07 July 2009

Menanti Ulangtahun Pertama Balqis

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Umur Balqis kini dah 10 bulan lebih. Lagi sebulan lebih akan memasuki usia setahun. Satu usia yang aku percaya ditunggu-tunggu oleh kebanyakan ibu bapa. Kebetulan usia setahun Balqis jatuh pada bulan Ramadhan, maka aku fikir ada baiknya dibuat suatu majlis berbuka puasa yang ringkas. Paling tidak, dibuat makanan dan dibahagi-bahagikan kepada jiran-jiran dan sahabat terdekat buat berbuka.

Pernah suatu hari aku membawa Balqis menziarahi seorang kenalan blog, nafastari yang baru memperoleh cahaya mata. Tiba-tiba, dia menghampiriku dan memohon maaf untuk bertanya. Rupa-rupanya dia mahu bertanya apakah Balqis ni mengalami 'down sindrome'. Patutlah dia memohon maaf, kerana takut aku terasa hati. Aku jelaskan kepada saudara nafastari yang sebenarnya yang aku ada ceritakan di blog. Mungkin kerana hanya melihat gambar-gambar, maka dia tidak perasan apa yang ditulis.

Balqis kini sudah 2 bulan masuk 'sekolah'. Setiap minggu, selama 2 jam Balqis akan dihantar ke Pusat Harian Sindrom Down di Kuala Ibai. Di sini Balqis akan diajar 'senaman' dan seni bermain-main. Senaman diajar untuk menguatkan ototnya, manakala permainan pula lebih untuk belajar mengenal warna, bunyi, rasa dan sebagainya. Minggu lepas, Balqis diajar bermain air. Berendam di dalam kolam dan menepuk-nepuk air. Sebetulnya kami dan Balqis yang diajar. Kami perlu mengulangi apa yang diajar di rumah.


Bergaya di sekolah pada hari pertama.

Mengikut pengalaman kenalan dan beberapa individu yang mempunyai anak istimewa sebegini, sekurang-kurangnya 2 tahun diperlukan untuk mereka belajar berjalan. Otot-otot mereka yang lembut adalah penyebab utama mengapa mereka lambat berjalan. Aku dan isteri memasang azam untuk memastikan Balqis dapat berjalan sebelum 2 tahun. Sekarang, Balqis sudah boleh duduk jika dibantu. Namun, akan jatuh kembali. Pinggangnya masih belum cukup kuat.


Lihat gaya kaki dengan 180' sambil menghisap jari


Gaya Extreme! Kaki diangkat ke muka. Kadang-kala ibu jari kaki boleh masuk mulut!

Akhir-akhir ini Balqis sudah mula mengenal orang. Suatu ketika dahulu, sesiapa sahaja boleh mengambil Balqis. Dia tidak akan menangis. Namun, hari ini dia sudah mula pandai menunjukkan muka masam. Paling teruk dia akan meraung sekuat hati! Mujurlah dia tiada masalah dengan pengasuhnya.

Balqis juga akhir-akhir ini sudah mula pandai 'buat-buat merengek'. Dia akan berpura-pura menangis bagi meminta perhatian. Pada mulanya aku cepat simpati, namun atas tunjuk ajar gurunya di sekolah, dia minta tidak dimanjakan. Akhirnya, aku lihat Balqis akan diam sendirinya jika dia tahu dia tidak dilayan.

Sesuatu yang menggembirakan Balqis akhir-akhir ini adalah jika dipakaikan tudung. Dia seolah-olah tahu jika dipakaikan tudung, dia akan dibawa berjalan-jalan. Walaupun tudung tidak kekal lama di kepalanya mungkin kerana kepanasan, namun sikapnya dengan tudung amat positif setakat ini. Apapun, pada aku Balqis memang comel bertudung. Cuma wajahnya pada aku lebih jelas kelihatan wajah Monggolianya bilamana dia bertudung.







Suatu soalan yang sering ditanya isteriku adalah, apakah Balqis dapat bercakap dengan baik dan mudah difahami apabila dia besar nanti? Suatu soalan yang aku sendiri mengharapkan jawapannya adalah YA. Namun, faktor lidah yang biasanya terjulur, dan keadaan lidah yang agak tebal memungkinkan ianya menjadi TIDAK.

Hujung minggu ini Persatuan Sindrom Down Terengganu akan mengadakan Hari Keluarga di Pulau Kapas. Sayangnya, aku sudah mempunyai program yang tidak dapat dielakkan. Sayang kerana aku tidak pernah sampai ke Pulau Kapas. Sayang juga kerana aku masih belum dapat bersama-sama ahli persatuan ini kerana selalu bertembung program. Mungkin banyak perkara lagi yang perlu aku pelajari dan ketahui.

Maaf, kerana sudah agak lama tidak membuat posting berkenaan Balqis. Posting kali ini adalah bagi mengingatkan aku yang esok adalah giliran aku membawa Balqis ke sekolah. Jom Dik, esok gi sekolah!

Wallahua'lam.

NOTA: Pesakit sindrom down juga disebut sebagai berwajah Monggolia.

8 comments:

Mohamad Fauzi Bin Hj Abu Samah said...

Dang.... bila sebut Monggolia... teringat kepada Tantuya... Guana kalu guna nama keAltantuyaannya... heheh jangan mare dang.....

amdang81 said...

boleh je. Cuma untuk mula-mula ni kena la bagitau Monggolia dulu. Step ke dua baru sabitkan dengan Altantuya. Step ketiga, keempat dan kelima tu tak leh citer laa... BAHAYA! Hahahahha

*Mawar Nafastari* said...

org kata, kalau bayi menghisap jari kaki atau memasukkan kaki ke dlm mulut maknanya akan ada adik lagi nanti. hihi.. :)

salam sayang buat balqis. moga ketemu lagi balqis ya!

Nafastari said...

Huuhu.. Glamer skejap pakcik! Memang aku x prasan pasal entri tu, cuma tengok gambar dia je. Seronok baca perkembangan terbaru Balqis. All the best!

Mohd Zulkifli Shafie said...

"Gaya Extreme! Kaki diangkat ke muka. Kadang-kala ibu jari kaki boleh masuk mulut!"

kalau ikutkan org tua-tua, maksudnya dah nak dapat adik tu.. he3x.. insyaAllah..

Umi Azrini @ Umi Kauthar Abdul Razak said...

salam,
wah aksi 180 darjah itu sungguh salute. umar pun tak mampu buat begitu. boleh jadi gimnas negara ini.

yang angkat kaki naik ke muka, umar pun selalu buat. boleh genglah dengan balqis.

a'a.. sayapun dengar orang cakap kalau anak pandai hisap ibu jari kaki, maknanya hendak dapat adik itu...

hehe... Jue-zaidan, ameen...

Umi Azrini @ Umi Kauthar Abdul Razak said...

salam,
wah aksi 180 darjah itu sungguh salute. umar pun tak mampu buat begitu. boleh jadi gimnas negara ini.

yang angkat kaki naik ke muka, umar pun selalu buat. boleh genglah dengan balqis.

a'a.. sayapun dengar orang cakap kalau anak pandai hisap ibu jari kaki, maknanya hendak dapat adik itu...

hehe... Jue-zaidan, ameen...

ummubalqis said...

emm bukan xnak bg adik tp tggu Balqis bolh jalan dulu. Baru boleh jd 'kakak'. leh tolong umi jaga adik