macam Yahudi....

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

"Tak jadi naik la... dapat maklumat Najib minta hold dulu... Sia-sia aku kena kerja malam ni.." SMS dari Tukang SMS yang memaklumkan harga minyak naik sebelum ini.

Apapun, aku percaya dengan maklumat yang disampaikan berdasarkan kenalnya aku dengan individu tersebut. Apatah lagi maklumat yang disampaikan tersebut adalah dalam ruang maklumat yang berkaitan dengan bidang kuasa beliau. Cuma, maklumat tersebut BENAR dan BETUL pada ketika ianya belum diumumkan. Apabila ianya tidak jadi diumumkan, barulah maklumat tersebut menjadi tidak benar.

Sebenarnya ada rasional harga minyak nak diumumkan tengah malam tadi selepas isu subsidi dibangkitkan beberapa hari lalu. Cuma, berkebetulan hari ini kita digemparkan dengan tragedi di Gaza, Palestin maka aku percaya Najib berubah fikiran.

Bayangkan jika Najib meneruskan niatnya untuk menaikkan harga minyak, sudah tentu Najib disamakan dengan Rejim Zionis yang menyerang Konvoi Gaza di sana. Bermacam-macam serangan yang sudah tentu Najib tidak terdaya melawan dan menerimanya. Jadi, agaknya atas nasihat APCO, maka Najib menangguhkan dulu pengumuman kenaikan harga minyak tersebut.

Apapun, aku memohon kemaafan sekiranya maklumat yang diberikan sebelum ini telah menyebabkan beberapa kesulitan yang timbul pada kalian. Seperti yang aku sebut di atas, keyakinan aku pada si penyampai maklumat adalah berdasarkan kredibiliti yang dimilikinya dalam bab harga barang.

Masih tidak puas hati dengan aku? Apa kata kalian bayar harga minyak pada hari ini dengan harga lebih 20 sen bagi seliter. ;)

Wallahua'lam.

27 May 2010

Kisah Aku dan Judi

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...


Iklan: Bantah Judi! Semua dijemput hadir

Aku tidak pasti samada kisah yang aku cuba coretkan ini ada kaitan dengan Lesen Judi yang telah diluluskan atau tidak. Aku juga tidak pasti samada kisah aku ini mampu memberi impak atau tidak kepada kaki judi di luar sana. Namun, apa yang aku mahu kongsi di sini adalah satu kisah dari catatan hidup aku yang pernah menjadi kaki judi. Cuma aku tidak pasti samada aku ini layak digelar Raja Judi atau tidak.

Aku tidak pasti sebenarnya sejak bila aku mula terjebak dengan aktiviti judi ini. Cuma, setakat yang aku ingat, bilamana aku mula pandai ke kedai runcit di kampung aku, aku tertarik dengan hadiah-hadiah permainan 'tikam' yang dipamerkan. Ketika itu manalah aku tahu itu adalah satu bentuk judi.


09 May 2010

Jadual Perlawanan Badminton Piala Thomas & Uber 2010.

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

PIALA THOMAS:
(9 Mei)
Kumpulan D - Indonesia lwn Australia - 12 tgh
Kumpulan A - China lwn Peru - 12 tgh
Kumpulan B - MALAYSIA lwn Nigeria - 6 ptg
Kumpulan C - Denmark lwn Poland - 6 ptg

(10 Mei)
Kumpulan D - India lwn Indonesia - 12 tgh
Kumpulan A - Korea Selatan lwn Peru - 12 tgh
Kumpulan C - Jerman lwn Poland - 6 ptg
Kumpulan B - Jepun lwn Nigeria - 6 ptg

(11 Mei)
Kumpulan A - China lwn Korea Selatan - 12 tgh
Kumpulan D - Indonesia lwn Australia - 12 tgh
Kumpulan B - MALAYSIA lwn Jepun - 6 ptg
Kumpulan C - Denmark lwn Jerman - 6 ptg

PIALA UBER:

(9 Mei)
Kumpulan B - Indonesia lwn Australia - 12 tgh
Kumpulan C - Jepun lwn Jerman - 12 tgh
Kumpulan A - China lwn Amerika Syarikat - 6 ptg
Kumpulan D - Korea Selatan lwn Afrika Selatan - 6 ptg

(10 Mei)
Kumpulan B - Denmark lwn Australia - 12 tgh
Kumpulan C - Russia lwn Jerman - 12 tgh
Kumpulan A - MALAYSIA lwn Amerika Syarikat - 6 ptg
Kumpulan D - India lwn Afrika Selatan - 6 ptg

(11 Mei)
Kumpulan B - Indonesia lwn Denmark - 12 tgh
Kumpulan C - Jepun lwn Russia - 12 tgh
Kumpulan A - China lwn MALAYSIA - 6 ptg
Kumpulan D - Korea Selatan lwn India - 6 ptg

Nota: DIHARAMKAN berjudi Piala Thomas & Uber...

08 April 2010

Gaya-gaya Balqis Tidur

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Orang kata,  Jika mahu melihat kecantikan seseorang, lihat rupanya selepas bangun dari tidur. Jika cantik wajahnya ketika itu, cantiklah dia. Aku tidak pasti gerangan apa pendapat sebegini wujud. Apakah kerana ketika baru bangun dari tidur seseorang itu biasanya tidak terurus, rambutnya mengerbang, mukanya tercalit air liur basi dan sebagainya. Wallahua'lam.

Aku kongsi dengan kalian gaya-gaya Balqis ketika tidur. Sedang membelek-belek gambar, tertarik pula mahu menyusun gambar-gambar Balqis sedang tidur. Sebenarnya aku cukup seronok lihat Balqis tidur. Pertamanya, sudah tentu dia tidak akan mengganggu aku lagi. Keduanya, aku suka merenung 'masa depannya' ketika melihat dia tidur.

 Ini gaya paling X-treme!

23 March 2010

Terkini Dari Blogger - Ubah Template Semudah A, B dan C

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Semalam baru aku perasan. Mungkin bagi yang biasa masuk blogger.com sudah lama perasan berkenaan item Blogger Designer yang dimasukkan dalam menu layout. Aku cuba intai-intai, cukup menarik dan memudahkan bagi sesiapa yang nak ubah template blog. Bukan sahaja boleh tukar warna atau design, malah susunan kotak gadget boleh dipilih gitu-gitu sahaja!.

Hanya 4 pilihan template asas, tapi...
Kepada sesiapa yang teringin nak tukar template, atau nak buat blog, tapi rasa tak pandai kerana takut blog tak menarik ke apa, inilah peluang anda. Mudah sesangat!. Acu cuba try test laa.. :)

24 February 2010

Permata Hatiku - Balqis iv

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Balqis belajar 'merempit' di sekolah

"Kuatnya mung. Sabarlah ye"

"Minta maaf, aku tidak pernah tahu anak mung ni Sindrom Down"

"Aku tak tahu macamana kalu aku berada di tempat mung"

11 February 2010

Tertutup, tapi terlondeh?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Aku tidak tahu samada sengaja, atau tidak disengajakan. Tetapi apa yang aku nampak adalah sesuatu yang tertutup biar tertutup dengan baik dan tidak seharusnya dilondehkan. Ikat mesti kemas, kancing mesti ketat, zip biar sampai habis. Jika tidak, maka akan terlondehlah semuanya. Terlondeh melibatkan adab, membabitkan hukum. Samada haram, syubhah mahupun halal tertakluk kepada siapa yang melihatnya.


Suatu sikap 'perogol' adalah melondehkan yang tertutup. Membuka yang tersimpan. Melanggari amanah. Melakukan sesuatu yang tidak hak. Jahatnya perogol!

Wallahua'lam.

Nota: Komen-komen di atas kerana tidak puas hati dengan satu berita di SINI.

24 November 2009

Ziarah & Qurban di Kemboja 1430H

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Antara perkara yang aku suka adalah pusing-pusing, jalan-jalan. Jika diberi kesempatan dan mempunyai ruang masa, serta punya kewangan yang lebih mahu rasanya mengelilingi dunia. Aku suka memerhatikan gelagat manusia yang pelbagai. Merasai suasana mereka dan menghayati kehidupan mereka.

Alhamdulillah, tahun ini aku dapat pelawaan untuk menguruskan korban di Kemboja. Sebetulnya tawaran ini sudah muncul 2 tahun lalu, tetapi terpaksa ditolak kerana ketika itu sedang mengumpul wang untuk mendirikan rumahtangga. Pelawaan tahun lalu juga terpaksa ditolak kerana Balqis masih kecil lagi.

InsyaAllah, jika program ziarah ini sempat diikuti, ini adalah negara ketiga yang aku kunjungi. Awal tahun lalu aku sempat menjejakkan kaki ke Singapura. Suatu lawatan yang amat singkat. Tidak bermalam pun di sana!

Pertengahan tahun ini pula aku berpeluang ke Bangkok. Melalui suatu lawatan yang agak tersusun. Thailand pada aku punya pakej pelancongan yang cukup baik. Namun, aku merasakan lawatan ke Bangkok tersebut banyak menelan duit poket apabila ada sahaja tempat membeli-belah yang dijadualkan. Penginapan di Baiyoke Sky Hotel juga tidak berbaloi rasanya kerana kami hanya pulang ke hotel untuk tidur sahaja. Rasanya cukup dengan hotel yang lebih murah.

Ziarah ke Kemboja yang dirancang ini pula aku rasakan jauh lebih istimewa. Selain membawa hajat saudara-saudara di Malaysia melakukan ibadah Qurban di Kemboja, aku akan berpeluang melihat sendiri dengan lebih dekat kehidupan mereka terutamanya penduduk muslim. Sesuatu yang aku tidak sabar juga adalah untuk menaiki bot di Tasik Tonle Sap. Alangkah bermaknanya sambutan ulangtahun kedua perkahwinanku. (Sorry Balqis, Umi ngan Abi tinggal adik dengan Tok dan Tok ki)


Masjid Kampung Khla Krabe yang dibina oleh pihak AFMY hasil sumbangan pelbagai pihak di Malaysia.

Aku kongsi jadual perjalanan kami yang telah dirancang oleh sahabat di Kemboja yang mewakili Cambodian Community Education & Development Organization (CEDO) yang bertanggungjawab menguruskan hal kami di sana.

26/11/2009 (Khamis)

12:00 tgh - Daftar masuk hotel di Siem Reap
1:00 tgh - Makan tengah hari
2.30 ptg - Melawat Angkor Wat / Village Culture
4:00 ptg - Menaiki bot melawat Bandar atas Sungai Tonle Sap
5:30 ptg - Kembali ke hotel
8:00 mlm - Makan malam
- Melawat Bandar Siem Reap dan shopping
9:30 mlm - Kembali ke hotel & tidur

27/11/2009 (Jumaat)

6:00 pg - Daftar keluar
- Sarapan
- Solat sunat Raya Aidil Adha
8:45 pg - Acara sembilih lembu korban dan agihan daging korban
10:00 pg - Berhari Raya Aidil Adha bersama orang-orang kampung
- Acara penyerahan sumbangan (sekiranya ada)
10:30 pg - Makan tengah hari
11: 00 ptg - Bertolak ke Kg. Phom 2 (wilayah Kompong Cham)
8:00 mlm - Tiba kg. Phom 2, makan malam, rehat dan tidur

28/11/2009 (Sabtu)

7:00 pg - Sarapan
8:00 pg : Program bermula
- Ucapan aluan oleh Pengarah Program
(Presiden CEDO / Pengurus Besar Halal Product Alami Co., Ltd.)
- Laporan khas oleh Ketua Kampung Phom 2
- Ucapan Khas oleh Wakil STAIL & SMART, AFMY dan Yayasan Salam
- Ucapan Perasmian Pelancaran Program Korban & Aqiqah
dan Majlis Jamuan Hari Raya Aidil Adha
oleh YB La Lai, Penasihat Timbalan Perdana Menteri H.E Sok Am
11:00 pg - Acara penyerahan bantuan (sekiranya ada)
- Acara sembilih lembu korban & agihan daging korban
12:00 tgh - Jamuan makan tengah hari
1:30 ptg - Bertolak ke Stung Treng
- Kunjung mesra ke kampung-kampung Islam sekitar
5:00 ptg - Daftar masuk hotel
- Makan malam dan melawat bandar Stung Treng

29/11/2009 (Ahad)

6:30pg - Sarapan
7.00pg - Acara sembilih dan agihan korban.
- Melawat cadangan tapak Projek Pendidikan & Pertanian CEDO
- Melawat kampung-kampung orang Islam di Stung Treng

10:30 pg - Bertolak ke Phnom Penh
- Makan tengah hari (Prek Sday, Kratie)
12:30 tgh - Solat zohor
1:30 ptg - Bertolak ke Phnom Penh
6:00ptg - Daftar masuk hotel di Phnom Penh
7:30 mlm - Makan malam dan melawat Bandaraya Phnom Penh
9:30 mlm - Rehat & tidur

30/11/2009 (Isnin)

6:30 pg - Sarapan di hotel
7:30 pg - Bertolak ke Pejabat Mufti KM 9
8:00 pg - Kunjung hormat ke Pejabat Mufti Kemboja,
melawat masjid-masjid
9:30 pg- Bertolak ke Phnom Penh
Shopping di Pasar Thmey dan lain-lain
12:00 tgh - Bersiap-siap untuk check out
12.30 ptg - Daftar keluar dan makan tengah hari di Halal Restauran
2:00 ptg - Bertolak ke airport
4:35 ptg - Berlepas ke LCCT dan selamat pulang ke tanah air!!!


Acara korban tahun dulu-dulu
-----------------------------------------------------------

Jadi, aku punya alasan untuk tidak update blog!

Selamat Hari Raya AidilAdha..

06 November 2009

SMS dari seorang Ayah...

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Sedang asyik mengadap laptop pagi ini bagi menyiapkan satu kad jemputan, tetiba dapat SMS dari ayah:

"Hidup di dunia akan mati, akhirat kekal. Untuk tengok bola dan hiburan TV kita boleh, untuk solat sunat tak boleh. Baca akhbar dan layari internet boleh, baca Quran tak boleh. Pandu kereta untuk ke tempat kerja dan super market boleh, tapi untuk ke masjid dan majlis ilmu tak boleh"
Ayah rajin juga SMS anak-anak jika ada tazkirah dan ada berita yang menarik. Kadang-kadang ayah hantar juga SMS kepada aku minta ditulis itu dan ini. Kadang-kadang, terfikir juga untuk buat satu blog biar ayah menulis dengan gaya sendiri.

Ayah tahu guna email, apalah sangat dengan blog ini. Cuma belum tahu sahaja. Jika tahu stepnya, mudah sahaja. Tapi, mak mesti menentang keras. Belum ada blog dah mengadap komputer cukup lama, inikan pula jika punya blog sendiri.

Ikut perancangan, minggu ni memang nak balik kampung. Tapi, tiba-tiba pula Mesyuarat Khas PAS Pusat minggu sudah memutuskan diadakan seminar di Taman Melewar esok. Jadi, kesudahannya tidak jadi untuk balik kampung.

Thanks ayah atas SMS yang mengingatkan diri ini. Luv U.

Wallahua'lam.


26 October 2009

Kanak-kanak kecil di dalam tong!!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Akhir-akhir ini banyak pula dilaporkan kisah yang menyayat hati berkenaan kanak-kanak. Takut, geram, marah dan pelbagai perasaan timbul apabila berita-berita tersebut dipaparkan. Ini aku ada juga suatu kisah penganiayaan terhadap kanak-kanak. Kisah bagaimana kanak-kanak kecil 'disumbat' di dalam tong dan ada pula kisah dihanyutkan ke dalam sungai. Sama-sama kita saksikan.

Kisah 1


Agak-agak, apa benda yang dilakukan budak bertiga ini?


MasyaAllah! ada budak kecil rupanya di dalam!!


Kita lihat, siapa budak ni... macam kenal jer.


Siap ada bola lagi tu. Bestnya mandi!

Itu adalah gelagat sepupu dan mak sedara Balqis memandikannya. Idea asal bagaimanapun adalah dari abinya yang kejam lagi zalim. Hehehe. Harap tiada siapa yang melaporkan kepada JKM kerana perlakuan ini. Akhir-akhir ini kerap juga bawa Balqis mandi manda. Apa yang pasti, dia cukup suka air!


Kisah 2.

Kisah Balqis dapat pelampung baru. Dia macam tidak sejuk sangat je dalam air. Kata cikgunya bagus bagi dia rasa air, pasir, daun, batu dan sebagainya. Biar dia dapat bezakan stuktur alam tersebut.


Sejuk jugak air ni.


Umi, marilah mandi. Tak sejuk pun. Umi takut air ek? Hehehe.

Kisah 3

Tiada apa yang hendak diceritakan. Harap video-video ini menceritakan apa yang patut. Perhatikan cara Balqis bangun dari baring untuk duduk. Ramai yang kagum dengan caranya. Apapun, maaf kerana gambarnya senget. Huhuhuh.






Wallahua'lam.

01 September 2009

Wajarkah Dato' Hj Mat Ghazali Kassim dipecat?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Semalam 31 Ogos, Hari Kemerdekaan. Hari ini dalam perjalanan balik ke Kuala Terengganu, aku sedikit terkejut melihat pemandangan sepanjang jalan di atas Jambatan Sultan Mahmud. Tiada sehelaipun Jalur Gemilang!

Aku tidak pasti samada pemandangan tiada Jalur Gemilang ini sama juga dengan di Pusat Bandar Kuala Terengganu kerana aku tidak melalui Pusat Bandar. Namun, ketiadaan Jalur Gemilang di jalan utama seperti di atas Jambatan Sultan Mahmud sangat-sangat mendukacitakan terutamanya ketika sambutan Hari Kemerdekaan disambut semalam.

Entah pada siapa harus dipersalahkan. Mungkin Ahmad Said selaku MB Terengganu, atau Hj Mat Ghazali Kassim selaku Datuk Bandar MBKT. Ataupun antara keduanya memang kurang serasi dan mempunyai unsur 'boikot' antara satu sama lain.

Wallahua'lam.

amdang: Maaf, aku semakin malas mengambil gambar.

25 July 2009

ISA: Unit Amal sedia berdepan PEKIDA

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Mengikut Malaysiakini, GMI akan menugaskan 1000 anggota Unit Amal untuk bertugas ketika himpunan MANSUH ISA. Pada masa yang sama PEKIDA yang merupakan 'budak suruhan UMNO' sudah mendapat sokongan Perkasa dan Persatuan Silat Lincah. Perkembangan ini dipercayai akan menjadikan Kuala Lumpur sebagai pertempuran ISA!.


Hebatnya perhimpunan itu nanti apabila laluan dan tempat berhimpun keduanya adalah berdekatan. Apa yang tidak hebatnya adalah masa perhimpunan terbabit tidak sama. Jika tidak, tentu hebat dan lagi menarik himpunan itu!.

Apa yang menarik perhatian aku adalah berapa ramai puak-puak pencacai UMNO dari PEKIDA yang akan datang untuk menyokong ISA yang jelas tidak mengikut syarak. Himpunan-himpunan UMNO biasanya tidak akan sampai 1000 orang jika tidak dikerah dengan T-Shirt percuma, topi percuma, air kotak percuma, nasi bungkus percuma, wang saku beberapa ringgit dan juga beberapa janji-janji lain.

Ini jauh berlainan dengan hasrat dan kesungguhan penentang akta zalim ISA tersebut yang memang sudah maklum tiada apa yang percuma kecuali air dan gas pemedih mata. Jika bernasib lebih baik, dapat pukulan dan sepakan percuma. Itu belum dikira yang dapat makan percuma dalam lokap.

Apapun, sama-sama kita nantikan perkembangan ini yang semakin menarik. Menarik kerana ini himpunan raksasa pertama selepas Najib jadi PM. Himpunan pertama selepas Hishamudin jadi Menteri Dalam Negeri yang sebelum ini ditentang Himpunan Mansuh PPSMI ketika Hisham menjadi Menteri Pendidikan. Ini lebih menarik! Sudah tentu Hishamudin tidak mahu dia sentiasa tidak glamour dengan dibantah dengan himpunan demi himpunan!!

Aku sudah tidak sabar untuk turun ke KL! KL menjeritlahhhh. Mansuhkanlah ISAA!!!

21 July 2009

Maaf, hanya artikel berkenaan ISA sahaja!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Sehingga 1 Ogos, blog ini akan memuatkan artikel berkenaan Himpunan Mansuhkan ISA pada 1 Ogos ini sahaja. Artikel-artikel lain akan termuat sekiranya benar-benar penting macam cerita Balqis atau lain-lain yang difikirkan sesuai.

Jom turun!!!

Wallahua'lam.


Nota: Balqis tidak akan mengikuti Himpunan Mansuhkan ISA memandangkan dia mengalami sedikit kegatalan. Bimbang jika terkena air asid akan menambahkan kegatalan tersebut. Bagaimanapun sokongan untuk ABI akan terus diberikan. ;)

13 October 2008

Cerita pasal makanan: Soto Ayam

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Malam tadi merupakan kali pertama aku memasak Soto. Aku tidak pasti perkataan Soto itu diambil dari mana. Dikatakan soto ni makanan dari Indonesia yang berupa sup ayam dengan kuah sedikit 'kuning'. Mungkin di Malaysia, soto ni dipelopori oleh golongan Jawa.

Aku juga tidak tahu samada soto itu mewakili sup sahaja, atau turut termasuk nasi himpit atau mee yang biasanya turut dihidang bersama. Apa yang biasa dilihat, soto ni mesti ada sup, ayam carik-carik dan beberapa aksesori tambahan seperti daun sup, bawang goreng, kicap dan taugeh.

Resepi yang aku cuba buat malam tadi diambil dari internet - My Resipi.com. Namun diubah mengikut kesesuaian yang dirasakan perlu. Aku tidak tahu selain Soto Ayam, apakah juga ada Soto Daging, Itik, ikan mahupun Seafood.

Sebenarnya semangat untuk menghasilkan soto ini lahir bilamana aku terfikir apakah menu yang sesuai jika dibuat rumah terbuka. Kebetulan terfikir nak raikan sahabat-sahabat sempena bulan Syawal yang mulia. Juga sebagai suatu tanda kesyukuran dengan kedatangan Balqis. dalam hidup kami. (Alhamdulillah majlis Aqiqah Balqis sudah selamat diadakan pada Hari Raya kedua yang lalu).

Idea mahu menjadikan soto sebagai hidangan bilamana melihat Kak Mar (Akak Ipar) menyediakan soto sebagai menu utama hidangan Hari Raya pada tahun ini. Kata Kak Mar, dia dapat resepi tu semasa belajar di Johor. Jika dibandingkan soto yang aku masak malam tadi dengan soto Kak Mar, ada la perbezaannya.

Antara bahan yang digunakan Kak Mar dalam sup sotonya adalah rempah kurma. Pada aku rasanya ok, cuma aku masih tidak berani mencampurkan terlalu banyak bahan dalam sup. Takut lain sangat rasanya.

Kesimpulan dari percubaan pertama aku malam tadi:
  • Sup mestilah dimasinkan lagi. Ini kerana nasi himpit adalah tawar. Nanti 'lecah' sangat rasanya.
  • Taugeh tu kena celur laa. Mana leh main mentah gitu. Rasa pun tak sedap kalu mentah. Buat ulam cicah budu ok la.
  • Kicap jangan pedas sangat.
  • Halia tu potong halus-halus baru kisar. Kalu tergigit halia semasa makan, memang sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.
  • Nasi himpit kena tunggu sejuk betul baru potong. Kalu tak, pecah. Tak lawa
Komen: 60% menghampiri kejayaan. Lepas ni tambah begedil, tambah telur rebus mesti makin menjadi. ;)

22 September 2008

Akhirnya...

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Aku rasa dah puas hati dengan template yg baru ni. Namun, byk lagi benda-benda lama yang aku belum masukkan ke sini. Semuanya dalam proses. So, jemput-jemputlah untuk kutuk, komen atau juga memberi tunjuk ajar kepada aku.

Apapun, ini semua akan mengambil masa untuk lihat template ini ada masalah atau tidak. Harap kalian sabar dengan aku yang tidak membuat posting-posting terkini berkenaan dunia luar.

p/s: Thanks Aiman atas header blog yg agak segar. Namun, semua ni akan dikekalkan sekiranya ini sahaja yang terbaik yang aku terima. ;)

wallahua'lam.

04 September 2008

Permata Hatiku - Balqis II

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

“Encik, ada sesuatu yang saya nak beritahu pasal bayi encik. Isteri encik dah dimaklumkan tadi oleh doktor” Tegur seorang jururawat ketika mana aku mengiringi isteriku keluar dari Bilik Bersalin menuju Wad Selepas Bersalin.

Aku diam menanti apa yang nak dimaklumkan.

“Anak encik ni disyaki ada Sindrom Down. Ini kita tengok dari dahi dan mata dia. Tapi untuk mengesahkan kita kena bawa dia berjumpa Doktor Pakar terlebih dahulu.” Jelas jururawat tadi.

Aku sedikit tersentak. Namun cepat-cepat bertenang menerima makluman itu. Aku segera melihat wajah Balqis yang berada di celah kaki isteriku yang masih berada di atas ‘stretcher’.

Aku mengangguk bersetuju mengiyakan apa yang dikatakan oleh jururawat tadi. Memang jika sekali lihat tidak kelihatan rupa yang dimaksudkan. Aku yang menyambut Balqis di dalam Bilik Bersalin pun tidak perasan perkara ini sebelum ini.

“Tak apa. Kami boleh terima seadanya” Kataku cuba senyum sambil melihat kepada isteriku.

Selepas jururawat meninggalkan kami di katil wad, aku segera membisikkan kepada isteriku yang kedatangan Balqis ada hikmah yang tersendiri. Aku gambarkan kepadanya, terlalu ramai yang sempurna fizikal dan mental, tetapi tidak mampu menjadi seorang manusia yang sempurna. Aku jelaskan kepadanya yang aku bersedia menerima Balqis. Isteriku tersenyum kelat. Itulah perasaan kami sebenarnya pada hari pertama. Sama-sama terkejut.

Malam itu, selepas Solat Maghrib aku melakukan Sujud Syukur. Hatiku mula tenang dan benar-benar dapat menerima keadaan Balqis seadanya. Betapa syukurnya aku kerana mempunyai zuriat sendiri dibandingkan dengan insan lain yang terpaksa mengambil anak angkat. Betapa syukurnya aku kerana dimudahkan mendapat zuriat walaupun perkahwinan kami belum mencecah setahun. Aku lahirkan syukur kepadaNya atas rezeki yang diberikan itu. Alhamdulillah.

Pelbagai respon yang aku terima bila aku ceritakan perihal anak aku kepada saudara-mara dan kawan-kawan. Kebanyakannya melahirkan simpati. Tidak kurang juga yang amat positif dalam memberi perangsang.

“Sabarlah, ada hikmah yang terkandung di sebalik ujian ini” Satu SMS yang aku terima.

“Tak apa dik, budak begini biasanya rajin” Respon seorang jururawat bilamana melihat Balqis di sebelah uminya.

“Bestnya akak dapat baby gitu. Saya suka sangat budak-budak gitu kak” Seorang kawan isteriku ceria bila diberitakan tentang Balqis.

“Budak gini kena la bagi tumpuan yang lebih skit. Banyak la bersabar nak layan kerenah dia tu” Jiran sebelah rumah menasihati.

Aku dan isteri sebenarnya kini memang telah bersedia untuk menerima Balqis seadanya. Isteriku beberapa kali sebak sebelum ini bilamana kawan-kawan lain yang mula menangis bilamana diceritakan perihal Balqis. Keprihatinan dan simpati yang diberikan kami amat hargai. Walhal dia sudah bersedia menerima Balqis begitu. Mungkin sudah terbayang pada mereka bagaimana ujian untuk membesarkan seorang anak yang Sindrom Down ini.

Aku sendiri pada hari ini secara peribadi amat bersedia menerima keadaan Balqis. Kepada sesiapa yang bertanyakan khabar isteri dan anak, akan aku ceritakan keadaan Balqis yang sebenar. Aku bukan mahu menagih simpati, aku juga bukan mahu mereka menangis dan menasihatiku bersabar. Aku mahu mereka tahu bahawa aku bersedia menerima hakikat ini. Dengan kata lain, aku bangga dengan Balqis. Sungguh!.

Jika ada yang datang menziarahi Balqis dan isteriku, aku akan bertanyakan kepada mereka samada mereka perasan atau tidak keadaan Balqis. Kemudian aku akan menceritakan keadaan Balqis kepada mereka. Pada aku, mungkin yang melihat / nampak fizikal Balqis terasa akan menyinggung perasaan kami jika bertanya. Tapi pada kami menceritakan keadaan sebenar Balqis sebagai tanda kami bersedia menerima dia seadanya.

Awal minggu lalu Balqis sudah dibawa berjumpa doktor. Katanya perlu diadakan 'Kromosom Study'. Darah Balqis perlu diambil dan dihantar ke KL untuk ujian. Kami menurut sahaja apa yang dirasakan baik kepada Balqis. Menurut doktor juga, setakat ini dengupan jantung Balqis baik. Sepanjang menjaga Balqis setakat ini pun dia tidak pernah demam. Tidak terkena Kuning. Tidak banyak meragam dan cukup memudahkan.

Semoga Allah mengekalkan kesihatan Balqis dan memberi kekuatan untuk kami untuk menjadi Abi dan Umi yang terbaik untuk Balqis.

Wallahua'lam.