28 July 2010

Daftar Pemilih: Apa PAS Terengganu buat?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Aku suka merujuk kepada jadual di bawah. Jadual tersebut menunjukkan jumlah pemilih yang didaftarkan oleh Penolong Pendaftar (PP) oleh parti-parti politik di Semenanjung Malaysia.



Ketika mula-mula melihat jadual di atas, terdetik juga di hati. Apakah PAS Terengganu begini teruk dan lemah berbanding negeri-negeri lain terutama Kedah dan Kelantan? Sekali dilihat, memang Terengganu agak kebelakang dalam mendaftar pengundi baru.

Mengikut rekod SPR, masih ada Kira-kira 28% atau 4.39 juta penduduk negara ini yang berusia lebih 21 tahun dan layak bergelar pengundi masih belum mendaftar sebagai pemilih sehingga akhir tahun lalu (2009). Daripada jumlah tersebut, 65% daripada mereka adalah Bumiputera. Daripada jumlah itu, Selangor mencatat jumlah yang paling tinggi iaitu seramai 787,000 orang, diikuti Johor (605,000), Perak (526,000), Sarawak (473,000) dan Kelantan (240,000). Manakala di Terengganu sekitar hanya 77,093 orang sahaja (12.3%) yang belum berdaftar.

Jadi, apabila dikaitkan pendaftaran pemilih dengan mereka yang belum mendaftar, Terengganu sebenarnya tidaklah jauh ke belakang. Cuma jika dilihat pada angka, memang ianya kurang pada bilangan.

Wallahua'lam.

p/s: Sekadar menjawab beberapa tulisan yang nakal dan tidak sudah-sudah mengkritik.

25 July 2010

Gambar Kenangan

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Siapa kata UMNO Setiu berpecah? Gambar di bawah menjadi bukti bahawa mereka telah berbaik antara satu sama lain. Cuma gambar di bawah adalah gambar kenangan yang dipercayai hanyalah suatu lakonan semata.


Petikan Sinar Harian tahun lalu.

Video Muhyiddin di Setiu - KLIK.

21 July 2010

Ke Mana Pergi Subsidi Kami? - Dr Asri

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...



kalian rampas subsidi kami, entah ke mana dibawa lari
kalian beritahu, wang mesti dicatu, kita menuju maju...
kalian kata: jika tidak, semua menderita, habis harta negara...
kalian berbahasa: bukan barang naik harga, cuma subsidi turun sahaja...

kami orang desa, mungkin tidak pandai kira berjuta-juta...
kami orang kecil kota, mungkin tiada sedemikian harta...
jika kalian tipu sebegitu, biasanya kami diam selalu...
tapi dapatkah kami dibohongi, tentang suapan saban hari?

apalah yang dapat diberitahu anak ke sekolah?
papa semakin parah? wang semakin lelah?
jika semalam berlauk, hari cuma berkuah...
kerana kerajaan kita sedang susah?
maka subsidi kita terpaksa diserah...
jika semalam kau makan sepinggan, hari ini saparuh
kerana barang makin angkuh, wang papa makin rapuh...
apa yang dapat dibisik pada anak berkopiah ke madrasah?
makananmu sayang, sebahagiannya sudah hilang...
jika mereka bertanya siapa yang bawa lari
kepada siapa patut kami tuding jari?
janganlah nanti mereka membenci pertiwi...
akibat pencuri harta bumi rakyat marhaen ini..
atau kami jadi insan curang...
kami beritahu; cuma subsidi sahaja yang kurang?
tiada apa yang hilang, nanti akan datang wang melayang...

dengar sini wahai yang tidak memijak bumi!
pernahkah kalian mengintipi kehidupan kami...
pernahkah kalian ngerti makna derita dan susah hati...
kami yang semput bagai melukut di kota kedekut
kami yang bekerja hingga senja di desa yang makin terseksa
bertarung nyawa dan masa, menghitung setiap belanja

pernahkah kau merasa?
rumah bocor yang lanjut usia...
baju dan kasut anak yang koyak
tinggal dalam rumah yang berasak-asak
siang kami sebak, malam kami sesak...

sedangkan kalian manusia angkasa...
istana permata dibina, kereta berjuta dirasa...
elaun di serata, dari isteri sehingga seluruh keluarga...
hidangan istimewa, konon meraya kemakmuran negara...

tapi kami masih di sini..di teratak ini...
dengan lauk semalam..
dengan hidangan yang tidak bertalam...
dengan rumah yang suram...
dengan wang yang hampir padam...

tiada istana lawa...tiada kereta berharga...
tiada layanan diraja..tiada baju bergaya
tiada kediaman menteri...tiada hidangan vip...
tiada persen di sana-sini...tiada bahagian anak dan bini...

tiba-tiba kalian kata: kamilah beban negara...
aduhai celaka bahasa yang kalian guna...
kalian yang belasah, kami yang bersalah...
kalian buat untung, hutang kami tanggung...
kalian mewah melimpah, kami susah parah
kalian hilangkan wang, poket kami yang terbang...
kalian bina istana, rumah kami jadi mangsa...
kalian makan isi, kami dijadikan abdi...

lantas, kalian rampas lagi subsidi...
ke mana wang itu pergi nanti?
jika kalian berhati suci, wajib mengganti buat kami...
jika tidak pun buat gula konon merbahaya
mengapa tidak beras diturun harga?
jika tidak untuk minyak kereta...
mengapa tambang tidak potong sahaja...
tapi entah berapa kali janji...
konon: nanti kami ganti, kami ganti, kami ganti...
hari demi hari, ceritanya pun tidak berbunyi lagi...
kami terus termanggu di sini...
kalian juga yang nikmati...
kami hanya menggigit jari...

kembalikanlah kepada kami harta negara...
jangan hanya kalian sahaja yang merasa...

16 July 2010

Kenaikan Harga Barang: Apa Najib Kata?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Berikut adalah kenyataan penuh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung keputusan kabinet mengenai harga bahan api, terutamanya petrol, diesel dan Petroleum Gas Cecair (LPG), dan juga gula, yang diselaraskan semula sebagai sebahagian dari Program Rasionalisasi Subsidi.



Sejak mengambil alih teraju kepimpinan negara pada tahun lepas, kerajaan di bawah pimpinan saya telah memberi tumpuan kepada usaha-usaha untuk melonjakkan pertumbuhan ekonomi ke tahap yang lebih tinggi.

Kita telah membuka sektor-sektor penting dalam ekonomi untuk pelabur asing, menyediakan persekitaran pelaburan yang lebih kondusif, mengurangkan perbelanjaan kerajaan sebanyak 24 bilion, mengurangkan pembaziran dan menangani ketidakcekapan. Hasilnya, kita dapat melihat kebangkitan ekonomi dengan pertumbuhan sebanyak 10.1% dalam suku pertama 2010, pencapaian terbaik kita dalam dekad ini.

Ketika mengumumkan Rancangan Malaysia Ke-10, saya telah mengatakan bahawa matlamat negara bukanlah semata-mata untuk mengeluarkan kita dari krisis ekonomi. Cita-cita kita untuk negara dan masyarakat adalah lebih tinggi dari itu. Kita ingin menjadi negara berpendapatan tinggi dan maju, berdaya tahan dan berdaya saing untuk meningkatkan kesejahteraan kerana rakyat.

Model Baru Ekonomi (MBE) memperuntukkan cadangan untuk melabur dan mengembangkan sektor strategik yang penting, mengemas kini infrastruktur dan mewujudkan peluang pelaburan bagi sektor swasta yang bertujuan meningkatkan Pendapatan Negara Kasar. Namun begitu, pertumbuhan sahaja tidak akan membantu kita mencapai matlamat MBE. Kerajaan telah menyatakan bahawa kita mesti mengkaji semula pemberian subsidi bagi mengelak herotan dalam dagangan. Ia bagi memastikan subsidi diberikan kepada golongan yang layak dan membolehkan lebih banyak hasil negara digunakan untuk pelaburan yang akan memberikan faedah jangka panjang bagi keseluruhan rakyat.

Selaras dengan itu, Kabinet telah mengambil keputusan bahawa berkuat kuasa pada 16 Julai 2010, harga bagi bahan api, terutamanya petrol, diesel dan Petroleum Gas Cecair (LPG), dan juga gula, akan diselaraskan semula sebagai sebahagian dari Program Rasionalisasi Subsidi. [tm1] Penyelarasan semula harga barang ini akan membolehkan kerajaan mengurangkan perbelanjaannya melebihi RM750 juta untuk tahun ini.

Keputusan untuk menyelaraskan harga minyak dan gula ini khususnya diasaskan daripada tiga perkara penting:

a. Pertama, kesemua subsidi ini tidak menepati sasaran – ia memberi faedah juga kepada pihak yang tidak layak, iaitu warga asing dan rakyat yang berpendapatan tinggi yakni mereka yang mampu untuk membayar petrol tanpa subsidi. Fokus kita sepatutnya ialah bagi membantu golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana bukan mereka yang memandu kereta import yang mewah. Subsidi gula yang berlebihan pula memberi faedah kepada industri-industri dan bukannya keluarga. Hampir dua kali ganda subsidi gula ini digunakan oleh sektor perniagaan berbanding isi rumah.

b. Kedua, barangan yang bersubsidi tinggi selalunya membawa kepada aktiviti penyeludupan kerana pemberian subsidi telah menjadikan barangan ini paling murah di rantau ini. Pada tahun 2009 sahaja, ramai penyeludup telah ditangkap ketika cuba membawa keluar lebih 200 tan metrik gula. Sebenarnya, jumlah yang tidak dapat ditangkap kerana penyeludupan ini adalah lebih besar. Diesel terus diseludup dan dijual secara haram di negara jiran. Pihak berkuasa telah meningkatkan pengawalan untuk menghalang penyeludupan, tetapi selagi adanya perbezaan harga yang besar, penyeludup akan terus dengan kegiatan haram ini.

c. Ketiga, kita perlu menukar cara kita menggunakan bahan bakar dan gula. Penggunaan bahan bakar yang berlebihan akan mengurangkan sumber negara dengan cepat dan tidak menyumbang kepada usaha kita melindungi alam sekitar. Dengan 40 peratus rakyat Malaysia yang berlebihan berat badan atau obes – dan peningkatan jumlah penghidap diabetes – kita perlu menangani apa yang dilihat sebagai satu isu kesihatan. Mengurangkan penggunaan gula di kalangan anak-anak khususnya, adalah langkah yang tepat.

7. Ini adalah sebahagian dari sebab kenapa kerajaan memilih untuk menyelaraskan semula harga gula dan bahan bakar. Sebaliknya, subsidi bagi bidang pelajaran dan kesihatan akan terus dipertahankan. Ini adalah bidang perkara yang penting bagi negara di mana kerajaan seharusnya melabur, menyediakan bantuan untuk mengembangkan kemahiran dan membina tenaga kerja untuk masa depan.

8. Keputusan untuk menyemak semula pemberian subsidi ini dibuat bersama rakyat melalui aktiviti yang dijalankan di bawah Program Rasionalisasi Subsidi. Kerajaan telah mengadakan proses perundingan dengan rakyat sebelum membuat keputusan ini. Tidak lagi hanya dengan pembuat dasar di Putrajaya, tetapi beribu-ribu rakyat Malaysia melalui Hari Terbuka Makmal Rasionalisasi Subsidi, undian on-line, undian pesanan ringkas dan borang maklum balas menyatakan sokongan bagi menyemak semula pemberian subsidi secara berperingkat.

9. Berdasarkan proses ini, kerajaan memutuskan harga petrol RON 95 dan diesel akan diselaraskan sebanyak 5 sen seliter bagi semua sektor. LPG akan diselaraskan sebanyak 10 sen sekilogram dan petrol RON 97 akan diapung secara terkawal. Bagi gula pula, harga akan diselaraskan sebanyak 25 sen sekilogram.

10. Walaupun harga barang ini diselaraskan, kerajaan masih lagi membelanjakan lebih kurang RM7.82 bilion setahun untuk subsidi bahan bakar dan gula. Harga bahan bakar dan gula di negara ini masih lagi yang paling rendah di rantau ini walaupun adanya penyelarasan harga ini.

11. Selain itu, penyelarasan harga barang ini akan menyumbang kepada usaha kita untuk mengukuhkan urusan kewangan kerajaan iaitu mengurangkan defisit kewangan negara. Ia membolehkan kita menyediakan perbelanjaan yang lebih kepada sektor yang lebih penting seperti pendidikan dan kesihatan. Ini termasuklah pengumuman kerajaan baru-baru ini bahawa semua pelajar yang mendapat 9A+ dan pelajar miskin yang layak mendapat biasiswa dan meningkatkan perbelanjaan untuk menyediakan kemudahan kesihatan seperti Klinik 1Malaysia, termasuk klinik bergerak 1Malaysia. Selain itu, kerajaan akan meneruskan Projek Penyeragaman Harga Barang Perlu di Sabah dan Sarawak bagi mengurangkan beban rakyat luar bandar.

12. Sebenarnya, penyelarasan harga bahan api dan gula ini adalah yang paling minima berbanding dengan cadangan yang telah dikemukakan oleh Makmal Rasionalisasi Subsidi kerana kerajaan mahu mengimbangi di antara kepentingan rakyat dan keperluan menguruskan defisit negara.

13 July 2010

Selamat Tinggal Afrika, Selamat Beradu Tok De

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Lama sungguh tidak menconteng blog. Terasa semacam 'segan' sedikit untuk menulis dan terus menulis di blog ini. Segan kerana terlampau lama membisu.

Jika mahu dikatakan sibuk, tidaklah terlalu sibuk. Entah kenapa, jika di rumah sekarang ini sudah amat malas mahu membuka laptop. Aku rasa lebih selesa mengadap TV sambil bermain-main dengan Balqis. Apatah lagi Balqis akhir-akhir ini amat aktif dan memang memerlukan perhatian yang lebih.

Jika aku duduk di atas sofa, Balqis akan datang dekat dan mengangkat sebelah kakinya untuk memanjat naik. Ada kalanya berjaya (dengan sedikit sokongan). Jika tidak berjaya, dia akan menangis sehinggalah aku menaikkannya di atas sofa, atau dia diam sendiri jika tidak dipedulikan.

Alhamdulillah, Piala Dunia sudah melabuhkan tirai. Harapnya semua akan kembali normal dan tenang-tenang sahaja. Tiada lagi hendaknya anak-anak muda bertempik di tengah malam sehingga mengganggu tidur Tok De (Mak Sedara yang mengasuh Balqis). Sepanyol sudah menang, Belanda juga cemerlang dan Jerman juga bukan sebarangan. Selamat Tinggal Afrika.

Wallahua'lam.

p/s: Catatan Kosong semata. Maaf, jika ianya mencuri masa.