13 October 2008

Cerita pasal makanan: Soto Ayam

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Malam tadi merupakan kali pertama aku memasak Soto. Aku tidak pasti perkataan Soto itu diambil dari mana. Dikatakan soto ni makanan dari Indonesia yang berupa sup ayam dengan kuah sedikit 'kuning'. Mungkin di Malaysia, soto ni dipelopori oleh golongan Jawa.

Aku juga tidak tahu samada soto itu mewakili sup sahaja, atau turut termasuk nasi himpit atau mee yang biasanya turut dihidang bersama. Apa yang biasa dilihat, soto ni mesti ada sup, ayam carik-carik dan beberapa aksesori tambahan seperti daun sup, bawang goreng, kicap dan taugeh.

Resepi yang aku cuba buat malam tadi diambil dari internet - My Resipi.com. Namun diubah mengikut kesesuaian yang dirasakan perlu. Aku tidak tahu selain Soto Ayam, apakah juga ada Soto Daging, Itik, ikan mahupun Seafood.

Sebenarnya semangat untuk menghasilkan soto ini lahir bilamana aku terfikir apakah menu yang sesuai jika dibuat rumah terbuka. Kebetulan terfikir nak raikan sahabat-sahabat sempena bulan Syawal yang mulia. Juga sebagai suatu tanda kesyukuran dengan kedatangan Balqis. dalam hidup kami. (Alhamdulillah majlis Aqiqah Balqis sudah selamat diadakan pada Hari Raya kedua yang lalu).

Idea mahu menjadikan soto sebagai hidangan bilamana melihat Kak Mar (Akak Ipar) menyediakan soto sebagai menu utama hidangan Hari Raya pada tahun ini. Kata Kak Mar, dia dapat resepi tu semasa belajar di Johor. Jika dibandingkan soto yang aku masak malam tadi dengan soto Kak Mar, ada la perbezaannya.

Antara bahan yang digunakan Kak Mar dalam sup sotonya adalah rempah kurma. Pada aku rasanya ok, cuma aku masih tidak berani mencampurkan terlalu banyak bahan dalam sup. Takut lain sangat rasanya.

Kesimpulan dari percubaan pertama aku malam tadi:
  • Sup mestilah dimasinkan lagi. Ini kerana nasi himpit adalah tawar. Nanti 'lecah' sangat rasanya.
  • Taugeh tu kena celur laa. Mana leh main mentah gitu. Rasa pun tak sedap kalu mentah. Buat ulam cicah budu ok la.
  • Kicap jangan pedas sangat.
  • Halia tu potong halus-halus baru kisar. Kalu tergigit halia semasa makan, memang sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.
  • Nasi himpit kena tunggu sejuk betul baru potong. Kalu tak, pecah. Tak lawa
Komen: 60% menghampiri kejayaan. Lepas ni tambah begedil, tambah telur rebus mesti makin menjadi. ;)

Hospital Sultanah Nur Zahirah bekukan Sijil Sakit

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Tulisan: Line (TKO) - Klik untuk artikel asal.

 "Hari ini aku ke Hospital Sultanah NurZahirah, K.Terengganu kerana isteriku mengalami pendarahan yang banyak. Jam 9.30 kami dah sampai ke hospital. Memandangkan isteriku memang mempunyai rekod di Klinik Pakar, kami terus kesitu.

Pihak Klinik Pakar meminta kami ke bahagian Pesakit Luar untuk mendapatkan surat rujukan kerana fail kesnya telah lama. Kami bergegas ke sana. Kami melihat beberapa poster dari kertas A4 di beberapa bahagian di tempat menunggu. Terpapar kata-katanya seperti berikut:


PERHATIAN PADA SEMUA PELANGGAN


SIJIL SAKIT (M.C) TIDAK AKAN DIKELUARKAN

DARI 27 SEPT.2008 HINGGA 11 OKT.2008


ARAHAN : PENGARAH HOSPITAL SULTANAH NUR ZAHIRAH


Persoalan mula timbul dalam diriku, adakah tindakan ini wajar dilakukan oleh sebuah hospital kerajaan. Tidakkah ini melanggar akta buruh di mana sijil sakit termaktub di dalam akta itu.J ika seseorang itu tidak dapat menjalankan tugas kerana sakit, maka mereka berhak mendapatkan sijil sakit.

Jika perkara ini diamalkan, bagaimana jika pekerja itu pengsan atau mati dalam menjalankan kerjanya. Siapa harus dipersalahkan? Dengan kata lain, pekerja terpaksa juga bekerja dalam keadaan sakit.

Adakah pihak hospital sanggup menerima saman daripada keluarga pesakit atau pesakit itu sendiri sekiranya akibat arahan itu mereka menerima kecerderaan atau kematian.Pihak hospital seharusnya tidak perlu memikirkan tentang bagaimana satu-satu jabatan akan bergerak kerana ini adalah di luar bidang kuasanya.

Tujuan di wujudkan hospital adalah memberikan rawatan kesihatan pelanggan bukannya memikirkan tentang haruskah diberi sijil sakit atau tidak. Adakah pihak hospital sudah tidak mempercayai penilaian doktor-doktor yang bertugas atau pihak hospital sudah lari dari prinsip asalnya.

Setelah menunggu beberapa lama, akhirnya tiba giliran isteriku mendapatkan rawatan. Doktor wanita muda itu hanya bertanya tentang penyakit dan terus menulis skrip ubat tanpa memeriksa isteriku terlebih dahulu. Isteriku terpaksa bertekak hanya untuk mendapatkan surat rujukan ke klinik pakar. Doktor tersebut juga enggan memberikan sijil sakit kepada isteriku sebaliknya hanya memberi slip masa sedangkan isteriku tidak mampu bekerja kerana darah yang keluar agak banyak.

Aku rasa Pengarah Hospital terbabit harus ditukarkan ke sektor swasta kerana beliau bertindak sebagai bos, bukan bertindak sebagai pegawai kerajaaan yang menerima gaji dari pembayar cukai. Fikirkanlah.

Amdang: Aritu larang orang nak masuk melawat sambil beri sumbangan, ni nak larang ambik MC plak. Alahai...

11 October 2008

Kenapa Shah Rukh Hang mendapat Datuk?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Petang tadi ketika menanti isteriku bersiap-siap untuk keluar ke majlis rumah terbuka seorang pimpinan Pemuda PAS Terengganu, aku sempat menonton sebuah drama di TV9. Pendekar 5 agaknya tajuk drama itu. Kisah 5 Hang. Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Kasturi dan Hang Lekiu.

Kelakarnya bila melihat Hang Tuah (lakonan Cico Harahap Rashid) yang sedang berlatih silat langsung tiada ciri-ciri fizikal seorang pendekar. Tubuh tegap, tapi perut sedikit maju ke depan. Jebat (Beego) juga begitu. Lain-lain 3 Hang tidak pula dapat aku pastikan tahap kemajuan perut mereka kerana yang lain semuanya berbaju.

Aku kira tidak salah sekiranya hero yang mempunyai sedikit 'kecacatan' itu ditutup dengan tiada adegan 'separuh bogel' tersebut. Bukan susah, gambarkan sahaja mereka dengan memakai baju. Lebih sopan, lebih bermaruah jadinya.

5 Hang tersebut adalah hero Melaka. Tidak perlu sebenarnya diceritakan. Walaupun mereka ini tidak mempunyai sejarah yang khusus, namun kisah mereka sentiasa diperkatakan. Pelbagai versi kisah mereka juga sudah difilem dan didramakan.

Aku kira, watak lakonan drama dan filem kita amat seadanya. Tiada pelakon yang perlu betul-betul gemuk untuk menjayakan sesuatu watak. Tiada juga pelakon yang perlu betul-betul kurus untuk menjayakan sesuatu watak. Itu peringkat yang agak tinggi, setakat nak 'kemaskan' perut pun tak mampu, nampak sangat semuanya semacam tangkap muat.

Kenal Shah Rukh Hang (di India dieja dengan Khan)? Seorang anak muda dari Melaka. Berpetak perutnya. Hensem wajahnya. Paling penting, senyumnya menimbulkan lesung batu di pipi menawan kalbu.

Kerana namanya yang turut mempunyai Hang, dia dikatakan mempunyai pertalian darah yang amat rapat dengan Hang Tuah. Mungkin cicit generasi ke 17. Mungkin kerana mahu menghargai jasa-jasa Hang Tuah, maka Shah Rukh Hang ini dikurniakan anugerah Datuk. Agaknya laa.

Datuk Shah Rukh Hang. Hang Peh!!