12 November 2007

"Demokrasi Cara Malaysia"

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Alhamdulillah semua peserta himpunan BERSIH mengatakan himpunan berjaya mencapai matlamat. Mencapai matlamat yang dimaksudkan adalah menghantar memorandum kepada YDP Agung disamping berjaya menghimpunkan 100 000 peserta 'Gelombang Kuning'. Namun kejayaan sebenar adalah bilamana 4 tuntutan yang dikemukakan BERSIH itu mendapat perhatian dan tindakan dari YDP Agung Sultan Mizan Zainal Abidin nanti.

Akhbar-akhbar Perdana kebanyakannya tidak menyiarkan langsung gambar 'perhimpunan' yang berlaku. Apa yang dapat dilihat pada akhbar-akhbar kebanyakannya adalah komen pemimpin negara dan gambar-gambar polis menjalankan tugas. Cuma Sinar Harian sahaja yang dikesan menyiarkan gambar perhimpunan dan meletakkannya di muka hadapan. Namun, tajuk beritanya mengecewakan.

Gagal... Itulah gambaran yang cuba ditunjukkan oleh Sinar Harian ini dalam akhbarnya pada 11 November. Namun agak kelakar bilamana akhbar hingusan berkenaan menunjukkan satu gambar yang memperlihatkan lautan manusia yang berhimpun. Mungkin gambar itu hanya separuh peserta atau mungkin satu kumpulan dari peserta-peserta yang berpecah kepada beberapa kumpulan, namun meletakkan tajuk 'gagal' kepada perhimpunan yang mensasarkan 100 000 peserta itu gagal adalah suatu yang memang kelakar dan menampakkan bagaimana media telah dipergunakan.

Pergilah mana-mana program yang mensasarkan peserta mereka 100 orang misalnya. Kedatangan separuh dari peserta biasanya dilihat penganjur sebagai satu kejayaan. Sementara kejayaan besar sekiranya sasaran 100 peserta itu dapat dicapai. Sudah tentu angka melebihi 100 pula akan disebut sambutan yang luar biasa! Ini realiti bilamana sesuatu program dilakukan oleh semua badan. Lihat sahaja bagaimana kad jemputan biasanya dikeluarkan lebih daripada kerusi yang disediakan kerana umum mengetahui biasanya ada jemputan yang tidak dapat menghadirkan diri dan sebagainya.

Mujur juga Sinar Harian memasukkan gambar himpunan. Maka terserlah kebodohan mereka dalam melaporkan berita. Maka, tidak perlu diulas panjang lagi. Cukup untuk dikatakan berlagak telus, tetapi bendul!. Begitu juga dengan kenyataan Menteri Penerangan yang dilihat berbalah dengan wartawan siaran Al-Jazeera. Tanyalah siapa sahaja yang mengikuti perbualan itu, maka perkataan 'tidak cerdik' pasti ditujukan kepada Zam Mamak itu.

Sikap akhbar dan Zam Mamak itulah sebenarnya yang ditegur oleh BERSIH. Akses kepada media yang ada supaya mampu memberikan gambaran sebenar apa yang berlaku. Tidak berpihak kepada belah yang 'biru tua' sahaja. Laporlah secara telus dan jujur. Buatlah liputan secara professional. Jika sikap akhbar begini merupakan amalan media di Malaysia, janganlah marah jika ini dikatakan "demokrasi cara Malaysia".

Umum mungkin mengetahui bahawa 1 dari tuntutan yang empat itu sudahpun ditunaikan oleh SPR. Itu melibatkan penggunaan dakwat kekal dalam proses pengundian berlangsung. Namun tiga lagi tuntutan yang penting perlu juga dibuat perubahan khususnya akses kepada media kerana peranan yang ada begitu besar. Bayangkan setiap pelusuk negara mengetahui adanya himpunan BERSIH bilamana akhbar dan TV menyiarkan larangan perhimpunan aman itu. Sedangkan di dunia maya dan ceramah-ceramah yang dianjurkan kehadiran atau pelayar yang mengetahui maklumat ini amatlah kurang.

Penggunaan polis secara total dalam perhimpunan itu juga memperlihatkan bagaimana "demokrasi cara Malaysia" berlaku. Sekatan, tekanan dan provokasi yang berterusan menunjukkan mereka sebenarnya tertekan. Kebimbangan pemerintah amat memuncak supaya perhimpunan aman itu gagal sama sekali.

Perlu diingat, sekiranya jumlah 100 000 peserta itu mahu melakukan rusuhan dan kekacauan, maka peluang yang mereka ada sangat tinggi. Sudah semestinya persiapan 4000 anggota polis bertugas tidak mampu berdepan dengan mereka yang sedang bersemangat dan ramai. Mungkin polis boleh melepaskan tembakan dan sebagainya, namun kemusnahan yang bakal berlaku dengan rusuhan 100 000 orang itu amat besar sekiranya berlaku.

Di sinilah disiplinnya peserta himpunan. Niat mereka memang mahukan keamanan. Mereka bukan mahu bermusuhan dengan polis, tidak juga dengan media, tetapi mereka hanya mahukan keadilan dan kebenaran dalam perjalanan sebuah pilihanraya. Mereka mahu berhimpun dengan aman walaupun dinafikan hak mereka dan ditentang. Mereka bertegas kerana mereka tahu hak mereka cuba dinafikan. Mereka percaya pada undang-undang, kerana itu mereka menuntut undang-undang pilihanraya itu disemak dan dikaji semula. Jika mereka tidak percaya kepada undang-undang, sudah tentu pilihanraya bukan cara mereka.

Ada pihak mempersoalkan kenapa baru sekarang mahu dibangkitkan isu ini. Kenapa setelah selepas 11 kali pilihanraya? Soalan ini nampak semacam logik dan berasas. Namun jika kita melihat kepada asas "check and balance" dalam sistem demokrasi, di sinilah kewajaran tuntutan ini dibuat. Masa berubah, maklumat bertambah, kemudahan meningkat. Sistem pendidikan kita sudah berapa kali berubah. Ada KBSMnya, ada KBSRnya. Sekejap Bahasa Melayu, sekejap Bahasa Malaysia, dan akhirnya Bahasa Inggeris. Begitu juga dengan sistem pemerintahannya. Maknanya tuntutan itu dibuat mengikut keperluan dan semasa.

Ada juga pihak persoalkan kenapa mesti melakukan demonstrasi jalanan. Apakah sudah tiada jalan perbincangan? Jika soalan ini ditanya, mahu sahaja soalan yang sama dipulangkan semula. Di mana perundingan? Di mana perbincangan? Apakah sikap kerajaan dengan perbincangan? Apakah PM tidak tidur semasa perbincangan itu berlangsung nanti?

Jalanraya dipilih bukan kerana langsung tidak percaya dengan kerajaan. Cuma ini suatu tindakan politik bagi menyedarkan kerajaan betapa ramainya rakyat yang mahukan perubahan dilakukan dalam sistem pilihanraya yang berlaku sekarang. Jika 5, 6 orang sahaja yang membuat perbincangan dan menyerahkan memorandum, maka dilihat itu bukan dari suara dan kehendak rakyat. Maka sebab itu sesekali perlu disedarkan PM yang tertidur yang pantang dicabar itu! Buktinya jelas, PM memang pantang dicabar. Senyap dan sepi tidur sebelum ini tiba-tiba terjaga bila 100 000 peserta gelombang kuning memenuhi Kuala Lumpur. Harap jaga PM lama. Bukan sekadar buka sebelah mata dan sambung tidur semula.

Kesesakan jalanraya? KL memang tempat sesak jalanraya!! Menyusahkan orang ramai? Memang ini menyusahkan orang ramai untuk sehari, tetapi kesan yang mungkin berlaku adalah untuk 50 tahun atau lebih lagi. Usahlah melunakkan keadaan dengan mengambil simpati dari sebahagian insan yang terkena sedikit 'tempias' dari himpunan itu, tetapi bukalah mata supaya dunia tidak ketawa dengan "Demokrasi Cara Malaysia"!

No comments: