23 December 2009

Wajarkah Dr Rosli Allani Melepaskan Jawatan?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Aku secara peribadi tidak bersetuju dengan keputusan Dr Rosli Allani melepaskan kesemua jawatannya di dalam parti selepas keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu memerintahkannya tinggal berasingan dengan isteri keduanya. Alasan yang diberikan adalah bagi mengelakkan masalah peribadinya menjejaskan imej PAS.


Mesyuarat melahirkan hasil yang baik

Aku tidak bersetuju jika keputusan yang diambil oleh Dr Rosli Allani itu adalah keputusan peribadi beliau. Sebaliknya jika itu keputusan jemaah, atau paling tidak telah berbincang di dalam mesyuarat mahupun usrah Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, aku kira keputusan yang diambil lebih baik dan lebih elok.

Perlantikan sesuatu jawatan dalam jemaah adalah suatu amanah. Amanah ini bukan diberikan kepada sebarangan individu, tetapi biasanya melalui suatu mesyuarat atau pemilihan. Jika jawatan Ketua Penerangan, aku percaya ianya dipilih melalui pemilihan memandangkan jawatan tersebut merupakan Organisasi Harian kepada Dewan Pemuda PAS Kelantan.

Mungkin ada sebahagian yang bersetuju dengan perletakan jawatan Dr Rosli Allani kerana menganggap tindakan tersebut betul dan keputusan mahkamah tersebut akan memberi kesan kepada PAS. Tetapi sebenarnya persepsi masyarakat adalah sebaliknya dan melihat perletakan jawatan tersebut sebagai suatu pengakuan bahawa Dr Rosli Allani dengan sedar dan sengaja melakukan kesalahan tersebut!

Keputusan mahkamah hanya memerintahkan Dr Rosli Allani mufarakah dengan isteri keduanya dan belum memutuskan bahawa pernikahan mereka dibatalkan. Mereka sedang dibicarakan dan masih tidak didapati bersalah. Cuma apabila melibatkan isu suami-isteri, arahan mufarakah adalah sesuatu yang biasa dan wajar sementara perbicaraan diteruskan.

Aku percaya, sehingga pengumuman perletakan jawatan oleh Dr Rosli Allani semalam, surat perletakan jawatan masih belum dihantar kepada DPPNK. Janganlah budaya 'melepaskan jawatan' ini dijadikan suatu amalan, apatah lagi kesalahan dan jawatan yang dipegang tidak berkait secara langsung.

Mungkin ada yang beranggapan tindakan tersebut sebagai hero, tetapi bagi aku ianya tidak lebih dari tindakan cepat mengalah.

Teringat kata-kata seorang teman, jika mahu jadi ahli politik mesti bertelinga tebal, mulut mesti manis. Jika tidak tahan dengan sedikit cubaan, usah masuk politik.

Apapun, ianya adalah PERSEPSI sahaja. Persepsi oh persepsi...

Nota: Pimpinan PAS Kelantan ramai yang 'terpalit' dengan masalah poligami. Harap ada kursus khas bagaimana menguruskan poligami di kalangan pimpinan. :)

0 comments:

 

Great Morning ©  Copyright by a m d a n g 8 1 | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks