03 December 2008

Masjid manakah yang mahu dirobohkan?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Ini gambar di Bandaraya Kuala Terengganu. Sebenarnya kain rentang ini sudah hampir sebulan tergantung di persimpangan lampu isyarat Jalan Panji Alam. Sehingga kini kain tersebut masih tergantung dan tiada sesiapapun yang mengusiknya.

Aku cuba mahu memandai-mandai menafsirkan apa yang dimaksudkan dengan kain rentang di bawah ini. Harap penafsiran aku ini tidak disalah erti. Aku hanya mengandaikan dari apa yang aku nampak sahaja.

Kain Rentang membantah masjid dirobohkan.

Sekali pandang, mungkin kita tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan dengan kain rentang ini.

DAULAT TUANKU - Warna kuning. Ini menunjukkan kain rentang ini ditujukan kepada pihak Tuanku Sultan dan Istana. Sultan menjadi ketua agama di Terengganu.

Kami - Warna Hijau. Ini menggambarkan orang Islam yang menaikkan kain rentang ini.

BANTAH ROBOH - Warna Merah. Merah ini tanda marah. Juga warna logo UMNO. Mungkin kerana sikap UMNO yang biasa merobohkan masjid, maka warna berkenaan digunakan bagi menggambarkan sifat UMNO yang biasa merobohkan masjid.

Masjid - Warna Hijau. Hijau warna syurga. Perkataan Masjid menggunakan warna hijau bagi menggambarkan sebahagian sifat ahli syurga adalah mendatangi dan mengimarahkan masjid.

Kami - Warna Kuning plak. Ni nak gambarkan rakyat tadi mengharapkan campurtangan Sultan untuk menangani isu ini.

SETUJU BAIKI - Warna Merah. Memandangkan UMNO yang memerintah Terengganu sekarang ini, maka sudah tentu ahli Qariah terbabit setuju kerajaan membaiki masjid berkenaan. Lagipun biasanya projek-projek baiki dan buat ni dah tentu dapat kat kroni UMNO tu.

Masjid - Warna Kuning. Warna kuning di sini agaknya nak gambarkan persetujuan baiki terbabit hendaklah mendapat kelulusan dan campurtangan pihak Istana. Mungkin bagi memastikan ketelusan, dan tender yang dikeluarkan, mahupun adakah ada individu tertentu yang mendapat keuntungan melampau dari kerja-kerja membaiki terbabit.

Kami - Hijau. Sekali lagi mereka menunjukkan sikap sebagai Orang Islam dalam menyatakan menolak pembaziran.

TAK SETUJU PEMBAZIRAN - Merah. UMNO ni biasa sangat membazir. Tengok Monsoon Cup, Masjid Kristal dan macam-macamlah pembaziran yang dilakukan. Makanya pembaziran dan UMNO adalah sinonim.

Itulah sedikit yang dapat aku ulas berkenaan kain rentang berkenaan. Aku rasa mungkin tidak terlalu tepat, namun persen ketepatan tu mungkin mencecah 99.9% kot bila melibatkan UMNO tu.

Wallahua'lam.

p/s: Gambar oleh Ummu Balqis.

Permata Hatiku: Balqis III

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum wbt...

"Pasal berat dia ni, memang budak yang ada Sindrom Down graf dia tidak sama dengan budak lain. Lambat skit. Itu normal bagi dia. Ada apa-apa lagi nak tanya?" Soal Dr Rohaya kepada aku dan isteri. Ketika itu kami memaklumkan yang berat Balqis baru sahaja 4.05 kilogram (Umur 3 bulan).

Aku senyum kepadanya dan mengatakan tiada apa-apa. Isteriku diam sahaja tanda juga tiada apa-apa lagi persoalan. Ketika itu Balqis sudah terlena dalam pangkuan uminya.

Minggu sudah kami ditunjukkan keputusan ujian darah Balqis. Hasilnya Balqis memang positif Sindrom Down. Kami ditunjukkan keputusan (47,XX,+21). Kata Dr Rohaya normal adalah 46, XX. Aku tidak tahu sangat. Tapi aku pernah terbaca yang sindrom down juga dikenali dengan Kromosom 21.

Kami sudah jangka keputusan ujian tersebut. Pada kami tiada apa-apapun dengan keputusan tersebut. Cuma segala persoalan terjawab jelas kini. Langsung tiada terasa kurang.

"Dia ni boleh dikategorikan sebagai Kanak-kanak Istimewa" Sambung Dr Rohaya. Matanya melihat kepada aku, kemudian beralih kepada isteri. Aku mengangguk akur.

Mainan Pertama Balqis

Terus di kepalaku teringat kepada suatu peristiwa yang diceritakan isteriku di satu majlis jamuan makan. Ketika itu isteriku meninggalkan Balqis di atas sofa untuk mengambil makanan. Ketika sedang makan, dia terdengar perbualan seseorang dengan seorang makcik yang berada di sebelah Balqis.

"Dia cacat skit" Jelas makcik yang berada di sebelah Balqis. Tersentak isteriku yang tidak jauh dari situ. Sedikit kesal bilamana perkataan cacat digunakan kepada Balqis.

Aku apabila mendengar kembali cerita itu turut terasa. Namun aku dapat menerima hakikat yang ada. Cuma penggunaan istilah cacat memang dirasakan sedikit kasar bagiku. Mungkin suatu ketika dahulu penggunaan istilah itu tiada apa-apa yang silap pada diriku. Namun, setelah sendiri berada di tempat ini barulah aku menjadi lebih memahami.

Balqis posing untuk blog Abi.

Kami sempat berbincang seketika dengan Dr Rohaya tentang rawatan Stem Cell terhadap individu Sindrom Down. Nampaknya Dr Rohaya tidak banyak mengikuti perkembangan mengenainya. Mungkin juga bidangnya tidak menjurus kepada penyakit ini. Aku banyak mengikuti maklumat tentang Sindrom Down ini melalui internet sahaja.

Beberapa hari sesudah bertemu Dr Rohaya, isteriku mula bertanya perasaanku ketika dimaklumkan keputusan tersebut. Sebenarnya aku tidak menyangka soalan tersebut akan diajukan. Aku menjelaskan yang aku sedia menerima Balqis seadanya.

Aku merenung isteriku. Aku melihat ada sedikit tanda harapan ujian tersebut negatif pada wajahnya. Sungguh, sebenarnya tiada siapa mahu anaknya tidak seperti orang lain. Sihat, cantik, bijak, dan aktif. Melihat ia membesar tanpa ada rasa bimbang. Boleh berdikari dan sebagainya.

Sebenarnya walaupun keputusan adalah positif, namun pada kami ianya adalah sangat minor. Balqis sihat, aktif dan tidak kurang bijaknya. Kata Uminya, bijak macam Umi. Dia akan menjawab setiap agahan kepadanya. Cantik sahaja pada pandangan kami. Pendek kata tiada apa pun yang kurang.

Siapa bilang gadis Melayu tak menawan?

Kami sebenarnya sangat bersyukur atas kesihatan Balqis. Aku pernah bertemu dengan seorang bapa yang anaknya turut mengalami Sindrom Down. Ada masalah jantung, tidak boleh meniarap, dan mesti diberi perhatian sentiasa. Berat anak tadi juga agak bermasalah. Mesti menjalani pembedahan demi pembedahan. Ketika itu terasa betapa jauhnya bertuahnya kami.
Hidup ini jalannya ke depan. Jika mahu mengejar impian, lihatlah siapa yang ada di hadapan. Namun, sekiranya jatuh tersungkur, terasa tewas, lihatlah di belakang. Percayalah kita masih tidak ketinggalan- amdang81
Wallahua'lam.

p/s: Thanks sayang kerana sentiasa kuat di belakang abang.

02 December 2008

Setahun Berlalu...

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

29 November lalu genaplah setahun aku bergelar seorang suami. Rasanya masih baru sahaja berlalu. Dengan sepasang baju melayu putih, aku dengan agak takut-takut melafazkan akad menerima isteriku kini sebagai isteri. Dua kali. Pertamanya lafaz yang aku ucapkan dikatakan perlahan oleh Ayah Mertuaku. Maka, disuruh ulang. Alhamdulillah selesai juga kali keduanya. (kantoi!!)

Beberapa teman isteriku mengirim SMS mengucapkan tahniah atas ulangtahun pertama ini. Specialnya apabila kami menerima Kek sempena ulangtahun ini daripada Kak Ummi. Terharu rasanya atas Kek Kismis yang sedap. Banyak tul kismisnya. Siap bunga-bunga lagi.


Sepanjang setahun bersama, terlalu banyak rasanya perkara baru yang kami pelajari. Hidup bersama ketika dekat, ketika jauh, dan ketika jauh tapi dekat. Semuanya banyak mengajar erti kesabaran, kerinduan dan juga pengorbanan.

Sambutan ulangtahun perkahwinan ini rasanya bertambah lengkap apabila kehadiran Balqis yang cukup bermakna. Cuma mungkin tiada 'bulan madu' buat masa terdekat memandangkan Balqis masih kecil dan loceng pilihanraya akan dibunyikan tidak beberapa lama lagi.

Wallahua'lam.