Oleh Ust Nasrudin Haji Hasan At-Tantawi
Kebelakangan ini negara kita agak gempar dengan beberapa isu seperti wang palsu di Batu Talam dan juga doctor palsu yang beroperasi dengan membuka klinik yang tidak berdaftar.
Suatu yang palsu adalah jelas merupakan satu penipuan. Kepalsuan dicipta dengan pelbagai tujuan dan matlamat yang ingin dicapai melalui cara yang salah dan tidak benar. Ia juga adalah usaha memperbodohkan pihak lain dengan menampilkan kepalsuan dan menyembunyikan kebenaran.
Umumnya, suatu yang palsu dicipta seakan sama dengan yang tulen original). Sukar untuk membezakannya kecuali mereka yang pakar dalam bidangnya .
Hanya mereka yang memahami selok belok wang seperti kerani @ pegawai bank yang lebih memahami wang tulen dengan wang palsu. Demikian juga hanya mereka yang memahami selok belok ilmu kedoktoran yang boleh mengenal pasti perbezaan antara doktor tulen dan doktor palsu.
Masyarakat awam sering keliru dan menjadi mangsa penipuan. Doktor palsu disangka doktor tulen dan wang palsu disangka wang tulen . Begitulah dunia kita dewasa kini, terlalu banyak perkara palsu yang mengelirukan.
Demikianlah halnya dengan agama Islam. Di sana terdapat pihak yang memalsukan Islam dan disogok kepada umum kononnya itulah Islam yang sebenarnya.
Terlalu ramai ummat Islam yang terpedaya dengan Islam palsu ini sehingga mereka menyangka bahawa itulah Islam yang sebenar dan mereka tidak teragak – agak mempertahan dan memperjuangkannya.
Melalui sifir umum yang saya sebutkan tadi, hanya mereka yang memahami selok belok Islam dapat mengenal pasti perbezaan antara Islam palsu dengan Islam tulen. Sementara pencipta Islam palsu sememangnya mengetahui kepalsuan tersebut tetapi dibiarkan kepalsuan itu menipu ummah kerana mereka ingin mencapai sesuatu disebalik ummat yang terpedaya.
Kepalsuan Islam Hadhari.
Semenjak negara ini diterajui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi, Islam Hadhari diperkenalkan . Islam Hadhari lantang diperjuangkan, menghampiri pilihanraya umum 2004 yang lalu.
Mereka mengemukakan 10 prinsip Islam Hadhari [1] kepada masyarakat dan diberikan penjelasan rasmi melalui jabatan dan kementerian Islam Hadhari menjadi slogan wajib bagi kerajaan UMNO & BN memerintah.
Namun malang, prinsip 10 diabaikan begitu sahaja dengan memperlihatkan kepada umum bukan sahaja ketidaksungguhan tetapi keengganan untuk melaksanakannya.
Usahkan rakyat yang masih terpinga – pinga mengenai konsep Islam Hadhari malah penciptanya tidak menunjukkan kemahuan dalam melaksanakannya sebagaimana yang termaktub.
Pada pengamatan saya, ianya tidak akan dilaksanakan sebagaimana yang tersurat. Justeru peluang dan ruang untuk mereka melaksanakannya terbentang luas dihadapan mereka tetapi mereka sengaja mengabaikannya.
Kuasa ditangan mereka dan mandat rakyat bersama mereka. Apalagi yang membuat UMNO & BN tidak melaksanakan Islam ? sedang Allah berfirman :
و أن احكم بينهم بما أنزل الله و لا تتبع أهواءهم
Dan hendaklah kamu berhukum dikalangan mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan jangan kamu mengikut hawa nafsu mereka.
Surah al Maaidah : 49
Bukan sahaja syariat dan perundangan Islam , tetapi perkara yang berkait dengan amal islami yang umum seperti amar makruf dan nahi mungkar ternyata tidak diendahkan.
Maksiat kian menjadi – jadi. Malah kerajaan dengan seluruh kementerian dan agensinya kian galak dengan mungkar yang dilihat semakin membarah dalam negara ini.
Lihat sahaja kepada Kementerian Penerangan dengan seluruh media milik mereka, samaada cetak mahupun elektronik . Hiburan yang melampaui batas norma dan etika syari’e, temubual yang tidak berakhlak dan bermoral, iklan yang menjolok mata , mencampur adukkan antara yang halal dan haram.
Kementerian Pelancungan, sebagai contoh mudah dalam mempromosi Tahun Melawat Malaysia memuatkan dalam panduan melancung iklan seks yang memualkan. Meskipun panduan itu ditarik balik, kita belum mendapat maklumat kerajaan telah “menghapuskan” tempat – tempat maksiat atau sindiket mungkar yang telah diiklankan itu. ( suatu yang mustahil untuk didakwa bahawa kerajaan tidak menyedari dan mengetahui wujudnya industri mungkar dan maksiat )
Ironisnya, kalau kerajaan Islam Hadhari boleh merobohkan surau sebagaimana berlaku di Bandar baru Bangi , Bukit Berembang , Bujal atas alasan yang hanya mereka sahaja mengetahuinya , kenapa tidak mereka berani untuk merobohkan tempat dan pusat maksiat yang tumbuh bagaikan cendawan dalam negera ini. ( Sedangkan pertumbuhan kelab dan pusat maksiat ini bercanggah dengan prinsip 10 Islam hadhari )
Kementerian Kesenian dan Kebudayaan pula saban tahun menganjurkan hari – hari penganugerahan seni dan muzik tanahair dengan gaya majlis saling tak tumpah dengan majlis penganugerahan award di barat.
Pakaian artis, aksi dan gelagat mereka mencemarkan syariat dan sunnah pula langsung tidak menepati prinsip 10 Islam Hadhari. Tidak ada batas etika dan panduan majlis yang dikeluarkan oleh kementerian agar ianya selari dengan syariat Islam .
Malah kementerian sering melepaskan artis – artis luar ( seperti Inul Daratista, Ratu dll) masuk beraksi dalam negara kita dengan membawa imej yang terlalu asing dengan budaya ketimuran yang diagungkan selama ini bahkan jauh tersasar dari adab dan akhlak Islam.
Islam apakah yang diperkenalkan oleh UMNO & BN ini kalau tidak Islam palsu?
Ada pihak berhujjah, bahawa 10 prinsip itu benar cuma UMNO barangkali tidak berupaya untuk melaksanakannya. Hanya Pak Lah dilihat kononnya serius untuk melaksanakan Islam Hadhari sedang anak buahnya masih tidak memahaminya. Lalu lahirlah suara, ayuh kita bantu Pak Lah !!
Saudara! jangan biarkan jenaka tidak bermoral (lawak bodoh) ini menguasai minda kita.
Tidak munsabah, setelah melalui tempoh sekian lama Islam Hadhari dijadikan slogan wajib bagi pemerintahan kerajaan UMNO dan BN, mereka masih tidak memahaminya. Lebih parah apabila penciptanya ( Pak Lah ) sendiri dilihat tidak mampu untuk menunjuk contoh ke arah melaksanakan Islam Hadhari dengan prinsipnya yang 10 .
Insiden kapal mewah, “sentuhan mesra” Michelle Yeoh di satu majlis makan malam sempena Monsun Cup di Terengganu, menyimpan menteri – menteri cabinet yang berhadapan dengan tuduhan rasuah dan banyak lagi dan banyak lagi dan banyak lagi...menjadi satu bukti jelas .
Islam Hadhari dengan 10 prinsipnya hanya merupakan perkataan baik yang membawa maksud buruk dalam objektif dan matlamatnya. Sebagaimana yang pernah diungkap oleh Saidina Ali Karramallahuwajhah :
كلمة حق يراد بها الباطل
Kalimah yang benar namun apa yang dikehendakinya ialah kebathilan.
Bermaksud untuk mengelirukan masyarakat agar mereka memperolehi undi simpati masyarakat muslim sedang mereka sebenarnya tidaklah mahu mendaulatkan Islam dan syariatnya.
Oleh kerana Islam menjadi produk yang laris dewasa kini, akhirnya UMNO yang dulunya terkenal dengan fahaman sekular, kini terpaksa menggunakan Islam sebagai slogan perjuangan mereka guna mengekalkan survival kuasa mereka .
[1] 1. Keimanan dan ketaqwaan kepada ALLAH.
2. Kerajaan Adil dan Beramanah.
3. Rakyat berjiwa merdeka.
4. Penguasaan ilmu pengetahuan.
5. Pembangunan ekonomi seimbang dan komprehensif.
6. Kehidupan berkualiti.
7. Pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita.
8. Keutuhan budaya dan moral.
9. Pemuliharaan alam semulajadi.
10. Kekuatan Pertahanan.
No comments:
Post a Comment