03 January 2011

Balqis Kembali Ke Sekolah!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Kembali Ke Sekolah!

Jam 9.00 pagi aku sudah tiba Pusat Harian Sindrom Down Kuala Terengganu yang merupakan sekolah Balqis. Balqis kelihatan ragu-ragu apabila aku mahu menurunkannya. Lebih teruk apabila dia tidak mahu berjalan masuk ke kelas. Maka, terpaksalah aku mendukungnya. Sedangkan ketika itu aku mahu menunjukkan kepada Cikgu Anita bahawa Balqis sudah mampu berjalan dengan baik.

Seperti biasa, sebelum memulakan kelas Balqis perlu ke tandas bagi Toilet Training. Alhamdulillah, Balqis kencing di dalam Potty! Jujurnya, aku agak bimbang kerana sepanjang cuti persekolahan, tidak sampai 5 kali aku melakukannya di rumah. Kami memang tidak sempat (bercampur agak malas sebenarnya) mahu melakukan latihan tersebut di rumah. Selain memerlukan komitmen yang agak tinggi, kedatangan Izzah turut menyulitkan keadaan.

Bagi menjalankan latihan ini, Balqis perlu dalam keadaan tiada lampin. Kencing perlu diaturkan setiap 30 ke 45 minit. Setiap kali ke tandas, Balqis perlu ditunggu sehingga 3 minit di atas potty. Jika kencing, dia perlu ke tandas 45 minit berikutnya. Jika tidak, dia perlu ke tandas lebih awal atau 30 minit berikutnya. Risikonya adalah, dia kencing tidak mengira masa dan tempat!

Selesai ke tandas, kelas seperti biasa dimulakan dengan nyanyian. Hari ini aku biarkan Balqis sendirian tanpa aku bimbing pergerakan tangannya dalam menggayakan lagu-lagu yang dinyayikan. Secara keseluruhannya, Cikgu Anita kelihatan berpuas hati. Apa tidaknya, muzik dan lagu adalah kesukaan Balqis!

Permulaan Yang Baik

Selesai nyanyian, Balqis mula masuk kelas. Latihan pertama adalah menyusun bongkah-bongkah kayu ABC. Bongkah-bongkah ini perlu disusun secara menegak dalam 3 bongkah. Seperti yang dijangka, Balqis berjaya melakukannya dengan sangat baik.

Latihan kedua adalah memasukkan kepingan kayu bulat ke dalam tempatnya. Di sini aku lihat Balqis sudah agak keliru. Begitu juga dengan aktiviti yang hampir sama iaitu memasukkan bentuk bulat di dalam bekas. Balqis berjaya dengan bimbingan.

Berikutnya adalah latihan mengenal kasut dan bola. Aku betul-betul lupa untuk melakukan latihan ini di rumah sepanjang cuti. Kesian Balqis. Terkial-kial dia ditegur cikgu kerana salah. Bola dan kasut diletakkan di hadapan Balqis, dan dia perlu menunjukkan bola atau kasut dengan jari telunjuk mengikut arahan cikgu.

Seterusnya aktiviti memasukkan kayu berlubang ke dalam batang kayu. Alhamdulillah, aktiviti ini memang berjalan dengan baik. Lihatlah video bagaimana Balqis menekuni aktiviti ini.



Pelajaran terakhir di kelas adalah mewarna menggunakan crayon. Alhamdulillah, Balqis dapat menconteng mengikut arahan, cuma Balqis kurang menekan crayon pada kertas. Hasilnya, lakaran yang dihasilkan tidak berbekas dengan baik. Kata cikgu, perlu praktis di rumah!

Selesai kelas, sekali lagi Balqis diaturkan ke tandas. Alhamdulillah kencing lagi. Cuma sedikit terlewat kerana baru sahaja hendak keluar dari tandas baru Balqis kencing. Nampaknya Balqis agak menjadi hari ini.

Semangat Kian Luntur

Ketika aktiviti membaca buku, aku lihat mood Balqis sudah berubah. Dia tidak diam duduk atas kerusi. Sebuah buku dibaca, dia cuba lari. Mahu menghabiskan 3 buah buku, aku terpaksa keliling meja mengejarnya.

Apabila tiba waktu makan, sedang aku bersiap-siap mahu mengeluarkan bekal Balqis sudah mula menangis. Aku fikir Balqis mahu kencing, jadi aku segera bawa dia ke tandas. Namun, tidak juga dia kencing. Cuba suap makanan, tidak mahu. Suap air juga menolak. Akhirnya, aku peluk rapat dan biarkan dia menangis. Akhirnya dia terlena. Patutlah dia menangis.

Sebenarnya aku sudah mengagak kejadian ini akan berlaku pada hari ini. Balqis bangun seawal jam 5.00 pagi apabila mendengar penggera pada telefon berbunyi. Sebelum ke sekolah, aku sudah cuba memaksa dia tidur seketika, tapi gagal. Akhirnya, inilah penamat kelas pada hari ini.

Cikgu Anita membenarkan kami pulang awal. Sebenarnya aku mahu Balqis melakukan aktiviti baru pada hari ini iaitu mengayuh basikal. Nampaknya niat itu terpaksa ditangguh ke minggu hadapan atau bersama Uminya nanti pada hari Rabu ini.

Wallahua'lam.

2 comments:

Azma said...

bagusnya perkembangan balqis skrg ye..smg sentiasa bagus2...
kesian balqis..ngantuk sgt ye..

Atiqah Abdullah said...

comelnye balqis sekarang!
web cam xjelas sangat.
memang tekun dia wat kje tu..
good luck balqis!