11 January 2011

Aduka di Rusila: Songkok Putih Wajar Bertanggungjawab.

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...


Aduka Oh Aduka

Aku kenal Aduka Taruna di Tranungkite Online (TKO). Kenal kerana kelantangannya (sepatutnya dibaca biadab, kurang ajar dan sebagainya) dalam mengkritik. Pada dia, tiada yang betul pada orang lain kecuali mesti mengikut apa yang dia kehendaki. Melayu mesti begitu dan begini, Islam mesti begitu dan begini, politik mesti begitu dan begini, PAS mesti begitu dan begini.

Begitu juga dengan Tuan Guru Presiden PAS yang sudah dikritiknya (sepatutnya dibaca dicela, dihina, dimaki hamun dan sebagainya) sejak dahulu di TKO, mesti bertindak begini dan begitu mengikut kehendaknya. Jika tidak, keluarlah istilah yang paling digemarinya iaitu "Genetik Melayu" yang bla.. bla.. bla..

Projek Langgar Hadi

Aku tidak mengikuti sepenuhnya perkembangan "Projek Langgar Hadi" yang sudah lama dicetuskan Aduka. Pada aku, tidak ada apa yang menarik pada projek tersebut, melainkan mahu mengganggu perjalanan politik PAS, khususnya Tuan Guru Presiden sendiri.

Namun, dari pemerhatian dan tinjauan, aku dapati orang yang paling ke depan bagi 'merealisasikan' projek Aduka ini adalah Webmaster TKO - Songkok Putih (SP). SP dalam kenyataan terakhir berkenaan projek ini menyebut seolah-olah program ini akan berjalan dengan baik kerana sudah dimaklumkan kepada pihak-pihak berkenaan. Rujuk DI SINI.

Namun, apa yang berlaku pada tarikh 7 Januari tersebut telah memburukkan imej PAS khususnya, dan turut terpalit cemar kepada TG Presiden PAS.

Timbul persoalan di sini, sejauh mana komunikasi SP, Aduka dan Batu Api dalam melaksanakan projek ini? Sejauh mana pula komunikasi SP, pihak Masjid, dan pihak TG Presiden? Jika mahu dirakam, adakah pihak Terengganukini dihubungi dan dimaklumkan?

Apa yang berlaku pada 7 Januari tersebut menunjukkan tiada komunikasi berlaku! Aku percaya, jika pihak Tuan Guru Presiden dimaklumkan awal, tiada sebab untuk pihak Tuan Guru tidak menerima tamu. Jawapan Tuan Guru kepada Aduka (membaca Facebook Aduka) sendiri menunjukkan Tuan Guru tidak dimaklumkan kedatangan Aduka. Malah, Tuan Guru memaklumkan sudah mempunyai program lain yang perlu dihadiri.

Aduka Dipukul

Aduka dipukul adalah kesan dari salah faham orang ramai sekitar masjid terhadap projek Aduka sendiri. Aduka dibawa dari kawasan rumah Tuan Guru dan dibawa ke halaman hadapan masjid apabila tetap menghalang laluan Tuan Guru dan dilihat tidak beradab dengan Tuan Guru (mendesak beberapa kali walaupun Tuan Guru telah memaklumkan tidak mempunyai masa).

(Tidak timbul isu Tuan Guru tidak menghalang perlakuan orang ramai yang memukul Aduka kerana jarak rumah Tuan Guru dengan tempat kejadian agak jauh. Tuan Guru juga sudah berada di dalam rumah ketika itu - selepas Aduka ditarik)

Apabila ramai mengerumuni Aduka di hadapan masjid, maka timbullah pertanyaan antara satu sama lain. Kenapa 'mamat' tu ditangkap dan dikepung? Maka, keluarlah jawapan "Ada orang nak langgar Ayah Chik (panggilan masyarakat sekitar kepada Tuan Guru Presiden PAS).

Apabila perkataan "Nak Langgar" itu timbul, maka yang tidak tahu hujung pangkal menyangka memang kedatangan Aduka adalah untuk melanggar Tuan Guru. Langgar kesannya adalah cedera atau terbunuh. Maka di situlah dipercayai berlaku tindakan spontan "penampar free" kepada Aduka.

Apabila berlaku kekecohan tersebut, barulah Aduka dilarikan pihak masjid ke tingkat atas. (gambar bawah)


Pengakhiran kepada tragedi di atas, maka dua laporan polis telah dilakukan. Satunya dilakukan oleh Aduka sendiri, keduanya dilakukan oleh pihak masjid. Kita serahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Jika jadi kes mahkamah, dapatlah Aduka datang lagi ke Terengganu / Rusila ni.

Ambil Tindakan Kepada SP

Saya amat percaya, tujuan SP adalah baik dalam melaksanakan 'agenda' Aduka ini. Saya juga percaya, SP berniat untuk memastikan pertemuan tersebut akan meleraikan segala ungkitan-ungkitan yang Aduka timbulkan. Saya sangat yakin dan percaya kepada SP atas tujuan dan niat tersebut.

Namun, saya amat kecewa apabila program tersebut 'tidak diuruskan' dengan baik sehingga menimbulkan kekecohan, seterusnya membangkitkan salah faham terhadap PAS dan Tuan Guru sendiri. Atas rasa kekesalan tersebut, saya cadangkan Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) dan Dewan Pemuda PAS Kawasan Dungun (DPPKD) selaku 'pemilik TKO' mengambil tindakan sewajarnya kepada SP.

Saya juga menggesa SP mengambil sikap sepenuhnya bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku. Ini kerana umum mengetahui, hanya SP yang berhubung dengan Aduka dan Batu Api.

Wallahua'lam.

2 comments:

musafirlalu said...

Salam tuan blog... saya rasa tidak adil menyalahkan SP dalam kejadian tersebut kerana apabila kita berjanji maka tunaikan janji kita. Adakah AT memegang kepada janji beliau kepada BatuApi?. Jika berjanji jam 3 p.m. kenapa beliau menerjah TGHH selepas solat Jumaat yang pada andaian saya jam 2.15 p.m. tanpa mengambil kira emosi penduduk Rhusila.
Bagaimana jika perkara tersebut dilakukan kepada bapa dia dikampung oleh orang yang tidak dikenali?. Apakah beliau akan tersengih macam dalam gambar bersama Pak Wahab?. Pada pandangan saya, jam 3 p.m. memang sesuai yakni selepas solat boleh le makan-makan dulu sebelum berdebat dengan BatuApi dan debat tersebut mungkimemakan masa 1-2 jam. Ini bermakna beliau bolehlah berjumpa dengan TGHH selepas solat Asar.
So.... kenapa nak salahkan Sp, BatiApi dan yang lain-lain jika beliau sendiri yang tidak mengikut aturcara. Bagaimana nak beri jaminan keselamatan atau apa saja sekiranya beliau sendiri mendahului waktu yang dijaminkan iaitu jam 3 p.m. Hakikatnya para blogger hanya untuk menarik perhatian agar blog mereka akan naik rankingnya seperti ranking terbaru yang dikeluarkan oleh Top Ranking Online..... termasuk saya sendiri. Itulah antara realitinya...

amdang81 said...

Tuan Musafir,

saya persoalkan sejauh mana berlaku komunikasi antara mereka. Jika ianya dirancang baik, sudah tentu perkara begini tidak berlaku.

Saya tidak menyebelahi Aduka dalam kes ini, tetapi tetap mempersoalkan sejauhmana komunikasi berlaku antara mereka bagi membolehkan program yang dirancang berjalan baik.

Jika program dikatakan pukul 3, apakah mereka tidak berbincang apakah bentuk program, siapa terlibat, di mana, bagaimana dan sebagainya.

Terjahan Aduka menggambarkan mereka tidak berhubung pada hari berkenaan. Sudah tentu Aduka bimbang jika TGHH naik ke atas rumah, sedangkan apa yang dia hajatkan belum sampai maksud.

Ketika Aduka dikepung, jika pihak-pihak terlibat ada, kenapa tidak tampil menghalang menerangkan keadaan sebenar kepada orang ramai.

Walaupun selepas Aduka dipukul, pihak-pihak yang 'menjemput' wajar meneruskan program jika benar ianya telah dirancangkan. Mohon maaflah kepada Aduka atas apa yang berlaku.

Di sinilah tujuan utama saya meminta SP bertanggungjawab kerana dia menjadi orang tengah. Selain itu, hanya SP yang dikenali (dan wujud) kerana dia merupakan webmaster TKO yang dimiliki DPPK Dungun.

Batuapi@firestone dan pihak-pihak lain (jika ada) sekalipun, bagaimana mahu meminta mereka diambil tindakan kerana tiada siapa tahu siapa mereka. Kita juga tidak tahu sejauh mana mereka dengan PAS dan sebagainya.

wallahua'lam.

 

Great Morning ©  Copyright by a m d a n g 8 1 | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks