30 August 2010

Merdeka dan 10 Malam Terakhir.

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Ramadhan (pemuda UMNO menyebut RamaDahan) ni bulan berkat. Alhamdulillah kerana keberkatan Ramadhan inilah pihak-pihak berwajib yang biasanya menyambut malam Merdeka dengan konsert dan hiburan melalaikan menangguhkan semua program tersebut. Kerana keberkatan Ramadhan jugalah ada pihak yang tidak putus-putus memainkan isu agama sebagai modal politik sempit mereka.

Merdeka selalu dikaitkan dengan penjajah. Cuma dalam konteks Malaysia, penjajah adalah Jepun, British, Komunis dan parti pembangkang. Malaysia adalah merdeka bilamana UMNO yang memerintah. Itulah takrifan merdeka di Malaysia. Sebab itu tidak ramai yang mengibarkan Jalur Gemilang samada di kereta, rumah mahupun premis perniagaan.

Definisi merdeka disempitkan. Begitu juga dengan Islam dan ibadah itu sendiri. Ibadah di Malaysia ini hanya berlaku pada bulan Ramadhan, malam Jumaat dan pada hari-hari kebesaran Islam. Juga pada kematian dan majlis pernikahan. Itupun sudah bercampur gaul antara agama dan adat. Tapi, inilah realiti Malaysia hari ini. Itu tidak termasuk menyempitkan ibadah pada masjid dan surau sahaja.

Bercerita tentang masjid dan surau, kini bising lagi isu masjid dan surau dicemari oleh golongan non-muslim memasukinya. Kata pihak-pihak tertentu, ianya perbuatan mencemarkan. Apatah lagi wanita non-muslim tersebut tidak menutup aurat (memakai tudung) ketika dalam masjid tersebut. Heboh jugalah satu Malaysia. Pembaca berita di Buletin Utama yang tidak memakai tudung pun menyebut non-muslim tersebut tidak menutup aurat. Malaysia oh Malaysia.

Apabila isu wanita non-muslim tersebut disebut-sebut, pihak penyokong Pakatan Rakyat mempersoalkan tindakan Rosmah (Ibu UMNO) yang sangat sukar dilihat memakai tudung dengan sempurna dalam mana-mana majlis, hatta di surau dan masjid. Bahkan, ketika menghadiri Majlis Tilawah Al-Quran peringkat Antarabangsa pun Rosmah tidak bertudung dengan sempurna.

Malu, kecewa, geram dan marah rasanya melihat tindakan pelampau-pelampau Melayu yang sengaja mengapi-apikan isu sebegini yang boleh memberi gambaran buruk kepada non-muslim terhadap Islam dan Umat Islam. Jika kita berterusan bertindak begini, bagaimana kita mahu merapati dan menyebarkan Islam di kalangan non-muslim.


Percayalah, pihak-pihak yang rasis dan sempit politik ini akan terus mencetuskan isu-isu yang kita tidak terfikir, malah melampau batas-batas norma masyarakat Malaysia. Walaupun di satu sudut kita melihat mereka bodoh, melampau dan gila, tetapi percayalah, mereka yakin tindakan mereka sebenarnya tetap berjaya untuk mengukuhkan kedudukan mereka. Keyakinan mereka sudah tentu dipadukan dengan nasihat daripada APCO!.

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan dan selamat meneruskan ibadah di penghujung Ramadhan ini.

Wallahua'lam.

No comments: