20 August 2008

Datuk Wira Ayob Yaakob: Dari Batu Burok ke Permatang Pauh

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Mungkin ramai yang tidak menyedari Datuk Wira Ayob Yaakob yang kini bertugas sebagai Ketua Polis Pulau Pinang adalah bekas Ketua Polis Terengganu. Ayob dilantik sejak 16 Jun 2008 yang lalu selepas tempatnya di Terengganu diganti oleh Pemangku Senior Asisten Komisioner I (SAC I) Sidin Abdul Karim, Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Aku sebenarnya sudah lama berniat menulis sesuatu berkaitan pertukaran Ayob ke Pulau Pinang. Namun, kerana tidak mahu selamanya bersangka buruk dengan pihak polis, maka aku diamkan sahaja dengan beranggapan ianya adalah pertukaran biasa.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar ketika hadir di sesi taklimat mengenai persiapan anggota polis pada pilihan raya kecil Permatang Pauh di Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Tengah. Turut hadir Ketua Polis Negeri Datuk Wira Ayob Yaakob (kanan).

Ingatkah kalian kepada Peristiwa Berdarah Batu Burok 8 September 2007 (PBB 809) yang lalu? Aku percaya peristiwa itu masih segar dan masih merah dalam ingatan ramai pihak. Insiden di mana dua orang penyokong PAS telah ditembak menggunakan peluru hidup oleh anggota polis Terengganu. Insiden yang dipercayai dirancang akhirnya terbongkar apabila pelbagai kekeliruan timbul dan didedahkan. Rakyat tidak akan lupa riben merah di bahu SB,

Datuk Wira Ayob Yaakob, merupakan Ketua Polis Terengganu ketika berlakunya kejadian PBB 809. Datuk Wira Ayob (Ketika itu Datuk) telah dilihat memberi kerjasama yang cukup baik kepada Kerajaan UMNO Terengganu pimpinan Idris Jusoh dalam menjawab dan memberi penjelasan berkenaan isu PBB 809 tersebut. Seolah-olah satu kumpulan dengan UMNO, Ketua Polis Terengganu terbabit menawarkan diri untuk dipanggil memberikan penerangan dan taklimat berkaitan isu tersebut.

Datuk Wira Ayob (ketika ini Datuk) sedang memberikan penerangan berkenaan PBB 809 di Wisma Darul Iman tahun lalu.

Kerana politik juga, beberapa foto individu tertentu yang diambil gambar mereka pada malam kejadian PBB 809 dimuatkan di dalam akhbar dan diminta menyerah diri kepada pihak berkuasa. Sehingga hari ini kes PBB 809 masih dalam perbicaraan.

Datuk Wira Ayob Yaakob kini bukan lagi berkhidmat di Terengganu. Dosanya membiarkan si polis yang melepaskan peluru hidup bebas masih dikenang penduduk Terengganu. Suwandi dan Azman yang menjadi mangsa sudah tentu masih kekal parut di tubuh mereka, namun luka di hati mereka sudah tentu masih merah berdarah.

Hari ini, kepanasan Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh melonjak kembali nama bekas Ketua Polis Terengganu itu. Apatah lagi bilamana beberapa keping gambar individu didedahkan kepada media untuk disiarkan yang kononnya membantu siasatan insiden yang telah mencederakan wartawan.

Harakahdaily melaporkan insiden memukul jurugambar berkenaan sebagai satu kejadian aneh. Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengatakan tiada sebab mengapa dua jurugambar itu perlu dipukul oleh ahli KeADILan kerana tidak ada sebarang kejadian yang menimbulkan kemarahan penyokong Pakatan Rakyat.

Peliknya, dalam banyak-banyak kes, insiden politik memihak kepada UMNO dan BN sahaja yang sibuk dijaga oleh Ketua Polis yang seorang ini. Bukan mahu bersangka buruk, tetapi tindakan dan keputusan yang diambil dilihat begitu. Apakah pihak polis terus digunakan untuk merancang rusuhan sebagaimana PBB 809?

Jika tindakan pro-aktif sebegini dilakukan, (mendedah muka pesalah di akhbar) mungkin wajah-wajah penderhaka kepada Tuanku Sultan yang digelar NATANG oleh pihak-pihak terbabit juga patut disiarkan di dalam akhbar dan media. Kes ini juga terus senyap. Apakah berlaku pendakwaan atau tidak, rakyat langsung tidak mengetahuinya.

Polis melenting jika dikatakan anjing UMNO dan BN oleh sesetengah pihak. Merasa terhina dengan logo berkepala anjing, 'bertuhankan' C4 dan RM semata. Namun, realiti dan kebenaran yang ada sukar menafikan begitulah polis diperKUDAkan ( jangan baca ANJING. Polis marah).

Bukan tidak percaya kepada pihak polis yang ada. Tapi ternyata tindakan dan keputusan yang diambil selalunya tidak boleh dipercayai dan diyakini. Bukang sangsi dengan kebijaksanaan polis, tetapi selalunya kesangsian yang diperlihatkan oleh pihak polis dalam menangani kes-kes terutamanya melibatkan politik.

Apakah pertukaran Datuk Wira Ayob ke Pulau Pinang tersimpan suatu agenda yang besar? Mungkin Datuk Wira Ayob Yaakob ada jawapannya!

Wallahua'lam.

No comments: