08 December 2009

Dari Siem Reap ke Phnom Penh 2

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Siem Reap dan Angkor Wat

Siem Reap agak terkenal sebagai sebuah bandar pelancongan. Antara destinasi utama di sini adalah Angkor Wat. Kemegahan Angkor Wat bukan sahaja dilihat sebagai satu mercu tanda bagi Kemboja, malah nama 'Angkor' digunakan secara meluas dan menjadi suatu kebanggaan. Itu termasuklah minuman keras 'Angkor' yang berasal dari Kemboja. Di mana-mana kedai samada runcit atau kedai makan, terpampang banner atau poster jenama 'Angkor' dengan megah.

Nama Angkor juga digunakan meluas sebagai nama pada hotel dan premis perniagaan yang lain. Hotel yang kami menginap di Siem Reap pada malam pertama di Kemboja turut menggunakan perkataan Angkor. Angkor Star Hotel, milik seorang Cina yang sudah memeluk Islam. Dikatakan, terdapat lebih 150 hotel di Siem Reap sahaja, dan jumlah ini jauh melebihi hotel di Phnom Penh.


Penggunaan Tut-tut masih meluas di sini.

Mengikut perancangan asal, memang kami dijadualkan melawat Angkor Wat, tetapi kerana masa banyak dihabiskan ketika menunggu 'sarapan', maka perancangan terpaksa diubah. Namun bukanlah sesuatu yang merugikan rasanya tidak melawat Angkor Wat yang merupakan sebuah kuil yang besar.

Di sini, pembinaan bangunan 'dilarang' melebihi ketinggian Angkor Wat itu sendiri. Paling tinggi bangunan yang ada di sini adalah sekitar 5 atau 6 tingkat sahaja. Aku tidak pasti samada itu adalah peraturan pembandaran, atau kepercayaan masyarakat setempat. Namun, aku tidak menemui bangunan yang melebihi ketinggian tersebut.

Walaupun Siem Reap merupakan bandar pelancongan, penduduk di sini dikatakan antara yang paling miskin berbanding wilayah-wilayah lain di Kemboja. Wilayah yang dikatakan paling ramai golongan yang kaya adalah Kampung Cham. Kampung Cham mempunyai penduduk muslim yang ramai, tetapi muslim di wilayah Kampung Cham jauh ketinggalan berbanding golongan lain.

Memandangkan Siem Reap merupakan kawasan pelancongan, kami tidak digalakkan membeli belah di sini. Harga barangan di sini dikatakan lebih mahal dari Phnom Penh yang merupakan ibu negara Kemboja.

Kampung Atas Air di Tonle Sap

Saujana mata memandang...

Perjalanan ke Tasik Tonle Sap dari bandar Siem Reap mengambil masa kira-kira 30-40 minit. Sepanjang jalan menuju ke jeti, jelas kelihatan betapa kesusahan yang melanda penduduk di Siem Reap ini. Rumah-rumah yang kebanyakan kecil dan ada yang kelihatan seperti pondok-pondok sahaja layaknya.

Apa yang menarik mengenai rumah atas air ini adalah ianya menjadi suatu produk pelancongan. Banyak bot-bot untuk pelancong disediakan di jeti menggambarkan betapa ianya menjadi suatu destinasi utama pelancong ke sini. Rumah-rumah di sini memang sebahagiannya atas perahu atau bot yang ditambah atap.

Walaupun di atas air, tetapi terdapat banyak juga kemudahan di sini. Ada balai polis, ada surau, ada sekolah, ada restoran, kedai runcit, ada khidmat membuat bot dan pelbagai lagi. Semuanya di atas air. Juga ada sebahagian penduduk di sini mempunyai televisyen yang dijanakan dengan kuasa solar.


Rumah seperti ini pemandangan 'biasa' di sepanjang jalan ke Tasik Tonle Sap.


Jeti di Tasik Tonle Sap.


Bot-bot yang digunakan mampu memuatkan sekitar 20 penumpang lebih dalam satu-satu masa


Suasana di tasik


Suasana rumah atas air


Walaupun di air, masih sempat bertanam bunga.


Sebuah bot 'diparking' ketika tidak digunakan


'Pengemis atas air'


Dengan sebuah besen, gadis kecil ini bergerak di dalam air sambil menunjukkan kebolehannya bermain ular.


Antara restoran yang terdapat di sini.


Sekolah


Cenderahati dijual di atas 'restoran bot'


Pusat Geckos


Buaya yang dibela di atas bot


Surau - signboard biru.


Majlis menyerah sumbangan untuk surau kepada imam menjadi agenda terakhir kami di Tasik Tonle Sap.

Wallahua'lam.

0 comments:

 

Great Morning ©  Copyright by a m d a n g 8 1 | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks