Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...
Akhirnya Yin ditemui. Alhamdulillah. Aku sebenarnya langsung tidak tahu bagaimana mahu menolong pasangan ibubapa Yin dalam mencari anak mereka. Beberapa email yang diterima aku simpan tanpa forward kepada yang berkenaan/ kenalan. Bukan tidak mahu menolong, tetapi terasa jauh sekali aku boleh membantu. Sekadar menyatakan rasa simpati dari jauh dan berdoa dalam hati moga Yin dipertemukan semula.
Melihat pelbagai pihak membantu, hati terasa terdetik sama. Tapi bila melihat lokasi yang agak jauh dari tempat kejadian, maka terasa tidak logik untuk aku berdiri di tengah bandaraya Hadhari Terengganu ini sambil memegang poster muka Yin. Mungkin tindakan aku betul, tetapi logik akalku tidak mengizinkan aku berbuat demikian. Kenapa manusia seperti aku umumnya menggunakan logik akal semata dalam tindakan? Sedangkan burung pipit yang membawa setitik air begitu berusaha memadam api yang membakar Nabi Ibrahim a.s. Walau tahu api yang marak tidak terpadam dengan setitik air, namun mengira sedikit usaha yang dilakukan adalah amal yang baik dan akan menjadi bukti telah membantu nabi Allah itu.
Aku juga sebenarnya pelik bilamana kes kehilangan Yin begitu mendapat liputan meluas. Seluruh negara bercakap soal Yin. Semua pihak turut memberi kerjasama dalam usaha mencari Yin. Sehinggakan ada yang sanggup menawarkan hadiah jika Yin dapat dipulangkan. Pemuda UMNO mencetak baju bergambar Yin, pemuda PAS mengedar risalah/ gambar Yin, Solat Hajat juga diadakan di mana-mana. Seluruh fokus hanya kepada Yin. Aku pun hampir terlupa Pilihan Raya Kecil Machap sudah berlalu.
Walhal bukan hanya Yin seorang yang hilang. Sebelum ini pun ada juga kes kehilangan. Tapi tidak sehebat Yin. Adakah semua ini kejayaan media dalam berperanan mengangkat sesuatu isu, atau berlaku satu manipulasi isu (mengalih perhatian) daripada suatu isu yang penting dan rahsia kepada isu yang umum bersifat kemasyarakatan ini (isu Yin). Aku bukan mahu bersangka buruk, tetapi hanya meluahkan apa yang tersirat di kepala aku. Seorang kawan berkata ayah Yin kenalan Khairy Jamaludin. Aku tak tahu langsung pasal ini. Mungkin juga ya, mungkin juga tidak.
Setelah dijumpai, timbul pula isu adakah Yin diculik, ataupun dijumpai oleh satu pasangan yang dikatakan menyimpan Yin. Kepala Yin yang dicukur menimbulkan persoalan utama bila dia dijumpai. Selepas itu pihak keluarga Yin menyedari kulit kaki Yin menggelupas dan mul amengesyaki sesuatu. Aku tidak salahkan keluarga Yin jika mengadu soal keraguan mereka walaupun sebelum ini mereka berjanji memaafkan sesiapa yang memulangkan anak mereka. Mereka juga berjanji tidak akan mendakwa sesiapa yang menyerahkan Yin. Keselamatan orang lain supaya tidak menjadi mangsa turut perlu difikirkan. Cuma mungkin ada pertimbangan lain yang perlu difikirkan.
Aku berharap kisah ini berakhir dengan baik dan bahagia. Kalau boleh, biarlah keluarga Yin dan keluarga 'angkat' Yin berbaik walaupun apa yang telah berlaku sebelum ini. Sekadar mencelah dan menimbulkan rasa ragu. Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment