26 October 2007

Sebulan Giant Di Terengganu

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Sebulan lalu, 26 September 2007, Giant Terengganu telah dibuka dengan secara rasminya. Pembukaan Giant itu merupakan kewujudan HyperMarket yang kedua di negeri ini selepas Mydin Mall. Ketika itu Umat Islam sedang sibuk membuat persiapan akhir menyambut Aidilfitri. Maka berduyun-duyunlah rakyat Terengganu memenuhi pasaraya berkenaan yang turut menawarkan harga istimewa sempena pembukaannya itu.

Kesempatan pembukaan Giant itu digunakan sepenuhnya oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu bagi bertemu orang ramai bagi menerangkan apa sebenarnya yang berlaku di Batu Burok dengan menyebarkan risalah penerangan. Risalah bertajuk "Umno Rancang Rusuhan" itu diterima baik oleh orang ramai yang mengunjungi pasaraya berkenaan. Kita tinggalkan seketika isu PBBB 809.

Setelah sebulan Pasaraya Giant menjadi jiran baru Mydin Mall, sungutan dan keluhan para peniaga makin kedengaran. Sebelum ini kemunculan Mydin Mall telah cukup membuat perniagaan mereka terjejas. Kali ini dengan kemunculan Giant, tekanan yang mereka rasai semakin kuat.

Tekanan itu bukan hanya dirasai oleh mereka yang berniaga barangan runcit, malah yang turut merasai bahang ini adalah mereka yang berniaga di pasar-pasar samada borong mahupun harian. Sebagai peniaga kecil, mereka sememangnya tidak mampu bersaing dengan pasaraya yang bukan sahaja mempunyai banyak kemudahan, malah turut menawarkan harga yang mampu memikat pelanggan.

Kewujudan pasaraya bukan sesuatu yang pelik bagi sebuah negeri yang sedang membangun. Kewujudannya turut boleh dikaitkan dengan kuasa beli rakyat dan ekonomi rakyat sesebuah negeri terbabit semakin baik. Namun apa yang berlaku di Terengganu adalah sesuatu yang mungkin tidak berlaku di negeri lain. Bolehkah kalian bayangkan bagaimana dua buah pasaraya besar bersaing dengan jarak antara keduanya tidak sampai 500 Meter!

Mungkin ramai melihat akan berlaku persaingan sihat, dan pengguna khususnya rakyat Terengganu akan mendapat manfaat dari persaingan sihat itu. Mereka akan bersaing menawarkan perkhidmatan terbaik, harga termurah dan juga pelbagai aktiviti yang mampu menarik pengunjung ke premis masing-masing. Namun tanpa sedar pertembungan dua gergasi itu akan memberikan kesan negatif yang cukup menakutkan. Peniaga lain akan makin terhimpit lantaran tidak mampu bersaing langsung.

Desas-desus di Terengganu kini juga hangat apabila Pasaraya Tesco pula disebut-sebut akan turut dibuka di Pekan Batu Enam, Kuala Terengganu. Kelulusan dikatakan sudah diberikan, namun perundingan berkaitan tapak sahaja yang masih belum selesai. Kebimbangan golongan peniaga semakin terasa dan akan membuat mereka patah semangat. Bukan langsung tiada harapan untuk bersaing, namun Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) pun dilihat tidak berminat menolong peniaga bumiputera Melayu, malah turut sama terlibat dalam pasaraya Giant.

Kini, hanya terdapat dua pasaraya milik penuh Melayu iaitu Sabasun dan Si Comel. Sebelum ini Pasaraya Nur Fresh & Frozen telah ditutup sebaik sahaja beberapa minggu Mydin Mall bertapak di Terengganu. Teringat pula pada kenyataan MB Terengganu, Idris Jusoh berkenaan pasaraya ketika mana Mydin Mall dibuka dahulu. Entah apa pula komen MB yang seorang itu bilamana Melayu semakin terpinggir di negeri Melayu.

Hentikanlah penderitaan rakyat Terengganu ini. Benarlah mereka ini sudah tidak boleh dibiarkan lagi memerintah. Bukan sahaja segala macam projek diserahkan kepada kroni dan kontraktor luar, malah peluang berniaga dan bermacam lagi untuk rakyat dinafikan. Pembangunan yang tiada perancangan dan bersifat membazir dibiarkan berterusan.

Dok Leh Lok Doh... Punoh!


No comments: