24 February 2010

Permata Hatiku - Balqis iv

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Balqis belajar 'merempit' di sekolah

"Kuatnya mung. Sabarlah ye"

"Minta maaf, aku tidak pernah tahu anak mung ni Sindrom Down"

"Aku tak tahu macamana kalu aku berada di tempat mung"

Semua kata-kata di atas adalah antara kata-kata yang biasa kami terima selepas rakan-rakan yang tidak pernah mengetahui tentang Balqis berjumpa Balqis, atau baru mendapat tahu dari sahabat-sahabat. Ada yang perasan bila melihat wajah Balqis, ada juga yang tidak perasan, tetapi baru tahu bila dimaklumkan.

"Setahun setengah, takkan tak boleh jalan lagi?" Sapa seorang kenalan suatu hari apabila melihat Balqis yang aku pegang.

"Budak gini biasanya lambat sikit dapat berjalan. Paling awal pun dekat 2 tahun jugak" Aku menjawab sambil mahu melihat reaksinya.

Ada yang segera perasan, ada yang tidak perasan. Ada yang perasan, tetapi 'takut' untuk bertanya lanjut bimbang kalau-kalau kami terasa hati. Aku seperti biasa akan menjelaskan masalah Balqis jika ada yang kurang faham dan memang tidak tahu.

"Tapi dia ni minor sangat la. Tak dok masalah sangat". Aku biasanya menjelaskan tanpa dipinta.

Merajuk - bila kena tegur (Umi marah adik ke?)

Sungguh pada aku, apa yang kami sedang hadapi ini suatu ujian yang teramat kecil jika dibandingkan dengan individu lain yang turut mempunyai anak SD ini. Dekat rumah aku ada beberapa family yang mempunyai anak SD. Ada yang macam ok, tapi tetap ada masalah. Ada yang teruk dan memang menyedihkan.

Jiran 1, depan rumah. Merangkap sepupu aku sebenarnya sudah berumur sekitar 39 tahun. Alhamdulillah, dia boleh menguruskan dirinya sendiri. Kadang-kadang, dialah yang 'mengasuh' Balqis apabila ibunya tiada. Jika bersama Balqis, dia akan membaca surah al-Faatihah yang tunggang terbalik. Atau menyanyi sambil pergelangan tangan diputar. Mengikut ibunya, dia ketika kecil teramat lembik dan mula berjalan sekitar 4 tahun.


Di sekolah

Jiran 2, belakang rumah. Baru berumur 5 bulan jika tidak silap. Sekali lihat, sudah tergambar kesusahan dan keperitan ibu bapanya. Dilahirkan tanpa batang hidung. Sumbing. Minum susu melalui satu saluran yang terpaksa dimasukkan ke dalam tekaknya. Kadang-kadang kena sawan. Sesekali nafas tersekat, cepat-cepat kena bawa ke hospital. Mengikut doktor 50-50 sahaja harapan untuk hidup lama.

Jiran 3, aku jumpa di klinik. Jiran kerana jika mengikut yang diceritakan tidak terlalu jauh jarak rumah kami. Berumur 2 tahun. Berbaring dan tidak dapat buat apa-apa. Berat sekitar 5-6 kilo sahaja. Kurus dan hanya mampu angkat punggung (macam geliat) sahaja sesekali pergerakan paling besar dapat dilakukan. Sudah beberapa kali ke IJN.

Jiran 4, berumur sekitar 7 tahun. Lelaki. Aku biasa jumpa dia di masjid. Solat jauh di belakang makmum lain. Solat sorang-sorang. Tak banyak yang aku tahu tentang dia.

Kami tidak pernah rasa suatu kekurangan pada Balqis. Sebab itu aku tidak pernah rasa malu untuk membawa Balqis ke mana-mana. Malah, aku rasa bangga punya anak seperti Balqis. Jika tidak masakan aku kongsi gambar dan cerita-cerita Balqis. Walaupun pernah suatu ketika di mana mula-mula mendapat khabar Balqis mengalami SD, aku sedikit 'tersentak'. Kini, apabila teringat peristiwa itu aku akan cepat-cepat istighfar.


Perkongsian maklumat, kongsi permasalahan dan dapatkan sumber rujukan sebaiknyasebenarnya banyak membantu kami dalam membesarkan Balqis. Walaupun aku lihat Persatuan Sindrom Down Terengganu agak kurang aktif, namun itu tidak bermakna menyertai persatuan tersebut suatu kerugian. Sekurang-kurangnya kami mendapat feedback yang pelbagai mengenai anak-anak SD ini selain pembacaan / nasihat dari sesetengah pihak sahaja.

Wallahua'lam.


3 comments:

nasikerabupetro said...

Ana suka jaga Balqis...
Mudaaah sangat....
:)

ازلينا ااحمد‬‎ said...

Alhamdulillah. Nampak sihat benar balqis tu.

abu muaz said...

boleh doh wat gi litar sepang ni...
alang-alang merempit ....