12 September 2007

Jika rusuhan dirancang pembangkang, mengapa tolak usul? - Salahuddin

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Abdul Halim Mohd Rashid
Wed | Sep 12, 07 | 06:05:01 AM

KUALA LUMPUR, 12 Sep (Hrkh) - Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub menuntut supaya dijelaskan mengapa usul untuk membincang dan memperbahaskan secara terbuka tragedi berdarah di Batu Burok ditolak jika benar dakwaan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa ia merupakan taktik yang sengaja dirancang oleh parti pembangkang.

Sambil menyifatkan tuduhan liar Perdana Menteri sebagai fitnah jahat dan pembohongan besar, beliau berkata, keengganan menerima usul itu membuktikan dengan jelas siapa yang sebenarnya merancang rusuhan itu.

"Saya membentang usul itu dengan tujuan supaya keadilan dan maklumat sebenarnya dapat ditegakkan.

"Jika benar tragedi berdarah akibat keganasan polis itu merupakan taktik yang sengaja dirancang oleh parti pembangkang seperti dakwaan fitnah jahat dan pembohongan besar Perdana Menteri, mengapa tidak diterima usul itu supaya ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional boleh mengambil peluang untuk membuktikan bahawa tragedi berdarah itu merupakan perancangan pembangkang?" beliau mempersoalkan.

Salahuddin mengingatkan Perdana Menteri bahawa kini telah bertebaran mesej SMS ke seluruh negara bahawa keganasan polis di Batu Burok itu adalah perancangan Setiausaha Politik Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh untuk mensabotaj PAS dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

"Perdana Menteri selalu tidur dan beliau mungkin tidak sedar. Tetapi apa yang berlaku di Batu Burok itu dikaitkan oleh mesej SMS tersebut dengan Setiausaha Politiknya sendiri.

"Saya tidak tahu sama ada dakwaan tersebut benar atau tidak. Tetapi, jika dakwaan itu benar, ia bermakna perancangan tragedi berdarah akibat keganasan polis itu dirancang oleh orang-orang Perdana Menteri sendiri memandangkan Wan Farid memang terkenal sebagai sebagai pengikut setia yang sangat patuh dan taat kepada menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin.

"Jika dakwaan itu benar, tidak ada siapa yang percaya bahawa Wan Farid berani melakukan tindakan itu tanpa restu Khairy," katanya.

Salahuddin juga menyifatkan penolakan usul yang dikemukakannya itu akan menyebabkan rakyat menganggap kerajaan mempunyai sesuatu untuk diselindungkan.

Usul tergempar yang dikemukakan oleh Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian untuk membincangkan keganasan polis itu ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Talib semalam.

Ramli menyifatkan perkara itu bukan perkara segera yang perlu dibahaskan dan dibincangkan di dewan tersebut.

Malaysiakini versi Inggeris semalam memetik Ramli sebagai berkata: “It is just a riot and the police are investigating"

Dalam usul tersebut, Salahuddin berkata, kejadian itu, yang mengakibatkan ramai cedera dan dua orang ditembak polis, mesti dibahaskan kerana ia berkepentingan awam.

Katanya, Menteri Keselamatan Dalam Negeri perlu menjelaskan mengapakan peluru hidup digunakan digunakan keatas orang awam yang tidak bersenjata.

"Integriti pihak polis sangat-sangat dipersoalkan dalam peristiwa ini di mana seolah-olah budaya “trigger happy” diaplikasikan ke atas orang awam tanpa memperhitungkan nyawa dan keselamatan awam.

"Persoalannya, adakah penggunaan peluru hidup telah menjadi satu pendekataan baru pasukan Polis DiRaja Malaysia?," kata beliau.

Tragedi hitam dan sedih ini tidak mungkin akan berlaku sekira pihak keselamatan memberikan permit kepada mana-mana pihak yang berhasrat ini menganjurkan perhimpunan aman sepertimana yang diperuntukan oleh perlembagaan negara dan semangat demokrasi, katanya lagi.

Pasukan polis menjadi sasaran hebat kritikan ekoran tindakan menembak orang awam dengan peluru hidup dalam kejadian itu.

Dalam tragedi berdarah itu, seorang anggota polis yang tidak beruniform dengan sengaja telah bertindak melepaskan beberapa das tembakan dengan menggunakan peluru hidup sehingga mengakibatkan dua orang awam mengalami kecederaan yang amat seruis.

Mangsa pertama Suwandi bin Abd Ghani, 37 tahun telah menggalami kecederaan parah dan telah dipindahkan daripada Hospital Besar Kuala Terengganu ke Hospital Kubang Kerian, Kota Bahru untuk menjalani pembedahan.

Beliau masih dalam keadaan yang amat kritikal.

Mangsa kedua, Mohd Azman Bin Abd Aziz, 21 tahun juga mengalami kecedaraan parah dan masih dirawat di Hospital Besar KualaTerengganu.

Bagi mengelakkan dirinya dari memikul tanggungjawab berikutan keganasan polis itu, Abdullah berkata insiden tersebut mungkin berpunca daripada pembangkang.

NOTA: Copy dari HArakahdaily.net

No comments: