04 September 2008

Permata Hatiku - Balqis II

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

“Encik, ada sesuatu yang saya nak beritahu pasal bayi encik. Isteri encik dah dimaklumkan tadi oleh doktor” Tegur seorang jururawat ketika mana aku mengiringi isteriku keluar dari Bilik Bersalin menuju Wad Selepas Bersalin.

Aku diam menanti apa yang nak dimaklumkan.

“Anak encik ni disyaki ada Sindrom Down. Ini kita tengok dari dahi dan mata dia. Tapi untuk mengesahkan kita kena bawa dia berjumpa Doktor Pakar terlebih dahulu.” Jelas jururawat tadi.

Aku sedikit tersentak. Namun cepat-cepat bertenang menerima makluman itu. Aku segera melihat wajah Balqis yang berada di celah kaki isteriku yang masih berada di atas ‘stretcher’.

Aku mengangguk bersetuju mengiyakan apa yang dikatakan oleh jururawat tadi. Memang jika sekali lihat tidak kelihatan rupa yang dimaksudkan. Aku yang menyambut Balqis di dalam Bilik Bersalin pun tidak perasan perkara ini sebelum ini.

“Tak apa. Kami boleh terima seadanya” Kataku cuba senyum sambil melihat kepada isteriku.

Selepas jururawat meninggalkan kami di katil wad, aku segera membisikkan kepada isteriku yang kedatangan Balqis ada hikmah yang tersendiri. Aku gambarkan kepadanya, terlalu ramai yang sempurna fizikal dan mental, tetapi tidak mampu menjadi seorang manusia yang sempurna. Aku jelaskan kepadanya yang aku bersedia menerima Balqis. Isteriku tersenyum kelat. Itulah perasaan kami sebenarnya pada hari pertama. Sama-sama terkejut.

Malam itu, selepas Solat Maghrib aku melakukan Sujud Syukur. Hatiku mula tenang dan benar-benar dapat menerima keadaan Balqis seadanya. Betapa syukurnya aku kerana mempunyai zuriat sendiri dibandingkan dengan insan lain yang terpaksa mengambil anak angkat. Betapa syukurnya aku kerana dimudahkan mendapat zuriat walaupun perkahwinan kami belum mencecah setahun. Aku lahirkan syukur kepadaNya atas rezeki yang diberikan itu. Alhamdulillah.

Pelbagai respon yang aku terima bila aku ceritakan perihal anak aku kepada saudara-mara dan kawan-kawan. Kebanyakannya melahirkan simpati. Tidak kurang juga yang amat positif dalam memberi perangsang.

“Sabarlah, ada hikmah yang terkandung di sebalik ujian ini” Satu SMS yang aku terima.

“Tak apa dik, budak begini biasanya rajin” Respon seorang jururawat bilamana melihat Balqis di sebelah uminya.

“Bestnya akak dapat baby gitu. Saya suka sangat budak-budak gitu kak” Seorang kawan isteriku ceria bila diberitakan tentang Balqis.

“Budak gini kena la bagi tumpuan yang lebih skit. Banyak la bersabar nak layan kerenah dia tu” Jiran sebelah rumah menasihati.

Aku dan isteri sebenarnya kini memang telah bersedia untuk menerima Balqis seadanya. Isteriku beberapa kali sebak sebelum ini bilamana kawan-kawan lain yang mula menangis bilamana diceritakan perihal Balqis. Keprihatinan dan simpati yang diberikan kami amat hargai. Walhal dia sudah bersedia menerima Balqis begitu. Mungkin sudah terbayang pada mereka bagaimana ujian untuk membesarkan seorang anak yang Sindrom Down ini.

Aku sendiri pada hari ini secara peribadi amat bersedia menerima keadaan Balqis. Kepada sesiapa yang bertanyakan khabar isteri dan anak, akan aku ceritakan keadaan Balqis yang sebenar. Aku bukan mahu menagih simpati, aku juga bukan mahu mereka menangis dan menasihatiku bersabar. Aku mahu mereka tahu bahawa aku bersedia menerima hakikat ini. Dengan kata lain, aku bangga dengan Balqis. Sungguh!.

Jika ada yang datang menziarahi Balqis dan isteriku, aku akan bertanyakan kepada mereka samada mereka perasan atau tidak keadaan Balqis. Kemudian aku akan menceritakan keadaan Balqis kepada mereka. Pada aku, mungkin yang melihat / nampak fizikal Balqis terasa akan menyinggung perasaan kami jika bertanya. Tapi pada kami menceritakan keadaan sebenar Balqis sebagai tanda kami bersedia menerima dia seadanya.

Awal minggu lalu Balqis sudah dibawa berjumpa doktor. Katanya perlu diadakan 'Kromosom Study'. Darah Balqis perlu diambil dan dihantar ke KL untuk ujian. Kami menurut sahaja apa yang dirasakan baik kepada Balqis. Menurut doktor juga, setakat ini dengupan jantung Balqis baik. Sepanjang menjaga Balqis setakat ini pun dia tidak pernah demam. Tidak terkena Kuning. Tidak banyak meragam dan cukup memudahkan.

Semoga Allah mengekalkan kesihatan Balqis dan memberi kekuatan untuk kami untuk menjadi Abi dan Umi yang terbaik untuk Balqis.

Wallahua'lam.

16 comments:

Cahaya~ said...

tahniah pakcik amdang, dikurniakan seorang cahaya mata.
kuatnya dugaan Allah itu alhamdulillah dapat dihadapi dengan tenang. insyaAllah, dipermudahkan semuanya.

btw, nama baby tu sama ngan nama nur. hehe. :)

amdang81 said...

Thanks nur..

sama nama ke? Harap-harap la nur baik mcm baby amdang ni. Hehehhe.

Anonymous said...

Tahniah amdang and zue atas kelahiran,... alhamdulillahi rabbil 'alamin. I totally understand how u feel..

serikandiku

Eriyza said...

Tahniah di atas kehadiran cahayamata sulung. Semoga kalian diberi kekuatan untuk membesarkan Balqis. Doa dan harapan agar Balqis dilindungi Allah selalu.

Anonymous said...

tahniah bro atas kelahiran cahaya mata pertama.. semoga sabar & tabah menerima dugaan ini.. setiap apa yg berlaku ada hikmahnya... InsyaAllah semuanya selamat..

senyum sokmo.. peace \/

Anonymous said...

Syukran, Amdang telah dikurniakan Allah anak dan Iman yang teguh. Tabahkan diri kerana tiada siapa yang tahu akan disebalik kejadian kecuali DIA.

Mudah2an Balqis kekal sihat dan menceriakan hidup anda sekeluarga.

ptistrader - perantau senegeri ganu kita.

Cik Lee said...

Tahniah Bro. Doaku untukmu sekeluarga.

Aku Bukan Umar Al-Khatab said...

Anak itu anugerah ilahi... oh tahniah sekali... moga sabar... ketahuilah dia asetmu diakhirat kelak... salam sayang dariku...

narumi hayashida said...

Assalamualaikum,
Pertama kali tengok gambar, dapat dirasakan bayi ini istimewa. Hanya ibubapa yang istimewa saja bakal dikurniakan Allah dengannya. Apa yang penting, Balqis tetap kan jadi kesayangan pakcik dan makcik Itqan, terlalu ISTIMEWA...!

ummu faqeh said...

Pepatah Arab ada menyebut :
"Cabaran dan kehidupan tidak boleh dipisahkan melainkan kematian Mati itu lebih mulia dari hidup yang hina Kedekut, gelisah dan takut sama ertinya dengan kehidupan yang mati"
SEMOGA ANTA SEKELUARGA DIBERI KEKUATAN DAN KETABAHAN MHADAPI SEMUA INI.BERBAHAGIALAH MENDAPAT UJIAN DARI ALLAH INI..PASTI ADA HIKMAH DI SEBALIK INI SEMUA..
Firman Allah..لا يكلف الله نفسا الا وسعها ..seseungguhnya Allah tidak akan menguji , kecuali sesuai dengan kemampuan makhluknya..

SLM TAHNIAH DARI KAMI SEKELUARGA, INSYA ALLAH, ADA KELAPANGAN KAMI ZIARAH ANTA SEKELUARGA...

wnorhaslina said...

salam..
Tahniah atas kelahiran anak yang istimewa. Anak itu rezeki kan. Ada lagi insan lain yang sudah lama berkahwin yang sangat menginginkan anak namun belum dikurniakan rezeki anak. Namun itulah , harus yakin Tuhan sangat sayangkan hambanya.

Anonymous said...

salam saudara/adik amdang81..

tahniah, sesungguhnya anak adalah amanah Allah yang tidak ternilai harganya..

semoga tabah menghadapi dugaan dan cubaan hidup ini..

sesungguhnya dunia ini hanya singgahan untuk menuju tempat abadi dan hakiki..

semoga madrasah ramadhan tahun ini memberi berkah, maghfiroh dan mendapat taqwa kepada sdr sekeluarga..

wassalam

Anonymous said...

Tahniah amdang.Terlambat lak bg tahniah. Dpt tau ni pon dari sms En.Wan. Moga murah rezeki dan dikurniakan ketabahan oleh Ilahi.

~zaminc~

Anonymous said...

Alhamdulillah...

Tahniah dari kami sekeluarga atas kelahiran permata hati kurniaan Tuhan itu.

Semoga Tuhan memberi kekuatan untuk menjalani fasa baru dalam kehidupan, menjadi abi dan ummi yang soleh/solehah insyaallah.

Anonymous said...

Salam,
Alfun mabruk buat amdang dan zue.
dah lama nak wish, tapi tak berkesempatan.
moga Allah golongkan kalian berdua di kalangan hambanya yang beriman dan bertaqwa. Dan tidaklah Allah uji melainkan dgn kadar kemampuan hambaNya. Dan sesungguhnya Allah maha tahu, amdang dan zue di kalangan hambaNya yg mampu.
nak jadi sabar mcm amdang dan zue jg..
Salam peluk cium buat balqis.

isteri mi_im& mi_im

Anonymous said...

Salam Bro Zidane & Sis Jun..
Minal `Aidin Wal Faa`izin..Bestnya dapat sambut raya tahun ni bertiga..Semuga kehadiran anakanda Balqis akan lebih menguatkan kasih sayang antara Abi dan Umi.

Anak adalah anugerah dan amanah dari Allah..Sayanginya, belailah dia selalu, salam sayang dan peluk cium dari Ibu Sue, Abah, Along, kak nini, Abg Aman, kak nani......(dan baby Muhammad Rahim Irsyad, jika diizinkan NYA..)

Wassalam..