08 November 2006

Jihad di Terengganu I

Sejarah Dunia Melayu tidak dapat dipisahkan dengan Islam. Kedatangan Islam pada abad ke-13 ke Tanah Melayu turut disusuli dengan perkembangan yang melahirkan ribuan tokoh agama yang gigih berjuang menegakkan agama suci ini. Melalui tulisan-tulisan yang disiarkan dalam akhbar-akhbar seperti Al-Imam [1906], Saudara [1928], Majlis [1935], Warta Malaya dan sebagainya, semangat menentang penjajah ditiupkan dengan menyelar dasar-dasar penjajah Inggeris.

Negeri Terengganu mempunyai sejarah jihad yang membuktikan rakyatnya tidak ketinggalan dalam usaha mendaulat Islam. Terengganu telah melahirkan mujahid yang terkenal seperti Sheikhul Islam Terengganu atau Tok Ku Paloh, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong, Tok Ku Pulau Manis, Haji Mat Shafie Losong dan lain-lain. Dalam kesempatan ini, izinkan saya menyebut seorang tokoh daripada tokoh-tokoh di atas sebagai motivasi kepada kita untuk meneruskan perjuangan menentang anak-anak didik penjajah yang berkuasa di negeri kita pada hari ini.

Tokoh yang saya maksudkan ialah Tok Ku Paloh. Beliau bukan sahaja berpengaruh di Terengganu bahkan di negeri-negeri Tanah Melayu lain hingga ke Patani. Beliau berjuang mempertahankankan kemaslahatan Islam dan bangsa Melayu dalam menghadapi pelbagai masalah yang diada-adakan oleh penjajah British di zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin ke III. Beliau seorang ulama yang tidak takut menanggung risiko dalam perjuangan demi mempertahankan Islam dan bangsa Melayu. Beliau melindungi pejuang-pejuang Islam dan Melayu yang bermusuh dengan penjajah Inggeris pada zaman itu. Semangat jihadnya sungguh indah, menarik dan ada hembusan segar yang menghidupkan daya juang dan roh jihad. Contohnya, ketika peperangan menentang British di Pahang pimpinan Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau; mereka hampir menyerah kalah. Pada Mei 1894, mereka menghubungi Tok Ku Paloh, dan mendapat simpati daripada ulama tersebut. Mereka bukan sahaja mendapat nafas baru dalam perjuangan bahkan mereka juga mendapat perlindungan di Paloh serta diajar ilmu untuk menentang musuh mereka di Pahang.

Hugh Clifford dalam pemerhatiannya mengatakan Tok Ku Paloh telah menyeru pahlawan-pahlawan itu melancarkan perang jihad. Hasil semangat baru yang diperoleh daripada Tok Ku Paloh, serta penambahan kekuatan, pasukan mereka menjadi lebih besar dan tersusun.

Di Terengganu, Tok Ku Paloh menjadi tempat rujukan Sultan Zainal Abidin III untuk mendapat nasihat. British tidak berjaya campurtangan di Terengganu melainkan selepas kematian Tok Ku Paloh dan kemangkatan Sultan Zainal Abidin III. pada 26 November1918. Kemasukan British pada 24 Mei 1919 telah ditentang oleh anak murid Tok Ku Paloh iaitu Tuan Guru Hj. Abdul Rahman Limbong. Beliau telah memimpin gerakan jihad menetang British pada tahun 1922, 1925 dan 1928.

Terengganu juga tidak ketinggalan dalam gerakan kesedaran dan perjuangan kemerdekaan. Kempen Presiden Kesatuan Melayu Muda (KMM) Ibrahim Hj. Yaacob di sekitar tahun 1940-1941 keseluruh Tanah Melayu telah berjaya menubuhkan cawangan KMM di Terengganu. Di antara tokoh yang mengasaskan KMM di Terengganu adalah juga pengasas PAS pada tahun 1956 iaitu Muda bin Jalil atau Da Abdul Jalil

Pada tahun 1946 beberapa cawangan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) ditubuhkan antaranya cawangan Jertih oleh A. Rahman bin Muhammad, Mohd Daud Samad dan Mohd Nor Awang.

PAS ditubuhkan pada 21 Zukaedah 1370H/23 Ogos 1951 dan secara rasminya pada 26 Safar 1371H/24 November 1951. PAS Terengganu pula ditubuhkan pada 6 Julai 1956 di Madrasah Azzainiyah, Sura Gate, Dungun

No comments: