Lawak skit tajuk tu. Sebab nak jawab lawak oleh Tg Adnan. Kenyataan keras bilamana dia mengatakan bloggers adalah pembohong! dan 80% dari para bloggers adalah wanita menganggur. Boleh percaya ke Tg Adnan ni?
Bila Menteri buat kenyataan, Sepatutnya kenyataan itu mempunyai sumber rujukan. Bukan membuat kenyataan tidak berasas ini. Menuduh bloggers tidak mahukan perpaduan nasional, dan menimbulkan 'ketakutan' dengan membangkitkan akan berlaku perang saudara, Melayu membunuh Cina, Cina membalas dendan dan membunuh Melayu, orang-orang India pula akan membunuh setiap orang adalah satu tuduhan yang melampau.
Para bloggers bukan penyampai surat layang. Mereka ke depan bilamana hak mereka yang lain dinafikan. Mereka dinafikan hak berhimpun, hak bersuara, hak demokrasi yang adil, dan pelbagai hak rakyat yang dinafikan.
Blog adalah sebagai tempat mereka meluah perasaan. Jika membicarakan di tempat kerja, maka mereka akan dikatakan menyokong pembangkang. Jika secara terbuka tidak boleh, maka secara penulisan adalah salah satu cara yang terbaik di zaman ini. Ini zaman laptop dikelek ke hulu dan ke hilir. Bukan lagi zaman mengigit pen sambil menulis diari. Agaknya sebab wanita suka menulis diari la Tg Adnan membuat kenyataan itu.
Amaran kepada umum supaya tidak mempercayai bloggers juga seharusnya dilihat kepada sejauh mana keberkesanan dan ketelusan pihak media. Seorang menteri sendiri sebelum ini mengatakan hanya sebahagian dari berita di akhbar adalah benar.
Teringat tahun 1998/99 dulu. Pada masa itu wujud pelbagai laman pro reformasi. Berita dan artikel yang di siarkan akan dicetak dan disebarkan merata-rata. Sehinggakan kerajaan terpaksa mengatakan berita di internet adalah palsu. Kini muncul zaman blog. Hampir setiap pengguna internet (pengguna tegar?) mempunyai blog. Walaupun laman-laman pro pembangkang atau reformasi masih wujud, namun kepesatan maklumat memerlukan setiap maklumat disampaikan segera.
Laman pro reformasi sedia ada masih perlu dan mesti dikekalkan. Blog hanyalah jalan paling selamat mengeluarkan idea dan menyebarkannya. Tidak terikat dengan kelulusan webmaster bagi menunggu 'penerbitan'.
Paling tidak, blog adalah jalan mudah dan 'selamat' meluah perasaan untuk dikongsi. Berbanding photostat diari yang tulisan tangannya belum tentu boleh dibaca. Apa-apa pun, kepada semua bloggers, amanah menulis perlu dijaga. Kita akan dipersoalkan terhadap apa yang kita lakukan. Wallahua'lam.
--------------------------------------------------------------------------
Adnan: Bloggers adalah pembohong, 80 peratus dari mereka wanita menganggur
KUALA LUMPUR, 11 Mac (Hrkh) - Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor Khamis lalu (8 Mac) menyifatkan kesemua pengendali blog (bloggers) di dalam Internet sebagai pembohong dan 80 peratus dari mereka ialah wanita-wanita yang tidak mempunyai pekerjaan.
"Kesemua bloggers adalah pembohong, mereka menipu orang ramai dengan menggunakan pelbagai helah. Berdasarkan apa yang saya difahamkan, dari 10,000 bloggers yang menganggur, 8,000 adalah wanita".
Beliau berkata demikian pada sidang media Jualan Murah GP Malaysia apabila ditanya mengenai tuduhan di dalam blog seorang penyampai TV. Mereka yang hadir pada mulanya terperanjat tetapi kemudiannya tertawa.
Beliau berkata, beliau mungkin akan kehilangan sebahagian pengundi wanita tetapi beliau tidak menarik balik kenyataannya atau membayangkan beliau hanya bergurau.
Beliau berkata, bloggers menyebarkan khabar angin, menganggu keharmonian sosial dan kebanyakan bloggers suka memfitnah dan menipu orang ramai melalui blog mereka.
"Kesemua bloggers tidak mahukan perpaduan nasional. Negara kita berjaya kerana kita bertolak ansur antara satu sama lain, jika tidak, akan berlaku perang saudara, Melayu membunuh Cina, Cina membalas dendan dan membunuh Melayu, orang-orang India pula akan membunuh setiap orang".
Beliau menggesa rakyat Malaysia supaya jangan mudah mempercayai bloggers dan memperjudikan masa hadapan kita kerana pencapaian kita setelah 50 tahun merdeka bukanlah sesuatu yang mudah.
"Kita mesti menunjukkan sikap yang positif, jika dunia belajar bersikap tolak ansur seperti kita, dunia akan aman, tanpa perang atau perang saudara".
No comments:
Post a Comment