11 February 2009

Antara Idris Jusoh dan Nizar Jamaludin

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Aku lebih kenal Idris Jusoh dari Nizar Jamaludin. Kenal aku tidaklah sampai ke peringkat tahu berapa banyak kurap yang ada di tubuh Idris Jusoh. Tidak kenal aku kepada MB Perak, Nizar Jamaludin pula bukanlah kerana tidak kenal. Mungkin kerana baru terkenal.

Ketika mana Idris Jusoh berada dalam zaman kegemilangannya, Nizar langsung tidak pernah aku tahu kewujudannya. Ketika itu Idris Jusoh terkenal dengan Ketengahnya (Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah). Juga terkenal dengan Ketegaqnya. Ketika itulah zaman Gelombang Biru. Dari pelbagai sudut Kerajaan Terengganu (1999 - 2004) diserang dan ditekan.

Apabila Idris Jusoh berjaya mengambil kuasa Kerajaan Terengganu. Ketengah diketepikan. Tapi ketegaqnya lebih jelas. Tanah-tanah rakyat dirampas. Masjid dirobohkan. Pertandingan Kapal Layar termahal di dunia juga dicipta dan diadakan di Terengganu. Pembaziran demi pembaziran dilakukan termasuk membina Taman Tamadun Islam.

Dipendekkan cerita, akhirnya Idris Jusoh dihalau Sultan dari menjadi Menteri Besar. Tindakan Sultan disokong rakyat. Rakyat rasa gembira atas kebijaksanaan Sultan. Rakyat tahu, tindakan Sultan kerana bukan sahaja Idris biadap dengan istana, malah zalim juga orangnya terhadap rakyat. Sokongan Rakyat terhadap tuanku Sultan dapat dilihat di mana-mana ketika itu. Sehingga hari ini masih ada kereta ditampal dengan pelekat "Daulat Tuanku, Patik sekalian rakyat bersama dengan tuanku".

Apa pula cerita Nizar Jamaludin? Aku terima SMS sehari selepas Perak dikuasai PR mengatakan YB Nizar Jamaludin dari PAS akan menjadi MB Perak. Siapa Nizar? Aku langsung tidak kenal ketika itu. Dalam hati aku, harapnya OK lah insan yang dipilih menjadi MB itu. Abang ipar dan kakak yang tinggal di Perak sudah berazam mahu menukar mengundi di Perak sahaja selepas ini.

Selepas Nizar menjadi MB, aku pernah berkunjung ke sana. Ketika itu Jamuan Rakyat oleh PAS Perak diadakan di perkarangan Pejabat PAS. Itulah kali pertama aku melihat dan mendengar tutur kata Nizar secara langsung. Lembut orangnya, senyum sokmo. Apa yang menarik, Nizar dilihat mampu diterima oleh semua kaum.

Politik di Perak aku ikuti dari jauh sahaja. Namun, MB Perak itu selalu juga diundang berceramah di Terengganu. Maka adalah sedikit sebanyak yang didengari. Paling 'teruk' yang dilakukan MB Perak ini adalah memberi tanah kepada Sekolah Cina dan Orang Cina. 'Lebih teruk' lagi kerana turut memberikan tanah kepada Sekolah Agama Rakyat dan penduduk kampung yang Melayu.

Secara peribadi, aku tidak pernah menjangkakan seorang yang dilihat lembut, mudah tersenyum itu boleh bertindak seberani yang aku lihat pada hari ini. Sungguh pada aku Nizar memang berani. Bukan berani melawan Sultan, tetapi berani kerana benar. Berani pertahankan 'hak rakyat' yang beliau hanya diamanahkan untuk memegang seketika.

Lihat pula kepada sokongan yang diterjemahkan rakyat dan penyokong masing-masing. Idris Jusoh dilihat hanya disokong oleh puak-puak UMNO Besut yang dinaungi gedebe-gedebe Besut. Paling kuat penyokong Idris yang ada ketika itu adalah Pak Lah sendiri yang turut mempertikai pemilihan Ahmad Said. Kesemua Adun yang sebelum ini dilihat teguh di belakang Idris juga menghilang secara tiba-tiba.

Nizar dilihat tidak begitu. Kesemua Adun dari PAS, PKR dan DAP dilihat menyokong sepenuhnya kepimpinan beliau dalam negeri. Sokongan rakyat adalah cukup luar biasa. Segelintir penyokong UMNO berlakon menyokong istana dalam isu ini. Namun, rakyat jelas melihat UMNO yang mempergunakan istana. Macamlah UMNO itu bukan penderhaka.

Derhakakah Nizar? Derhakalah jika mengikut telunjuk UMNO. Namun, pada rakyat yang faham, tahu dan sedar dalang sebenar tidak pernah menganggap begitu. UMNO juga sebenarnya tidak pernah menjangkakan tindakan Nizar yang tegas dan cukup yakin mempertahankan amanah rakyat itu. Disangkakan Nizar akan berundur, namun pertembungan yang berlaku memperlihatkan UMNO semakin panas dan tertekan.

Aku juga mahu menantikan himpunan 100 000 rakyat Perak 'menyokong Sultan' jika ada. Simbolik di Terengganu adalah bagaimana semua rakyat keluar menyambut Tuanku Sultan di Lapangan Terbang. Namun, apa yang aku tahu program Sultan bersama Rakyat sempena Jubli Perak pula dibatalkan. UMNO Perak mungkin ada jawapannya. Wallahua'lam.

p/s: Teringat plak ke Deris Jusoh. Apa khabar agaknya dia sekarang? Apakah Mara tidak mahu membuat Taman Tamadun Mara yang menghimpunkan replika-replika hasil usaha Mara? UiTM ada, IKM ada, Pusat Giat Mara pun ada. Atau budget tak cukup?

No comments: