13 August 2008

UiTM Tidak Perlukan 10 Peratus Bukan Bumiputera

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Sewaktu mengisi borang UPU suatu ketika dahulu, aku telah memilih ITM sebagai pilihan pertama. Semuanya kerana memikirkan ITM yurannya murah, serta beberapa kemudahan lain yang disediakan yang pada aku tidak membebankan pelajar. Makan percuma dan penginapan hostel juga percuma. Yuran ketika itu sekitar RM 290 bagi satu semester. Dengan segala kemudahan sebegitu, aku tidak perlukan pinjaman PTPTN.

Seminggu melalui Minggu Wawasan Siswa, berkenalan dengan abang dan kakak OC. Menyayi lagu "ITM di Hatiku" dan "Wawasan Setia Pelajar". Dalam minggu itu, semua siswi diwajibkan memakai tudung kepala. Itu peraturan. Berjalan dalam aturan sambil selawat ke sana-sini. Solat berjemaah di Pusat Islam itu wajib bagi kami pelajar baru. Seminggu yang wajib itu dan ini.

Melalui hari-hari pembelajaran lebih mengenalkan aku dengan ITM. Pada 26 Ogos 1999, Dato Seri Dr Mahathir (kini Tun) mengistiharkan ITM menjadi Universiti. Maka ITM dikenali dengan UiTM. Bumiputera tetap mengisi UiTM walaupun berstatus universiti.

Kelmarin, Tan Sri Abdul Khalid mencadangkan 10 peratus daripada jumlah semasa kuota pelajar di UiTM dibuka kepada bukan Bumiputera serta pelajar asing. Aku bilamana mendengar kenyataan itu, terus merasakan pihak UiTM akan melakukan sesuatu bagi membantah kenyataan tersebut. Telahan aku benar bilamana melihat himpunan hitam pelajar UiTM membantah cadangan berkenaan.

Agaknya Tan Sri Abdul Khalid tidak tahu bahawa pelajar-pelajar UiTM bukan sembarangan. Mereka pantang dicabar. Sebelum ini, merekalah yang diangkut oleh Umno sebagai Putera dan Puteri Umno ke mana-mana himpunan.

Jika di Terengganu suatu ketika dahulu diadakan Himpunan Gelombang Biru, pelajar-pelajar UiTM jugalah yang diangkut. Biru kata Ibrahim Abu Shah, birulah pelajar UiTM. Hitam kata Ibrahim Abu Shah, maka hitamlah yang mereka pakai semalam.

Jika aku ditanya keperluan 10 peratus bukan Bumiputera menyertai UiTM, maka aku akan menjawab TIDAK PERLU sama sekali. Kenapa tidak perlu?

Masuklah ke kampus UiTM, atau berjalanlah di tepi pagar UiTM. Lihatlah suasana yang ada di kampus tersebut. Aku percaya ada diantara kalian yang akan mengatakan 50 peratus pelajar UiTM adalah dari bangsa asing dan bukan Bumiputera. Malah, mungkin ada yang mengatakan MAKHLUK ASING turut berada di UiTM.

Lihatlah pada pakaian, akan terlihat bukan Bumiputera yang berjalan ke bilik kuliah. Lihat pula pada stail rambut yang digayakan, entah makhluk asing yang mana datangnya. Jika dilihat di Pusat Islam (Masjid UiTM) pada waktu solat, tidak sampai 10 peratus Bumiputera berada di sini. Lihat di kafeteria, terlihat anak-anak cina dan minah saleh bergurau senda.

Atas semangat Bumiputera mungkin, banyak pelajar lelaki dan perempuan sentiasa berkepit bersama. Tanpa malu dan segan. UiTM juga tidak terlepas dari kilang anak luar nikah. Mayat bayi dijumpai di dalam kampus bukan sekali dua dilaporkan. Kes pelajar menjual tubuh bersambung dari satu generasi ke satu generasi. Pihak UiTM yang juga kebanyakannya Bumiputera sememangnya akan menutup kes-kes yang ada sebagaimana IPT yang lain.

UiTM memang sewajarnya diperkasakan. Tukar sahaja Naib Canselor yang terlebih sifat Melayu itu kepada yang lebih layak dan berkaliber. Ibrahim Abu Shah adalah NC yang bertanggungjawab memansuhkan silibus UIS (Subjek Agama) kepada silibus lain yang teramat bersifat Hadhari. NC ini juga diawal perlantikannya menyekat aktiviti agama di Pusat-pusat Islam UiTM dan telah mengharamkan Persatuan Mahasiswa Islam UiTM.

Melihat kepada perarakan pelajar UiTM dalam berita TV malam tadi memperlihatkan betapa seronoknya mereka berarak. Sambil melambai-lambai tangan, seolah-olah girang dengan apa yang disuruh oleh NC mereka itu. Apa tidaknya, kelas tak perlu hadir. Soal marah, aku percaya langsung tidak ada dan tidak kisah. Itulah sebenarnya sifat yang ada pada kebanyakan mahasiswa UiTM.

Komen Tan Sri Abdul Khalid mungkin silap dan di luar bidang beliau. Namun, pada aku sekiranya dikatakan UiTM perlu menukar NC yang ada, aku akan bersetuju 100 peratus.

Wallahua'lam.

amdang: Aku ni 50 peratus yang tidak termasuk dalam golongan makhluk asing! ;)

----------------------------------------------------------
Nota: Bumiputera adalah terdiri dari pelbagai bangsa di Malaysia. Namun, istilah Bumiputera ini sangat sinonim dengan Melayu Islam di Semenanjung. Namun keterlibatan Bumiputera yang lain seperti Orang Asli, Cina Sabah / Sarawak dan lain-lain keturunan di Sabah dan Sarawak adalah sangat kecil.

Tulisan ini bukan berniat menyentuh isu 10 peratus Bumiputera sangat, tetapi sebagai pandangan awam terhadap budaya dan apa yang berlaku di Malaysia pada hari ini khususnya kepada belia terpelajar yang begitu membimbangkan. Tanpa 'dijajah', kita tetap terjajah!

2 comments:

narumi hayashida said...

Makhluk Asing di UiTM agaknya yang membantah tu, hehehe

Anonymous said...

uitm pon dah jadi bahana politik ka???