26 February 2009

PPSMI: Pemimpin-Pemimpin Sombong, Mereng dan Isim

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

PPSMI. Aku suka mengambil pandangan Cikgu Azmi Abdul Hamid, Presiden TERAS. Kata Cikgu Azmi, PPSMI itu adalah Pemimpin-Pemimpin Sombong, Mereng dan Isim. Ungkapan itu aku dengar dalam satu Pidato PPSMI di Dewan Himpunan Cina Selangor. Aku tumpang senyum lebar bila ungkapan itu disebut.

PPSMI sebenarnya adalah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Mengikut riwayat sudah dilaksanakan sejak 2003 lagi. Adapun tujuan dilaksanakan PPSMI adalah untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris. Maka, diajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

Satu persoalan besar yang timbul dengan pelaksanaan PPSMI ini adalah, adakah pelaksanaan PPSMI itu berjaya meningkatkan penguasaan BI para pelajar? Pada pendapat aku, teori ini adalah salah dan silap sama sekali.

PPSMI mungkin berjaya menambahkan beberapa perkataan BI (Vocab) ke dalam kamus pelajar. Mungkin juga PPSMI berjaya memaksa anak-anak pelajar bercakap orang putih sepatah dua dalam kelas Matematik dan Sains. Mungkin juga kejayaan dinilai bilamana para pelajar menjawab soalan Matematik dan Sains dalam BI. Itu sahajakah penilaian kejayaan PPSMI?

Jika itu nilai kejayaan, aku kira teramat rendahnya kejayaan yang dicapai. Bukan sahaja rendah, malah kejayaan itu turut memakan korban yang besar. Korban di mana pelajar luar bandar khususnya dan mereka yang sedikit lemah dalam subjek BI akan mengalami kemerosotan dalam subjek Sains dan Matematik.

Apa pelik jika subjek yang diajar dalam BI dijawab dalam BI. Langsung tak pelik. Ini langsung tidak boleh dikategorikan sebagai suatu kejayaan. Bilamana sesuatu istilah telah diajar dalam BI, sudah tentu istilah tersebut akan terus digunakan oleh pelajar. Menjawab tetap dalam BI, tetapi bagaimana kefahaman mereka tentang apa yang diterima?

Secara peribadi aku melihat dalam keluarga aku, tiada yang bermasalah dalam mata pelajaran Matematik. Tetapi, bilamana PPSMI dilaksanakan, aku lihat keputusan semasa adik bongsuku (yang menjadi mangsa PPSMI) berada pada tahap yang tidak membanggakan. Soalan-soalan mudah pun tidak mampu dijawab. Bukan soal tidak tahu konsep Matematik iaitu campur, darab, tolak dan bahagi, tetapi kerana tidak memahami soalan sahaja. Apabila aku menerangkan kehendak soalan, barulah dia tersenyum faham. Sungguh aku kesian melihatnya.

Kenapa kita menyusahkan sesuatu yang mudah. Kenapa kita membebankan penguasaan ilmu. Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W dalam Bahasa Arab. Nabi berbangsa Arab dan bertutur dalam Bahasa Arab. Walaupun Al-Quran dalam Bahasa Arab, tidak bermakna untuk mempelajarinya mesti 100% dalam Bahasa Arab. Sebab itu ada terjemahan dan tafsirnya dalam pelbagai bahasa.

Walaupun Islam itu sinonim dengan Bahasa Arab, tetapi tidak menjadi masalah pun bagi penganut Islam yang tidak memahami Bahasa Arab. Cuma beberapa ketika sahaja kita disuruh berbahasa Arab dan menggunakan ayat Quran misalnya dalam solat. Dalam urusan lain, kita bebas untuk berdoa, berniat, berbincang dan seumpamanya dalam pelbagai bahasa.

Pedih dan sedih bilamana pihak berwajib marahkan pihak yang menegur. Seolah-olah teguran yang diberikan ini membabi-buta dan tanpa asas. Kajian demi kajian telah dijalankan, dan teguran yang datang pula bukan dari pihak-pihak sembarangan. Ini jauh bezanya dari kajian dan respon yang diberikan pihak kementerian. Pihak yang sentiasa membenarkan orang atasan. Mengampu dan menyedapkan tuan sahaja.

Apa salahnya mansuhkan PPSMI ini. Jika perlu sangat untuk perkasakan BI, tambah sahaja masa pengajarannya. Jika kurang guru yang mahir, tambah sahaja guru dan beri kemahiran sepatutnya. Jika perlu peruntukan khusus, tambahkan sahaja. Biar matlamat tercapai, tiada pihak menjadi korban.

Patutlah Cikgu Azmi berkata demikian...

Iklan: Ceramah Jihad Palestin di MTT

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Sedikit Iklan:


CERAMAH JIHAD PALESTIN & TAYANGAN VIDEO PALESTIN

Tarikh:
26 Februari 2009 (Khamis)

Masa:
9.00 Malam

Tempat:
Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Tok Jiring (MTT)

Penceramah:
1. YB Salahudin Ayub, Ahli Parlimen Kubang Kerian
2. Ybhg Dato' Ustaz Abu Bakar Chik, Presiden AFMY

3. Ybhg Tuan Haji Hussin Ismail, Presiden Yayasan Amal Malaysia.


SEMUA DIJEMPUT HADIR dan MENDERMALAH

25 February 2009

Lepaskanlah Eli dan Anak Ali

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Semalam Malaysiakini melaporkan 10 000 tandatangan berupa petisyen sudah diserahkan kepada MB Selangor sebagai sokongan kepada Elizabeth Wong untuk mengekalkan kerusi Dun Bukit Lanjan dan Jawatan Exconya. Sokongan dari rakyat itu diusahakan sendiri oleh penduduk Bukit Lanjan.

Aku secara peribadi bersimpati terhadap Elizabeth yang telah 'dicabul' melalui penyebaran foto-foto dan klip video yang dikatakan dalam posisi separuh teLANJANg. Aku sendiri belum melihat foto dan video berkenaan. Tetapi dimaklumkan foto-foto berkenaan 'biasa-biasa' sahaja.

Terfikir aku, sekiranya foto-foto tersebut adalah 'biasa-biasa' sahaja, kenapa Eli mahu bertindak sehingga melepaskan jawatan? Memang malu jika peribadi kita disingkap seperti yang berlaku kepada Eli, tetapi jika ianya sesuatu yang tidak sampai kepada peringkat kesalahan besar, tiada sebab untuk Eli melepaskan jawatan.

Aku merasakan tindakan Eli mahu melepaskan jawatan adalah sesuatu yang waras pada pemikirannya. Pertimbangan itu mungkin sudah mengambil kira pelbagai perkara. Aku bukan mahu buruk sangka, tetapi aku merasakan gambar yang disiarkan itu mungkin mempunyai cerita yang lebih panjang dan lebih dari sekeping gambar 'biasa-biasa'.

Dalam situasi ini, tindakan Eli mahu melepaskan semua jawatan adalah suatu kewajaran kepada PKR dan Kerajaan PR Selangor. Kita semua perlu menghormati keputusan tersebut. Jangan sampai dari gambar yang 'biasa-biasa', muncul pula nanti cerita 'luar biasa'. Ini yang ditakuti.

Eli tahu tindakannya, maka lepaskanlah dia sebagaimana yang dikehendakinya. Cukuplah kita menyokongnya dari segi menyelar tindakan pihak yang 'mencabul'nya yang melanggar ruang peribadi seorang insan. Cukuplah dan lepaskanlah Eli.

Bagaimana pula dengan anak Ali si Ibrahim? Ibrahim Ali bukan tokoh baru dalam politik tanahair kita. Cukup terkenal dan pimpinan PAS Kelantan juga amat mengenalinya. Bahkan gelaran 'Katak' juga amat sinonim dengan Ibrahim Ali. Lompat dari satu parti ke satu parti bukan perkara yang asing bagi Ibrahim Ali. Semua orang pun tahu.

Anggaplah kerusi Ibrahim Ali sudah dilepaskan. Anggap sahaja kita tersilap percaturan dengan membenarkan logo bulan digunakan Ibrahim Ali dalam PRU 12 lalu. Memang dia yang meminta, tetapi kita terlalu baik dan sentiasa terlalu baik sangka. Kita juga sedar yang logo bulan hanya digunakan ketika pengundian, tetapi hakikatnya adalah bebas.

Kita sendiri yang membebaskan Ibrahim Ali. Kita juga tidak mengikatnya seperti mana yang kita katakan kepada ahli-ahli parti yang lain. Aku percaya Ibrahim Ali tidak terikat dengan Bai'ah. Aku percaya Ibrahim Ali memang berada di pihak bebas. Maka lepaskanlah dia.

Cukuplah sekali terjerat dengan Ibrahim Ali. Bukan kita tertipu, tetapi kita menimba pengajaran. Kita sentiasa diuji kawan dan lawan. Ujian bukan hanya bersifat kesusahan. Ujian juga datang dengan kesenangan. Rahmat juga bukan bersifat kesenangan, tetapi ada ketikanya susah dan perit itu adalah Rahmat yang tidak terhingga.

Wallahua'lam.