31 July 2008

Jom berkampung di Penang!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Azizah kosongkan Permatang Pauh, Anwar tanding

KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan beliau akan bertanding di kawasan Parlimen pada pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Ia berikutan tindakan isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengosongkan kerusi itu berkuat kuasa hari ini.

Ia diumumkan pada sidang media di sini sebentar tadi.

Dr. Wan Azizah merupakan Ahli Parlimen kerusi itu sejak pilihan raya umum 1999 iaitu selepas selepas Anwar dipecat daripada parti dan kerajaan setahun sebelum itu dan dihadapkan di mahkamah.

Kini Dr. Wan Azizah merupakan Ketua Pembangkang di Parlimen.

"Hari ini saya secara rasmi meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh bagi membolehkan Datuk Seri Anwar bertanding dalam satu pilihan raya kecil secepat mungkin," kata Dr. Wan Azizah.

Dalam pada itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman memberitahu mStar Online bahawa pihak "telah dimaklumkan secara informal" mengenai kekosongan tetapi menunggu makluman rasmi daripada Speaker Dewan Rakyat.

Kata beliau, SPR akan menentukan tarikh sesuai mengadakan pilihan raya kecil sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kekosongan itu secara rasmi.

Jelas beliau, pihaknya akan mengadakan pilihan raya kecil dalam tempoh 60 hari untuk mengisi kekosongan itu.

Ketika ditanya sama ada pilihan raya kecil akan diadakan meskipun kerusi itu dikosongkan atas 'kehendak sendiri', Abdul Rashid memberitahu, bagi pihaknya cara kekosongan itu tidak penting.

"Yang penting apabila ada kekosongan, kekosongan itu akan diisi (dengan diadakan pilihan raya kecil)," katanya.

p/s: Kasihnya si Isteri... Sanggup berkorban untuk Suami.. ;)

30 July 2008

Kisah di Kedai Gunting..

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Dua hari lalu aku ke kedai gunting di sebuah kampung di pinggir kota. Ketika itu jam sudah menunjukkan jam 5.20 petang. Aku yang pertama kali ke kedai gunting terbabit terus masuk dan duduk menunggu di atas kerusi yang disediakan. Ketika itu seorang lelaki 30-an sedang disiapkan pengguntingan. Sebetulnya dibotakkan. Licin.

Di sisi aku, seorang lelaki yang agak berumur juga menunggu untuk digunting. Dalam menanti, aku mengambil beberapa akhbar lama yang disusun di dalam kedai berkenaan untuk dibaca. Sambil membaca, aku memerhatikan keliling kedai. Ada keratan akhbar yang ditampal di dinding, ada sijil penghargaan, ada kalendar Taman Tamadun Islam dan juga ada Kalendar Umno.

"Silap masuk kedai ke aku ni ?" Getus hatiku.

Apa salahnya masuk kedai Umno. Kedai Cina yang jelas kafir pun aku biasa masuk. Aku memang tidak berniat untuk keluar pun. Bagi aku, kedai mana-mana pun boleh. Cuma jika aku tahu ada kedai orang yang lebih baik imannya dan akhlaknya yang turut menyediakan servis dan menjual barang yang sama, aku akan berusaha ke sana.

"Mahu gunting macamana?" Tanya si tukang gunting bila tiba giliran aku. Jam ketika itu sudah pukul 6 lebih.

"2-1" Aku menjawab seperti jawapan yang biasa aku berikan kepada tukang-tukang gunting yang biasa aku kunjungi sebelum ini. Pada aku, dia akan faham maksud 2-1 tersebut.

Sedang digunting, Si Tukang Gunting cuba mengajak aku berbual.

"Awak ni suka baca suratkhabar kan, jadi saya nak tanya skit pendapat awak tentang kereta Merc yang Mat Said beli" Tegur si Tukang Gunting. Sewajarnya dia membahasakan dirinya Pakcik dan aku dibahasakan anak atau awang** sahaja. Umurnya aku kira dekat 60-an.

"Ikut saya, molek je. Lagipun benda beli doh. Pakai je la. Kalu tak pakai, bazir plok." Aku menjawab malas.

"Awak rasa Mat Said tu saje nak kenakan Deris ke?" Soal Pakcik tu lagi. Ketika tu dalam kepala aku mula berfikir, pakcik ni saje nak test aku ni Umno ke Pas je kot.

"Kebetulan je kot. Dah Perdana V6 tu ada masalah, dia try tukar Merc. Konon nak berjimat. Alih-alih jadi isu gini lak" Aku cuba menjawab seadanya. Malas nak provok pakcik tu.

"Isu Anwar macamana. Betul ke Anwar ada nafsu nak meliwat? Umur 60 dah, kuat lagi ke? Tipu la saya rasa si sepul tu" Sambil menggunting pakcik tu terus melontarkan soalan cepu emas.

Belum sempat aku menjawab, tetiba pakcik tu kata "Minta maaf la ye. Saya tanya je. Mana la tahu kot-kot awak sokong Saiful ke, sokong Umno ke."

"Tak tahu la saya. Tak faham sangat dunia hari ini" Aku terus mendatarkan suasana. Dalam kepala aku, pakcik ni biar betul. Gantung kalendar Umno dalam kedai, cakap macam tak sokong Umno plak. Terasa lak macam aku nak diuji. Hahaha.

Apapun, bila balik rumah, mandi dan lihat cermin, aku tersenyum kelat. Rambutku tidak seperti yang dikehendaki. :(

Wallahua'lam.

Awang** = Panggilan bagi seorang lelaki di Terengganu. Perempuan biasa digunakan sebagai Mek. Panggilan Awang dan Mek ini sesuai digunakan oleh orang yang lebih berumur kepada orang yang lebih muda darinya.

28 July 2008

Surat Terbuka untuk Pimpinan-pimpinan Pas

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Pertamanya maaf kerana tulisan ini ditulis secara terbuka. Namanya pun surat terbuka. Namun keterbukaan surat ini diharap tidak membuka terlalu banyak prasangka dan buruk sangka. Harapnya juga penulisan ini dapat menjadikan para pimpinan semua terus menjadi contoh dan rujukan kepada semua masyarakat di bawah.

Surat terbuka ini ditulis bukan untuk mengkritik mana-mana Pimpinan Pas, tetapi lebih kepada mengingatkan sesama insan. Aku ni terlalu kecil sebenarnya untuk menulis, apatah lagi kepada pimpinan-pimpinan Pas sekalian. Apatah lagi dengan tarbiyyah yang diterima aku tidak seberapa, amal juga teramat kurangnya.

Namun, pada aku peringatan itu perlu. Baik kepada yang atas, mahupun kepada yang bawah. Tidak mendengar peringatan, itu bab yang lain. Menyampaikan peringatan, itu satu bab yang lain pula.

Mengikut aku yang cetek pengalaman dan kurang tarbiyyah ini, dalam berjemaah kita ada adab. Adab itu bukan setakat mengikut peraturan yang termaktub dalam perlembagaan parti, namun turut merangkumi peraturan perjalanan sebuah harakah Islamiyah. Aku percaya, adab yang aku maksudkan ini tiada tercatat secara langsung, tetapi boleh dilihat dan diambil dari usrah kecil mahupun usrah besar yang menekankan konsep itu dan ini sesebuah harakah Islamiyah.

Secara terus terang, aku melihat apa yang berlaku dalam isu Muzakarah / Muqobalah memperlihatkan bagaimana 'rakus' dan 'tamak' sesetengah pimpinan dalam mahu menjuarai isu. Isu yang sepatutnya diulas dan didengar terlebih dahulu dari pimpinan atas dibahas di peringkat bawahan sehingga ianya menjadi sesuatu yang mengecohkan.

Tidak semua strategi perlu didedah, apatah lagi bilamana keputusan Syura sudah memutuskan sesuatu mengenainya. Soal tidak tahu ianya keputusan Syura, itu soal lain. Tidak semua Ajk dalam mana-mana peringkat perlu tahu sesuatu perkara sehingga mereka sepatutnya tahu. Jika perlu tahu sekalipun, apa salahnya bertanya secara personal. Cukup dengan pernyataan "saya belum tahu isu ini bla.. bla.. bla dan akan minta ulasan pimpinan A dan B untuk kepastian".

Namun, dalam tidak tahu lebih lanjut terus mengulas dan menghentam pimpinan atasan, itu sudah di luar adab. Lebih malang jika mengulas dan menghentam pimpinan secara terbuka. Baik media massa, mahupun media elektronik mahupun laman sesawang sendiri. Itu tiada adab namanya.

Benar itu pendapat peribadi. Namun, 'menyerang' pimpinan atasan dengan cara sebegitu juga adalah serangan peribadi. Peribadi pimpinan yang menyerang dilihat tidak elok, peribadi pimpinan yang diserang juga tidak elok pada pandangan awam.

Kita bukan DAP yang cakap tanpa batas. Tiada mereka tahu adab, akhlak dan rukun-rukun yang patut dipatuhi dan diikuti. Bai'ah, wala' dan lain-lain istilah langsung mereka tidak faham dan tidak pernah diusrahkan kepada mereka. Sebab mereka adalah DAP.

DAP tidak pernah tahu bila kita bercakap soal menerima keputusan mesyuarat akan mendapat pahala. Jika keputusan itu betul, kita diajar pahalanya dua. Jika tidak tepat, kita diberitahu pahalanya satu. DAP tidak pernah tahu ini semua. Apatah lagi DAP tidak pernah tahu peranan Majlis Syura, peranan Dewan Ulama' mahupun lain-lain badan. Apa yang DAP tahu adalah badan-badan itu selalunya bersikap 'tegas' dan 'menghalang'.

Sedangkan kita merujuk dewan dan badan-badan tadi bagi menghalusi sikap, keputusan dan pendirian kita. Kita kuat dan kukuh kerana badan-badan ini berfungsi untuk memantau jemaah sepanjang masa. Mereka sering menunjuk jalan. Walaupun sempit, namun jalannya tetap ada. Jalan diberi dengan alasan yang kukuh. Ada hukumnya. Jika jalan ditutup juga kukuh. Juga disertakan hukumnya.

Dalam sesuatu keadaan, diam itu lebih baik. Bimbang jika tersalah cakap, benda kecik menjadi besar. Dengan isu yang agak 'panas' kedudukannya, lebih-lebihlah perlu berhati-hati. Peluang dan ruang untuk musuh menerkam sentiasa terbuka.

Percayalah, pimpinan yang telah diamanahkan tidak akan sekali-kali mengkhianati amanah. Ketika mana kemenangan itu hampir, ketika itu ujian semakin berat. Usah terpengaruh dengan pendapat umum yang kadangkala nakal. Usikan mereka adakalanya berat, keterlaluan dan malahan melukakan.

Mereka begitu kerana ada di antaranya sayangkan perjuangan, tetapi tidak tahu saluran. Mulalah mereka cerita yang bukan-bukan. Apatah lagi jika pimpinan yang ada tiada sehaluan. Mereka hanya penyokong, tidak pernah pun berjuang. Ada juga yang bermuka-muka. Berpura-pura baik, sedangkan cuba memecahkan.

Berlapanglah dada. Tidak semua yang kita lihat tidak baik itu natijahnya juga tidak baik. Kita diperlihatkan dengan Sirah Rasulullah s.a.w ketika mana baginda menandatangani Perjanjian Hudaibiyah. Kelihatannya seolah-olah merugikan Islam, tetapi Allah kemudiannya menurunkan firmannya dalam Surah Al-Fath, ayat yang pertama bagi menjawab keraguan para sahabat:

"Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (Wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata"

Ketika itu barulah sahabat-sahabat tersenyum dan yakin dengan keputusan Rasulullah s.a.w.

Wallahua'lam.


Hamba yang kurang diajar,

Amdang81
28 Julai, Kuala Terengganu.

Nota: Penggunaan katanama AKU bukan bermaksud ego, atau sikap kurang ajar aku dengan mana-mana pimpinan PAS, tetapi disesuaikan dengan penulisan aku secara bersahaja ini dan mengikut lunas blog aku. Jika inipun nak dijadikan suatu perbahasan yang besar, apa nak dikata. :(