20 May 2007

Murtad di Terengganu VI


Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Aku hampir-hampir tidak menyambung tulisan aku tentang isu murtad ini. Bukan kerana aku tidak lagi berminat dengan isu ini, tetapi ruang yang ada pada aku untuk mendapatkan maklumat tentang Forkad dan murtad ini amat terhad. Sehinggalah beberapa hari lepas aku secara langsung mengikut seorang petugas Forkad dalam menangani beberapa kes.

Bukan mudah rupanya berdakwah. Ramai yang merasakan dakwah itu hanya menyampaikan walau 'satu ayat'. Sedangkan hakikat sebenar dakwah bukan hanya 'menyampaikan' tanpa perasaan. Tetapi turut merasai, mendampingi, mendengar, membantu dan apa jua perlakuan yang boleh menarik seseorang kepada apa yang hendak dituju. Umpama 'berdakwah' kepada seekor lembu ke padang ragut. Kita boleh menarik tali, menabur rumput di jalanan, tolak dari belakang mahupun mengangkat lembu tersebut. Pelbagai cara yang boleh digunakan bagi mencapai matlamat dakwah. Namun pendekatan yang sesuai dan baik bergantung kepada situasi dan siapa sasaran dakwah. Takkan mahu menarik lembu dengan mengumpan pizza?
(kalu ada sesiapa nak perbetulkan maksud dakwah ni silakan)

Seorang teman bercerita bagaimana seorang pendakyah kristian begitu prihatin dan cuba memahami mad'u (sasaran dakwah) dengan begitu bersungguh. Mereka ini bukan setakat mempunyai kewangan yang kukuh, malah menunjukkan kepribadian yang baik dan mampu membuat sesiapa yang dirapati tertarik. Bayangkan mereka sanggup datang pukul 3 pagi jika mad'u mereka menelefon memberitahu masalah. Kadang-kala bukanlah masalah besar pun yang dikhabarkan, tetapi keprihatinan dan kesungguhan mereka melayan mad'u mereka itu cukup memberi kesan kepada mereka. Adakalanya, mereka ini hanya mahu tempat berkongsi cerita sahaja bagi meluah segala permasalahan yang ada. Menjadi pendengar yang baik merupakan satu cara dakwah!

Kadang-kala aku terfikir betapa seseorang itu begitu mengada-ngada bila bercerita sesuatu. Aku pula kadangkala mudah mengambil jalan pintas memutuskan perbualan. Paling tidak meminta diri dengan cara paling sopan. Atau mungkin tanpa sedar berkali-kali melihat ke arah jam di tangan. Atau yang agak kelakar bilamana buat-buat jawap call walaupun tak berdering!. Bayangkan sekiranya jika kita sedang bermasalah, mahu tempat untuk berkongsi, tiba-tiba orang yang kita percayai dan harapkan itu tidak sudi mendengar. Tentu kecik hati kan? Itu satu sifat yang aku kira sudah mula luntur dalam masyarakat. Kita kurang mahu mendengar masalah sahabat, tetapi suka mendengar gosip.

Itu satu kelebihan mereka. Selain tu, yang aku tahu mereka (pihak gereja) tidak sesekali menunjukkan muka masam atau mudah patah semangat dalam kerja dakyah mereka. Bayangkan ada antara mad'u mereka sudah melebihi 5-6 tahun, namun mereka masih tekun memberi sumbangan dan bantuan baik dari segi material mahupun lain-lain sumbangan. Usaha demi usaha dilakukan supaya akidah muslim saudara kita itu gugur akhirnya. Bayangkan mereka boleh bermuka selamba dan tiada rasa terkilan apabila orang yang didakyah mereka menolak untuk tidak menerima Kristian. Malah diteruskan bantuan seperti biasa.

Inilah yang aku kira kita patut belajar dari mereka. Sebenarnya inilah ajaran Rasulullah yang mengajar kita berterusan dalam membuat kebaikan dan kebajikan. Tapi semakin kita lupa dan jauh dari ajaran Baginda. Kita akan melenting bilamana orang yang menerima sumbangan kita tidak menyokong kita. Kita akan melenting sekiranya beras yang kita beri, tuba yang dibalas. Sedangkan Rasulullah dalam satu kisah telah menunjukkan satu akhlak yang cukup terpuji bilamana memberi makan kepada seorang pengemis yang buta. Sedangkan pengemis itu selalu mencerca Muhammad itu penipu dan bermacam kata nista. Selepas kewafatan baginda barulah si pengemis Badwi itu mengetahui orang yang selalu bersamanya dan memberi makan adalah orang yang selalu dikutuknya.

Dalam kisah itu digambarkan Rasulullah tidak jijik dalam bersama pengemis yang biasanya berbau busuk dan hapak. Malah dikhabarkan baginda s.a.w sendiri menyuapkan makanan ke mulut pengemis itu. Perkara sebegini diikut oleh para pihak gereja dalam menjalankan dakyah mereka. Tanpa geli, mereka sedia untuk membasuh kudis, bahkan membersihkan dan memandikan golongan sasaran mereka yang kurang upaya. Aku pernah ceritakan seorang ibu begitu terharu bilamana seorang paderi yang menziarahi mereka menyentuh kepala anak mereka yang teruk berkudis. Menitik air mata si ibu kerana ada juga orang lain yang tidak memandang jijik kepada anaknya itu. Bermula di situlah mereka rapat dan menerima sumbangan dari pihak gereja.

Cukup dulu sebagai "mukaddimah" kembali. Sekadar mengembalikan ingatan dan membangkitkan rasa sedar buat diri ini dalam menjalani kehidupan dalam ruang dakwah yang serba luas dan mencabar. Semoga kalian terus memberi sokongan dan dokongan kepada Forkad dalam melaksanakan gerakerja dakwah khususnya dalam menjaga kemurnian akidah. Berat untuk aku lontarkan 'permintaan' ini bilamana aku turut diamanah bersama membantu Forkad. Tetapi apa daya, sokongan kalian memang diharap.

Akaun FORKAD Terengganu- BIMB atas nama PERTUBUHAN PEMBANGUNAN INSAN BISTARI TERENGGANU-13017010 075286..Sebarang pertanyaan : Ustaz Wan Sukairi -019-989 4125 (forkad Terengganu)

Gambar: Antara 'bahan' yang diserah oleh mangsa kepada Forkad

p/s: Klik label untuk ikuti artikel sebelum ini berkaitan murtad.