23 September 2008

Dun Ladang Kekal milik PAS

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Petikan: Buletinonline.net

Kuala Terengganu, 22 September - DUN Ladang kekal bersama PAS apabila Mahkamah Pilihan Raya di sini hari ini, menolak petisyen pilihan raya oleh UMNO Terengganu.

Ia adalah berikutan kegagalan pempetisyen membuktikan dakwaannya bahawa kerani Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak melaksanakan tugas dalam mengendalikan kertas undi pos, Kuala Terengganu.

Dato' Tengku Hassan Tengku Omar

Keputusan dibacakan oleh Hakim Datuk Ramly Ali yang menolak permohonan UMNO Terengganu untuk membuat pemeriksaan rapi dan pengiraan semula undi pos bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang.

"Setelah menimbang semua keterangan, pempetisyen gagal membuktikan petisyen (yang memohon pemeriksaan rapi dan pengiraan undi pos). Dengan ini petisyen (UMNO Terengganu) ditolak," katanya.

Pada 28 April lepas, UMNO Terengganu memfailkan petisyen memohon pemeriksaan semula dilakukan terhadap 127 undi pos bagi DUN Ladang yang ditolak SPR pada hari pengundian 8 Mac lepas.

Petisyen tersebut dikemukakan oleh Ketua UMNO Cawangan Lorong Kemunting, Mahari Endut yang menamakan tiga pihak iaitu Pegawai Pengurusan Pilihan Raya bagi Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Md Razali Kassim, SPR dan Anggota Dewan Undangan Negeri Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar sebagai responden.

Mahari diwakili oleh barisan peguam diketuai Datuk Muhammad Shafee Abdullah manakala Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaluddin Mohd Said mewakili SPR dan Tengku Hassan pula diwakili peguam Dato’ Wan Abdul Muttalib Embong.

Pada pilihan raya umum ke-12 8 Mac lepas, calon PAS Dato’ Tengku Hassan Omar mengalahkan Bekas Exco Terengganu, Dato’ Wan Hisham yang menjadi calon Barisan Nasional (BN) dengan majoriti.

Bernama memetik kata Wan Abdul Muttalib berkata mahkamah menolak petisyen yang dikemukakan oleh UMNO Terengganu kerana tiada keterangan daripada saksi-saksi pempetisyen yang boleh membatalkan kemenangan Tengku Hassan itu.

Beliau berkata mahkamah mendapati kerani-kerani SPR telah melaksanakan tugas dengan sempurna serta mengikut undang-undang dalam mengendalikan kertas undi pos berkenaan.

Sementara itu, Dato’ Tengku Hassan berkata sejak daripada awal, beliau sudah menjangka untuk memenangi kes itu.

Sehubungan itu, beliau berkata tugasnya kini adalah untuk memberi sepenuh perhatian dalam memberikan khidmat kepada pengundi di DUN Ladang.

No comments: