19 March 2007

XPDC Gunung Tebu 2

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

sambung skit lagi...

Menjelang waktu subuh, kokokan ayam berbunyi. Masing-masing bising bertanyakan dari mana la bunyi ayam kat puncak gunung ni. Rupanya jam loceng yang berbunyi ayam. Patutla tak henti-henti kokoknya. Sejuk usah nak cerita la masa ni. Memang sejuk. Masing-masing bangun memeluk tubuh. Tak kurang yang masih berbungkus. Alhamdulillah dalam kesejukan pagi, kami mampu gagahkan untuk mengadap Ilahi.

Tenang suasana pagi. Cikgu Sazali memberikan tazkirah ringkas sesudah subuh. Dalam masa tazkirah selesai, tanah mulai nampak. Cahaya mentari mula cuba memancar. Subhanallah. Cantiknya ciptaanMu. Akhirnya muncullah mentari dengan warna 'oren'. Menjadi bahan gurauan apabila mentari naik bersebelahan dengan bendera bulan yang kami kibarkan. Itulah hebatnya bendera bulan, tetap naik dan megah walaupun siang. ;)

Jam 7.30 masing-masing sudah bersiap untuk bertolak pulang. Namun masih ada yang sibuk menghabiskan sisa makanan. Kerak nasi, kuah sardin dan kepala ikan kering tetap menjadi rebutan. Takut kelaparan di tengah jalan. Tak kurang juga ambil peluang masa ni untuk bergambar kenangan. Maklum je semalam semua kepenatan. Tak terlintas nak bergambar.

Gambar 3: Bergambar sebelum bertolak pulang. Ni kumpulan yang terakhir. Sebab tu dah tak ramai.

8.00 pagi, kami mula bertolak balik. Perlahan je jalan. Masing-masing sibuk mengadu kaki masih lenguh. Pertengahan jalan, sekali lagi bergambar. Bergambar atas 'Batu Balassoh' (Balai Sof= Tempat Solat) Masa ni dah tak ramai. Ramai yang dah terus ke depan untuk pulang.

Selepas bergambar, terus sambung perjalanan pulang. Aku seperti biasa bersama-sama kumpulan terakhir untuk berjalan bersama. Alasan, mahu memastikan semua anak buah tiada yang tertinggal. Jadi, bila di akhir ni tak de lah diorang tahu samada kami larat jalan atau tidak. Politik.



Gambar 4: Atas Batu 'balai sof'. Masa ni matahari dah mula naik.


Aku melalui setiap jalan dengan penuh kenangan. Tempat berhenti makan pulut, tempat minum air, tempat bertembung dengan kumpulan lain, dan sebagainya. Jalan semalam yang dirasakan sukar, mula dilalui dengan senang. Jika semalam memanjat, hari ini menurun. Kurang la kepenatan. Kuranglah berhenti. Tapi berhenti tetap berhenti. Paling gembira bilamana mendengar deruan air. Maknanya dah hampir sampai. Masa tu aku dah mula melangkah laju. Tak sabar nak sampai. Nak minum. Bekalan dah abis.

Sampai ke kaki gunung (Lata Belatan) kira-kira jam 12.30. Awal 2 jam dibandingkan dengan perjalanan naik. Heheheh. Tapi terlewat beberapa jam dari orang lain. Penat terubat bilamana kawan menjemput makan nasi. Perut masa tu memang lapar. Kena pulak lauk pari bakar dengan gulai ayam dan lembu. Menambah aku makan. Sedap satu pasal. Lapar tu yang utama.

Alhamdulillah selesai satu perjalanan yang sukar dan memenatkan. Jika difikir semasa dalam perjalanan naik, mungkin terfikir untuk tidak naik lagi. Tapi bilamana merasakan betapa seronok dan indahnya pemandangan yang ada, terubat segala kelelahan. Lebih-lebih lagi teringat kesejukan air gunung.

Azam pada diri untuk terus menjadikan aktiviti sebegini sebagai aktiviti Tahunan. Jika tak mampu, mungkin cukup sekali dalam masa 2 tahun. Selain untuk riadah, sebagai mengambil 'semangat' daripada Gunung Tebu. Memang terasa lemah ketika memanjat, tapi sesudah selesai dan tamat program, aku merasakan aku 'cukup kuat!'

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!


Gambar 5: Ni gambar kenangan seorang sahabat. Katanya ini ketika dia bersama Pemuda Setiu naik Gunung Tebu pada Tahun 1997. Gambar pada tempat sama kami bergambar sebelum turun. Maknanya dia mengulang sejarah peribadi beliau 10 tahun yang lalu.

p/s: Kenangan yang terlelah... lelah yang indah.. Subhanallah!

No comments: