Showing posts with label ekonomi. Show all posts
Showing posts with label ekonomi. Show all posts

16 October 2010

Belanjawan Seluar Dalam?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Ketika Belanjawan 2011 sedang dibentang Najib semalam, aku dan beberapa sahabat sedang berada di majlis usrah. Sebelum TV ditutup bagi memulakan usrah di rumah seorang sahabat, apa yang sempat aku lihat adalah seorang wanita Melayu bertudung jambul tersengih-sengih di belakang Najib.

Hari ini aku membuat tinjauan secara umum tentang belanjawan yang telah dibentangkan semalam. Secara kasarnya, umum mengatakan belanjawan yang dibentang Najib adalah belanjawan seluar dalam, belanjawan Rosmah Mansor dan tidak kurang yang memuji Najib dengan beberapa manipulasi angka yang dibentangkan.

Secara peribadi, aku percaya setiap warga Malaysia yang mengikuti belanjawan tersebut (samada secara langsung, atau ambil intipati sahaja) mahukan sesuatu yang boleh meyakinkan mereka bahawa belanjawan tersebut benar-benar memberi manfaat yang besar kepada rakyat terbanyak.

Dalam banyak-banyak pendapat yang aku intai, aku paling sukakan pandangan Tuan Guru Presiden PAS yang aku lihat istiqamah menegur perkara yang sama saban tahun. TG Presiden menegur belanjawan yang disebut juta-juta itu ke mana hala tujunya. Dengan menyentuh pembinaan manusia yang semacam diabaikan, sedangkan itulah bencana yang sedang dihadapi negara.

Mahfuz Omar yang terkenal dengan kenakalannya antara yang paling awal 'mengusik' Najib dengan kenyataan belanjawan Seluar Dalam. Usikan itu nampaknya mudah difahami oleh kebanyakan rakyat. Ditambah pula peruntukan untuk PERMATA yang tidak dapat diterima oleh banyak pihak yang menamakan ianya adalah belanjawan Rosmah Mansor (RM).

Lain kali sahaja menyambung tentang pencakar langit dan pelbagai projek-projek yang langsung tidak menguntungkan Pak Leh Timun, Ah Seng Tiub dan Sulivan Surat Khabar lama.

Wallahua'lam.

p/s: selalu tidak berkesempatan menulis.

07 January 2009

Sime Darby batal hasrat ambil alih IJN

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

KUALA LUMPUR: Sime Darby Bhd hari ini mengumumkan yang ia tidak akan meneruskan rancangannya untuk menguasai kepentingan ekuiti dalam Institut Jantung Negara (IJN).

Dalam satu kenyataan di sini, konglomerat itu menyatakan bahawa keputusan berkenaan dibuat setelah mengambil kira sentimen awam dan maklum balas yang diterima berhubung cadangan itu.

Tindakan itu dibuat susulan pengumuman kerajaan menangguhkan keputusan untuk membenarkan Sime Darby memulakan rundingan dengan Kementerian Kewangan bagi mengambil alih 51 peratus kepentingan dalam IJN.

"Kami merupakan syarikat yang pemegang sahamnya mewakili lebih 10 juta rakyat Malaysia dan kami perlu menghormati hasrat rakyat untuk IJN kekal dalam struktur sedia adanya," kata ketua pegawai eksekutif kumpulan dan presiden kumpulan Sime Darby Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid.

"Kami percaya bahawa pelaburan yang berterusan dalam penjagaan kardiovaskular adalah penting kerana ia merupakan penyebab utama kemasukan ke hospital dan satu daripada sebab utama kematian di Malaysia," kata Ahmad Zubir.

"Perkongsian dengan IJN akan menjadi gabungan yang memberi manfaat yang besar kepada kami, IJN, mereka yang berkepentingan dan orang ramai dan atas dasar inilah kami menyatakan hasrat kepada kerajaan mengenai kemungkinan perkongsian dengan IJN," katanya.

Menurut Sime Darby, ia menulis kepada kerajaan pada Ogos tahun lepas bagi menyatakan minat untuk menjalin pakatan yang akan memberi faedah bersama dalam melebarkan skop dan skala operasi Sime Darby Healthcare dan IJN.

"Perkongsian sedemikian akan membawa bersama kedudukan IJN sebagai peneraju dalam penjagaan kardiovaskular dan torasik dan kepakaran Sime Darby Healthcare dalam penjagaan kesihatan tinggi swasta," kata Ahmad Zubir.

"Rancangan Sime Darby Healthcare adalah untuk menubuhkan pusat kecemerlangan dalam pelbagai bidang perubatan seperti kanser, jantung dan neurologi di Malaysia dan seberang laut," katanya.

Menurut Ahmad Zubir, bagi projek IJN, Sime Darby sentiasa mengambil kira kebajikan dan kepentingan golongan mereka yang kurang berkemampuan, satu pendekatan sejajar dengan falsafah syarikat terhadap tanggungjawab sosial.

Beliau berkata beliau kekal yakin mengenai prospek sektor penjagaan kesihatan dan akan terus meninjau peluang untuk pengembangan dan menjadikan Sime Darby Healthcare sebagai penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan standard emas di rantau ini.

IJN mempunyai reputasi sebagai pusat jantung utama dan telah memberi rawatan kepada berjuta pesakit termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebagai hospital separa kerajaan, ia menyediakan rawatan perubatan kelas pertama di bawah kadar pasaran dengan bayarannya dikawal oleh kerajaan. BERNAMA

16 January 2008

Aku Bosan...

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Saje sekali lagi bagi iklan percuma kat Sabasun...

item3item4
item5item6
item7item8
item8item9

ermm.. serabut dengan kerja nih.. Ingat petang ni nak pusing-pusing Sabasun. Aku ni kalu g Sabasun satu je yang aku tak pernah lupa nak beli. Susu Soya. Sampai zaujah aku kata "minum soya, tapi tak putih-putih jugak". Hehehhe. Nasib la dia dapat suami yang gelap ni.

Alamak, rindu lak. Nak call zaujah jap..



14 January 2008

Iklan Sabasun

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Mungkin ada yang dah perasan dengan iklan di kiri blog aku sejak semalam. Iklan yang aku maksudkan adalah iklan Sabasun HyperRuncit. Buat pengetahuan, iklan berkenaan sengaja aku letakkan tanpa disuruh / dibayar oleh mana-mana pihak terutamanya pihak Sabasun.

Iklan berkenaan sebenarnya diletakkan di sini kerana mahu memberi sokongan kepada pihak Sabasun. Aku secara peribadi tidak mengenali pengurusan Sabasun, namun menyedari Sabasun merupakan milik Bumiputera Melayu yang agak berjaya di sini, maka aku suka untuk memperkenalkan mereka kepada dunia.

Mungkin bagi warga luar Terengganu, Sabasun merupakan suatu nama yang pelik dan langsung tidak pernah didengari. Namun, bagi kebanyakan penduduk Kuala Terengganu khususnya, Sabasun merupakan antara pilihan utama untuk membeli-belah terutamanya sebelum kewujudan Mydin Mall dan Giant.

Mungkin ada yang bertanya, apa pula sumbangan Sabasun kepada umat Islam di Terengganu? Pada aku, persoalan ini mudahnya bilamana kita melihat bagaimana tanggungjawab muslim ditunaikan oleh Sabasun dalam membayar zakat, memberi infaq kepada yang memerlukan di samping memberi peluang kerja kepada masyarakat di sini.

Aku bangga sebenarnya kerana mampu membeli-belah di pasaraya milik Melayu. Kebanggaan itu turut dengan aku perkenalkan kepada kawan-kawan yang datang ke Terengganu. Mungkin tidak terlalu besar untuk dibandingkan dengan Giant dan Mydin Mall, tetapi cukup membuatkan aku rasa 'tidak bersalah' berbelanja di situ.

Secara peribadi dan besar harapan aku sebenarnya supaya masyarakat di luar sana sama-sama menyokong Sabasun. Bukan sahaja patut sokong pada kempen boikot zionis product, malah turut menyokong kepada usahawan muslim ini. Semoga Sabasun terus maju dan terus menjadi pilihan kepada penduduk negeri yang peratus Melayu tertinggi di Dunia ini.

amdang: Kita bukan tiada pilihan, tetapi...

11 January 2008

Penduduk Terengganu Kian Tersepit

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Suka untuk aku kongsi dengan kalian suatu berita dari Laman Web Rasmi Kerajaan Negeri Terengganu. Suatu artikel yang aku kira memaparkan betapa rakyat Terengganu kini sebenarnya terhimpit dan semakin menderita. KLIK.

Akhir tahun lalu, sebelum pelancaran ECER di Terengganu, kita didedahkan dengan pendedahan yang cukup menyedihkan rakyat Terengganu. Terengganu dikelaskan sebagai negeri kedua paling kaya di Malaysia, namun rakyat Terengganu merupakan kedua termiskin. Lebih teruk lagi bilamana dilaporkan juga kos sara hidup bagi rakyat Terengganu adalah kedua paling tinggi.

Berbalik kepada artikel berkenaan, aku tidak menafikan hari ini kuasa beli rakyat Terengganu masih tinggi. Ini berikutan ketiadaan kos-kos lain sepertimana yang terpaksa ditanggung oleh penduduk di bandaraya lain. Hari ini, parking kereta masih dalam kadar RM 0.60 - RM 1 sahaja sejam. Tol sudah lama dihapuskan oleh PAS. Cukai itu dan ini masih pada kadar yang biasa. Sebahagiannya dihapuskan di zaman PAS.

Sesuatu yang mungkin tidak disedari adalah harga makanan di sini cukup mahal berbanding negeri lain. Suatu ketika dahulu, Kuantan dikatakan tempat makan yang agak mahal. Seorang kawan yang datang dari Kuantan mengeluh bila makan di Terengganu. Itu belum diambil kira mereka yang datang dari Kelantan yang diketahui umum harga makannya cukup murah. Aku jika berada di Kelantan tidak terasa takut untuk makan. Namun di Terengganu, aku akan kira duit dalam poket sebelum memasuki kedai makan. Sungguh!. Pada aku, berada di Terengganu dan KL seolah tiada beza pada harga makanan. Mungkin harga air sahaja yang murah RM 0.20.

Tidak dapat dinafikan, kos bahan mentah menjadi faktor utama kenapa harga barang makanan mahal. Kelantan terkenal dengan pelbagai produk dari negara jiran seperti beras siam, sayuran, buah-buahan dan ikan turut diperolehi dari sana. Ini banyak membantu penduduk Kelantan dari segi kos hidup. Mungkin sebahagian lain dari dalam negeri sendiri. Kos sara hidup yang rendah di sana memungkinkan kuasa beli mereka tinggi.

(ini berdasarkan satu anugerah kepada KB Mall sempena majlis anugerah "Retail Development" bagi kategori kompleks membeli belah di Malaysia pada tahun lalu. KB Mall dipilih sebagai pusat membeli belah terunggul kerana jumlah pengunjung teramai, jumlah nilai perniagaan yang tertinggi serta sumbangannya kepada sektor pelancongan di Malaysia.)

Selain bahan mentah, faktor pengurusan dan sewa bangunan turut menjadi faktor penentu kepada harga sesuatu barangan. Kini, di Terengganu sewa premis memang dikatakan sudah mulai meningkat seperti laporan dari Web Terengganu itu, maka kesianlah rakyat yang sederhana hidupnya. Bimbang mereka makin terpinggir dari arus bandaraya yang arusnya deras. Maklum sahaja Bandaraya Air.

Hari ini masih ramai Melayu yang kekal di Bandaraya KT ini, namun nasib mereka mungkin berubah bilamana Idris Jusoh turut menjanjikan "penyusunan semula" penempatan rakyat sepertimana yang terdapat dalam perancangan Bandaraya Kuala Terengganu. Bimbang pula aku teratak kayu yang umpama setinggan ini dikatakan tiada ciri warisan dan mahu dirobohkan. Maklum sahaja warisan pada mereka adalah yang diluluskan oleh Wan Hisham. Mujur sahaja nama bandaraya ini bukan Bandaraya Wan Hisham.

31 October 2007

Terengganu dan Arak: Dulu dan Sekarang

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Minggu lepas, aku menerima risalah sebaran Giant. Bukan risalah politik, sebab Giant tidak membekalkan riben merah kepada polis (aku rasa la). Risalah sambutan ulangtahun Giant. Biasa la Hyper Market ni, ada je sambutan yang dibuat kerana nak menawarkan harga murah (kononnya!)

Ini adalah kali kedua aku menerima risalah promosi dari Giant. Kali pertama dulu ketika Giant mahu dibuka 26 September lalu. Ketika itu pasaraya berkenaan menawarkan pelbagai barangan pada harga yang ‘istimewa’. Apa yang menarik perhatian aku pada risalah kali ini adalah IKLAN JUALAN ARAK yang turut diselitkan bersama barangan lain.

Aku tidak tahu samada orang lain sensitif atau tidak perkara ini, namun aku kira sebagai sebuah negeri Pantai Timur yang majoritinya adalah Melayu, IKLAN JUALAN ARAK berkenaan cukup sensitif dan amat tidak patut sama sekali. Sebaran yang meluas sampai ke setiap rumah di taman-taman sekitar Bandar Kuala Terengganu itu sudah tentu turut dibaca atau dilihat oleh kanak-kanak.IKLAN JUALAN ARAK itu juga tidak dilabel sebagai makanan yang TIDAK HALAL. Ini mungkin mengelirukan bukan sahaja kanak-kanak, malah kepada sesiapa juga yang tidak pernah melihat minuman keras ini. Mungkin ada yang menganggap minuman di dalam tin itu mahal kerana mempunyai khasiat tersendiri sepertimana Tongkat Ali, dan pelbagai lagi minuman herba dan kesihatan yang lain.

Mungkin jika ditanya pihak Giant, mereka akan menjawab “Iklan ini kami cetak sekaligus untuk seluruh pasaraya kami di seluruh Malaysia, itu pasal semua pun ada IKLAN JUALAN ARAK”. Itu satu kemungkinan jawapan. Kesilapan? Mungkin tidak sama sekali. Itu memang disengajakan.
Aku teringat IKLAN CELCOM yang memaparkan wajah Maya Karin sebagai penghias billboard. Jika di Kelantan dan Terengganu, setakat ini wajah Maya Karin masih lagi bertudung merah. Cantik pada aku berbanding dengan rambutnya yang mengurai umpama pontianak itu. Iklan di Terengganu yang masih bertudung itu adalah warisan Kerajaan PAS Terengganu.

Sewaktu PAS memertintah Terengganu, hanya 8 premis jualan arak sahaja yang dibenarkan. 8 yang dibenarkan itu pun bising dijaja UMNO bahawa PAS mengambil cukai arak. Sedangkan ketika itu kawalan terhadap jualan minuman keras ini sangat ketat walaupun masih ada yang menjual secara curi-curi. Nak iklan dalam risalah seperti Giant itu, jangan harap!

Itu IKLAN JUALAN ARAK di Giant. Sekiranya sesiapa mengunjungi Bandar Kuala Terengganu hari ini, sudah ada kedai-kedai yang memasang signboard kedai dengan iklan arak sebagai penaja. Ini mula dapat diperhatikan sekitar Bandar Kuala Terengganu. Daerah-daerah lain aku masih tidak mendapat maklumat berkenaan perkara tersebut.

Jika sebegitu hebat promosi dan iklan arak yang ada di Terengganu, maka tidak hairan betapa sebelum ini akhbar-akhbar tempatan Edisi Timur dan Sinar Harian sendiri mendedahkan betapa gejala arak yang ada di Terengganu sekarang semakin membimbangkan. Jika arak yang merupakan ibu maksiat ini menjadi satu kebiasaan di Terengganu, maka apalah mahu dihairankan mengapa Terengganu semakin subur dengan jenayah dan masalah.

Indahnya masa lalu. Walau dalam serba kekurangan, tapi terasa cukup dengan apa yang telah diberikan kerajaan. Rasa tenang dan aman melebihi terasa nikmat dari pembangunan, tetapi penuh dengan kezaliman dan tertekan. Semoga rindu ini terubat dengan PRU-12 nanti. InsyaAllah.




amdang: suka wanita bertudung hitam

26 October 2007

Sebulan Giant Di Terengganu

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Sebulan lalu, 26 September 2007, Giant Terengganu telah dibuka dengan secara rasminya. Pembukaan Giant itu merupakan kewujudan HyperMarket yang kedua di negeri ini selepas Mydin Mall. Ketika itu Umat Islam sedang sibuk membuat persiapan akhir menyambut Aidilfitri. Maka berduyun-duyunlah rakyat Terengganu memenuhi pasaraya berkenaan yang turut menawarkan harga istimewa sempena pembukaannya itu.

Kesempatan pembukaan Giant itu digunakan sepenuhnya oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu bagi bertemu orang ramai bagi menerangkan apa sebenarnya yang berlaku di Batu Burok dengan menyebarkan risalah penerangan. Risalah bertajuk "Umno Rancang Rusuhan" itu diterima baik oleh orang ramai yang mengunjungi pasaraya berkenaan. Kita tinggalkan seketika isu PBBB 809.

Setelah sebulan Pasaraya Giant menjadi jiran baru Mydin Mall, sungutan dan keluhan para peniaga makin kedengaran. Sebelum ini kemunculan Mydin Mall telah cukup membuat perniagaan mereka terjejas. Kali ini dengan kemunculan Giant, tekanan yang mereka rasai semakin kuat.

Tekanan itu bukan hanya dirasai oleh mereka yang berniaga barangan runcit, malah yang turut merasai bahang ini adalah mereka yang berniaga di pasar-pasar samada borong mahupun harian. Sebagai peniaga kecil, mereka sememangnya tidak mampu bersaing dengan pasaraya yang bukan sahaja mempunyai banyak kemudahan, malah turut menawarkan harga yang mampu memikat pelanggan.

Kewujudan pasaraya bukan sesuatu yang pelik bagi sebuah negeri yang sedang membangun. Kewujudannya turut boleh dikaitkan dengan kuasa beli rakyat dan ekonomi rakyat sesebuah negeri terbabit semakin baik. Namun apa yang berlaku di Terengganu adalah sesuatu yang mungkin tidak berlaku di negeri lain. Bolehkah kalian bayangkan bagaimana dua buah pasaraya besar bersaing dengan jarak antara keduanya tidak sampai 500 Meter!

Mungkin ramai melihat akan berlaku persaingan sihat, dan pengguna khususnya rakyat Terengganu akan mendapat manfaat dari persaingan sihat itu. Mereka akan bersaing menawarkan perkhidmatan terbaik, harga termurah dan juga pelbagai aktiviti yang mampu menarik pengunjung ke premis masing-masing. Namun tanpa sedar pertembungan dua gergasi itu akan memberikan kesan negatif yang cukup menakutkan. Peniaga lain akan makin terhimpit lantaran tidak mampu bersaing langsung.

Desas-desus di Terengganu kini juga hangat apabila Pasaraya Tesco pula disebut-sebut akan turut dibuka di Pekan Batu Enam, Kuala Terengganu. Kelulusan dikatakan sudah diberikan, namun perundingan berkaitan tapak sahaja yang masih belum selesai. Kebimbangan golongan peniaga semakin terasa dan akan membuat mereka patah semangat. Bukan langsung tiada harapan untuk bersaing, namun Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) pun dilihat tidak berminat menolong peniaga bumiputera Melayu, malah turut sama terlibat dalam pasaraya Giant.

Kini, hanya terdapat dua pasaraya milik penuh Melayu iaitu Sabasun dan Si Comel. Sebelum ini Pasaraya Nur Fresh & Frozen telah ditutup sebaik sahaja beberapa minggu Mydin Mall bertapak di Terengganu. Teringat pula pada kenyataan MB Terengganu, Idris Jusoh berkenaan pasaraya ketika mana Mydin Mall dibuka dahulu. Entah apa pula komen MB yang seorang itu bilamana Melayu semakin terpinggir di negeri Melayu.

Hentikanlah penderitaan rakyat Terengganu ini. Benarlah mereka ini sudah tidak boleh dibiarkan lagi memerintah. Bukan sahaja segala macam projek diserahkan kepada kroni dan kontraktor luar, malah peluang berniaga dan bermacam lagi untuk rakyat dinafikan. Pembangunan yang tiada perancangan dan bersifat membazir dibiarkan berterusan.

Dok Leh Lok Doh... Punoh!


05 July 2007

Hidup Berhutang?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Lamanya tak update blog. Kadang-kala ada masa, tp tak mari mood nak menulis. Kena ada mood ke nak nulis ni? Mestilah kena ada. Macam makan juga la. Kalu tak ada mood, suap kat mulut pun nak tak nak jer. Silap-silap aribulan tak masuk ke mulut makanan tu. Itulah namanya rezeki yang dikatakan bukan rezeki kita.

Aku difahamkan tentang pinjaman PTPTN adalah haram sejak 1999. Masa tu aku ditawarkan PTPTN semasa mula memasuki UiTM. Semasa pendaftaran, seorang kenalan ayah aku memberitahu tentang PTPTN ni. Cerita tentang riba' dan sebagainya. Maka aku dengan tak fikir panjang menolak pinjaman tersebut. Mujur juga UiTM ni yuran murah, makan free, kolej pun free. Sebab tu la kami di UiTM dulu diingatkan bersyukur pada pemerintah. UiTM di hatiku. Hehehe.

Pertengahan pengajian, terdetik gak rasa 'rugi' tak ambil PTPTN tu. Apa taknya bila lihat kawan-kawan beli motor, beli henpon, beli komputer, baju baru dll. Alhamdulillah aku sabarkan diri jer dengan semua tu. Bukan langsung tak terdetik nak semua tu, tapi bila fikir keperluan dan kehendak yang tidak perlu, maka aku buat-buat tak nampak semua tu. Ada gak bagus tak ambik loan ni. Belajar berhemah. Hidup tak susah nak fikir bayar hutang. Apa yang dapat tu dah dikira semuanya 'milik' kita untuk digunakan. Kalu tak, duk fikir nak asingkan untuk hutang itu dan ini.

Dalam bab hutang ni, aku cukup respek ayah aku. Memang dia akan elak dari berhutang. Sebab tu ayah setia dengan kereta lama (dulu la) dan sekarang dengan van 2nd handnya. Bila abang ipar aku nak beli kereta pun dia pesan, beli la tunai kalu mampu. Kebetulan masa tu abang ipar aku tengah ada duit skit sebab baru balik dari US. Maka, dibeli kereta secara tunai (setelah pinjam ngan mak beberapa ribu). Bila aku mengadu nak beli motor dulu pun mak ayah tak bagi beli hutang. Diaorang tambah duit untuk beli tunai.

Mak ayah aku bukan orang berada pun. Tapi sejak dulu lagi aku lihat ramai adik beradik mak ayah, anak-anak sedara mereka (sepupu aku la) yang datang jumpa untuk pinjam wang. Kadang banyak, kadang sikit. Ayah aku kerja kerani jer dulu. Sekarang dah pencen. Mak tak kerja pun dulu. Brape la sangat pendapatan keluarga. Anak ada 10 orang. Tapi alhamdulillah cukup senantiasa. Ayah memang tidak amalkan berhutang. Bukan langsung tak berhutang, tapi amat cermat dalam soal urusan hutang piutang ni. Dan sememangnya dielakkan.

Mungkin ramai yang mengatakan dunia sekarang ni susah kalu nak elak dari berhutang. Beli kereta, beli rumah, beli perabot dll lagi semua mudah dengan hutang. Bayar skit-skit je sebulan. Mudah. Pinjaman pun banyak disediakan. Namun, berhutang sebenarnya menjerat. Tak terasa belitannya semasa ambil, namun semasa mahu menjelaskannya tentu terasa belitannya. Banyak rasanya ilmu pengurusan kewangan kena belajar dengan mak dan ayah.

Rezeki ni juga dikaitkan dengan keberkatan. Sikit yang berkat, berbanding banyak yang tak pernah cukup. Gaji ribu-ribu, tapi hutang keliling pinggang. Gaji naik ni (orang tertentu yang naik gaji la) bukan nak selesaikan hutang dengan segera, tetapi beli itu dan ini untuk tambah hutang! Kereta yang ada pun tetiba terasa buruk, barang dapur tetiba terasa sikit, baju tetiba terasa lusuh. Macam-macam la kan perancangan yang bersifat pembaziran dan keduniaan yang datang.

Alhamdulillah tak digolongkan dalam golongan yang naik gaji!

16 May 2007

Kuasa Ekonomi Melayu Terengganu

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Kalu terbaca pada tajuk mesti nampak 'berat' kan? Sesekali aku mahu memberatkan fikiran korang dengan tajuk yang berat, tetapi isi yang santai dan biasa. Lagipun aku bukanlah sekolah sampai tingkat 10 untuk menghurai teori-teori ekonomi yang terlampau tinggi di sini. Cukuplah sekiranya sekadar berkongsi cerita dan rasa. Berkongsi pandangan dan pendengaran.

Korang tahu tak yang Nur Fresh & Frozen Food dah ditutup?. Aku tak tahu bila tarikh sebenar pasaraya ini ditutup. Cuma baru menyedari setelah minggu lepas aku ke sana dengan niat membeli ayam. Aku boleh mengkategorikan diri aku sebagai pembeli ayam yang setia di situ. Walaupun bukan hari-hari, namun seingat aku 97% ayam yang aku makan aku beli dari situ. Bukan ape, harga boleh tahan dan boleh pilih bahagian mana yang nak.

Aku percaya ramai yang tidak menyedari pasaraya ini ditutup. Aku yang ulang-alik setiap hari ke pejabat melalui depan Pejabat Pos Gong Kapas pun tidak menyedari pasaraya itu ditutup sehinggalah aku berada betul-betul depan kedai terbabit. Sedih juga kerana aku tidak lagi dapat membeli ayam kesukaanku yang segar. Juga mungkin tidak dapat lagi jumpa 'awek-awek' di situ. Hehehehe.

Seminggu yang lalu juga aku diamanah untuk mengatur satu pertemuan sebuah NGO dengan peniaga Pasar Borong Darul Iman, Gong Pauh, KT. Fokus utama perjumpaan itu adalah kerana mahu mengetahui permasalahan yang dihadapi oleh peniaga di situ. Dari pertemuan itu, dan pemerhatian yang aku lakukan di sekitar pasar borong itu, maka dapatlah aku simpulkan bahawa mereka ditindas dan dizalimi.

Bayangkan sebuah pasar borong negeri tidak mempunyai bekalan air yang sewajarnya untuk tandas dan penggunaan peniaga pasar. Air yang ada adalah boreng (paip tiub). Kebetulan pula sekitar itu adalah paya, maka air yang digunakan berbau paya dan kurang jernih. Masalah yang melanda ini telah menyebabkan mereka terpaksa pergi ke tandas luar yang berjarak 100 Meter dari tapak pasar. Manakala kerja harian mereka terpaksa menggunakan air yang di boreng itu. Itulah air untuk membasuh ayam daging dan ikan.

Tempat parking (luar pasar) pula amat menyedihkan. Berlubang dan tiada penyelenggaraan langsung. Begitu juga dengan sistem jalan dan perparitan di dalam kawasan pasar. Tidak terjaga dan amat memualkan. Jika hujan, maka lubang yang ada akan menjadi lopak. Longkang pula akan menjadi pariti apabila melimpah kerana tersumbat sampah dan pasir.

Pasar ini dikatakan dalam proses dipindahkan ke suatu tempat yang baru. Namun sehingga hari ini tiada tanda yang mereka akan dipindahkan dalam masa yang terdekat. Sebagai makluman, pasar baru nanti dikatakan jauh dari tempat sekarang (wakaf Tapai) dan tidak strategik untuk dijadikan pasar borong. Ini kerana lokasinya yang jauh dari Bandar Kuala Terengganu berbanding sekarang hanya pinggir bandar.

Mengikut ilmu congakan, setiap bulan MPKT akan mengutip kira-kira RM7000 dari peniaga di sini. Sekarang ini kira-kira ada 400 peniaga yang keseluruhan adalah melayu kecuali 2 atau 3 orang peniaga mee kuning dan sayur yang terdiri dari bangsa cina. RM 7000 sebulan dikutip oleh MPKT dari lesen berniaga, tetapi dari jumlah itu hanya kira-kira RM1500 sahaja digunakan, itupun bagi tujuan mengutip sampah. Selebihnya masuk ke kantung MPKT. Bukan mahu dipersoalkan ke mana duit itu menghilang, namun kenapa MPKT langsung tidak ambil peduli nasib peniaga di sini?

Seminggu sekali aku juga akan melalui depan Mydin Mall. Dulu hampir hari-hari jika rajin melakukan exercise memanjat Bukit Besar. Aku lihat Mydin ni senantiasa penuh tempat parkingnya. Kalu ada ruang yang kosong pun tidak lama. Sebelah sana pula bangunan Giant sudah hampir siap. Persaingan makin hebat akan berlaku. Aku anggarkan 15 - 20% pengunjung Mydin akan berhijrah ke Giant nanti. Mungkin lebih lagi. Itu dari Mydin. Bagaimana pula pelanggan setia Sabasun? dan kedai runcit yang lain?

Aku cuma berminat melihat kepada permasalahan di Pasar Borong. Di situ kebajikan mereka langsung tidak terjaga. Di tambah pula infrastruktur yang ada tidak dibaiki akan menyebabkan pengunjung biasa akan beralih arah. Cukuplah sekiranya jalan yang elok dan tandas dibaiki. Sekurang-kurangnya pengunjung tidak 'geli' untuk menjejakkan kaki ke pasar borong. Apabila ada pilihan seperti Mydin Mall untuk mereka, sudah tentu mereka tidak teragak-agak untuk bertukar angin dan selera.

Ini nasib biasa Melayu di Malaysia. Selalu menjadi mangsa kepada pembangunan dan kemajuan (kononnya!). Melayu selalu berkorban menyerahkan tempat mereka kepada kerajaan untuk dibangunkan. Melayu juga yang selalu merelakan masjid / surau mereka 'dipindah' demi pembangunan. Melayulah yang sanggup menjadikan tapak rumah mereka sebagai pangsapuri mewah walaupun mereka akhirnya tercampak jauh dari arus pembangunan.

Lihat pula bangsa Cina. Kampung Cina kekal sehingga ke hari ini. Mereka kekal berniaga dan menetap di bandar. Menjaga sejarah kononnya. Kerajaan terlalu berhati-hati dalam menangani permasalahan kaum Cina. Sedangkan bangsa Melayu dirempatkan dan disisihkan. Sedangkan bangsa Melayu yang memimpin negeri ini sejak dulu. Bangsa Melayu juga dulu yang menguasai bandar KT ini. Yang masih tinggal hanyalah rumah-rumah kayu yang menunggu masa untuk dipindahkan bagi dibangunkan kawasan itu.

Maaf kerana tulisan ini agak perkauman. Tapi bukan bermaksud menafikan hak kaum Cina di negara ini. Cuma menyelar sikap pemimpin Melayu yang mengkhianati Melayu dan menyelar sikap bangsa Melayu yang tidak kisah. Seolah-olah Melayu rela diperbuat apa sahaja, selagi mana ada pampasan, maka Melayu akan sambut pembangunan itu. Pembangunan pun bukan untuk orang lain, untuk kemajuan negara ini juga. Melayu sanggup korbankan apa sahaja demi negara ini. Mintalah apa sahaja wahai pimpinan, kami bangsa Melayu akan ikut dan patuh. Asalkan jangan dilondehkan seluar kami. Itu sahaja permintaan kami!

Aku kira tidak terlewat tulisan ini walaupun sebenarnya Cina sudah lama menguasai ekonomi di negeri Terengganu ini. Namun, janganlah sedikit bangsa Melayu yang gigih itu dikhianati dan ditindas sedemikian rupa sehingga menyebabkan bangsa ini lemah dan terus lemah. Fikirlah untuk ummah sekalipun tidak mahu fikirkan soal Melayu. Jangan hanya sibuk memberi seminar dan pakej tertentu, tetapi pada masa yang sama menindas rakyat. Agaknya Melayu perlu terus layu untuk memudahkan pemimpin Parti Melayu terus berkuasa. Tak apa, Melayu sekejap sahaja sedarnya. Maaf, aku tidak maksudkan Melayu mudah lupa.

klik untuk cerita Nur Fresh sebelum ni
Klik untuk cerita Mydin Mall sebelum ni

23 January 2007

MB Terengganu Yang Tidak Cerdik!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Jumaat lepas, sementara menunggu mesyuarat, sempatlah aku membelek-belek senaskah akhbar Kosmo! Kebetulan masa tu akhbar tu je yang tidak dipegang oleh sesiapa. Sedang asyik membaca, aku terima satu sms "cepat tengok muka surat 31 harian Metro, berita ICP!" lebih kurang la sms seorang kawan. Masa tu la aku baru sedar akhbar yang aku baca tu adalah akhbar Kosmo!. Itupun setelah aku mencari-cari di halaman 31 tetapi tidak berjumpa berita ICP.

Tiba-tiba (macam ayat karangan masa sekolah rendah je. Mulakan karangan anda dengan tiba-tiba... hehehhe) aku terpandang satu berita tentang Terengganu. Berita pasal Mydin Mall yang baru dibuka semalamnya (Khamis 18 Jan). Aku yang tinggal di sekitar KT inipun tidak mengetahui Mydin Mall itu telah dibuka. Sudah beberapa kali aku melaluinya, namun aku lihat masih dalam kerja-kerja persiapan.

Di hujung artikel berita itu wartawan bertanya kepada Dato' Seri Idris Jusoh adakah dengan berdirinya Mydin Mall ini akan menjejaskan peniaga runcit yang lain. Terkejut aku bila membaca jawapan yang pada aku amatlah tidak cerdik kerana mengatakan Mydin Mall tidak akan memberikan apa-apa kesan kepada peniaga runcit lain. Alasan mudah lagi tidak cerdik adalah kerana peniaga-peniaga ini sudah mempunyai pelanggan tetap masing-masing!

Di atas adalah peristiwa pada hari Jumaat. Esok, Sabtunya aku ke sebuah fresh & frozen market di Kuala Terengganu. Sedang aku memilih ayam untuk dimasak kicap, aku terperasan yang hanya aku seorang sahaja pelanggan di dalam kedai itu! Pekerja yang ada pun aku lihat tidak bersemangat. Terpaksa berkali-kali aku memanggil pekerja yang ada untuk menimbang ayam yang telah selesai dipilih. Bila bergerak ke kaunter, lagi la aku perasan betapa sunyinya kedai itu.

Hari ini aku sekali lagi ke fresh & frozen market itu membeli sayur dan sedikit ayam. Hajat di hati mahu memasak tom yam. Hari ini ada la beberapa pelanggan lain yang bersama dengan aku. Tapi jumlahnya amatlah sedikit. Agaknya aku dan beberapa kerat inilah pelanggan tetap yang dikatakan Idris Jusoh.

Aku tidak terkilan dan tidak akan mengatakan Idris Jusoh tidak cerdik jika mengatakan akan berlaku sedikit persaingan atau para peniaga runcit perlulah menerima persaingan ini sebagai persaingan yang sihat dan apa sahaja jawapan yang agak rasional dan waras. Tetapi dengan jawapan yang begitu bersahaja aku rasa memang Idris Jusoh seorang MB yang tidak cerdik!

Aku pernah melihat sebuah pasaraya kecil bersaing dengan Pasaraya Giant di Gombak. Aku melihat kepada persaingan yang agak sihat bila pasaraya yang kecil itu menarik pelanggan dengan bermacam-macam promosi. Harga murah, risalah semasa dan pelbagai lagi yang aku kira, aku boleh dan menyukai apa yang dipromosikan itu.

Seorang kawan berkata, dia akan terus membeli di Sabasun Hypermarket. Ini kerana Sabasun ini adalah milik penuh Bumiputera Melayu Terengganu yang diusahakan oleh adik-beradik. Yang lebih menarik, Sabasun juga memboikot beberapa barangan yang jelas menyokong Amerika seperti F&N, Coca-cola dan beberapa produk lain yang aku kira jarang dilakukan oleh kebanyakan peniaga market.

Bila terbaca kenyataan Idris Jusoh itu, terfikir juga dari mana datangnya berduyun-duyun orang ke Mydin Mall jika mereka ini bukan dari sekitar Bandar Kuala Terengganu dan rakyat Terengganu. Adakah mereka inilah orang-orang yang telah dibawa masuk oleh Idris Jusoh pada Mac 2004 yang lalu? Bukan nak menuduh, tetapi nak menyokong kenyataan MB yang pada aku semakin tidak cerdik ini. Wallahua'lam

Nota: Bodoh = (adj) stupid; Not Clever; Slow at learning or understanding; in a state of stupor.
(Kamus Dwibahasa Oxford Fajar, Joyce M Hawkins, Edisi Ketiga 2003)

p/s: Nota di atas tidak ada kaitan dengan artikel. Sekadar perbendaharaan kata sahaja. Harap tiada yang memandai-mandai mengaitkan artikel dan nota. Sebarang persamaan atau keterlibatan adalah disengajakan.