31 October 2007

Terengganu dan Arak: Dulu dan Sekarang

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Minggu lepas, aku menerima risalah sebaran Giant. Bukan risalah politik, sebab Giant tidak membekalkan riben merah kepada polis (aku rasa la). Risalah sambutan ulangtahun Giant. Biasa la Hyper Market ni, ada je sambutan yang dibuat kerana nak menawarkan harga murah (kononnya!)

Ini adalah kali kedua aku menerima risalah promosi dari Giant. Kali pertama dulu ketika Giant mahu dibuka 26 September lalu. Ketika itu pasaraya berkenaan menawarkan pelbagai barangan pada harga yang ‘istimewa’. Apa yang menarik perhatian aku pada risalah kali ini adalah IKLAN JUALAN ARAK yang turut diselitkan bersama barangan lain.

Aku tidak tahu samada orang lain sensitif atau tidak perkara ini, namun aku kira sebagai sebuah negeri Pantai Timur yang majoritinya adalah Melayu, IKLAN JUALAN ARAK berkenaan cukup sensitif dan amat tidak patut sama sekali. Sebaran yang meluas sampai ke setiap rumah di taman-taman sekitar Bandar Kuala Terengganu itu sudah tentu turut dibaca atau dilihat oleh kanak-kanak.IKLAN JUALAN ARAK itu juga tidak dilabel sebagai makanan yang TIDAK HALAL. Ini mungkin mengelirukan bukan sahaja kanak-kanak, malah kepada sesiapa juga yang tidak pernah melihat minuman keras ini. Mungkin ada yang menganggap minuman di dalam tin itu mahal kerana mempunyai khasiat tersendiri sepertimana Tongkat Ali, dan pelbagai lagi minuman herba dan kesihatan yang lain.

Mungkin jika ditanya pihak Giant, mereka akan menjawab “Iklan ini kami cetak sekaligus untuk seluruh pasaraya kami di seluruh Malaysia, itu pasal semua pun ada IKLAN JUALAN ARAK”. Itu satu kemungkinan jawapan. Kesilapan? Mungkin tidak sama sekali. Itu memang disengajakan.
Aku teringat IKLAN CELCOM yang memaparkan wajah Maya Karin sebagai penghias billboard. Jika di Kelantan dan Terengganu, setakat ini wajah Maya Karin masih lagi bertudung merah. Cantik pada aku berbanding dengan rambutnya yang mengurai umpama pontianak itu. Iklan di Terengganu yang masih bertudung itu adalah warisan Kerajaan PAS Terengganu.

Sewaktu PAS memertintah Terengganu, hanya 8 premis jualan arak sahaja yang dibenarkan. 8 yang dibenarkan itu pun bising dijaja UMNO bahawa PAS mengambil cukai arak. Sedangkan ketika itu kawalan terhadap jualan minuman keras ini sangat ketat walaupun masih ada yang menjual secara curi-curi. Nak iklan dalam risalah seperti Giant itu, jangan harap!

Itu IKLAN JUALAN ARAK di Giant. Sekiranya sesiapa mengunjungi Bandar Kuala Terengganu hari ini, sudah ada kedai-kedai yang memasang signboard kedai dengan iklan arak sebagai penaja. Ini mula dapat diperhatikan sekitar Bandar Kuala Terengganu. Daerah-daerah lain aku masih tidak mendapat maklumat berkenaan perkara tersebut.

Jika sebegitu hebat promosi dan iklan arak yang ada di Terengganu, maka tidak hairan betapa sebelum ini akhbar-akhbar tempatan Edisi Timur dan Sinar Harian sendiri mendedahkan betapa gejala arak yang ada di Terengganu sekarang semakin membimbangkan. Jika arak yang merupakan ibu maksiat ini menjadi satu kebiasaan di Terengganu, maka apalah mahu dihairankan mengapa Terengganu semakin subur dengan jenayah dan masalah.

Indahnya masa lalu. Walau dalam serba kekurangan, tapi terasa cukup dengan apa yang telah diberikan kerajaan. Rasa tenang dan aman melebihi terasa nikmat dari pembangunan, tetapi penuh dengan kezaliman dan tertekan. Semoga rindu ini terubat dengan PRU-12 nanti. InsyaAllah.




amdang: suka wanita bertudung hitam

1 comment:

cakapaje said...

Salam,

Alhamdulillah, amdang dah mula aktif menulis. Harap dapatlah membaca banyak lagi berita dari Terengganu. Teruskan perjuangan!


ps. Seorang aktivis internet - kadetpencen@yahoo.com - minta sampaikan salam dan dia mohon izin untuk menceduk berita dari sini untuk sebaran di pelbagai yahoogroups.