Showing posts with label cetusan rasa. Show all posts
Showing posts with label cetusan rasa. Show all posts

09 June 2009

Apabila Blog Tanpa Posting...

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Dua minggu lebih blog ini menyepi. Sepi sungguh. Aku sendiri tidak merasakan ianya sesuatu yang disengajakan walaupun ada unsur disengajakan. Terkilan juga tidak membuat posting apatah lagi banyak cerita-cerita menarik yang perlu dikongsi. Dari cerita stadium Sultan Mizan Zainal Abidin diruntuhkan raksasa di Terengganu sehinggalah cerita kehangatan Muktamar PAS dari stadium Malawati, Shah Alam.

Stadium Runtuh

Menjadi bahan lawak bilamana gambar raksasa menyerang Stadium Sultan Mizan bertebaran di internet samada email mahupun blog. Walaupun menyedari ianya merupakan suatu gurauan semata, namun sebenarnya ianya menggambarkan betapa kita masih kekurangan Ultraman dalam menyelamatkan Malaysia. Hidup Ultraman!

Apabila stadium runtuh, pelbagai pihak dipersalahkan. Kontraktor, JKR, Idris Jusoh, Ahmad Said, Bangla buruh stadium, tukang sapu, UMNO dan BN mahupun exco-exco terdahulu mahupun sekarang. Lebih menarik apabila masing-masing cuba persalahkan masing-masing. Walhal masing-masing punya saham untuk dipersalahkan.

Apapun, Idris Jusoh adalah paling kecewa dan teruk terkena tempias. Sudahlah segala projek mega yang dibina di zamannya digunakan Ahmad Said, bilamana ianya rosak dan bermasalah, semuanya diberikan kepada Idris. Tahi juga yang Idris dapat. Padan Muka!

SPM dengan 10 Subjek

Hebatnya TPM kita yang baru apabila turut menjawat Menteri Pendidikan. Dalam masa beberapa minggu menjadi TPM sudah memberi idea bernas untuk menghadkan 10 subjek sahaja untuk peperiksaan SPM. Genius, pintar, geliga dan bijak sifir! lebih penting cepat dan cukup drastik.

Mungkin Muhyiddin Yassin tidak perasan bagaimana kecewanya pihak-pihak tertentu bilamana isu PPSMI yang tidak selesai terus ditangguhkan keputusannya bilamana kajian dan pandangan pihak tertentu MENOLAK PPSMI! Sedangkan isu SPM dengan 10 subjek ini cepat sahaja keputusannya.

Suatu yang perlu tidak terlepas pandang adalah subjek teras kepada SPM itu sendiri. Sebelum ini subjek teras ada 6 iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Pendidikan Islam atau Moral. Jika ianya dikurangkan apakah subjek yang akan menjadi mangsa? Apakah Sejarah dan Pendidikan Islam atau Moral?

Ramai melihat isu menghadkan 10 subjek ini tidak lebih kepada pengukuhan PPSMI yang sudah ditentang banyak pihak. Kini timbul pula isu Bahasa Inggeris mahu dijadikan subjek wajib lulus.

PAS dan Muktamar

Alhamdulillah selesai sudah muktamar PAS. Tapi walaupun sudah selesai semacam masih belum selesai sahaja lagi. Kepada yang menang dalam pemilihan, terima amanah dengan penuh rasa tanggungjawab. Kepada yang tidak terpilih, perjuangan bukan dengan jawatan. Betapa ramai pejuang di dalam PAS yang turut berjuang, tetapi tiada jawatan. Mereka ikhlas, dan amat ikhlas dan penuh ketelusan dalam perjuangan. Merekalah pejuang yang tiada nama.

Wallahua'lam.

03 December 2008

Permata Hatiku: Balqis III

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum wbt...

"Pasal berat dia ni, memang budak yang ada Sindrom Down graf dia tidak sama dengan budak lain. Lambat skit. Itu normal bagi dia. Ada apa-apa lagi nak tanya?" Soal Dr Rohaya kepada aku dan isteri. Ketika itu kami memaklumkan yang berat Balqis baru sahaja 4.05 kilogram (Umur 3 bulan).

Aku senyum kepadanya dan mengatakan tiada apa-apa. Isteriku diam sahaja tanda juga tiada apa-apa lagi persoalan. Ketika itu Balqis sudah terlena dalam pangkuan uminya.

Minggu sudah kami ditunjukkan keputusan ujian darah Balqis. Hasilnya Balqis memang positif Sindrom Down. Kami ditunjukkan keputusan (47,XX,+21). Kata Dr Rohaya normal adalah 46, XX. Aku tidak tahu sangat. Tapi aku pernah terbaca yang sindrom down juga dikenali dengan Kromosom 21.

Kami sudah jangka keputusan ujian tersebut. Pada kami tiada apa-apapun dengan keputusan tersebut. Cuma segala persoalan terjawab jelas kini. Langsung tiada terasa kurang.

"Dia ni boleh dikategorikan sebagai Kanak-kanak Istimewa" Sambung Dr Rohaya. Matanya melihat kepada aku, kemudian beralih kepada isteri. Aku mengangguk akur.

Mainan Pertama Balqis

Terus di kepalaku teringat kepada suatu peristiwa yang diceritakan isteriku di satu majlis jamuan makan. Ketika itu isteriku meninggalkan Balqis di atas sofa untuk mengambil makanan. Ketika sedang makan, dia terdengar perbualan seseorang dengan seorang makcik yang berada di sebelah Balqis.

"Dia cacat skit" Jelas makcik yang berada di sebelah Balqis. Tersentak isteriku yang tidak jauh dari situ. Sedikit kesal bilamana perkataan cacat digunakan kepada Balqis.

Aku apabila mendengar kembali cerita itu turut terasa. Namun aku dapat menerima hakikat yang ada. Cuma penggunaan istilah cacat memang dirasakan sedikit kasar bagiku. Mungkin suatu ketika dahulu penggunaan istilah itu tiada apa-apa yang silap pada diriku. Namun, setelah sendiri berada di tempat ini barulah aku menjadi lebih memahami.

Balqis posing untuk blog Abi.

Kami sempat berbincang seketika dengan Dr Rohaya tentang rawatan Stem Cell terhadap individu Sindrom Down. Nampaknya Dr Rohaya tidak banyak mengikuti perkembangan mengenainya. Mungkin juga bidangnya tidak menjurus kepada penyakit ini. Aku banyak mengikuti maklumat tentang Sindrom Down ini melalui internet sahaja.

Beberapa hari sesudah bertemu Dr Rohaya, isteriku mula bertanya perasaanku ketika dimaklumkan keputusan tersebut. Sebenarnya aku tidak menyangka soalan tersebut akan diajukan. Aku menjelaskan yang aku sedia menerima Balqis seadanya.

Aku merenung isteriku. Aku melihat ada sedikit tanda harapan ujian tersebut negatif pada wajahnya. Sungguh, sebenarnya tiada siapa mahu anaknya tidak seperti orang lain. Sihat, cantik, bijak, dan aktif. Melihat ia membesar tanpa ada rasa bimbang. Boleh berdikari dan sebagainya.

Sebenarnya walaupun keputusan adalah positif, namun pada kami ianya adalah sangat minor. Balqis sihat, aktif dan tidak kurang bijaknya. Kata Uminya, bijak macam Umi. Dia akan menjawab setiap agahan kepadanya. Cantik sahaja pada pandangan kami. Pendek kata tiada apa pun yang kurang.

Siapa bilang gadis Melayu tak menawan?

Kami sebenarnya sangat bersyukur atas kesihatan Balqis. Aku pernah bertemu dengan seorang bapa yang anaknya turut mengalami Sindrom Down. Ada masalah jantung, tidak boleh meniarap, dan mesti diberi perhatian sentiasa. Berat anak tadi juga agak bermasalah. Mesti menjalani pembedahan demi pembedahan. Ketika itu terasa betapa jauhnya bertuahnya kami.
Hidup ini jalannya ke depan. Jika mahu mengejar impian, lihatlah siapa yang ada di hadapan. Namun, sekiranya jatuh tersungkur, terasa tewas, lihatlah di belakang. Percayalah kita masih tidak ketinggalan- amdang81
Wallahua'lam.

p/s: Thanks sayang kerana sentiasa kuat di belakang abang.

07 May 2008

Politik dengan kawan-kawan

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Hidup memang penuh dengan politik. Politik bukan hanya soal menggunakan kuasa, tetapi juga skills. Bukan sekadar melaksanakan, tetapi juga berfikir samada sesuatu tindakan itu tepat atau tidak. Sebab itu perlu senantiasa muhasabah diri, dengar komen-komen dari pelbagai sudut dan tidak malu untuk meminta maaf.

Ini cerita politik persahabatan. Bukan tiada isu politik kepartian, tetapi aku lebih suka membawakan isu ini terlebih dahulu. Politik dalam persahabatan perlu dan memang penting bagi memastikan kawan-kawan tiada kecil hati dan persahabatan terjalin sihat dan berkekalan. Tolak ansur itu politik, boikot juga politik dalam bersahabat.

Sebelum lebih mengarut, terlebih dahulu aku mohon kemaafan kepada beberapa orang sahabat yang telah melangsungkan perkahwinan beberapa hari sudah. Maaf kerana lambat ucap tahniah dan maaf kerana tidak menghadiri undangan (bagi yang mengundang).

Aku masih ingat 2 tahun sudah. Seorang sahabat (aku namakan A je) telah berkahwin tanpa mengundang sahabat-sahabat yang lain. Bila sahabat A tadi mengumumkan perkahwinannya dalam Yahoo!group, maka riuh seketika. Setelah dijelaskan sebab dan alasannya yang memang terpaksa mengadakan majlis secara kecil-kecilan itu, kami semua memahami dan menerima alasannya. Malahan, semua memberi sokongan kepada sahabat tadi atas tindakannya itu.

Aku sedikit terkejut sebenarnya dengan tindakan berani sahabatku itu. Mudah cerita, si A tadi berkeras dengan ayahnya mahu mengahwini seorang gadis kampungnya walaupun ditentang si ayah. Semoga mereka terus bahagia dan si ayah dan keluarga dapat menerima pasangan sahabatku itu.
Gambar hiasan semata-mata.

Walaupun pengumuman sedikit lewat, namun kerana didahului dengan permohonan maaf dan maklumat yang diterima secara langsung dari sahabatku si A, maka aku kira kami semua cepat kendur dan mudah memaafkannya. Aku tidak tahu apa akan jadi sekiranya berita perkahwinannya itu sampai ke telinga kami dari sumber kawan-kawan yang lain. Mungkin kami akan sedikit terkilan dan kecewa.

Aku sendiri sebelum ini bertunang dalam tempoh yang agak lama. Hampir-hampir setahun. Namun, oleh kerana masing-masing pandai menyimpan rahsia, dekat-dekat tarikh perkahwinan kami baru la ada beberapa orang yang tahu perihal kami bertunang. Kebetulan ketika itu sudah agak hampir dengan tarikh pernikahan. Maka, aku cepat-cepat mengumumkannya sebelum orang lain dapat tahu dari sumber lain selain aku.

Pada aku, beberapa perkara penting pada kita dan penting pada pandangan sahabat-sahabat perlu dijaga. Perkahwinan, kematian, sakit dan kelahiran anak perlu dikongsi. Mungkin kita sukar mahu berkongsi kesakitan atau penderitaan, namun kegembiraan aku kira sewajarnya dikongsi bersama. Walaupun berita gembira itu sekadar pengumuman tanpa jemputan kenduri dan sebagainya. Berita itu sudah memadai bagi yang memahami.

Aku masih ingat bilamana aku mengumumkan tarikh perkahwinan kepada kawan-kawan, ramai yang gelak dan menyangka aku bergurau. Ketika itu kad belum siap, jadi aku umum terlebih dahulu. Bimbang jika kawan-kawan mendapat maklumat dari sumber lain, dan berkecil hati. Maka, aku umum terlebih dahulu. Alhamdulillah dalam bab pengumuman, aku kira berjaya.

Namun dalam soal kad undangan, aku agak mengecewakan kawan-kawan bilamana ramai yang mengadu dan menunjukkan sikap kecewa bila tidak mendapat kad. Sedikit terkilan kerana aku agak berkira ketika itu untuk membuat kad dalam jumlah yang besar. Nampaknya persepsi kad jemputan masih perlu bagi menunjukkan kesungguhan kita menjemput mereka. Itu pengajaran yang aku dapat.

Hmmmm. Sekadar berkongsi rasa sambil melepaskan sedikit keluhan terhadap seorang sahabat. Apapun, setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Wallahua'lam.

p/s: Jika ada yang mahu mengundang aku, pada aku kad tidak perlu. Berikan sahaja alamat dan panduan selengkapnya. Cukup SMS peringatan takut-takut aku terlupa tarikh bahagia itu.

20 April 2008

Tali Pinggang Keledar Belakang: Wajarkah?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Isunya keselamatan. Pakai tali pinggang untuk keselamatan. Penggunaan tali pinggang keledar bagi penumpang belakang kenderaan itu dikatakan mampu mencegah 350 kematian setahun mengikut statistik polis. Perkara ini disebut oleh Ketua Pengarah JKJR Datuk Suret Singh.

Bagi rakyat, isunya amat berlainan sama sekali. Tali pinggang keledar belakang bermakna mengurangkan penumpang. Jika dulu satu keluarga sejumlah 8 beradik boleh menaiki sebuah kereta, bermakna sekarang ianya akan menjadi satu kesalahan. Amalan meriba adik beradik mungkin tidak berlaku lagi.

Rata-rata rakyat Malaysia memiliki ahli keluarga yang ramai. 5 atau 6 orang anak itu perkara biasa. Bahkan sesetengah tempat, 8 hingga 10 pun masih biasa. Jika 5 anak, dicampur dengan bapa yang memandu dan ibu disebelah, maka sudah menjadi 7.

Jika penggunaan tali pinggang belakang dikuatkuasakan, sudah tentu paling sesuai dan relevan hanya 5 pengguna. 1 pemandu dan 4 penumpang. Jika anak kecil, mungkin sesuai diriba. Tapi, bagaimana jika semuanya sekitar sekolah rendah dan sekolah menengah. Tentu berdepan dengan kesukaran dan bermasalah. Apatah lagi jika ianya satu perjalanan yang penting seperti balik kampung dan sebagainya.

Avanza, kenderaan MPV mungkin boleh dilihat sebagai satu penyelesaian kepada masalah ini. Namun, berapa ramai rakyat Malaysia mampu menggunakan kenderaan ini. Rata-rata masih selesa menggunakan Kancil dan Kelisa. Mudah menyelinap, harga murah dan minyak kecil. Pendek kata, itu sahaja yang termampu.

Aku amat berharap penguatkuasaan ini tidak berlaku. Pendidikan keselamatan itu yang penting. Namun, soal tidak menyusahkan rakyat perlu diambil kira. Jangan sampai rakyat melihat semuanya tidak kena dengan pentadbiran yang ada.

Wallahua'lam

19 April 2008

Khutbah dan keberkesanannya kepada umat

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Suka untuk aku kongsi satu isi khutbah yang aku dengar semalam. Khutbah tu dari Kerajaan Negeri Terengganu. Namun, aku tidak pasti khutbah itu dikategorikan sebagai Khutbah Hadhari atau tidak. Maklum la Mat Said dilihat mula melenyapkan perkataan Hadhari dalam pentadbirannya.

Khutbah semalam tu bertajuk "Bersama Menangani Gejala Sosial". Isunya remaja dan gejala sosial. Biasa la jika isunya gejala sosial, maka adalah disebut tentang budaya-budaya yang menular di kalangan remaja sekarang. Kemudian turut disebut peranan ibubapa, masyarakat dan pimpinan bagi menangani masalah ini.

Aku tertarik dengan satu persoalan yang dilontarkan khatib kepada remaja-remaja hari ini. "Apakah Pendidikan Agama yang mereka pelajari di sekolah dan di rumah belum mencukupi? Atau apakah punca sebenar masalah ini, sehinggakan gejala sosial ini kian berleluasa dan menjalar di bandar dan di kampung?"

Nada itu ditekan dengan rasa cukup kecewa. Kecewa bilamana remaja-remaja hari ini seolah-oleh sudah 'tidak makan diajar' lagi. Seolah-olah kita hari ini telah melakukan yang terbaik kepada anak remaja kita hari ini bagi menangani segala permasalahan.

Khutbah juga menegur betapa teruk prilaku anak-anak remaja hari ini apabila budaya barat ditiru dan artis dipuja. Hampir semua penyakit budaya disebut dari A hingga Z. Hampir tiada yang terkecuali. Dari atas kepala, hingga ke hujung kaki. Memang memalukan mendengarnya.

Satu punca yang aku tunggu-tunggu disebut oleh khatib, namun tidak disebut sehingga akhir cukup mengecewakan aku. Peranan media massa samada bercetak mahupun elektronik dalam membawa budaya-budaya ini. Bukan berniat menyalahkan 100% media yang ada ini, namun itu adalah realiti yang ada,

Pada aku, peranan kedua-dua media ini sangat besar pengaruh dan kesan yang diberikan kepada perubahan sikap masyarakat. Hiburan melampau yang dihidang melalui pelbagai program TV samada realiti mahupun fantasi, dan liputan meluas aktiviti hiburan menerusi akhbar dan majalah sungguh melampau.

Ini jauh jika dibandingkan ruangan atau pembahagian masa yang disediakan untuk rancangan agama atau berinformasi sihat. Apatah lagi masa yang disediakan untuk ruangan agama di TV misalnya cukup terbatas. Bicara Mufti disiar seawal jam 6 pagi dan diulangsiar pada tengah malam (seingat aku). Forum perdana dan Al-Kuliyyah hanya seminggu sekali. Pembelajaran agama di sekolah? Cukup jika aku katakan tidak dipandang penting kerana tidak masuk peperiksaan utama.

Aku juga suka menyentuh Khutbah Jumaat yang dilihat gagal memberikan maklumat yang baik dan menepati kehendak masyarakat. Aku berkata begini kerana khutbah yang dibaca teksnya kadang-kala tidak menyentuh masyarakat lantaran setiap tempat berlainan masalah dan penyakitnya.

Sebelum khutbah dibaca, seorang jawatankuasa masjid telah berdiri dan membuat beberapa pengumuman. Di samping pengumuman biasa, beliau juga telah membuat beberapa teguran khusus kepada anak-anak remaja yang dikesan tidak solat, sebaliknya bermain-main di belakang. Selain itu turut ditegur perlakuan anak-anak yang semakin berani membuat vandalisme mahupun jenayah. Para bapa juga dipesan menjaga perlakuan anak-anak.

Pada aku, sepatutnya teguran bersifat setempat itu sewajarnya diselit sahaja dalam khutbah. Ini kerana pengumuman sebelum khutbah biasanya tidak mencapai sasaran yang banyak. Budak-budak muda sudah tentu lewat datangnya. Jemaah juga agak berkurangan ketika itu. Lagipun, isu setempat lebih akan diambil perhatian dari isu yang langsung tidak menyentuh dan berkaitan mereka.

Bayangkan sahaja khutbah menyebut perihal budaya bertatu dan bersubang di telinga bagi lelaki pada masyarakat kampung. Budaya itu terlalu jauh sifatnya berbanding budaya lain seperti merempit, pergaulan bebas, lepak, dadah dan sebagainya. Di sinilah aku lihat betapa medium khutbah yang ada masih gagal menepati kehendak masyarakat.

Mungkin Khutbah Multimedia dilihat moden dan membanggakan. Namun sekiranya isu dan isinya masih kaku dan jumud tanpa pengubahsuaian dari khatib, maka kekal lah khutbah itu dilihat rendah mutunya dan tidak menepati sasaran. Mungkin sahaja khatib yang ada tidak punya upaya mengubah khutbah, atau memang arahan tidak membenarkan khutbah diubah sedikitpun.

Maka, kekal lah khutbah dilihat sebagai suatu ucapan yang tidak menarik, dan lebih dilihat sebagai 'waktu rehat' untuk melelap mata. Langsung tidak ditunggu, sebaliknya dinanti bila mahu tamatnya khutbah.

Wallahua'lam