13 May 2008

UMNO Masih Kuat : Rosol

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Petikan akhbar Sinar Harian.

KUALA TERENGGANU - UMNO Terengganu menafikan bahawa wujudnya perpecahan serius melibatkankan pemimpin utama dalam parti itu, selepas tercetusnya krisis pelantikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said yang menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh, sebaik sahaja berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-12 baru-baru ini.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata, sehingga ini beliau tidak nampak berlakunya sebarang perpecahan antara rakan pemimpin yang lain dan menganggap ia sebagai satu dakwaan tidak berasas.

“Sebenarnya UMNO Terengganu masih lagi kuat, sama seperti dulu,” ulasnya kepada Sinar Harian, ketika dihubungi, semalam.

Rosol memberitahu demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan wujudnya perpecahan antara pemimpin UMNO Terengganu, menyebabkan parti itu masih gagal mengadakan Mesyuarat Perhubungan sejak berakhirnya pilihan raya umum lalu.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Rosol memberitahu, pihaknya masih belum membuat keputusan berhubung mesyuarat tersebut kerana ia akan diputuskan sendiri oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri yang kini masih dipegang oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh.

“Beliau (Idris) yang berhak memutuskan tarikh sebenar mesyuarat berkenaan dan sehingga kini saya masih belum menerima apa-apa arahan daripada beliau mengenai perkara itu,” ujarnya.

Menurut Rosol, pada kebiasaannya Mesyuarat Perhubungan diadakan sebulan selepas pilihan raya umum, tetapi kini setelah dua bulan proses pilihan raya umum berlalu, ia masih belum diadakan.

Ditanya sama ada perkara ini menjejaskan pentadbiran dan perancangan UMNO sendiri beliau memberitahu, ia langsung tidak menggugat perjalanan parti dan pihaknya juga tidak menerima sebarang desakan daripada pemimpin serta anggota UMNO.

“UMNO Terengganu masih lagi sama seperti dulu dan kita akan meneruskan usaha serta strategi untuk berjuang demi kepentingan rakyat selain membantu mereka meraih kehidupan lebih baik dalam segenap segi,” ujarnya.

Mengulas mengenai ulang tahun UMNO ke-62 yang disambut semalam, bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri itu berkata, UMNO masih lagi relevan untuk semua masyarakat Melayu di negara ini walaupun sudah lebih enam dekad berlalu.

Beliau berkata, dalam tempoh berkenaan UMNO ternyata berjaya membawa banyak perubahan kepada rakyat dan negara termasuk kewujudan lebuh raya sebagai laluan perhubungan dan pelbagai dasar ekonomi ke arah meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Oleh itu, sempena ulang tahun UMNO ini saya berharap pemimpin akan melaksanakan tugas mereka dengan lebih baik. Jangan bertengkar dan bergaduh sesama sendiri kerana rakyat yang akan menjadi mangsa.

“Kasihani rakyat terutama mereka yang tinggal di kampung kerana tidak pernah mengenal erti penat lelah dalam berjuang untuk parti,” katanya.

08 May 2008

Siapa Paling Tidak Cerdik: Mohd Shaid, TV3 atau PDRM?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

"Melayan orang gila boleh membuatkan kita menjadi gila". Itu antara kata-kata yang selalu diulang oleh orang yang mengaku waras bila berdepan dengan orang gila. Namun pada aku, orang gila itu sewajarnya dijauhi kerana kita mudah mengecamnya dengan pakaian dan sikapnya yang sememangnya pelik.

Berdepan dengan manusia yang TIDAK CERDIK sebenarnya lebih bahaya. Bahaya itu bilamana puak-puak tidak cerdik itu bergabung dan cuba berlagak cerdik. Aku petik sedikit Buletin Utama malam tadi untuk dinilai bersama.



Walaupun lulusan universiti, Mohd Shaid tidak boleh dikatakan cerdik kerana telah bertindak tidak cerdik. Membuat laporan polis terhadap manifesto Pakatan Rakyat di Selangor sekadar mencari publisiti murahan. Sungguh murahan dan langsung tidak cerdik!. Memalukan lulusan UiTM je.

Begitu juga penilaian aku terhadap TV3 yang menyiarkan berita tidak cerdik itu sebagai berita keduanya pada malam tadi. Aku tidak nampak langsung nilai keutamaan pada berita sebegitu rupa. Apakah Buletin Utama sudah menjadi rancangan Melody?

Pihak Polis pula yang menerima laporan tersebut terus menjalankan siasatan dan dikatakan masih menjalankan siasatan. Tiada kes lainkah negara kita ini sehingga laporan polis yang sebegitu rupa mahu diambil perhatian oleh polis?

Aku rasa cukuplah jika dikatakan sekadar menerima laporan sahaja. Kesungguhan menjalankan siasatan terhadap kes-kes sebegini juga menampakkan sikap polis yang dicucuk hidungnya oleh pemerintah.

Tidak cerdik! Sungguh tidak cerdik mereka-mereka ini. Mahu rasanya kasihankan mereka ini, terutamanya si Mohd Shaid itu. Namun, orang yang tidak cerdik bercampur sombong sebegini bukan senang diajar. Jika ditegur, kita pula dikatakan salah. Kesian.

Masalahnya, orang-orang berpakaian kemas itu dilihat cerdik pada pandangan umum masyarakat (bagi sesetengah golongan tidak cerdik). Jika mereka yang tidak cerdik ini pakaiannya sama seperti orang gila, sudah tentu kita tidak sukar menasihati orang ramai dari menjauhi mereka. Tetapi bilamana lagak mereka bagus, pakaian kemas, berkereta mewah dan besar pula, sudah tentu sukar kita membezakan. Hanya jauhari yang mengenal manikam.

Jika aku ditanya, antara Mohd Shaid, TV3 dan Polis siapakah yang paling cerdik, sudah tentu aku sukar menilainya memandangkan aku hanya tahu Mohd Syahid itu lulusan UiTM tanpa disebut bidang dan pengajiannya. TV3 dan PDRM sudah tentu sukar dinilai kecerdikan mereka.

Tetapi jika ditanya antara mereka siapa paling tidak cerdik, aku suka membungkus ketiga-tiga mereka dalam satu bungkusan dan melabelkan TIDAK CERDIK! sambil mencampakkannya ke tempat kitar semula. Semoga ketiga-tiganya sedar atas sikap tidak cerdik mereka itu.

Apakah penilaian anda sebaliknya??

link petikan Utusan pasal laporan Mohd Shaid. KLIK.

Wallahua'lam.

07 May 2008

Politik dengan kawan-kawan

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Hidup memang penuh dengan politik. Politik bukan hanya soal menggunakan kuasa, tetapi juga skills. Bukan sekadar melaksanakan, tetapi juga berfikir samada sesuatu tindakan itu tepat atau tidak. Sebab itu perlu senantiasa muhasabah diri, dengar komen-komen dari pelbagai sudut dan tidak malu untuk meminta maaf.

Ini cerita politik persahabatan. Bukan tiada isu politik kepartian, tetapi aku lebih suka membawakan isu ini terlebih dahulu. Politik dalam persahabatan perlu dan memang penting bagi memastikan kawan-kawan tiada kecil hati dan persahabatan terjalin sihat dan berkekalan. Tolak ansur itu politik, boikot juga politik dalam bersahabat.

Sebelum lebih mengarut, terlebih dahulu aku mohon kemaafan kepada beberapa orang sahabat yang telah melangsungkan perkahwinan beberapa hari sudah. Maaf kerana lambat ucap tahniah dan maaf kerana tidak menghadiri undangan (bagi yang mengundang).

Aku masih ingat 2 tahun sudah. Seorang sahabat (aku namakan A je) telah berkahwin tanpa mengundang sahabat-sahabat yang lain. Bila sahabat A tadi mengumumkan perkahwinannya dalam Yahoo!group, maka riuh seketika. Setelah dijelaskan sebab dan alasannya yang memang terpaksa mengadakan majlis secara kecil-kecilan itu, kami semua memahami dan menerima alasannya. Malahan, semua memberi sokongan kepada sahabat tadi atas tindakannya itu.

Aku sedikit terkejut sebenarnya dengan tindakan berani sahabatku itu. Mudah cerita, si A tadi berkeras dengan ayahnya mahu mengahwini seorang gadis kampungnya walaupun ditentang si ayah. Semoga mereka terus bahagia dan si ayah dan keluarga dapat menerima pasangan sahabatku itu.
Gambar hiasan semata-mata.

Walaupun pengumuman sedikit lewat, namun kerana didahului dengan permohonan maaf dan maklumat yang diterima secara langsung dari sahabatku si A, maka aku kira kami semua cepat kendur dan mudah memaafkannya. Aku tidak tahu apa akan jadi sekiranya berita perkahwinannya itu sampai ke telinga kami dari sumber kawan-kawan yang lain. Mungkin kami akan sedikit terkilan dan kecewa.

Aku sendiri sebelum ini bertunang dalam tempoh yang agak lama. Hampir-hampir setahun. Namun, oleh kerana masing-masing pandai menyimpan rahsia, dekat-dekat tarikh perkahwinan kami baru la ada beberapa orang yang tahu perihal kami bertunang. Kebetulan ketika itu sudah agak hampir dengan tarikh pernikahan. Maka, aku cepat-cepat mengumumkannya sebelum orang lain dapat tahu dari sumber lain selain aku.

Pada aku, beberapa perkara penting pada kita dan penting pada pandangan sahabat-sahabat perlu dijaga. Perkahwinan, kematian, sakit dan kelahiran anak perlu dikongsi. Mungkin kita sukar mahu berkongsi kesakitan atau penderitaan, namun kegembiraan aku kira sewajarnya dikongsi bersama. Walaupun berita gembira itu sekadar pengumuman tanpa jemputan kenduri dan sebagainya. Berita itu sudah memadai bagi yang memahami.

Aku masih ingat bilamana aku mengumumkan tarikh perkahwinan kepada kawan-kawan, ramai yang gelak dan menyangka aku bergurau. Ketika itu kad belum siap, jadi aku umum terlebih dahulu. Bimbang jika kawan-kawan mendapat maklumat dari sumber lain, dan berkecil hati. Maka, aku umum terlebih dahulu. Alhamdulillah dalam bab pengumuman, aku kira berjaya.

Namun dalam soal kad undangan, aku agak mengecewakan kawan-kawan bilamana ramai yang mengadu dan menunjukkan sikap kecewa bila tidak mendapat kad. Sedikit terkilan kerana aku agak berkira ketika itu untuk membuat kad dalam jumlah yang besar. Nampaknya persepsi kad jemputan masih perlu bagi menunjukkan kesungguhan kita menjemput mereka. Itu pengajaran yang aku dapat.

Hmmmm. Sekadar berkongsi rasa sambil melepaskan sedikit keluhan terhadap seorang sahabat. Apapun, setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Wallahua'lam.

p/s: Jika ada yang mahu mengundang aku, pada aku kad tidak perlu. Berikan sahaja alamat dan panduan selengkapnya. Cukup SMS peringatan takut-takut aku terlupa tarikh bahagia itu.