04 August 2009

Antara Selesema Babi dan Gila Babi di Malaysia

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Selesainya Himpunan MANSUH ISA, Malaysia semacam gila jadinya. Gila yang dibuat-buat dan semacam makin menjadi-jadi gilanya. Gila bermula dari kepala dan turun ke kaki pemerintahan Malaysia. Sungguh gila jadinya. Mahu sahaja disebut gila babi, tetapi takut pula dengan isu selsema babi yang makin menjadi-jadi. Apa mungkin selsema babi menyebabkan sindrom gila ini makin menjadi-jadi.

Gila Satu

Kerugian yang dianggarkan kerana kesan demonstrasi himpunan MANSUH ISA sebanyak RM200 juta kata Nong Chik, Menteri Kementerian Wilayah Persekutuan. Apakah ini suatu kegilaan? Ini terbit dari mulut seorang menteri! Entah apa penilaian himpunan rakyat itu disalahkan dengan kerugian sejumlah itu? Nak dikatakan ada bangunan runtuh kerana himpunan, tiada. Jika ada hanyalah bangunan PAS yang basah kuyup disiram air asid FRU.

Gila Dua

Ada pihak yang beria-ria mengatakan mahu menghimpunakan kira-kira 70 000 orang yang kononnya bagi mempertahankan akta zalim ISA yang menamakan mereka sebagai PEKIDA. Golongan ini sehingga akhir tempoh himpunan ISA (Sabtu, Jam 2 petang) bertegas mahu berhimpun sama menunjukkan sokongan kepada ISA sekiranya GMI meneruskan himpunan.

Apabila tiba hari himpunan, hanya segelintir kecil sahaja yang hadir. Dijangkakan tidak sampai 500 orang pun. Kumpulan ini kemudiannya mengumumkan mereka berjaya menyerahkan Memorandum kepada pihak Istana Negara.

Akhirnya pihak polis mendedahkan kumpulan PEKIDA terbabit gagal menyerahkan memorandum tersebut apabila Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz telah ditahan polis kira-kira 7 petang kelmarin ketika mendekati kawasan Istana Negara.

Tidak cukup dengan kegilaan itu, pihak PEKIDA yang gagal menyaingi pihak GMI mengadu kepada SUHAKAM kononnya himpunan MANSUH ISA anjuran GMI itu mencabul hak asasi. Kegilaan itu ditambah dengan kumpulan tersebut mengarahkan polis menahan pimpinan Pakatan Rakyat. Gila!

Gila Tiga

Media tempatan seakan gila dengan perkataan demo yang merujuk kepada demonstrasi. Demo ditonjolkan sebagai ganas, merbahayakan awam dan perlu disembur dengan air asid dan gas pemedih mata. Dalam isu demo ISA diperkatakan ramai, pihak media turut menceritakan perihal demo di hadapan rumah Khir Toyo.

Kelakarnya walaupun disebut berlaku demo, tetapi gambar dan pemberitaan yang ditunjukkan tidak menunjukkan berlakunya demo di hadapan rumah Khir Toyo tersebut. Adalah kebiasaan lawatan, kembara, mahupun apa-apa aktiviti berhimpun sambil bergambar dengan banner program. Ini suatu yang biasa. Jangan digila-gilakan perkataan demo.

Gila Empat

Kelakar tahap gila mendengar kenyataan Dr Rais Yatim apabila memaklumkan peserta himpunan MANSUH ISA diupah bagi menjayakan himpunan. Selaku peserta himpunan, dan sebagai seorang yang waras aku percaya tiada siapa yang sanggup dibayar untuk disimbah air asid dan dihidangkan gas pemedih mata. Aku tidak sanggup dibayar untuk itu.

Pengalaman terkena gas pemedih mata dan terkena air asid, hanya mereka yang pernah terkena sahaja yang tahu. Badan pedih, panas terasa semacam terbakar dan sebagainya terkena air asid FRU. Jika terkena gas pula, akan mengalami pedih mata gila, sesak nafas yang teramat, tekak tetiba kering... Susah nak bayangkan jika sendiri tidak merasa. Itu belum termasuk yang dipukul, disepak terajang oleh polis yang merusuh.

Gila Lima

Daripada 589 yang ditangkap, hanya 29 orang sahaja yang akan didakwa. Daripada 29 tersebut, 13 daripadanya didakwa kerana membawa baju T Unit Amal Malaysia. Dakwaan kepada 13 orang tersebut di bawah akta pertubuhan. Apakah tiada alasan lain untuk mendakwa? Macam kerja gila sahaja layaknya.

Aku mahu mencadangkan kepada pihak polis supaya membuat suatu pengumuman supaya semua peserta yang hadir himpunan ISA pada 1 Ogos tersebut tampil untuk menyerah diri. Tidak kira mereka itu pro-ISA mahupun yang mahukan ISA dimansuhkan. Biar penuh mahkamah. Baru seronok.

Gila Enam

Semua orang bercakap tentang ISA. Tentang demo ISA. Tentang polis dan ISA. Tentang gambar-gambar menarik Himpunan MANSUH ISA. Semuanya tentang ISA. Gila ISA jadinya. Apapun, jangan sampai ada yang gila mahu meneruskan ISA. Gila mahu ada yang ditangkap bawah ISA dan pelbagai kegilaan-gilaan yang lain. Nanti gila jadinya. Benamkan ISA. Tamatkan ISA. Isu ISA akan selesai. Jahanamlah ISA. Harapnya tiada lagi yang gila dan tergila-gilakan ISA.

Wallahua'lam.

p/s: Apa lagi yang gila disebabkan ISA?

No comments: