27 November 2007

Catatan Sidang Rakyat...

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Mahu rasanya untuk aku kongsi bersama kalian bilamana mengikuti satu program yang dinamakan "Sidang Rakyat: Menangani Musibah Kenaikan Harga Barang" yang sempat aku ikuti Sabtu lalu di Kuala Terengganu.

Pertamanya, bila dijemput menghadiri program seumpama itu, aku melihat kepada suatu program wacana, diskusi dan juga seminar yang biasa. Cuma tajuknya berkaitan barang naik (BN) yang mungkin mampu menarik minat ramai. Apatah lagi, suasana sekarang ini berdepan dengan pelbagai kenaikan harga barang yang cukup mendadak. Kenaikan pula bukan sedikit.

Kenapa Sidang Rakyat? Program itu dinamakan Sidang Rakyat adalah kerana bagi membolehkan rakyat bersuara. Ini kerana segala permasalahan rakyat, suara rakyat tidak sampai ke Dewan Undangan Negeri, mahupun Parlimen.

Bayangkan rakyat bawahan mengadu harga minyak naik, harga bawang melambung, harga gandum tidak semurah yang menteri umumkan. Namun, suara mereka itu tidak ke mana. Sekadar di kedai kopi, di wakaf-wakaf dan juga dalam rumah sendiri. Jika yang agak berani, sungutan itu akan dilontarkan dengan 'keras' di khalayak ramai. Namun yang agak malu-malu dan masih mengharapkan Wang Ehsan, mengeluh bilamana anak-anak minta wang saku, ketika isteri menyuruh ke kedai lagi. Paling jauh pun dengan kawan-kawan yang akrab.

Lebih malang lagi bilamana Wakil Rakyat pembangkang (di Terengganu, Khususnya) gagal membawa suara rakyat ke Dewan Undangan Negeri bilamana, semua soalan-soalan kepada dewan ditolak mentah-mentah. Ini menunjukkan betapa kerajaan yang ada pada hari ini langsung tidak mahu mendengar permasalahan dan juga rintihan yang telah diajukan kepada wakil-wakil rakyat.

Jika tidak, masakan berlaku perjanjian tol yang begitu merugikan negara dan rakyat. Bodohkah menteri itu? Bagaimana pula dengan kenaikan harga petrol yang begitu menekan rakyat dikatakan menteri sebagai masih rendah di dunia. Mentang-mentang mereka semua merasai subsidi rakyat!

Maka, lahirlah Sidang Rakyat yang aku kira mampu mengulas dan membincangkan permasalahan yang berlaku dalam masyarakat. Penyelesaian? Itu sudah tentu sesuatu yang agak masih jauh. Namun apa yang dilakukan memang menuju ke arah itu. Di situ rakyat bersuara sebagai rakyat yang mengadu. Panel pula bukan sebarangan orang. Sebenarnya aku malas berkongsi cerita. Cuma mahu berkongsi bahan.

Ini adalah sebahagian poster yang aku terima dari urusetia. Alang-alang kenal dengan urusetia terbabit, maka aku cucuk thumbdrive bagi mendapatkan softcopy risalah ini. Mulanya mereka kelihatan agak berat juga menyerahkan. Namun dengan kata-kata lunak dan manis, maka aku berjaya. Ala, perempuan.. puji skit, pujuk rayu skit boleh laa. ;)






So, dengan aku tak payah nak pujuk nak ngada-ngada. Ambik je kalu perlu. Kalu nak gambar ni dalam fail asal, email jer. Apapun, permohonan tu mungkin lewat ditunaikan skit.

Wallahua'lam

25 November 2007

Khutbah Hadhari Halalkan Maksiat!!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Selama dua minggu berturut-turut, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) melakukan kejutan dengan mengeluarkan teks Khutbah Hadhari yang cukup membingungkan ramai jemaah. Khutbah itu secara sengaja menjadikan Monsoon Cup sebagai suatu kempen kepada para jemaah. Ianya bukan sahaja mencemarkan isi khutbah yang menyokong acara yang diiringi dengan banyak kemaksiatan itu, bahkan turut menunjukkan bahawa Ajaran Hadhari itu tidak kisah soal percampuran antara dosa dan pahala.

Minggu pertama, Khutbah telah membawa tajuk: "Manfaat Daripada Pelancongan" kepada jemaah. Manakala Jumaat lalu pula membawa tajuk: "Tiada Halangan, Hanyalah Peluang".

Dalam sibuk khatib-khatib hadhari seluruh negeri membaca khutbah 'Monsoon Cup' itu, akhbar Sinar Harian telah mengeluarkan suatu iklan konert yang cukup untuk menjelaskan apa sebenarnya program Monsoon Cup itu. Pokok-pokok mula ditampal poster Monsoon Cup, tiang letrik digantung bunting, dan simpang-simpang jalan mula dipenuhi banner acara-acara sambutan kepada Monsoon Cup ini. Dari sekecil-kecil anak dijemput ke pertandingan mewarna, hinggalah kepada sebesar-besar Dato' dan Tan Sri ke Malam Gala yang hidangannya istimewa.

Tiada pula kedengaran Forum Perdana sempena Monsoon Cup. Apatah lagi pertandingan Nasyid sempena Monsoon Cup. Maka, amat jauh sekali untuk membayangkan suatu program yang dicampur aduk ini selari dengan tuntutan Islam dan nilai ketimuran itu sendiri.

Dalam ghairah musim hujan, dan tengkujuh yang sudah bermula ini, sepatutnya agenda kemaksiatan ini dijauhi sama sekali. Apatah lagi penghujung tahun sebegini, peringatan kepada peristiwa 'Gelombang Tsunami' haruslah menjadi ikhtibar. Bukan bermaksud boleh melakukan maksiat, tetapi ini menunjukkan mereka langsung tidak segan silu dan melupakan peringatan-peringatan yang telah diberikan kepada golongan terdahulu.

Itu belum menyentuh soal pembaziran yang melampau, soal penindasan kepada penduduk Pulau Duyong, dan pencemaran pulau yang pernah menjadi tempat kepada seorang ulama yang dikenali dengan Tok Syeikh Pulau Duyong.

Bayangkan dalam suasana masyarakat Terengganu yang cukup rosak dengan penyakit sosial dan keruntuhan akhlak ini, Khutbah Hadhari masih mampu melunakkan maksiat menjadi sesuatu yang halal. Masjid yang sepatutnya berperanan menjadi tempat bermulanya pencegahan maksiat, telah dijadikan tempat menyebarkan dakyah maksiat. Mimbar yang suci dicemari dengan begitu sahaja. Punah!

Jika ada yang mahu menafikan program Monsoon Cup itu sebahagian dari maksiat, kenapa tidak dijemput semua imam bilal seluruh negeri untuk datang dan menyaksikan sendiri keseluruhan acara yang diadakan. Biarkan imam bilal menonton konsert yang terbuka itu. Jemput juga imam bilal ke majlis jamuan tertutup Gala Nite. Jangan lupa untuk jemput imam bilal ke atas kapal persiaran di tengah laut sana. Biar mereka ini menjadi saksi bahawa memang Monsoon Cup itu halal dan selari dengan Islam.

amdang: Imam Hadhari tak pelik kalu menari pun. Apatah lagi raba-raba gadis sunti.

23 November 2007

JOm lihat siapa yang kena!!!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Sengaja mengambil komen beberapa pimpinan politik yang dimasukkan ke dada akhbar. Aku tidak mahu biasa terhadap kedua-dua laporan itu. Cuma mahu melihat dan menunggu apakah yang diperkatakan itu adalah satu angan-angan, atau memang itu realiti yang sedang berlaku.

------------------------------------------------------
PAS: Johor bukan lagi kubu Umno

JOHOR BAHARU: Didorong dengan kehadiran wakil tunggalnya di Dewan Undangan Negeri Johor sejak pilihan raya umum ke-11 yang lepas, PAS menganggap 'peta politik' negeri itu sudah berubah dan Johor bukan lagi kubu kuat Umno dan Barisan Nasional.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Zulkifli Ahmad berkata, perubahan senario politik itu berpunca daripada kemenangan PAS bagi kerusi Senggarang walaupun ia atas faktor teknikal.

"Kita telah mencatat sejarah politik di negeri Johor, dengan adanya wakil kita dalam Dewan Undangan Negeri, dan kita telah membawa banyak perubahan. Dengan satu kerusi pun telah banyak perubahan, apa lagi dengan banyak kerusi," katanya kepada Bernama.

Zulkifli berkata walaupun tewas di semua kerusi lain yang ditandinginya pada pilihan raya yang lepas, undi yang diterima oleh PAS dan parti-parti pembangkang lain dalam Barisan Alternatif di Johor amat tinggi.

Untuk pilihan raya ke-12 nanti, PAS dan rakan-rakan pembangkangnya akan bertanding bagi kesemua 56 kerusi negeri di Johor walaupun di kawasan-kawasan yang dianggapnya sebagai "lemah" bagi memastikan BN tidak mendapat kemenangan percuma, katanya.

Ketua Penerangan PAS Johor, Mazlan Aliman, pula berkata isu seperti Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), kenaikan harga minyak, banjir dan yuran sekolah telah banyak membantu PAS Johor menikmati sokongan.

"Kita berkeyakinan sokongan yang semakin meningkat dari rakyat Johor akan terserlah pada pilihan raya akan datang itu, lebih-lebih lagi dengan persiapan kita kali ini yang jauh lebih baik," katanya.

Mazlan berkata BN perlu menerima hakikat bahawa PAS semakin diterima di Johor berbanding 20 tahun lepas, semasa parti itu sering kehilangan deposit pilihan raya.

"Keadaan politik di Johor kini sudah jauh berbeza," kata Mazlan. BERNAMA

------------------------------------------------------------------------------------
Sementara itu, di Terengganu berlainan pula komen oleh pimpinan UMNO;

Idris: Terengganu jadi kubu BN lima tahun lagi

JERTIH: Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh berjanji akan menjadikan Terengganu sebagai kubu kuat Barisan Nasional dalam tempoh lima tahun akan datang.

Katanya berdasarkan kajian yang dilakukan sejak BN memerintah semula Terengganu pada Mac 2004, sokongan rakyat terhadap parti itu telah meningkat melebihi lima peratus.

"PAS perlu sedar bahawa sokongan rakyat terhadap parti itu semakin menurun dan kita akan pastikan Terengganu terus kekal di bawah pemerintahan BN selepas pilihan raya umum akan datang," katanya pada majlis pemimpin bersama rakyat di Dewan Gong Kemuntong dekat sini hari ini.

Idris, yang juga pengerusi BN Terengganu, berkata rakyat menghargai usaha BN membangunkan negeri itu kerana mereka mendapat banyak faedah terutamanya dalam meningkatkan sumber ekonomi masing-masing.

Malah, katanya, keyakinan rakyat terhadap kerajaan BN juga semakin meningkat selepas pelancaran Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini.

Idris juga berkata seramai 3.5 juta pelancong dijangka datang ke Terengganu sempena Tahun Melawat Terengganu tahun depan.

Katanya sasaran itu merupakan pertambahan 120 peratus berbanding hanya 1.6 juta pelancong yang melawat negeri itu pada 2004. BERNAMA

--------------------------------------------------------------------

Pandanglah dan lihatlah.. Tunggu dan sama-sama menanti siapa yang berkubu, dan siapa yang berkubur.



21 November 2007

Risalah Monsoon Cup!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Semalam jalan-jalan kat bandar. Ada orang beri risalah ni. Menarik gak!! Mula-mula nak buang sebab duk ingat promosi Monsoon Cup. Tapi bila tengok isi dia yang menarik, terus minta lebih dan bubuh dekat surau kat rumah.

amdang: Harap risalah sebegini terus tersebar dan menyampaikan maklumat kepada yang 'tidur dan belum tercabar'

20 November 2007

Tempurung Untuk Idris, Bantal Untuk Pak Lah

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Ahad lalu (18 Nov), seharian Pak Lah berkunjung ke Terengganu atas program yang dinamakan Lawatan Kerja Sehari ke Terengganu. Seminggu sebelum kedatangan Pak Lah, tiada sebarang 'tanda-tanda' persiapan dilakukan kecuali bunting Majlis Jamuan Bersama Rakyat yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Budiman. Kerja-kerja lain dilihat dilakukan sehari sebelum kedatangan Pak Lah.

Seorang sahabat menyebut, kedatangan Pak Lah ke Terengganu kali ini bukanlah untuk merasmikan itu dan ini, tetapi untuk menghadiri mesyuarat khas UMNO Terengganu. Pak Lah dikatakan mahu memastikan sejauh mana persiapan UMNO Terengganu dalam menghadapi PRU-12 nanti sebelum berani mengumumkan tarikh Parlimen dibubarkan. Ini kerana Terengganu dilihat sebagai satu kayu ukur bagi sokongan kepada UMNO kerana pengundi di sini majoritinya adalah Melayu.

Dalam lawatan sehari itu, sesuatu yang menarik perhatian ramai dan media adalah bilamana Pak Lah dengan secara terbuka mencabar Deris Jusoh mengeluarkan golongan nelayan di Terengganu dari kemiskinan.

"Saya beri cabaran kepada Idris sebab nelayan di Terengganu dianggap kumpulan miskin," Kata Pak Lah dalam ucapan Perasmian Program Skim untuk Kesejahteraan Petani (Sutratani) di Kampung Telaga Papan, Setiu.

Pak Lah boleh dianggap lebih lunak dari Khir Toyo yang menghadiahkan penyapu bilamana secara halus memberitahu Deris Jusoh telah gagal memerintah Terengganu. Ini kerana Deris Jusoh gagal menjaga kebajikan rakyat sehingga kemiskinan di Terengganu jatuh ke tangga ke-2 selepas Sabah. Ini agak berbeza semasa PAS memerintah, kemiskinan Terengganu telah turun sehingga ke tangga keempat dalam masa 2 tahun pemerintahan sahaja.

Cabaran Pak Lah ini juga menunjukkan acara Monsoon Cup yang ideanya dari Pak Lah juga gagal membasmi kemiskinan terutamanya golongan nelayan. Ini kerana tidak banyak manfaat yang dapat diambil dari acara-acara yang diadakan dan lebih jelas menunjukkan suatu pembaziran dan salahguna kuasa dalam pengendalian acara yang menelan wang rakyat yang berjuta-juta itu.

Itu tidak termasuk beberapa projek mega yang dirancang secara begitu tergesa-gesa yang kononnya mahu mengeluarkan rakyat dari kemiskinan. Namun, sasaran peserta dan mereka yang mendapat keuntungan tidak lebih kepada kroni sahaja. Ini dapat dilihat dengan projek Zon Indusri Akuakultur (ZIA) di Sungai Como. Dirasmikan oleh Pak Lah awal tahun ini, tetapi sudah dikhabarkan mati dan sepi begitu sahaja.

Lawak pula bila melihat kenyataan balas Deris Jusoh bilamana menyahut cabaran itu dengan menjadikan 2010 sebagai tahun inflasi kemiskinan tegar. Ini tiada beza dari Pengerusi SPR yang sudah hampir expired mengeluarkan beberapa kenyataan yang agak ke depan walaupun tahu tempoh yang ada pada dirinya amat terhad. Itu secara tidak langsung dilihat mengeluarkan kenyataan bersifat 'lepas tangan' sahaja.

Sepatutnya Pak Lah hadiahkan sahaja tempurung kelapa kepada Deris Jusoh sebagai tanda kegagalan memerintah negeri kedua terkaya di Malaysia, tetapi gagal mengeluarkan rakyat dari belenggu kemiskinan. Namun, sudah tentu Pak Lah tidak berbuat demikian, kerana beliau akan dihadiahkan bantal oleh Deris Jusoh kerana beliau adalah mentor kepada MB Terengganu itu!

Klik untuk berita Projek ZIA.
lagi artikel projek ZIA.

Tak serik lagi ke kalu lagu ni gaya pemerintah kita?

nota: Gambar dari artikel Reformis Muda diambil dari TKO.

Sidang Rakyat: Menangani Musibah Kenaikan Harga Barang

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...



Seperti yang dimaklumkan kepada aku, CAP akan menghantar Cikgu Azmi Abd Hamid sebagai wakil bagi membentangkan kertas kerja bertajuk "Pendidikan Kepenggunaan: Hak, Tanggungjawab dan peranan Rakyat". Biasanya Cikgu Azmi membuat perbentangan kertas dengan penuh hujah dan fakta. Sesiapa yang belum biasa, bolehlah datang ke sana. Mana tahu kot-kot ada usul nak boikot barang atau sebagainya pada resolusi itu.

Kalu tidak silap, program ini percuma sahaja. Jika ada bayaran pun, sangat minima. Ini seperti yang dimaklumkan oleh Setiausaha Lestary Resources & Consultancy, Encik Mohd Faizul selepas aku menghubunginya sejurus melihat iklan ini di BuletinOnline. Iklankan kat sini sebab terasa mahu mengikuti program yang julung-julung kali diadakan ini. Maklum sahaja sekarang ini semua orang bercakap pasal Barang Naik (BN).

wallahua'lam.

amdang: Dok leh lok doh... punoh!!!

18 November 2007

Catatan 0...

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Blog amdang81 lambat update? Aku tidak tahu jika ramai yang tertanya-tanya. Apa yang aku nampak hanyalah mereka yang bertanya di shoutbox. Selain itu ada lagi yang dikenali di alam realiti yang turut mengikuti perkembangan dunia siber ini. Dua hari tak update lama ke? Kawan-kawan ada yang mengusik kelewatan update dan kurangnya menulis dikaitkan dengan aku berfikir pasal perkahwinan. Paling nakal bilamana tulisan aku dilihat sebagai kurang 'bernas' pun disebabkan berfikir soal perkahwinan.

Tipu la jika aku katakan langsung tidak berfikir ke arah itu. Maklum sahaja tarikh yang ditetapkan itu tidak sampai sebulan sahaja lagi. Namun itu bukan sebab utama untuk aku melupakan blog ini. Kesibukan urusan lain turut menghalang penulisan. Ada artikel ditulis separuh, terus ditinggalkan tanpa kesudahan. Paling malang bilamana terlalu banyak info yang diterima, tetapi mood untuk menulis tiada. Betul ke ada kaitan nak kawin ni??

Sabtu lalu berkesempatan berjumpa kawan-kawan maya TKO. Walaupun jumlah yang sempat bertemu tidak sampai sebelah jari tangan, namun sedikit sebanyak isu-isu tempatan dapat dikongsi. Pertemuan tidak dirancang. Cuma kebetulan seorang kawan datang dari KL kerana sedikit urusan, maka kami sepakat untuk bertemu. Kami berkumpul mengadap Sungai Terengganu. Kapal layar yang melintas di hadapan, kurang menarik minat kami. Namun sebagai koleksi peribadi, sahabat yang datang dari KL tadi turut mengambil beberapa foto membelakangi kapal layar itu.

Perjumpaan petang Sabtu itu sudah tentu dihiasi dengan baju kuning. Walaupun hanya dua orang yang memakai T-shirt BERSIH, namun mesej itu cuba disampaikan ke dalam masyarakat. Seorang sahabat turut menyentuh soal blog aku. Dia turut menyatakan kebimbangan sekiranya aku tidak lagi menulis. Katanya, "amdang perlu terus menulis. Terlalu banyak isu di Terengganu ini yang perlu diolah dan dikupas".

Aku seperti biasa, tidak suka memberi respon segera. Suka senyap, sambil senyum seadanya. Memang tidak perlu respon pun sebenarnya. Cuma aku terfikir tentang masalah lain yang turut dihadapi dalam menulis ini. Masalah masa, dan tuntutan beban tugas yang lainnya.

Teringat suatu masa dahulu, (macam lama sangat je nih..) sewaktu aku mula membuka blog ini, posting dan tulisan aku memang cukup rapat dengan diri. Apa yang aku makan, apa yang aku pakai, apa yang aku buat, apa yang aku lihat, mana yang aku pergi... Semuanya aku coretkan sebagai suatu pengalaman dan catatan hidup. Dulu barangkali hanya 10 orang seminggu menjenguk blog ini. Ketika itu posting juga tidak kerap. Cukup seminggu sekali, atau mengikut masa dan suasana. Ketika itu, tanggungjawab menulis tiada. Cukup sekadar jujur dengan apa yang ditulis kerana cerita berkisar kepada diri. Jujur pada diri.

Suasana sekarang agak berubah. Walaupun masih berbentuk catatan peribadi, namun isu yang dibawa lebih berat, lebih semasa dan menepati siasi (kononnya!!). Berat, penat, dan kadangkala turut terasa tekanan bilamana terpaksa mendedah sesuatu yang agak 'serius' dengan kadar keberanian yang agak tinggi.

Sengaja aku sebut perkara di atas, sebagai ingatan kepada aku bahawa TIADA REHAT DALAM PERJUANGAN. Semoga aku tidak menjadikan alasan-alasan lain yang remeh-temeh untuk tidak terus menulis dan mencoret sesuatu yang mungkin berguna untuk dikongsi dan diteladani atau dijauhi.

InsyaAllah, rehat hanya ketika perlu. REHAT yang panjang adalah bilamana MATI kata seorang ustaz. Itupun jika REHAT kita tidak diganggu oleh lipan, kala dan ular-ular berbisa. Wallahua'lam.
------------------------------------------------------------
Nota: Beberapa IKLAN baru diletakkan di tepi kolum utama sebagai satu cara bagaimana anda 'menyumbang' kepada bil letrik dan internet yang digunakan untuk meneruskan penulisan ini. Klik sahaja sebagai sokongan setiap kali mahu keluar dari sini. Itu sudah memadai dari anda menyediakan Kopi Radix untuk aku ketika mana aku mengantuk untuk terus menulis. Hehehe. Apapun, semua itu hanyalah percubaan yang diajar oleh bro bakaq @ PENARIK BECA.

17 November 2007

Benarkah Sultan Mizan (DYMM) Murka ??

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Artikel adalah copy n paste dari Buletin Online.

-------------------------------------------------------------------------
‘Tuanku Mizan Kesal Dakwaan Baginda Sokong Perhimpunan Haram’ itulah tajuk berita yang di keluarkan oleh Bernama, yang dianggap oleh Raja Petra sebagai satu ‘permainan silapmata’ di Laman Malaysia Today. Artikel ini adalah terjemahan bebas dari tulisan Raja Petra di dalam kolumnya ‘The Corridor of Power’.

Kepada rakyat bawahan pastinya pengumuman begitu sesuatu yang ‘serius’. Pegawai tinggi Istana Negara Datuk Wan Mohd Safiain Wan Hasan mengeluarkan kenyataan bagi pihak Agong ! Siapa sebenarnya Datuk Wan Mohd Safiain ?

Raja Petra menganggap bahawa Pegawai Pengelola Istana Negara itu hanyalah memegang jawatan seperti Jeanne Danker Abdullah sebelum dinobatkan oleh media Malaysia sebagai ‘Wanita Pertama’. Padahal wanita pertama sepatutnya adalah DYMM Permaisuri dan status Jeanne Danker hanyalah wanita yang ke 22 selepas para permaisuri dan sultanah diseluruh Negara. Namun peranan media yang dikawal oleh kerajaan membuatkan kita semua percaya bahawa Jeanne Danker adalah wanita pertama.

Wan Safiain berasal dari Terengganu yang berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri, yang mana sebenarnya seluruh pejabat Istana adalah dibawah Jabatan Perdana Menteri. Pegawai-pegawai yang bekerja di istana Negara adalah sebenarnya pegawai kerajaan yang di’tanam’ di istana untuk menjadi mata, telinga dan kadang-kadang menjadi ‘mulut’ kerajaan. Oleh kerana itu, sekarang kita ketahui bagaimana kerja Jabatan Perdana Menteri di Istana Negara.

Kenyataan media yang dikeluarkan pada hari ini bukan keluar dari DYMM Agong, kerana ia tidak dikeluarkan oleh Penyimpan Besar Mohor Raja-raja. tetapi adalah dari pegawai kerajaan Malaysia.

Apabila 100,000 rakyat minta perkenan Agong untuk mengadap pada 10 November lalu, Agong tidak mengatakan ‘tidak mahu’ menerima 100,000 orang rakyat untuk mengadap beliau. Agong bahkan mahu mengetahui berapa ramai yang akan mewakili 100,000 rakyat dan nama-nama mereka yang akan mengadap.

Agong juga menyedari bahawa kerajaan akan cuba mengecewakan usaha 100,000 rakyat untuk mengadap beliau. Dan itulah yang telah terjadi. Kerajaan meletakkan syarat supaya rakyat memohon permit untuk berhimpun mengadap Agong. Dengan itu BERSIH memohon permit namun telah ditolak oleh kerajaan, bahkan kerajaan memberi amaran akan bertindak sekiranya 100,000 rakyat berhasrat untuk meneruskan Himpunan Aman BERSIH. Dan polis pun bertindak bagi pihak kerajaan.

Apabila peluru gas pemedih mata di ledakkan kepada peserta Himpunan Aman BERSIH di sekitar Masjid Jamek-Masjid India, ‘khabar telah disampaikan’ bahawa Briged ke 19 Regimen Askar Melayu Di Raja (RAMD) telah bersiap siaga, untuk merempuh masuk sekiranya berlaku kemalangan maut. Empat Belas Kerta Perisai telah sampai sebelumnya dari Sungai Petani dan berkhemah di Kem Tentera Sungai Buloh, bersedia untuk campurtangan dalam notis segera. Mereka hanya perlukan 10 atau 20 minit untuk sampai ke lokasi sekiranya terdapat tindakan keras keatas rakyat.

Butang kecemasan akan ditekan dan loceng akan berbunyi. Peristiwa 13 Mei 1969 telah menyaksikan kejadian sepertinya di Kampong Bharu. Regimen Askar Melayu bukan satu permainan, dimana Agong adalah Ketua Komander dan askar akan mematuhi arahan komander tanpa mengambil kira keselamatan nyawa mereka.

Sebab itulah tindakan polis mengendur. Tugas mereka dikurangkan dengan hanya di letakkan di persimpangan untuk menghentikan kereta bagi memberi laluan peserta Himpunan Aman BERSIH untuk melintas jalan dengan selamat. Regimen Askar Melayu di Raja terus bersiap siaga sehingga kesesokkannya. Kemudian 14 kereta perisai, senyap-senyap keluar dari Sungai Buloh dan kembali ke Sungai Petani.

Itulah yang membimbangkan kerajaan. Agong tidak bertitah dia tidak mahu menerima mengadap wakil-wakil dari Himpunan Aman BERSIH 100,000 Rakyat. Bahkan Agong meminta nama-nama perwakilan yang mengadap. Dan apabila kerajaan mengugut untuk mengambil tindakan terhadap rakyat, Briged ke 19 RAMD telah dihantar ke Kuala Lumpur dengan 14 buah kereta perisai. Inilah caranya Agong mengatakan bahawa sekiranya kerajaan bertindak menembak para peserta Himpunan BERSIH, sebagaimana kerajaan menembak Suwandi dan Azman di Batu Burok, dia akan bertindak atas nama rakyat.

Oleh yang demikian, kerajaan tidak berkeras. Mereka tidak ada pilihan kerana 100,000 rakyat mahu mengadap Agong, dan Agong mengisyaratkan ‘Ya’ kepada rakyat. Briged ke 19 RAMD dihantar untuk memastikan bahawa isyarat penerimaan ‘Ya’ Agong terhadap permohonan mengadap rakyat, dipenuhi.

Pak Lah telah mengeluarkan ‘dekree’ didalam ucapan penggulungannya diakhir Perhimpunan Agung UMNO sehari sebelum Himpunan Aman BERSIH. Dia kata dia ‘pantang di cabar’. Menantunya, si Khairy meminta polis menangkap semua orang yang menyertai Himpunan Aman BERSIH. Jadi, tangkaplah si Khairy ! kalau boleh tangkap!. Tangkap 1,000, tangkap semuanya 2,000 orang. Kalaupun jumlah 5,000 orang, tangkap semuanya! Tangkaplah semuanya kalau jumlah 50,000 orang sekalipun. Tetapi, sekiranya jumlah 50,000 ditangkap, masih ada dalam perjalanan 50,000 orang lagi! Bagaimana nak tangkap 100,000 orang rakyat sekiranya ada 50,000 orang lagi sedang berarak tiba di Kuala Lumpur?

Mana boleh tangkap jumlah 50,000 orang! Mana polis ada kemudahan lori untuk menangkap 50,000 orang dan mana ada penjara yang boleh memuatkan 50,000 orang.tahanan !

Kesudahannya, Himpunan 100,000 rakyat yang sebenarnya berlaku di Istana Negara. Walaupun pada mulanya, BERSIH mengisytiharkan akan berhimpun di Dataran Merdeka. Nampaknya kerajaan telah tertipu! Mereka (BERSIH) mahu polis berhimpun (tertumpu) di Dataran Merdeka, supaya peserta Himpunan BERSIH boleh berarak ke Istana Negara tanpa sebarang halangan. BERSIH telah menang, kerajaan tertipu!

Baiklah, kerajaan tak akan kalah semuanya. Kerajaan masih boleh membuat pengumuman yang DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong tidak setuju tidak berkenan. Kerajaan akan meminta ketua pengelola Istana Negara, seorang pegawai kerajaan, Datuk Wan Mohd Safiain Wan Hasan, membuat pengumuman penting iaitu ‘(Agong) Tuanku Mizan Kesal Dakwaan Baginda Sokong Perhimpunan Haram’.

Mungkin rakyat jelata akan percaya?

-------------------------------------------------------------------
Nota:

Nama : WAN MOHD SAFIAIN BIN WAN HASAN
Kad Pengenalan : 461214035359 / 1711187
Jantina : LELAKI
No Keahlian UMNO: 03728983

amdang: Ermm.. patut pun!!

15 November 2007

Awas! FRU Sedia Gempur ceramah 16 September

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Pertamanya maaf sekiranya apa yang aku lontarkan ini bersifat 'sangka buruk' dengan pihak keselamatan khususnya di Terengganu. Namun sangkaan yang aku letakkan ini masih punya asas dan sandaran yang sewajarnya untuk diambil perhatian.

Suka sebelum 'sangkaan' aku tadi disebut, aku teruskan dahulu suatu info tentang ceramah. InsyaAllah pada malam esok (16 September 2007) akan diadakan suatu ceramah di Kuala Terengganu. Berikut adalah maklumat yang sempat diambil dari BuletinOnline:

Program : Ceramah "Gelombang Kuning"
Tempat : Simpang 4, Pulau Musang, KT
Tarikh : 16 Nov 2007 (Jumaat)
Masa : 9.00 Malam
Penceramah: 1.YB Salahuddin Ayub- Ketua DPPP
2.U Azman Shapawi Ab Rani-Ketua DPPNT
3. Sdr Shamsul Iskadar Mohd Akin - Ketua AM PKR

Itu info ceramah yang akan diadakan. Ini pula apa yang aku lihat di sekitar Kuala Terengganu pada petang semalam (15 Nov).



Gambar-gambar ini diambil di sekitar Jalan Pusara. Belakang Menara Yayasan Terengganu / Pejabat Jabatan Alam Sekitar. Memang kebanyakan rumah di kawasan ini dijadikan rumah tumpangan. Bukan soal rumah tumpangan, tetapi kenapa mereka ini berkampung di sini?. Anggota-anggota ini berkampung di sini sejak 13 November lagi.

Pagi tadi turut berselisih dengan trak yang lebih kecil ketika mana ada antara mereka membeli belah di Pasar Kedai Payang. Agaknya mengambil peluang bertugas di Terengganu. Kiraan rambang ketika melalui jalan yang agak sunyi ini, aku anggarkan 10 buah trak pembawa anggota FRU. Lain-lain jentera tidak dapat dipastikan.

Terfikir juga mengapa tidak terus pulang setelah 'berjaya' mengadakan Himpunan Haram Polis di Batu Burok. Namun tiba-tiba seorang kawan mengingatkan akan ceramah pada malam ini. Aku tidak pasti siapa yang menguruskan permit ceramah pada malam ini. Apakah ceramah dibenarkan, atau akan dihalang oleh jentera yang sudah beberapa hari 'geram' ini. Apa tidaknya, tiada yang datang mendengar 'ceramah' pada 13 November lalu.

Oh, maaf aku berburuk sangka. Mungkin mereka datang mahu bersama Pak Lah pada 18 November ini dalam Jamuan Rakyat. Mereka juga rakyat yang mahu bersama pemimpin. Apapun, aku berharap pada malam ini, "ceramah kuning" berjalan dengan baik.

Himpunan Haram Polis Terengganu

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Satu artikel dari TKO..

-----------------------------------------------------------------
Melalui siaran radio Malaysia Terengganu(RMT) Berita jam 6.00 petang 12 .11.2007satu kenyataan dari Ketua Polis Terengganu yang melarang sebarang himpunan ceramah di adakan diBatu Burok. Berita TV jam 8.00 pula di petik juga kenyataan oleh Ketua Polis negeri itu.

Sementara di dalam akhbar utama pada 13.11.2007 disiarkan juga kenyataan Ketua Polis Negeri dan Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, Idris Jusoh yang menghalang orang ramai menghadiri ceramah/perhimpunan yang dikatakan haram itu.



Sebelum ini tidak ditemui sebarang poster ceramahpun di Batu Burok pada tarikh tersebut, samada dari PAS, Keadilan, jauh sekali DAP.Mana mungkin PAS membuat ceramah tanpa Poster.Mustahil Keadilan Ceramah di Batu Burok tidak mendapat kerjasama PAS.Malah langsung tidak diterima akal DAP membuat ceramah di Batu Burok sedirian.



Mungkin ,masih pening-pening ( kemamar mata) selepas pulang dari Perhimpunan Agong Umno, Idris Jusoh berpakat dengan Ketua Polis Negeri untuk membuat satu kejutaan.Atau mungkin juga masih terbayang bayang depan mata kekuning-kuningan yang memenuhi Bandaraya Kuala LUmpur selepas perhimpunan Agong Tempohari.



Maka pada petang 13.11.2007 hiruk pikut riuh rendah bandar Kuala Terengganu, seolah-olah negeri dalam keadaan huruhara, negeri di jaga oleh polis .Polis Trafik ke hulu ke hilir.Sekatan Jalanraya dibuat seluruh penjuru masuk Ke Kuala Terengganu.Di awam biru helikopter PDRM berlegar-legar, dijalanraya Trak merah dari semua sudut menuju ke Batu Burok. Di sekitar Batu Burok polis baju merah, baju biru, baju hitam, baju hijau (rela) mula berhimpun seawal petang, sesekali tengok macam sambutan hari polis peringkat negeri.



Ditepi tepi pantai polis mundar mandir kehulu kehilir. Entah apa balanya pula .Semacam ada serangan dari lautan Cina Selatan. Suasana begini berlarutan hingga ke malam.

Rupa-rupanya ada seorang Menteri Besar yang hampir pasti akan dijatuhkan tahkta merasa amat gerun dan truma dengan himpunan10.11.2007. Lalu di sepakatlah dengan KP untuk mengumpulkan polis di Batu Burok.

"POSTER TIADA,PENCERAMAH TIADA,PENTAS TIADA,PEMBESAR SUARA TIADA,TIBA-TIBA POLIS DAN DERIS BATALKAN CERAMAH,.....*&@# lah tu...."
-----------------------------------------------------------
Komen aku: Erkk.. no komen!

14 November 2007

Himpunan 13 November: Latah Sang Penguasa

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Ini kisah di Terengganu. Kisah Himpunan 13 November 2007. Mungkin pelik kerana himpunan ini tidak terdapat dalam diari penyokong, pendokong mahupun pimpinan PAS. Himpunan ini dikatakan akan berlaku di Pantai Batu Burok. Tempat yang sama berlakunya tragedi berdarah Suwandi di tembak di dada. Namun, sehingga tarikh tersebut (semalam), aku tidak melihat sebarang poster pun berkaitan ceramah yang akan diadakan itu.

Sejak petang kelmarin (12 Nov) aku menerima call dan sms bertanyakan apakah akan diadakan ceramah di Batu Burok pada 13 November. Aku tidak terkejut menerima pertanyaan itu, namun terkejut bila dikhabarkan mereka mendengar dalam siaran radio dan TV yang melarang menghadiri perhimpunan itu.

Sebenarnya tarikh 13 November memang telah dipilih bagi mengadakan satu ceramah mega. Namun memandangkan tarikh itu hampir dengan 10 November, baru pulang dari Kuala Lumpur menghadiri Perhimpunan Aman BERSIH, maka ceramah itu dibatalkan. Saudara Azmi Yassin sendiri yang memohon permit telah mengunjungi IPD Terengganu dan dikhabarkan bahawa ceramah itu tidak diluluskan.

Berkebetulan permit tidak diluluskan, dan pihak penganjur merasakan agak tergesa-gesa bagi membuat persiapan, maka ceramah ditangguh. Asalnya Abang Mat Sabu dan DS Anwar Ibrahim dijadualkan menaiki pentas ceramah pada malam tersebut.

Pada malam 12 November, TV terus menyiarkan larangan tersebut dan diikuti dengan akhbar Sinar Harian pada keesokan harinya yang memaparkan kenyataan DJ dan Dato Ayob berhubung larangan tersebut. Turut dimuatkan adalah memorandum sekumpulan lelaki yang mengaku menghuni sekitar Persiaran Hakim 1 yang membantah ceramah diadakan di situ.

Suasana dapat aku rasakan agak tegang bilamana dikhabarkan beberapa trak FRU telah datang dari Kuantan dan akan datang dari Kelantan pada keesokan harinya. Ini ditambah dengan beberapa SMS yang tidak dikenali menyeru supaya turun beramai-ramai ke tapak ceramah di Batu Burok tanpa menghiraukan polis.

Aku menghubungi saudara Azmi Yassin selaku individu yang bertanggungjawab memohon permit. Beliau mengesahkan sekali lagi bahawa memang ceramah telah dibatalkan. Hal ini telah dimaklumkan kepada pihak polis sejak malam 8 November lagi semasa pertemuan diadakan di IPD Kuala Terengganu. Beliau juga memberi jawapan dan jaminan bahawa tiada ceramah pada 13 November di Batu Burok setelah ditanya kembali oleh pihak polis sekembali dari Himpunan BERSIH.

Beliau sendiri hairan bilamana kenyataannya seolah-olah tidak dipercayai oleh pihak polis yang masih beranggapan pihak PAS akan meneruskan ceramah di situ. Sepanjang kejadian memohon permit, biasanya PAS akan bertegas untuk mengadakan ceramah atau tidak. PAS tidak terlalu tertakluk kepada permit yang biasanya amat berat sebelah. Permit dipohon sekadar memaklumkan kepada pihak polis sahaja. Namun, PAS jujur dalam melaporkan samada akan mengadakan ceramah mahupun tidak.

Dalam kes 13 November ini, dilihat wujud campurtangan luar dan kebimbangan melampau pihak penguasa. Barangkali lautan manusia 10 November begitu berkesan di hati mereka. Apatah lagi PAS Terengganu dimaklumkan telah menghantar lebih 10 000 peserta ke himpunan tersebut. Semangat dan kesungguhan yang ditunjukkan itu barangkali dirasakan mampu menggugat Gelombang Biru yang masyhur di sini.

Aku ke Besut seawal jam 9 pagi. Dalam perjalanan pergi berselisih dengan beberapa kenderaan polis yang menuju ke Kuala Terengganu. Pulang dari Besut sekitar jam 4.30 petang. Dalam perjalanan sudah ada beberapa sekatan jalanraya di Bandar Permaisuri, di Wakaf Tembesu, dan juga Jambatan Sultan Mahmud. aku tidak tahu sejauh mana kesungguhan anggota yang bertugas bilamana dilihat melepaskan kenderaan yang lalu lalang begitu sahaja. Namun begitu banyak sekatan dibuat seolah-oleh mereka menerima arahan yang tegas dan agak keras dari pihak atasan.

Jam 6 petang, aku mengambil keputusan melalui Pantai Batu Burok. Beberapa van, trak polis dan polis trafik dilihat berselisih kiri dan kanan jalan sebelah pantai. Aku meneruskan perjalanan ke Jalan Persiaran Hakim 1. Kiri kanan jalan dapat dilihat poster larangan berhimpun. Aku kira dipasang oleh pihak polis. Aku terus ke depan Rumah Hj Mad Singapura. Langsung tiada sebarang tanda akan diadakan ceramah di situ. Pintu pagar tertutup, dan tiada sebarang bendera, pentas, mahupun petugas yang biasanya sudah memulakan persiapan ceramah. Polis juga tidak kelihatan di hadapan rumah Hj Mad Singapura itu.

Aku bergerak untuk pulang sambil memperlahankan kenderaan. Meninjau-ninjau kawasan persekitaran dan merasai kedamaian pantai Batu Burok. Sebaik sahaja melepasi sebuah lorong yang lain (lorong belakang rumah Hj Mad Singapura), aku terkejut melihat beberapa buah trak dan pajero polis beserta motor polis trafik di hujung jalan sana. Agaknya pihak polis berkampung di situ sejak awal pagi. Ini kerana rumah hujung tersebut merupakan rumah yang disewakan kepada umum yang mahu menikmati suasana pantai.

Aku ke pejabat seorang kawan. Setelah menyelesaikan beberapa kerja dan Solat Maghrib, aku berkira-kira untuk keluar makan malam di sekitar Batu Burok. Terkejut aku kerana banyak kedai yang agak berhampiran dengan kawasan yang dikatakan akan diadakan himpunan itu kebanyakkannya tutup. Lebih terkilan kerana kedai makan yang menyediakan Sup Perut paling sedap pun juga ditutup (Aku rasa sedap, kalu kalian rasa tak sedap, aku peduli apa!!). Walhal kedai terbabit berada di Jalan Kamarudin, walaupun agak hampir dengan trafik light Batu Burok itu. Melepas aku Sup Perut itu.

Deretan Kedai di Taman Awam Batu Burok yang mengadap ke trafik light juga ditutup. Sebuah kedai dalam taman yang berhampiran dengan trafik light juga ditutup. Apa semua ini? Apakah mereka semua diberi gambaran yang menakutkan oleh pihak polis?? Ketika mana poster ceramah tidak ditampal (kerana tiada ceramah), apakah ada pihak yang tahu ceramah diadakan?? Sungguh pelik!!

Aku akhirnya berhenti minum dan makan di sebuah kedai di Simpang Batu Burok. Turut kelihatan belasan anggota polis berpakaian biasa yang turut menikmati hidangan di situ. Dalam lagak selamba, aku menghampiri meja mereka dan duduk di meja yang sedia ditunggu seorang rakan. Walaupun ada satey yang baunya menyelerakan, namun aku hanya memesan Nasi Goreng Ikan Masin. Sengaja aku mahu 'test' adakah masakan tukang masak di situ lebih sedap dari aku. Rupa-rupanya memang masakan dia lebih sedap. Hehehe.

Selesai makan, aku sekali lagi melalui Jalan Persiaran Hakim 1 dan keluar di sebelah ESSO Batu Buruk. Polis ketika itu telah dilihat mula sedia menjalankan tugas. Jam di handphone aku sekitar jam 8.15 malam. Sambil makan nasi bungkus di dalam Black Maria, mereka terus bersedia untuk menyekat laluan.

Sebaik tiba di rumah, seorang kawan bertanya apakah aku tidak ke Batu Burok? Aku jawab tiada ceramah. Rupanya dia maksudkan supaya aku saja-saja meninjau suasana. Ketika itu kepenatan sudah menguasai diri. Aku suruh sahaja dia yang membuat tinjauan dan melaporkan kepada aku. Hehehe.

Jam 9.11 malam, aku menerima SMS yang berbunyi "Tak abis-abis dengan satey, Huhuhu. Baru je mengelentong bapak polisi. Kami tidak berjaya untuk menembusi sekatan yang diadakan walaupun berpura-pura mahu ke SMAASZA. Kami diarah berpatah balik."

Aku ketika itu berkira-kira mahu keluar ke Batu Burok. Namun merasakan tiada apa-apa melainkan mereka yang menyangka ada ceramah, pergi dan terpaksa berpatah balik sahaja. Maka aku putuskan berada di rumah sahaja. Tak elok keluar malam-malam. Nanti kena embun. Sakit lak. Hehehe.

Moral:

Jangan percaya kepada khabar angin wahai bapak-bapak polisi. Tanya sahaja kepada pimpinan PAS. Mereka bukan pengecut mahu sembunyi-sembunyi mengadakan ceramah. Jika tiada permit sekalipun, jika dirasakan masih wajar dilakukan, mereka akan tetap lakukan!

Lihat sahaja Himpunan Aman BERSIH. Bukan rakyat tidak mahu mematuhi larangan polis. Tetapi rakyat tahu polis hanya diperkudakan oleh UMNO dan BN. Sebab itu rakyat tidak takut. Rakyat yakin mereka tidak bersalah. Sebab itu rakyat turun beramai-ramai.

Usahlah terlalu menggelabah, sikap itu akan merugikan semua pihak. PAS tidak mengadakan ceramah pun, jalan tetap disekat, kedai tutup kerana mengikut 'arahan polis yang tidak bertempat'. Kenapa perlu keruhkan suasana. Kita semua mahu negara Aman. Usah kalut-kalut. Akhirnya, aku juga yang tidak dapat merasa Sup Perut!! Hampehh la kau UMNO!! (baca dengan nada Marah nih!)

Atau agaknya sengaja Dato Ayob mengarahkan polis berjaga-jaga. Alaa, taktik akhir tahun la ni. Nanti anak nak baju sekolah, nak beg baru, nak Raya Haji. Bila ada operasi, sudah tentu ada lebihan fulus yang masyukkkkk. Aku agak je. Jangan marah Dato Ayob, nanti kena jual! ;)

12 November 2007

"Demokrasi Cara Malaysia"

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Alhamdulillah semua peserta himpunan BERSIH mengatakan himpunan berjaya mencapai matlamat. Mencapai matlamat yang dimaksudkan adalah menghantar memorandum kepada YDP Agung disamping berjaya menghimpunkan 100 000 peserta 'Gelombang Kuning'. Namun kejayaan sebenar adalah bilamana 4 tuntutan yang dikemukakan BERSIH itu mendapat perhatian dan tindakan dari YDP Agung Sultan Mizan Zainal Abidin nanti.

Akhbar-akhbar Perdana kebanyakannya tidak menyiarkan langsung gambar 'perhimpunan' yang berlaku. Apa yang dapat dilihat pada akhbar-akhbar kebanyakannya adalah komen pemimpin negara dan gambar-gambar polis menjalankan tugas. Cuma Sinar Harian sahaja yang dikesan menyiarkan gambar perhimpunan dan meletakkannya di muka hadapan. Namun, tajuk beritanya mengecewakan.

Gagal... Itulah gambaran yang cuba ditunjukkan oleh Sinar Harian ini dalam akhbarnya pada 11 November. Namun agak kelakar bilamana akhbar hingusan berkenaan menunjukkan satu gambar yang memperlihatkan lautan manusia yang berhimpun. Mungkin gambar itu hanya separuh peserta atau mungkin satu kumpulan dari peserta-peserta yang berpecah kepada beberapa kumpulan, namun meletakkan tajuk 'gagal' kepada perhimpunan yang mensasarkan 100 000 peserta itu gagal adalah suatu yang memang kelakar dan menampakkan bagaimana media telah dipergunakan.

Pergilah mana-mana program yang mensasarkan peserta mereka 100 orang misalnya. Kedatangan separuh dari peserta biasanya dilihat penganjur sebagai satu kejayaan. Sementara kejayaan besar sekiranya sasaran 100 peserta itu dapat dicapai. Sudah tentu angka melebihi 100 pula akan disebut sambutan yang luar biasa! Ini realiti bilamana sesuatu program dilakukan oleh semua badan. Lihat sahaja bagaimana kad jemputan biasanya dikeluarkan lebih daripada kerusi yang disediakan kerana umum mengetahui biasanya ada jemputan yang tidak dapat menghadirkan diri dan sebagainya.

Mujur juga Sinar Harian memasukkan gambar himpunan. Maka terserlah kebodohan mereka dalam melaporkan berita. Maka, tidak perlu diulas panjang lagi. Cukup untuk dikatakan berlagak telus, tetapi bendul!. Begitu juga dengan kenyataan Menteri Penerangan yang dilihat berbalah dengan wartawan siaran Al-Jazeera. Tanyalah siapa sahaja yang mengikuti perbualan itu, maka perkataan 'tidak cerdik' pasti ditujukan kepada Zam Mamak itu.

Sikap akhbar dan Zam Mamak itulah sebenarnya yang ditegur oleh BERSIH. Akses kepada media yang ada supaya mampu memberikan gambaran sebenar apa yang berlaku. Tidak berpihak kepada belah yang 'biru tua' sahaja. Laporlah secara telus dan jujur. Buatlah liputan secara professional. Jika sikap akhbar begini merupakan amalan media di Malaysia, janganlah marah jika ini dikatakan "demokrasi cara Malaysia".

Umum mungkin mengetahui bahawa 1 dari tuntutan yang empat itu sudahpun ditunaikan oleh SPR. Itu melibatkan penggunaan dakwat kekal dalam proses pengundian berlangsung. Namun tiga lagi tuntutan yang penting perlu juga dibuat perubahan khususnya akses kepada media kerana peranan yang ada begitu besar. Bayangkan setiap pelusuk negara mengetahui adanya himpunan BERSIH bilamana akhbar dan TV menyiarkan larangan perhimpunan aman itu. Sedangkan di dunia maya dan ceramah-ceramah yang dianjurkan kehadiran atau pelayar yang mengetahui maklumat ini amatlah kurang.

Penggunaan polis secara total dalam perhimpunan itu juga memperlihatkan bagaimana "demokrasi cara Malaysia" berlaku. Sekatan, tekanan dan provokasi yang berterusan menunjukkan mereka sebenarnya tertekan. Kebimbangan pemerintah amat memuncak supaya perhimpunan aman itu gagal sama sekali.

Perlu diingat, sekiranya jumlah 100 000 peserta itu mahu melakukan rusuhan dan kekacauan, maka peluang yang mereka ada sangat tinggi. Sudah semestinya persiapan 4000 anggota polis bertugas tidak mampu berdepan dengan mereka yang sedang bersemangat dan ramai. Mungkin polis boleh melepaskan tembakan dan sebagainya, namun kemusnahan yang bakal berlaku dengan rusuhan 100 000 orang itu amat besar sekiranya berlaku.

Di sinilah disiplinnya peserta himpunan. Niat mereka memang mahukan keamanan. Mereka bukan mahu bermusuhan dengan polis, tidak juga dengan media, tetapi mereka hanya mahukan keadilan dan kebenaran dalam perjalanan sebuah pilihanraya. Mereka mahu berhimpun dengan aman walaupun dinafikan hak mereka dan ditentang. Mereka bertegas kerana mereka tahu hak mereka cuba dinafikan. Mereka percaya pada undang-undang, kerana itu mereka menuntut undang-undang pilihanraya itu disemak dan dikaji semula. Jika mereka tidak percaya kepada undang-undang, sudah tentu pilihanraya bukan cara mereka.

Ada pihak mempersoalkan kenapa baru sekarang mahu dibangkitkan isu ini. Kenapa setelah selepas 11 kali pilihanraya? Soalan ini nampak semacam logik dan berasas. Namun jika kita melihat kepada asas "check and balance" dalam sistem demokrasi, di sinilah kewajaran tuntutan ini dibuat. Masa berubah, maklumat bertambah, kemudahan meningkat. Sistem pendidikan kita sudah berapa kali berubah. Ada KBSMnya, ada KBSRnya. Sekejap Bahasa Melayu, sekejap Bahasa Malaysia, dan akhirnya Bahasa Inggeris. Begitu juga dengan sistem pemerintahannya. Maknanya tuntutan itu dibuat mengikut keperluan dan semasa.

Ada juga pihak persoalkan kenapa mesti melakukan demonstrasi jalanan. Apakah sudah tiada jalan perbincangan? Jika soalan ini ditanya, mahu sahaja soalan yang sama dipulangkan semula. Di mana perundingan? Di mana perbincangan? Apakah sikap kerajaan dengan perbincangan? Apakah PM tidak tidur semasa perbincangan itu berlangsung nanti?

Jalanraya dipilih bukan kerana langsung tidak percaya dengan kerajaan. Cuma ini suatu tindakan politik bagi menyedarkan kerajaan betapa ramainya rakyat yang mahukan perubahan dilakukan dalam sistem pilihanraya yang berlaku sekarang. Jika 5, 6 orang sahaja yang membuat perbincangan dan menyerahkan memorandum, maka dilihat itu bukan dari suara dan kehendak rakyat. Maka sebab itu sesekali perlu disedarkan PM yang tertidur yang pantang dicabar itu! Buktinya jelas, PM memang pantang dicabar. Senyap dan sepi tidur sebelum ini tiba-tiba terjaga bila 100 000 peserta gelombang kuning memenuhi Kuala Lumpur. Harap jaga PM lama. Bukan sekadar buka sebelah mata dan sambung tidur semula.

Kesesakan jalanraya? KL memang tempat sesak jalanraya!! Menyusahkan orang ramai? Memang ini menyusahkan orang ramai untuk sehari, tetapi kesan yang mungkin berlaku adalah untuk 50 tahun atau lebih lagi. Usahlah melunakkan keadaan dengan mengambil simpati dari sebahagian insan yang terkena sedikit 'tempias' dari himpunan itu, tetapi bukalah mata supaya dunia tidak ketawa dengan "Demokrasi Cara Malaysia"!

11 November 2007

Tahniah! Tahniah! Tahniah!!!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...



Tahniah! Tahniah! Tahniah!!! Itu ungkapan yang aku mampu ungkap pada semua yang menjayakan Himpunan Rakyat Menuntut Pilihanraya BERSIH sebaik sahaja selesai demonstrasi. Sungguh Aman dan BERSIH!.

Aku mula memasuki Kuala Lumpur seawal jam 8.30 malam, 9 haribulan. Terus ke Bangi mencari penginapan selepas melepasi Plaza Tol Gombak. Sepanjang perjalanan ke KL, beberapa sekatan jalan raya terpaksa ditempuhi. Alhamdulillah semuanya lepas tanpa banyak soal.

Sekatan paling ketat dan paling 'bersungguh' hanya diadakan di Hentian Sebelah Lancang. Lebuhraya ditutup, dan semua kenderaan mesti melalui sekatan yang diadakan di hentian itu. Kenderaan yang disyaki datang untuk ke Himpunan BERSIH diperiksa. Mungkin kerana lagak kami selamba, maka kereta yang kami naiki tidak ditahan. Ketika aku melalui sekatan itu, sebuah Van bernombor pendaftaran TJ XXXX sedang diarah ke tepi untuk diperiksa.

Aku segera menelefon kawan-kawan yang belum datang mengkhabarkan situasi yang ada. Meminta mereka bersedia dan mengambil langkah yang patut. Bimbang juga jika ramai yang akan terkandas dan terhalang. Paling membimbangkan adalah peserta yang datang dengan bas. Sudahlah susah mahu 'menyamar', jumlah yang ramai memungkinkan memberi kesan kepada jumlah peserta himpunan.

Aku tidur awal malam itu. Mencari stamina untuk hari esok kononnya. Walaupun tidur di lantai pejabat seorang kenalan, namun lena aku sampai ke pagi. Sesudah subuh, aku sempat melihat perkembangan semasa menerusi internet di pejabat kenalan itu. Semakin hangat dan bertambah meriah!

Jam 7 lebih aku terdengar bunyi telefon. Tertera perkataan "bonda". Aku membiarkan telefon itu berdering sehingga senyap. Aku tidak mahu semangat aku kendur dengan kebimbangan mak. Sedikit rasa bersalah. Tapi aku anggap tindakan aku tetap betul. Maaf mak!

Sarapan, dan terus bergerak ke KL. Tidak terus ke Masjid India, tetapi menuju Plaza Low Yat. Memang terpaksa menyelesaikan beberapa urusan peribadi di sana. Rupanya bukan mudah untuk masuk ke KL. Beberapa sekatan jalan raya masih diteruskan. Kebetulan beberapa orang dalam kereta yang aku naiki memakai baju kuning, menyebabkan polis memerhati dengan curiga. Mujur juga susunan dalam kereta agak baik. Jadi warna kuning tidak menyerlah bilamana dua orang kanak-kanak turut memakai baju kuning, tetapi berada di seat paling belakang. Selebihnya kawan yang memandu. Aku dan dua lagi kawan memakai pakaian warna yang agak gelap.

Lama juga membeli belah di Low Yat sehingga jam 1.30. Solat Zohor dan Asar dan mula menaiki LRT dari Stesyen Hang Tuah. Agak terkejut kerana dikhabarkan penumpang tidak boleh turun di Stesyen Masjid Jamek. Aku sudah agak, namun buat-buat bertanya. Ada masalah jawab penjaga kaunter. Aku senyum sinis.

Dalam tren LRT, aku terserempak dengan Saudara Yassir Said (Ajk Pemuda PAS Kedah, bekas juara Cup Prix Asia) dan saudara dua pupuku. Rupanya mereka sudah kenal lama. Saudara Yassir aku kenal ketika berada di Gombak. Motor aku pernah digunakan untuk mengadakan 'Demonstrasi Pemanduan Berhemah' yang pernah dianjurkan beberapa kali oleh Pemuda Gombak.

Tiba di Stesyen Masjid Jamek, tren mula perlahan dan akhirnya berhenti! Pintu tren terbuka. Di luar tren aku lihat ramai polis menjaga dan tidak membenarkan kami keluar dari tren. Ketika itu asap gas sudah berkepul naik dan turut menerjah masuk ke dalam tren. Mata terasa sedikit pedih. Pintu tren terbuka cukup lama. Beberapa penumpang mula bising dan tertanya-tanya. Aku sempat buat-buat bertanya kepada polis di depan pintu, jawapan yang diberikan semacam berat sahaja. "Ada perhimpunan" katanya.

Akhirnya pintu tren tertutup. Aku segera menyeluk saku beg yang aku sandang. Beberapa keping pamplet BERSIH dan tuntutannya aku segera edar di dalam tren. Aku menjelaskan apa sebenarnya yang sedang berlaku kepada mereka. Kemudian masing-masing mula bangun dan mengintai ke tingkap tren. 'Gelombang kuning' di bawah sana dapat disaksikan dengan jelas dari tingkap tren yang mula bergerak menuju stesyen Bandaraya.

Tiba di Stesyen Bandaraya, aku turun dan mula menyertai perarakan manusia. Ketika itu sekumpulan peserta kuning sedang berarak menuju Dataran Merdeka. Ketika itu juga Trak Water Canon meluru dan menyembur ke arah orang ramai. Basah! Pedih! Mana garam? Seorang peserta menghulurkan sebungkus garam kepada aku. Segera aku ceduk sedikit isinya dan masukkan ke mulut. Alhamdulillah hilang pedih mata.

Berjumpa dengan seorang lagi 'tauke garam', aku minta sedikit lagi garam. Garam kasar. Memang sesuai. Aku ambik dan gengam garam itu dengan tangan kiri. Ketika itu peserta terus mara dan mundur ke arah dataran. Sesekali semburan dilakukan, maka ketika itu mereka berundur seketika. Pedih memang pedih. Tetapi itu bukan alasan untuk terus melarikan diri.

Akhirnya peserta perhimpunan mula berpatah arah. Mereka berundur dan melencong terus menuju Istana Negara melalui jalan yang lain. Aku menerima maklumat supaya terus berkumpul di hadapan SOGO. Namun ketika itu sudah tidak ramai yang masih tinggal di situ. Aku anggarkan sekitar 300 orang sahaja. Menyedari agak ketinggalan, aku mula mengedarkan pamplet BERSIH kepada orang ramai yang masih tertanya-tanya. Agak berhati-hati memilih siapa yang perlu diberikan flyer berkenaan. Ini kerana pada pengamatan aku terlalu ramai polis yang berpakaian preman di sekitar SOGO. Aku tidak mahu mencari masalah kerana ketika itu aku bergerak sendirian.

Seorang lelaki yang berpakaian agak kemas menegur bila aku menyerahkan pamplet BERSIH kepadanya. "Universiti mana?". "Eh, saya bukan pelajar U" Jawan aku. Dia semacam tidak puas hati barangkali kerana kebanyakan peserta himpunan adalah mereka yang muda tak mengira lelaki dan perempuan. "Eleh, macam tak tahu..." sambung lelaki tadi.

Aku membiarkan lelaki tadi dengan teka-tekinya. Aku meneruskan penyebaran pamplet berkenaan sehingga tinggal sedikit. Beberapa pamplet juga aku tampal di dinding papan kenyataan dan pondok bas dengan menggunakan air hujan. InsyaAllah tahan la kot. Sebenarnya pamplet ini aku diamanah untuk menghabiskan penyebarannya di Terengganu. Tetapi memandangkan aku tidak sempat bersama-sama kumpulan yang menguruskan penyebaran itu, maka mereka meninggalkan sedikir pamplet berkenaan kepada aku. Sebab itu aku membuat keputusan untuk membawa pamplet itu bersama ke KL.

Aku sengaja tinggalkan beberapa keping pamplet berkenaan bersama aku. Ada misi lain yang mahu aku laksanakan. Aku senyum sendirian memikirkan apa yang mahu aku lakukan itu. Satu amalan yang biasa aku lakukan bila datang ke KL.

Ketika mana kumpulan yang masih di SOGO sudah mula mengecil, tiba-tiba ada beberapa pemuda memimpin untuk bergerak terus ke Dataran Merdeka melalui jalan pinggir sungai. Ini berikutan di seberang sana terdapat deretan peserta himpunan yang aku jangka berundur pada mulanya telah meneruskan perjalanan ke Istana Negara tanpa melalui Dataran Merdeka.

Ketika itulah beberapa lagi peserta himpunan ditangkap di hujung jalan tersebut yang dikawal ketat. Sekali lagi peserta berundur menyelamatkan diri. Pada mulanya aku terfikir, kenapa tidak berlaku pengarahan yang jelas kepada peserta bilamana keadaan kucar kacir, namun dari satu sudut, aku melihat seolah-olah dirancang supaya sebahagian kecil terus kekal di sekitar SOGO dan sebahagian yang besar berjalan menuju ke Istana. Seolah-olah bagi mengalihkan perhatian polis dan FRU yang berkawal di hadapan Dataran Merdeka. Sungguh bagai dirancang!

Sebenarnya aku berada di SOGO itu bersama seorang kenalan. Seorang Pakcik yang umurnya sudah pencen, tetapi muda jiwanya. Cuma apabila aku mengajak dia mula-mula mengikuti rombongan yang lain yang menyeberangi jalan, dia meminta rehat seketika kerana penat agaknya. Ketika itulah aku mula terpisah dari kelompok yang ramai.

Sekitar jam 5, aku menerima SMS supaya terus kekal di SOGO. Aku mengambil peluang itu untuk minum seketika. Jam 5.30 petang, kami sudah mula bergerak meninggalkan tapak perhimpunan yang manis. Misi tamat kata kawanku yang memandu. Perhimpunan berjaya!. Kami terus bergerak ke Gombak untuk keluar dari KL. Makan seketika di kedai Nasi Kukus Ayam Dara di Greenwood, dan mula bergerak untuk pulang.

Oleh kerana permulaan perjalanan itu kereta dipandu oleh seorang sahabat, maka apabila tiba di kaunter tol, aku segera menyerahkan pamplet BERSIH kepada beliau untuk diberikan kepada penjaga tol berkenaan. Sengaja mahu mengusik dan menyampaikan maklumat kepada manusia-manusia di bilik kecil kerkenaan. :)

Alhamdulillah semuanya selesai. Dalam perjalanan pulang, aku menelefon mak. Mengkhabarkan sedikit perjalanan program bagi menghilangkan resah mak. "Alhamdulillah" Sahut mak gembira. Aku senyum di hujung corong telefon mendengar kata-kata itu dari mulut mak. Namun jauh di sudut hati aku sedikit kecewa kerana tidak sampai ke Istana Negara. Mungkin lain kali sahaja aku menjalankan misi solo untuk meyerahkan memo yang lain. Hehehe.

Tahniah buat semua!! Tahniah! pada kalian semua yang menjayakan Gelombang Kuning!!

Nota: Aku tiba di Kuala Terengganu jam 1.30 pagi. Sebenarnya aku berhasrat mahu mencoret sesuatu seawal waktu itu, tetapi kerana kepenatan dan keletihan yang amat sangat, maka aku simpan dulu cerita itu sehingga tengahari ini.

09 November 2007

Mak, InsyaAllah semuanya Selamat!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Awal-awal pagi lagi, aku sudah dapat satu call dari kampung. Mak yang telefon. Mak duk tanya pergi ke tak ke KL nung. Aku jawab pergi jer. Mak bagitau kat TV dah ada larangan jangan pergi. TV kata perhimpunan itu HARAM. Pesan mak lagi, jangan nanti malukan keluarga (jika ditangkap dan sebagainya). Tidak lupa mak mengingatkan yang tarikh kenduri sudah hampir. Kata mak, jangan kenduri nanti biarkan si dia keseorangan.

Aku senyap jer mula-mula. Aku faham hati mak. Mak memang lembut jiwanya. Sebab itu aku amat jaga hati mak. Sebelum letak telefon, aku sempat ucapkan kalimah, InsyaAllah takkan ada apa-apa...
"Dan ketahuilah Bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan Sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar." Al-Anfal: 28
Sedikit terkesan di hati bila mak telefon. Aku ingat, inilah yang dikatakan ujian dalam keluarga. Sebagai seorang anak lelaki, keterikatan dengan mak amat dirasai. Apa-apa tindakan memang akan dirujuk kepada mak terlebih dahulu.

Jauh terdetik dalam hati aku selepas metakkan gagang. Namun aku kuatkan hati. Mak tak larang pun! Yang larang hanyalah TV. Aku tidak wajib mentaati TV yang saban hari berkata nista dan dosa.

Mak bukan tak tahu, apa yang aku buat ini bukan akan memalukan keluarga. Aku nak banggakan mak yang melahirkan aku. Biarlah dalam ramai-ramai anak mak yang lahir itu, ada juga yang kental hatinya. Walau jauh disudut hati aku sudah mula dilanda serba salah. Aku pergi sebagai pejuang. Namun bukan mahu menentang dan berperang. Pergi dengan aman. Berjuang dengan cara Muwajahah Silmiyyah. Memang mak tidak faham. Sebab itu mak bimbang, tetapi tidak larang.

Aku akan banggakan mak sebagai seorang yang jika ditangkap sekalipun kerana perjuangan. Bukan ditangkap kerana DOSA dan MAKSIAT. Aku bukan pencuri, bukan juga penagih, jauh sekali pemberontak bersenjata. Pergi dengan aman. Tangan kosong!. Itu serlahkan niat aku bukan untuk berkasar. Apatah lagi menimbulkan huru hara yang sia-sia.

Mak bimbang jika kenduri kahwin aku awal bulan depan tanpa aku. Biarlah kenduri itu tanpa aku. Biar kawan-kawan mak tahu betapa JAHATNYA manusia yang menangkap aku. Biar kawan-kawan mak tahu betapa mereka hidup di dunia yang tidak demokrasi walau mereka tidak tahu apa itu demokrasi. Biar mereka sedar yang orang tidak bersalah pun turut disalahkan di negara ini. Biar mereka tahu!

Sudah lama mak pesan supaya aku memilih jalan yang lain. Bukan mak tidak suka kepada warna ini, tetapi kata mak, biarlah orang lain yang ke depan. Cukuplah jika aku ikut dan tengok dari belakang. Sudah lama mak lontarkan hasrat ini. Apatah lagi kerja mak melibatkan tender. Agaknya mak takut tender mak ditarik balik. Paling kurang mak takut tak dapat projek lagi dilain masa.

Sudah lama mahu aku suarakan pada mak pasal perjuangan ini. Memang ini perjuangan yang susah dan payah. Itukan sunnah perjuangan. Mana ada perjuangan tanpa susah dan payah. Mak bukan tidak faham, cuma mak mahu aku di belakang. Aku tidak nampak mak takut, cuma kadang kala bimbang mak agak tinggi.

Perjuangan memang sunnahnya terpaksa berkorban. Jika perlu sampai kepada terkorban. Aku tidak mendoakan ditangkap. Tapi itu adalah kebimbangan mak terhadap aku. Walaupun kemungkinan akan ditangkap dan dilayan seumpama orang bersalah itu ada. Namun aku masih berharap tidak ditangkap. Aku tidak takut ditangkap. Cuma kesian pada mak. Namun kesian aku tidak akan menyebabkan aku lepaskan perjuangan ini. Aku mahu banggakan mak!

Aku bukan anak yang degil. Aku tidak membantah cakap dan nasihat mak. Namun aku juga punya pendirian sendiri. Itu tidak bermakna aku kurang ajar, tetapi itu kerana kefahaman aku kepada perjuangan ini. Aku tidak membelakangkan mak. Nasihat mak aku dengar, larangan mak aku patuh. Cuma apabila bertembung dua pendapat atau pandangan, maka aku memilih mana yang lebih perlu dan utama. Mak tak salah, cuma aku memilih mana yang patut.

Mahu sahaja aku beritahu kepada mak, bahawa ini perjuangan agama, bangsa dan tanahair. Bukan untuk kepentingan poket aku, tetapi untuk kelangsungan generasi yang akan datang. Aku tiada satu keuntungan peribadi pun dengan menyertai perjuangan ini. Bukan aku yang berucap, bukan aku yang mendapat nama, bukan aku yang disanjung dan dijulang. Bukan aku!!

Namun, jauh disebalik perjuangan ini, aku rasa satu kepuasan dalam usaha aku membina satu masyarakat yang lebih baik, amalan agama yang lebih sempurna, dan melahirkan sebuah negara yang lebih 'demokrasi' dan bermaruah. Kecil sangat sumbangan aku ini untuk negara. Kerdil sangat!.

Anak mak ini tidak akan memalukan mak. Doakan anak mak ini selamat dalam perjalanan pergi dan balik. InsyaAllah semuanya selamat!!

Kuala Lumpur!! Aku datang!!!


NOTA:
Catatan ini aku coretkan ketika sedang bersiap-siap ke Kuala Lumpur. InsyaAllah aku akan mulakan perjalanan selepas Solat Jumaat hari ini, 9 November 2007. Tekad aku hanya satu supaya besok merupakan satu sejarah baru dalam kalendar sejarah Malaysia!

07 November 2007

Bala diburu ‘api misteri’; YB ada anak luar nikah?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Sebenarnya aku berniat menyusun email yang aku terima berkaitan dengan YB Nizam dengan penulisan sendiri, tetapi selepas mendapati tulisan yang sama telah diterbitkan di Buletinonline (maybe di hantar orang yang sama), maka aku tidak berniat meneruskan penulisan lain. Cukuplah aku copy artikel yang sama juga untuk dimuatkan di sini. Maka, hilanglah suspen yang dirancang itu. Hehehe

------------------------------------------------------------------------

Oleh :YB Pulau Tempurung

Pada suatu pagi minggu lepas, ketika sedang bersarapan dengan teman-teman di sebuah warung dekat Pasar Chukai. Tiba-tiba datanglah seorang kawan lama yang suatu ketika dahulu sama-sama belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandul Alam Shah, Kemasik, Kemaman. Wah! lama sungguh kami ‘dok’ (tidak) berjumpa dan rasanya tidak kurang dari 10 tahun. Macam mana ‘nok’ (hendak) jumpa dia (Shahbery) bukan nama sebenar duduk di Kampung Darat Air Putih dan aku pula duduk di Kampung Darat Kijal.

Sambil sarapan pagi kami berbual-bual ‘kosong’ serta ‘membelek’ surat khabar. Tumpuan kami semua tertumpu dengan satu laporan akhbar berkenaan tentang cerita rumah seorang wakil rakyat iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Putih (N.32), Wan Ahmad Nizam Wan Abd. Hamid yang mengalami kebakaran. YB ‘Mat Nijam’ (gelaran popularnya) itu ditimpa musibah dengan berlaku kebakaran ‘misteri’

Aku terus membaca laporan itu dari A to Z untuk tahu apa cerita sebenar. Tapi yang peliknya aku tengok Shahbery ‘relex’ dan sekali-sekala tersenyum ‘kambing’. He!, engkau ni apa hal orang duduk baca kisah rumah YB terbakar engkau pula asyik tersenyum sahaja. Ini YB kampung engkaulah, apa cerita tolong bagi tahu kat kami semua.

“Aku ‘dok’ (tidak) terkejut dengan apa yang berlaku kepada dia (YB Mat Nijam) dan kawan-kawan dia dalam Umno serta orang kampung yang tahu cerita tentang ‘feel’ perangai dia pun tidak terkejut dengan berita itu”, kata Shahbery.

Katanya, kejadian yang menimpa YB Mat Nijam itu adalah ujian dari Allah SWT supaya segera bertaubat jika benar dia bersalah dan sedia bertanggungjawab, mohon maaf dan ‘berubah’. Aku dan teman-teman lain masih tidak berapa faham dengan apa yang dimaksudkan oleh Shahbery itu dan mahukan cerita yang lebih lanjut lagi. Aku minta dia (Shahbery) ‘perdetailkan’ sikit apa kesalahan yang YB itu pernah buat dan lakukan. Aku kenallah sikit-sikit tetapi tidak serapat bagaimana Shahbery kenal dengan YB Mat Nijam itu.

Latarbelakang Kejadian Api Misteri

Sebelum itu, aku hendak cerita dahulu latar belakang laporan akhbar harian yang menjadi ‘kitab’ rujukan yang ‘mutawattir’ dan mutlak bagi orang-orang Umno bukan sahaja di Kemaman tetapi juga orang Umno di negeri Terengganu dan seluruh Malaysia amnya. Akhbar KOSMO! 5 November lalu melaporkan, seorang wakil rakyat di Terengganu telah dihantui suatu kejadian misteri sejak awal Ramadan lalu dan kini sudah sampai ke pengetahauan para pemimpin Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri termasuk Menteri Besarnya, Dato’ Seri Idris Jusoh ‘pengasas’ Ulul Albab Islam Hadhari di Terengganu.

Yang Berhormat (YB), Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid, 40, mengaku kepada KOSMO! Sudah berbelas-belas kali dia ‘diserang’ api misteri berkenaan sehingga menyebabkan dapur dan bilik tidur rumahnya mengalami kebakaran ‘kecil’. Lebih pelik lagi apabila ‘api’ seakan-akan mengikut jejak Ketua Pemuda Umno Bahagian kemaman itu ke mana sahaja beliau pergi dan gangguan itu termasuk ketika beliau menginap di sebuah hotel di Kuantan sebelum api tiba-tiba menyambar biliknya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Exco Kebudayaan, Beliau, Sukan dan NGO negeri berkata serangan terbaru berlaku pada hari Khamis 1 November 2007 lalu di bilik di tingkat bawah rumahnya di Kemaman.

“Sudah banyak kali berlaku tetapi saya ketika ini sedang berubat dan membuat solat hajat setiap malam,” ujarnya kepada akhbar berkenaan. Apa yang menghairankan, katanya punca kebakaran tersebut tidak diketahui kerana ia berlaku walau pun pelbagai cara dilakukan termasuk memutuskan bekalan elektrik di rumahnya.

Sejak itu juga, beliau (YB Nijam) dan keluarganya tidak pernah tidur lena kerana bimbang jika rumahnya terbakar dan beberapa kali terpaksa ‘lari’ dari kediaman tersebut tetapi masih diekori oleh api misteri itu.

Kisah Peribadi YB

Sebenarnya, Shahbery memulakan ceritanya kejadian yang sedang dihadapi oleh YB Nijam itu kerana dosa-dosa dan kesalahan yang dilakukannya sejak bergelar ‘Yang Berhormat’. Semua orang Kemaman yang mengenali batang tubuh dia akan tahu bagaimana baik-buruknya ‘feel’ perangai YB Nijam ini.

“Saya bukan tidak kenal dia (Nizam), kami sama-sama satu sekolah walau pun dia lebih senior setahun dari saya. Dia pimpin Pemuda Umno Kemaman dan jadi wakil rakyat di tempat saya (Air Putih),” ujarnya.

Katanya, ‘Mat Nijam’ (YB) itu bernasib baik dari saya kerana dia jenis orang ‘ligat’ dan boleh ‘naik atas’ (jawatan) sebab pengaruh arwah ayahnya yang pernah menjadi Penghulu Kemasik dan Air Putih. Jika hendak harapkan kredibiliti ‘no way’ (takdok jalan) jadi ‘YB Cap Ayam’ bolehlah.

Menurutnya lagi, YB Mat Nijam seorang yang berperangai angkuh, sombong, suka cakap lepas, sikap ego, tidak hormati orang lebih tua, hina golongan ‘ustaz’ terutama orang PAS dan jenis suka kepada wanita dahi licin.

“Saya ni bukan orang PAS dan ahli PAS jauh sekali, tetapi saya tengok dia (Mat Nijam) berucap dalam sidang dewan yang disiarkan secara langsung di pejabat U-Best Umno sangat ‘meluat’.

“Dia boleh cakap ‘lepas-lepas’ dan hina pada seorang ulama’ macam Haji Hadi dan Harun Taib,” jelasnya kepada aku dan teman-teman di warung tersebut.Katanya, siapa dia (YB Mat Nijam) yang hendak hina orang dan adakah dia itu lebih baik dan lebih alim dari Tok Guru Haji Hadi itu. Menurutnya, orang macam dia (YB Mat Nijam) hendak hina orang sedangkan dia sendiri tidak bayar hutang orang dan gaji orang yang buat kerja untuk dia.

“Bila orang pergi jumpa dia untuk dapatkan bayaran itu, dia ‘tengking’ orang dan dia hina orang. Ini menyebabkan orang ‘sakit’ hati dan Tuhan balas dengan balasan di dunia ini dahulu secara ‘cash’.

“YB kena ingatlah, kalau atas dunia ini Tuhan sudah balas dengan api misteri…macam mana jika sudah mati tidak sempat taubat dan balasan di dalam kubur dan di akhirat kelak?,” soalnya.

Anak Luar Nikah?

Beliau menjelaskan lagi, dari cerita-cerita yang sedang popular di kalangan orang-orang Umno sendiri bahawa YB Mat Nijam itu ada mempunyai seorang anak ‘luar nikah’?.Katanya, jika betul bagai diperkatakan orang walau pun YB Mat Nijam itu cuba sembunyikan ‘nauzubillah’ dan dia tidak layak jadi pemimpin masyarakat.

Menurutnya, isu anak luar nikah, zina, arak, rasuah adalah amalan biasa bagi sesetengah pemimpin Umno dan pemimpin Barisan Nasional (BN). “Saya ada dengar khabar-khabar ‘angin’ di kalangan orang dalam Umno sendiri cakap, YB Mat Nijam itu ada kes anak luar nikah tetapi bukan di Malaysia tetapi di Indonesia.

“Orang sana (Indonesia) minta dia (YB Mat Nijam) bertanggungjawab tapi dia tidak mengaku. Jadi orang sana pun hantar bomoh sihirlah,” ujarnya. Katanya, tidak mahu percaya macam hendak percaya tetapi hendak percaya sangat takut-takut juga tidak benar.Tetapi, menurut Shahbery pemimpin Umno bila sudah ada pangkat dan jawatan dan hartawan semua itu boleh jadi dan lebih teruk lagi.

YB oh! YB..bertaubatlah sebelum terlambat

Lebih kurang dua jam kami duduk bersembang di warung tersebut dan masing-masing mula mahu beredar untuk ke destinasi masing-masing. Kotak fikirku mula bermain-main dikepala apakah benar apa yang telah diceritakan oleh temanku Shahbery tadi suatu hal yang sangat sensitif kepada umat Islam tetapi biasa bagi umat Umno/BN iaitu ‘YB Mat Nijam ada anak luar nikah’?

Apa pun kita semua tidak tahu kecuali tuan ampunya diri (YB Mat Nijam) sendiri yang tahu dan serba tahu akan hal-hal tersebut. Namun begitu, jika benar kisah itu aku nasihatkan YB Mat Nijam agar segeralah bertaubat kepada Tuhan serta kembali ke pangkal jalan dan sesungguhnya perjuangan Umno itu sesat lagi menyesatkan.

Bahkan, ajaran Islam Hadhari yang kamu ‘dokong’ itu yang diasas serta dipimpin oleh ‘Imam Abdullah Ahmad Badawi’ itu ‘menambahburuk’ lagi perjuangan kamu.

Badan YB Ada Magnet

Manakala, bagi menutup kepincangan tersebut dikeluarkan pula satu kenyataan dari Mantan Ketua Jabatan Geologi Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Datuk Ali Hasan kononnya di dalam badan YB Mat Nijam itu ada ‘magnet’.

Jelas beliau, geselan cas besi pada badan mangsa dengan barangan yang tinggi kandungan besi boleh mewujudkan siri ‘bipolar’ di mana kuasa positif dan negatif bergabung menghasilkan tenaga. “Jadi tidak hairanlah kalau di mana sahaja beliau (YB Mat Nijam) pergi, terdapat percikan api kerana bahan itu tertarik dengan barangan di sekelilingnya,” ujarnya.

Pada pendapat akulah dalam hal ini, jika benar dalam badan YM Mat Nijam itu ada bahan magnet kenapa baru hari ini dan tidak dari dulu sebelum dia jadi YB atau orang hebat dalam Umno di Kemaman?

Kenapa tidak berlaku 24 jam sehari tetapi hanya berlaku lima kali dalam masa tiga bulan menurut laporan sebuah akhbar harian yang lain termasuk yang pernah disiarkan Harian Metro, baru-baru ini. Dahulu, YB Mat Nijam bukan main angkuh dan sombong meski pun hanya berjawatan Ketua Pemuda Umno Kemaman dan bagai tidak kenal dunia yang fana ini.

Hari ini, barulah YB Air Putih ini ‘kenal’ dengan solat hajat dan sebagainya untuk memohon keselamatan hidup di dunia agar dijauhi dari gangguan ‘api’ misteri dan bala.

YB jangan ingat dunia ini luas dan orang tidak tahu apa yang kita lakukan walau pun kejahatan sebesar zarah kerana Allah SWT itu Maha Kaya dan Maha MengetahuiNya.

Sebenarnya, kejadian itu mahu menyedarkan YB Mat Nijam agar kembali kepangkal jalan dan jika masih tidak berubah tunggulah akan kifarah Allah Taala yang lebih dahsyat, nauzubillah. Sekian, jumpa lagi.
-------------------------------------------------------------

Itu sahaja, nilailah sendiri..

PANAS: Cerita Api dan YB Nizam

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Ini cerita panas. Cerita perihal seorang YB dan Api yang dikatakan misteri. Sehari sebelum akhbar menyiarkan petikan di bawah, aku menerima satu email yang agak mengejutkan. Seawal jam 7.00 pagi 5 November, aku menerima satu SMS yang menyuruh mendapatkan akhbar Kosmo!.

Aku biasanya membaca akhbar di e-browse sahaja. Namun hari tersebut memaksa aku mendapatkan Kosmo! cetak kerana Kosmo! edisi e-browse hanya boleh dilayari sekitar jam 9 ke atas.

Berita ini akan menjadi PANAS dan mampu membuat YB Nizam tidak bertanding lagi dalam Pilihanraya akan datang. Kebenaran maklumat yang aku terima mungkin masih boleh dipersoalkan, namun hakikat dan kemungkinan yang ada adalah amat tinggi bilamana YB Nizam adalah seorang pimpinan muda dalam UMNO. Maka perbuatan yang dilakukan oleh Nizam ini sehingga menyebabkan api itu selalu menyerangnya adalah tidak mustahil.

Aku tidak tergelak bila membaca komen perihal Nizam dari segi kesihatan. Itu merupakan satu kemungkinan yang mungkin wujud. Cumanya aku kira Nizam mampu menjawab persoalan yang diutarakan oleh Prof Madya Datuk Ali Hassan berkenaan tubuh badannya. Apakah Nizam pernah membuat pembedahan melibatkan memasukkan besi, atau memakan makanan berlebihan ion dan zat besi.

Aku tidak berniat mendedahkan maklumat yang diterima dalam tulisan kali ini. Cuma cukup untuk aku katakan bahawa misteri yang disebut itu sebenarnya sudah Nizam ketahui. Namun dirahsiakan kerana mampu memberi aib kepada dirinya sendiri. Mungkin ada yang rapat boleh bertanya sendiri dengan Nizam, "Apa yang awak buat semasa berada di Indonesia?"..

Hehehe. Mesti ada yang hangin membaca posting ini. Macam nak bercerita, tetapi masih malu-malu berahsia. Cerita PANAS, takkan mahu cukup sekali posting sahaja. Tunggu....................


Nota: Sebenarnya aku sibuk la. Apa ingat mudah ke nak susun ayat bila kepala duk fikir benda-benda lain?? Huhuhu.

05 November 2007

BERSIH Tidak Kotor

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

BERSIH tidak kotor. Sekalipun BERSIH meminta jari tangan ditanda dakwat hitam. Hitam itu bukan bermakna kotor. Tapi memberi makna ketelusan. Ketelusan itulah tandanya bersih. Bersih bilamana tiada penipuan, tiada penyelewengan dan tiada lagi yang mengundi dua kali. BERSIH tidak kotor!

BERSIH tidak kotor. Sekalipun meminta menghapuskan undi pos. Menghapuskan bukan bermakna membunuh atau berlaku jahat, tetapi menghapuskan sistem yang kotor dan jahat. Sistem yang berat sebelah. Bukan sedikit yang berat sebelahnya, tetapi semuanya. Memang berat sebelah. Makanya, BERSIH menghapuskan undi pos bagi membersihkan undi yang berat sebelah. BERSIH tidak kotor!

BERSIH tidak kotor. Sebab itu BERSIH minta dibersihkan daftar pemilih. Buang sahaja nama-nama mereka yang sudah membusuk menjadi mayat. Buang juga nama-nama pendatang asing yang diberikan kad pengenalan palsu. Bersihkan juga pengundi hantu yang munculnya entah dari mana. Pembersihan inilah yang BERSIH mahukan. Sebab itu BERSIH itu tidak kotor.

BERSIH tidak kotor. Meminta akses kepada media yang sama rata dan adil bukan bermakna BERSIH pengotor. Media patut tidak dikotorkan peranan mereka dalam menjelaskan isu sebenar kepada masyarakat. Kotornya media bilamana mengikut jari telunjuk yang kotor. Kotornya media apabila menjadi pihak yang berat sebelah. Di sinilah bersihnya tuntutan BERSIH.

BERSIH mahu berhimpun dengan keadaan AMAN dan bersih. Melihat kepada empat tuntutan BERSIH itu, tiada niat BERSIH untuk mengotorkan negara dengan kekacauan. Berhimpun secara AMAN dan tenteram.

Pergerakan jika dikawal dan mendapat kebenaran akan menjadi lebih TENANG dan menyenangkan. Arahan akan dipatuhi, kerjasama akan membuahkan toleransi. Bukan mahu kecoh-kecoh, apatah lagi mahu gaduh. Usah mulakan provokasi, kerana dalam ramai-ramai itu terselit juga yang berani. BERSIH akan membuktikan yang BERSIH adalah bersih. BERSIH tidak kotor.

Ayuh! Mari bersama BERSIH. Berhimpun bagi membersihkan Pilihanraya supaya bersih dan adil. Menuntut keadilan dan hak bagi setiap warganegara. Tidak guna jika terus berpilihanraya, tetapi keputusan sudah di tangan mereka. Ini bukan membangkang namanya. Tetapi berjuang menuntut hak yang sepatutnya ada. Memang hak kita. Bukan untuk orang lain, tetapi untuk kita, generasi kita dan akan datang. Masih untuk negara. Yakinlah kita tetap patriotik. Dan yakinlah BERSIH tidak kotor!

Jadi, kenapa perlu takut untuk bersama BERSIH?



NOTA: Catatan ini dicatat 4 hari dan 18 jam sebelum tibanya detik 3 petang 10 Nov.