09 February 2010

Lelaki Rambut Panjang, Perempuan Pakai Skirt...

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...



Sebaik selesai memberi salam, aku berundur dalam keadaan mengensot untuk membolehkan kaki aku sedikit lega dalam keadaan bersila semasa wirid. Tiba-tiba terperasan oleh mataku 2 orang lelaki yang berambut panjang turut selesai bersolat selang beberapa jemaah sahaja dengan aku. Aku kurang perasan 2 jemaah tersebut sebelum solat kerana aku sedikit terlewat dan agak tergesa-gesa mengangkat takbir sejurus sahaja tiba.

Seorang rambut panjang tanpa diikat, tetapi memakai 'skaf' bagi mengelakkan rambutnya jatuh ke depan semasa sujud. Barangkali. Seorang lagi mengikat rambut. Sekali lihat panjang rambut mereka hampir sama. Sehingga mencecah tengah belakang masing-masing. Entahlah mereka ini dari kumpulan rock mana.

Secara drastik aku mengucapkan 'alhamdulillah' apabila melihat mereka ini turut berada dalam saf dan sama-sama bersolat jemaah. Walau apapun rupa mereka, pakaian mereka, tetapi mereka tetap bersolat.



Satu ketika semasa melawat Thailand, selepas melawat kebun buah-buahan di sebuah kebun di sana, kami bercadang menunaikan solat jamak ta'khir zohor dan asar. Kebetulan kawasan yang kami kunjungi jauh dari kawasan penduduk Islam. Maka, kami memilih sebuah bilik yang disediakan oleh pihak pengurusan kebun tersebut.

Selesai solat, aku baru perasan beberapa peserta wanita turut sama mengikut kami di belakang. Apabila semuanya selesai, seorang demi seorang membuka pakaian solat masing-masing untuk dilipat termasuklah seorang daripadanya yang memakai skirt paras lutut. Sedikit terkejut kerana aku tidak menyangka dia salah seorang peserta wanita yang turut bersolat di belakang kami. (Dalam rombongan terbabit, hanya 2 peserta perempuan yang tidak bertudung)

Apa yang mendukacitakan apabila ada di antara peserta yang menggunakan alasan 'was-was' dengan tempat solat kami mengambil keputusan langsung tidak bersolat.

Sudahkah anda menunaikan solat?

Wallahua'lam.

No comments: