Showing posts with label resepi. Show all posts
Showing posts with label resepi. Show all posts

25 March 2009

Pilihan Raya Kecil dan Projek Mee Udang

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Semalam aku tiba di Kuala Terengganu setelah 2 hari menjenguk Bukit Gantang. Mengikut maklumat kawan-kawan sebelum ini, suasana Bukit Gantang sudah panas, tetapi dari beberapa pemerhatian aku suasana yang ada tidaklah terlalu panas jika dibandingkan cuaca yang ada. Cuma cuaca panasnya berselang dengan hujan yang turun sesekali. Kadangkala lebat juga. Mungkin itu sebenarnya maksud 'panas' dari sahabat-sahabatku. Panasnya sesekali.

Mendengar taklimat 'bawah pokok' dari seorang sahabat, kedudukan semasa dilihat menyebelahi PAS yang diwakili MB Perak, Dato Seri Nizar. Dikatakan simpati terutamanya dari masyarakat Cina dan India cukup tinggi. Pengundi Melayu yang merupakan majoriti mungkin akan terbahagi kepada dua. Namun, sekiranya kena pada sentuhan kempen, tidak mustahil undi besar bakal diperolehi dari kaum Melayu.

Pengundi saluran 1 (golongan veteran) dikatakan mungkin sukar didekati. Ini kerana selain termakan umpan UMNO, kebanyakan golongan ini tidak terdedah kepada maklumat. Ketika berada di sebuah kampung di Dun Terong, dikatakan hanya sedikit sahaja akhbar harian yang terjual setiap hari. Selebihnya maklumat diperolehi dari kaca TV. Mungkin PR perlu lebih banyak turun padang mendekati pengundi kali ini.

Selain suasana bendera yang sudah mula dikibarkan, sesuatu yang turut biasa berlaku dalam mana-mana pilihan raya kecil adalah penurapan jalan. Namun, sedikit kebaikan penurapan jalan ini dilakukan adalah kerana jalan raya yang sedia ada memang agak teruk dan permukaannya beralun.

Aku menamakan projek-projek segera itu sebagai projek Mee Udang. Istilah 'projek Mee Udang' dinamakan bagi menggantikan projek Mee Segera adalah kerana projek pilihan raya adalah mahal harganya. Mee Udang adalah antara menu yang terkenal di sini. Selain kerana udangnya yang banyak dan besar, harga bagi sepinggan juga adalah boleh tahan. Setakat yang aku dimaklumkan paling murah adalah RM 6 dan yang paling mahal mencecah ke RM 15. Itu yang aku dimaklumkan.

Mee Udang yang sempat aku rasa sepinggan pada aku lebih kurang Mee Bandung sahaja. Cuma udangnya yang banyak sehingga menutup pinggan. Mungkin rasa Mee Udang yang aku makan di sebuah gerai di Kuala Sepetang bukanlah yang paling istimewa. Namun, mengikut apa yang tertera pada gerai berkenaan, kewujudannya sejak 1956 lagi!! Harga sepinggan yang aku makan tidaklah aku ketahui kerana bayarannya dijelaskan oleh pembantu kepada YB. Drs Idham Lim , Adun Titi Serong atau lebih dikenali sebagai Cina Islam.

Aku akan kembali lagi ke Bukit Gantang dan aku akan pastikan dapat merasa Mee Udang yang paling sedap selepas kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat di sana!!

p/s: ada ke sesiapa nak rekemen Mee Udang di Bukit Gantang yang paling sedap?

13 October 2008

Cerita pasal makanan: Soto Ayam

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Malam tadi merupakan kali pertama aku memasak Soto. Aku tidak pasti perkataan Soto itu diambil dari mana. Dikatakan soto ni makanan dari Indonesia yang berupa sup ayam dengan kuah sedikit 'kuning'. Mungkin di Malaysia, soto ni dipelopori oleh golongan Jawa.

Aku juga tidak tahu samada soto itu mewakili sup sahaja, atau turut termasuk nasi himpit atau mee yang biasanya turut dihidang bersama. Apa yang biasa dilihat, soto ni mesti ada sup, ayam carik-carik dan beberapa aksesori tambahan seperti daun sup, bawang goreng, kicap dan taugeh.

Resepi yang aku cuba buat malam tadi diambil dari internet - My Resipi.com. Namun diubah mengikut kesesuaian yang dirasakan perlu. Aku tidak tahu selain Soto Ayam, apakah juga ada Soto Daging, Itik, ikan mahupun Seafood.

Sebenarnya semangat untuk menghasilkan soto ini lahir bilamana aku terfikir apakah menu yang sesuai jika dibuat rumah terbuka. Kebetulan terfikir nak raikan sahabat-sahabat sempena bulan Syawal yang mulia. Juga sebagai suatu tanda kesyukuran dengan kedatangan Balqis. dalam hidup kami. (Alhamdulillah majlis Aqiqah Balqis sudah selamat diadakan pada Hari Raya kedua yang lalu).

Idea mahu menjadikan soto sebagai hidangan bilamana melihat Kak Mar (Akak Ipar) menyediakan soto sebagai menu utama hidangan Hari Raya pada tahun ini. Kata Kak Mar, dia dapat resepi tu semasa belajar di Johor. Jika dibandingkan soto yang aku masak malam tadi dengan soto Kak Mar, ada la perbezaannya.

Antara bahan yang digunakan Kak Mar dalam sup sotonya adalah rempah kurma. Pada aku rasanya ok, cuma aku masih tidak berani mencampurkan terlalu banyak bahan dalam sup. Takut lain sangat rasanya.

Kesimpulan dari percubaan pertama aku malam tadi:
  • Sup mestilah dimasinkan lagi. Ini kerana nasi himpit adalah tawar. Nanti 'lecah' sangat rasanya.
  • Taugeh tu kena celur laa. Mana leh main mentah gitu. Rasa pun tak sedap kalu mentah. Buat ulam cicah budu ok la.
  • Kicap jangan pedas sangat.
  • Halia tu potong halus-halus baru kisar. Kalu tergigit halia semasa makan, memang sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.
  • Nasi himpit kena tunggu sejuk betul baru potong. Kalu tak, pecah. Tak lawa
Komen: 60% menghampiri kejayaan. Lepas ni tambah begedil, tambah telur rebus mesti makin menjadi. ;)