24 January 2010

Aduka Taruna, Lahanat Jebat dan Ketua Pemuda PAS

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Awal-awal pagi lagi aku dapat satu maklumat yang agak panas tentang seorang kenalan TKO asalnya, kemudian lebih menjadi kenalan di alam blog. Semuanya gara-gara satu tulisan nakal (?) dari postingnya yang sudah dipadamkan dari blog peribadinya. Dengan rasa bersalah mungkin, atau ada rasa takut dalam dirinya, maka dibuat satu posting meminta maaf dari seluruh rakyat Malaysia.

Mungkin aku tidak perlu perkenalkan dirinya, apatah lagi posting ini sudah menceritakan siapa dirinya. Jika sesiapa yang bermain dengan dunia blog yang menjurus kepada isu politik, blog berkenaan sudah tentu sedia dimaklumi. Apatah lagi blog berkenaan biasa dikunjungi kawan dan lawan dalam politik. Nak kata pro-PAS, asyik sungguh menghentam PAS. Nak dikata pro-UMNO, ditampal poster pertubuhan tidak berdaftar, PAS-Reform.

Walaupun menggunakan nama Aduka Taruna, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Aduka baru sahaja hilang terunanya. Malah kenduri di pihaknya tinggal tidak sampai seminggu sahaja lagi. Aku sendiri walaupun jauh di Terengganu turut diundang ke majlis tersebut beberapa minggu yang lalu.

Walaupun banyak perkara yang tidak aku senangi tentang Aduka, terutamanya tulisannya mengenai PAS, cara penulisannya yang tidak bertapis, tetapi secara peribadi aku masih merasakan dia seorang sahabat. Sahabat yang mesti ditegur dan perlu dibimbing. Sayangnya, keghairahannya menulis dengan buah fikirannya yang dirasakan terlampau betul itu menyebabkan dirinya benar-benar jauh dan hanyut. Apatah lagi ramai pula yang menjadi pengikutnya.

Sejujurnya aku tidak kenal rapat dengan Aduka. Tidak pernah bersua muka pun. Berhubung cuma melalui Y!M, kadang-kala meninggalkan komen pada tulisan-tulisannya. Selalunya niat untuk meninggalkan komen berakhir dengan tidak jadi. Kerana 'geram' dan ada kalanya merasakan tidak perlu dilayan tulisan-tulisan Aduka.

Menjenguk blog Aduka, maka terlihatlah suatu iklan apa yang dinamakan Aduka sebagai E-novel bertajuk "Lahanat Jebat". Walaupun aku tidak pernah membaca novel tersebut, tetapi berdasarkan tulisan-tulisan Aduka sebelum ini, melihat kepada kritikan-kritikan Aduka sebelum ini, maka tidak terlalu susah untuk menafsirkan apa yang dimaksudkan dengan E-novel tersebut.

Ketika artikel ini ditulis, Bernama sudah menyiarkan satu berita mengenai Blog Aduka. Ketika aku sedang melayari blog tersebut jam 1 pagi, 25 Januari seramai 1312 pengunjung sedang melayari blog tersebut.

Apa yang menarik, walaupun sudah merasakan akan berdepan dengan pelbagai tekanan dan sedang ditekan, Aduka memilih suatu posting yang agak menarik dengan menyerang Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Tantawi dan PASTI!

Apa yang sedang berlaku ini aku kira suatu pengajaran yang sangat berguna kepada semua. terutama Aduka yang 'berjari lembik'. Walaupun aku boleh bertanyakan apa jadi dengan kain rentang "KAMI NAK IDRIS NATANG" di Terengganu awal 2008 yang lalu? Bagaimanakah kesudahan kes tersebut dan sebagainya, namun aku mengira tindakan Aduka tetap tidak patut.

Wallahua'lam.

Nota:

Ramai kawan-kawan yang bising kerana bimbang nama PAS diburukkan dengan tindakan AT ini. Namun, bagi mereka yang mengikuti blog AT tentu dapat membezakan penyokong PAS sejati dengan penyokong PAS Reform yang konon-kononnya mendoakan ke arah perubahan PAS.
Akhirnya terserlah PAS Reform sentiasa mendoakan kehancuran PAS!

No comments: