19 March 2008

Akhirnya Rakyat Terengganu Bersuara

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Akhirnya rakyat Terengganu sudah mula bersuara tentang pemilihan MB Terengganu. Maklum sahaja sudah lebih seminggu BN Terengganu menang selesa di Terengganu, namun sehingga hari ini pelantikan MB belum dilakukan. Semuanya dikatakan berpunca dari sikap Deris Jusoh yang tidak disukai pihak Istana Terengganu. Sebelum ini cakap-cakap itu kurang dipercayai, namun apabila 10 hari berlalu tanpa sebarang pelantikan, sudah tentu jelas bahawa Deris memang bermasalah dengan sultan.

Mengikut maklumat, memang Deris Jusoh kurang beradab dengan Tuanku Sultan Mizan sehinggakan ada yang menyifatkan penggunaan bahasa "I dan You" sahaja bila berbicara dengan baginda Tuanku. Sungguh kurang sopan dan biadab jika benar itulah cara Deris berbicara dengan tuanku. Patutlah dalam banyak perkara Deris selalu membelakangi sultan. Cakap pun sudah sebegitu, apatah lagi perlakuan.

Mengikut sumber buletinonline, telah ada pihak-pihak tertentu yang telah bangkit menyatakan sokongan kepada pihak istana bagi menyelesaikan apa yang dikatakan kemelut pelantikan MB Terengganu. Beberapa banner telah dinaikkan kelmarin bagi menyatakan sokongan kepada tuanku, namun banner itu tidak dapat bertahan lama kerana ada pihak yang berkepentingan melihat situasi itu tidak menguntungkan mereka.

Mengikut maklumat, banner-banner itu dipasang pada malam hari dan tidak sampai jam 8 pagi, banner terbabit sudahpun dibuang. Jika dikatakan pihak MBKT dan perbandaran yang terlibat membuangnya, sudah tentu ianya dilakukan pada waktu bekerja.

Aku tidak pula pasti pihak mana yang bertanggungjawab menggantung dan menyokong tuanku itu, tapi melihat kepada gerakerja ianya mungkin dilakukan oleh pihak-pihak UMNO yang telah dinafikan hak mereka menjadi calon dalam PRU 12 yang lalu dan masih berdendam dengan Deris, atau mungkin juga memang ada rakyat Terengganu yang prihatin dan merasakan perlu menyokong istana dalam mempertahankan keputusan menolak Deris dari memegang tampuk MB. Maka lahirlah sokongan seperti yang dipamerkan.

Dari sumber seorang sahabat yang rapat dengan seorang Adun BN, Deris Jusoh sekarang ini cukup mengawal gerak geri semua Adun BN bagi memastikan mereka tidak boleh dipengaruhi dan cuba mempengaruhi mana-mana pihak dalam proses pemilihan MB. Seolah-olah Deris memberi amaran, siapa cuba merampas atau mengganggu kerusi aku, siap!! Rupa-rupanya Deris sudah boleh menjangka perkara ini akan berlaku dan kerana itulah dia awal-awal lagi mencantas politik mereka-mereka yang dianggap musuh dan bakal menggugat di kerusi MB itu.

Mungkin ada yang melihat campur tangan istana ini sebagai sesuatu yang 'kurang menyelerakan' banyak pihak, namun pada aku inilah sebenarnya yang ditunggu rakyat iaitu Institusi Raja didaulatkan dan tidak dipinggirkan dalam semua hal.

Dalam politik negara kita ini sebenarnya, pihak istana jarang menunjukkan suatu sikap bertentangan dengan kuasa pemerintah. Istana sebelum ini selalu dilihat seiring dan sekata dengan pemerintah yang berkuasa, namun perkembangan mutakhir ini menunjukkan ada sesuatu yang terlampau tidak kena yang menyebabkan pihak istana terpaksa turut campur tangan.

Dua hari lalu, Pemangku Sultan Perak, Raja Nazrin Shah dipetik bertitah; "..Institusi Raja terus kekal, berupaya melakukan pengubahsuaian dari segi peranan dan pendekatan, berfungsi sebagai payung negeri tempat rakyat bernaung, merupakan sumber keadilan, mengurniakan keampunan, menawarkan keistimewaan.."

Sultan menjadi payung terakhir bagi rakyat. Di sinilah untungnya rakyat di negeri yang mempunyai sultan. Pelbagai kemelut, permasalahan yang berlaku jika tidak dapat dikawal dengan kuasa politik, maka kuasa istana dan sultan itu perlu menjadi sesuatu yang perlu diambil kira. Mungkin hari ini kuasa sultan dan istana sudah berkurangan, namun jangan pula yang sedikit itu tidak digunakan dengan sebaiknya. Ampun Tuanku!

No comments: