27 March 2007

Perkampungan Hadhari Yang Berjaya!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Sesiapa yang mengunjungi ke Perkampungan Hadhari Terengganu 2007 di Pulau Duyong mesti merasakan program itu amat berjaya. Kehadiran yang diwar-warkan seramai 680, 000 pengunjung telah menghadiri tapak program antara menjadi bukti program itu berjaya. Kenapa tidak, bukan mudah mahu mengumpulkan seramai itu di sebuah pulau yang dulunya tiada apa pun. Jika dulu, pulau di tengah Jambatan Sultan Mahmud itu tidak menjadi tempat persinggahan pun walaupun kereta ulang-alik melaluinya. Cuma mungkin sesekali sahaja ada yang singgah membeli makanan jika pulang dari kerja pada hari khamis. Itupun sebab adanya pasar malam.

Dato' Seri Idris Jusoh dengan bangga menyebut kejayaan Perkampungan Hadhari ini yang dicetuskan Terengganu sejak 3 tahun lalu. Kini negeri lain turut berminat bilamana Pulau Pinang turut mengadakan Perkampungan Hadhari di Kepala Batas seminggu lebih awal. Idris Jusoh juga menyebut Perkampungan Hadhari pada tahun depan akan diadakan di Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man. Hanya sepelaung jaraknya dari Pulau Duyong. Bangga betul Idris.

Kerajaan negeri menyebut, pemilihan Pulau Duyong menjadi pilihan tapak Perkampungan Hadhari adalah kerana pulau ini pernah didiami seorang ulama yang dikenali dengan Tok Syeikh Pulau Duyong. Ini seolah-olah mengangkat / mengingatkan kembali penduduk pulau tersebut khususnya, dan rakyat Terengganu kepada ulama tersebut. Namun, sebelum ini program Monsoon Cup dan Cit Cat Azwan (Astro) yang turut melibatkan pulau tersebut tidak pula dikaitkan langsung dengan tokoh agama tersebut. Bantahan rakyat supaya menghormati Pulau Tok Syeikh juga tidak diambil peduli. Bahkan ada yang ditangkap kerana menyuarakan bantahan tersebut.

Mengikut pandangan Idris, Perkampungan Hadhari adalah medan bagi menyalurkan maklumat dan memberi hiburan kepada pengunjung. Maklumat yang dimaksudkan itu tentulah penjelasan tentang Islam Hadhari. Manakala hiburan pula mungkin dimaksudkan nyanyian, persembahan, dan pelbagai acara kebudayaan dan melalaikan yang disediakan.

Seorang pengunjung apabila ditanya seorang pengacara majlis, apakah pandangan beliau tentang Perkampungan Hadhari di Terengganu telah menjawab "Bagus la negeri Terengganu buat ekspo sebegini. Maknanya adalah hiburan untuk rakyat Terengganu". Pengacara majlis itu terpaksa membetulkan perkataan ekspo dengan Perkampungan Hadhari. Merah padam muka pengacara majlis tersebut.

Itulah realiti Perkampungan Hadhari yang ada sebenarnya. Tidak lebih kepada ekspo seperti juga JomHeboh!. Bezanya cuma pengacara yang ada bertudung belit, artis yang hadir pula lebih bersopan sedikit dari artis yang Azwan Ali bawa semasa program Cit Cat baru-baru ini. Beberapa artis nasyid turut dibawakan bagi menunjukkan Islamnya perkampungan itu.

Melihat kepada beberapa rancangan yang dirakam seperti Al-Kuliyyah dan Halaqah serta beberapa pameran seperti Jejak Rasul dan beberapa replika artifak rasanya belum cukup bagi mengangkat ekspo sebegitu sebagai satu ekspo yang Islamik. Apatah lagi mahu menamakan dengan satu nama yang lunak seperti Perkampungan Hadhari!. Itu belum dikira kepada pengunjung yang hadir tanpa silu berpakaian mencolok mata dan berpasangan.

Jika Perkampungan Hadhari ini diukur dengan kayu ukur Islam Hadhari, maka amat berjayalah Perkampungan Hadhari ini. Tiada lagi cacat celanya. Memang berpadanan dengan prinsip Islam Hadhari yang mencampurkan amar ma'ruf dan nahi mungkar. Memang rakyat Terengganu akan lebih faham lagi Islam Hadhari selepas adanya Perkampungan Hadhari.

Cuma, bila dirujuk kepada Islam maka terlalu banyak lompang dan koyaknya. Umpama berbaju tetapi telanjang layaknya Perkampungan Hadhari itu. Maaf, bukan mengkritik. Tetapi mencadangkan supaya Perkampungan Islam pula yang akan disusun selepas ini. Bukan setakat ditukar namanya, malah semuanya perlu kembali kepada Islam.

Usah seperti SureHeboh yang Haram menjadi JomHeboh. Bila JomHeboh nampak sosial untuk masuk Terengganu, maka ditukar kepada Perkampungan Hadhari. Tak tahu cara nak buat Perkampungan Islam? Mari sini nak tunjuk rumah Tok Guru. Biar Tok Guru yang pandu kita. Supaya Islam kita selamat. Supaya tiada lagi Islam Hadhari mahu pun sekerat hari.

Wallahua'lam.

p/s: Tetiba teringat sebuah parti yang pernah diharamkan. Maka dibubuh perkataan baru di hujung perkataan lama supaya menjadi halal. Walhal tetap berpegang kepada nilai Nasionalis dan asobiyyah. Umpama babi walaupun dipanggil khinzir, hidungnya tetap penyek. Hehehhe.

No comments: