31 January 2010

Program "Orang Mude Geng Kite" Zon Utara berjaya!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Berikut adaalah sedikit gambar-gambar sepanjang program Orang Mude Geng Kite - Zon Utara (Besut & Setiu) pada 29 Januari 2010 lalu. Secara umumnya program ini berjaya walaupun perjalanan program sedikit kurang lancar. Dianggarkan kira-kira 1500 pemuda berjaya dikumpulkan dalam program tersebut. Program yang diadakan sehari di kampung Bari Besar, Setiu diakhiri dengan Ceramah pada malamnya.


Majlis dimulakan dengan Tazkirah oleh Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz


Suasana ketika menyanyikan lagu tema PAS


Himpunan 2K yang hampir mencecah target.


Ustaz Azman turun ke padang untuk melancarkan ARC Setiu dan Besut


Acara Motor Lambat.


Gusti Lengan (Paccing) yang mendapat sambutan


Satu acara yang diada-adakan.


Acara kemuncak yang hebat!

Wallahua'lam.

25 January 2010

Apa Akan Berlaku Hari ini? - 25 Jan 2010.

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Berita semalam dari Bernama yang dipetik Malaysiakini- Suspek cuba bakar surau di Muar bertindak sendiri, kata Hishamuddin. Pelikkah dengan kenyataan tersebut? Apakah kenyataan tersebut keluar kerana dibimbangi dikaitkan dengan provokasi oleh UMNO?

Atau kerana salah seorang yang ditahan adalah anak seorang pegawai polis? Tetapi awal-awal lagi sudah diingatkan jangan mengaitkan dengan pasukan polis.

Aku percaya hari ini akan mula ada yang mengeluarkan kenyataan berkenaan Aduka Taruna yang dikatakan seorang blogger PAS menghina almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail, yang mangkat Jumaat lepas.

Maka, PAS akan diserang habis-habisan oleh puak-puak ini. Percayalah!!

Sama-sama kita tunggu...

Wallahua'lam.

24 January 2010

Aduka Taruna, Lahanat Jebat dan Ketua Pemuda PAS

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Awal-awal pagi lagi aku dapat satu maklumat yang agak panas tentang seorang kenalan TKO asalnya, kemudian lebih menjadi kenalan di alam blog. Semuanya gara-gara satu tulisan nakal (?) dari postingnya yang sudah dipadamkan dari blog peribadinya. Dengan rasa bersalah mungkin, atau ada rasa takut dalam dirinya, maka dibuat satu posting meminta maaf dari seluruh rakyat Malaysia.

Mungkin aku tidak perlu perkenalkan dirinya, apatah lagi posting ini sudah menceritakan siapa dirinya. Jika sesiapa yang bermain dengan dunia blog yang menjurus kepada isu politik, blog berkenaan sudah tentu sedia dimaklumi. Apatah lagi blog berkenaan biasa dikunjungi kawan dan lawan dalam politik. Nak kata pro-PAS, asyik sungguh menghentam PAS. Nak dikata pro-UMNO, ditampal poster pertubuhan tidak berdaftar, PAS-Reform.

Walaupun menggunakan nama Aduka Taruna, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Aduka baru sahaja hilang terunanya. Malah kenduri di pihaknya tinggal tidak sampai seminggu sahaja lagi. Aku sendiri walaupun jauh di Terengganu turut diundang ke majlis tersebut beberapa minggu yang lalu.

Walaupun banyak perkara yang tidak aku senangi tentang Aduka, terutamanya tulisannya mengenai PAS, cara penulisannya yang tidak bertapis, tetapi secara peribadi aku masih merasakan dia seorang sahabat. Sahabat yang mesti ditegur dan perlu dibimbing. Sayangnya, keghairahannya menulis dengan buah fikirannya yang dirasakan terlampau betul itu menyebabkan dirinya benar-benar jauh dan hanyut. Apatah lagi ramai pula yang menjadi pengikutnya.

Sejujurnya aku tidak kenal rapat dengan Aduka. Tidak pernah bersua muka pun. Berhubung cuma melalui Y!M, kadang-kala meninggalkan komen pada tulisan-tulisannya. Selalunya niat untuk meninggalkan komen berakhir dengan tidak jadi. Kerana 'geram' dan ada kalanya merasakan tidak perlu dilayan tulisan-tulisan Aduka.

Menjenguk blog Aduka, maka terlihatlah suatu iklan apa yang dinamakan Aduka sebagai E-novel bertajuk "Lahanat Jebat". Walaupun aku tidak pernah membaca novel tersebut, tetapi berdasarkan tulisan-tulisan Aduka sebelum ini, melihat kepada kritikan-kritikan Aduka sebelum ini, maka tidak terlalu susah untuk menafsirkan apa yang dimaksudkan dengan E-novel tersebut.

Ketika artikel ini ditulis, Bernama sudah menyiarkan satu berita mengenai Blog Aduka. Ketika aku sedang melayari blog tersebut jam 1 pagi, 25 Januari seramai 1312 pengunjung sedang melayari blog tersebut.

Apa yang menarik, walaupun sudah merasakan akan berdepan dengan pelbagai tekanan dan sedang ditekan, Aduka memilih suatu posting yang agak menarik dengan menyerang Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Tantawi dan PASTI!

Apa yang sedang berlaku ini aku kira suatu pengajaran yang sangat berguna kepada semua. terutama Aduka yang 'berjari lembik'. Walaupun aku boleh bertanyakan apa jadi dengan kain rentang "KAMI NAK IDRIS NATANG" di Terengganu awal 2008 yang lalu? Bagaimanakah kesudahan kes tersebut dan sebagainya, namun aku mengira tindakan Aduka tetap tidak patut.

Wallahua'lam.

Nota:

Ramai kawan-kawan yang bising kerana bimbang nama PAS diburukkan dengan tindakan AT ini. Namun, bagi mereka yang mengikuti blog AT tentu dapat membezakan penyokong PAS sejati dengan penyokong PAS Reform yang konon-kononnya mendoakan ke arah perubahan PAS.
Akhirnya terserlah PAS Reform sentiasa mendoakan kehancuran PAS!

20 January 2010

FELDA Penipu! - Lawyer Untung!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Mahkamah Persekutuan hari ini enggan membenarkan Felda untuk merayu dan mengarahkannya supaya membayar RM12 juta kerana menipu 354 peneroka sejak 1995.

Kira-kira 600 orang, termasuk keluarga peneroka Felda Kemahang 3 dari Kelantan, yang memenuhi dewan mahkamah di Putrajaya, gembira menerima keputusan mahkamah tersebut.

Pengurus tanah rancangan tersebut yang telahpun meninggalkan dunia, telah menipu peneroka tersebut berhubung gred buah kelapa sawit mereka.

Panel tiga orang hakim yang diketuai oleh Tun Zaki Azmi, sebulat suara enggan membenarkan Felda membuat rayuan.

"Mahkamah puas hati bahawa tiada mana-mana bahagian dalam undang-undang bagi perkara ini disemak semula oleh mahkamah ini. Kami mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan," kata Zaiki dalam penghakiman lisannya.

Dua lagi panel hakim tersebut ialah Datuk Gopal Ram dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin.

Ekoran keputusan itu, maka 354 peneroka masing-masing dijangka mendapat antara RM25,000 dan RM30,000.

Mereka diwakili oleh sepasukan peguam yang diketuai oleh Wan Rohimi Wan Daud dan Yusfarizal Yusoff.

19 January 2010

Tidak Pernah Solat, Minum Arak! - Saksi Tragedi Batu Buruk

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

"Saya tidak pernah solat!" Itulah antara jawapan yang diberikan oleh Lans Koperal Wan Aziz Wan Omar (Gambar) antara saksi utama Tragedi Berdarah Batu Buruk, semalam.

Wan Aziz Wan Omar adalah anggota polis berpangkat Konstabel ketika itu yang melepaskan tembakan dan mengenai Suwandi dan Azman yang sedang dibicarakan. Sebelum itu Wan Aziz menjawab pertanyaan peguambela yang bertanyakan apakah dia tidak bersolat Maghrib memandangkan dia berada di tempat kejadian sejak petang.

Wan Aziz juga membuat pengakuan bahawa dia seorang peminum arak. Bagaimanapun dia mengaku melakukan perbuatan tersebut diluar waktu bertugas.

Dalam tragedi 2 tahun lalu itu, Suwandi mendakwa beliau telah ditembak secara berdepan oleh Wan Aziz, yang berlari dan kemudian berpusing untuk melepaskan tembakan kearahnya. Bagaimanapun, Wan Aziz mendakwa, beliau terjatuh dan ketika itu melepaskan tembakan.

Menurut salah seorang pasukan peguambela Mohd Kamaruzaman Wahab, beliau yakin kes ini dapat dimenangi nanti, insyaAllah.

12 January 2010

Iklan: Rehlah Kepimpinan dan Hari Keluarga PLPDT

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Ini poster iklannya. Cuma kesilapan yang berlaku adalah Jabi itu letaknya dalam Daerah Besut, bukan Daerah Setiu. Tetapi, jika mengikut kawasan persempadanan pilihan raya, Jabi berada dalam Parlimen Setiu.



Maklumat lanjut mengenai iklan di atas, bolehlah ke blog PLPDT.

Akademi Pelayaran jadi 'Gajah Putih' di Pulau Duyong

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

APA SUDAH JADI !!? dengan satu deretan bangunan yang dikatakan akan dijadikan Pusat Akademik Pelayaran terbengkalai sejak setahun lalu.

Projek yang bernilai jutaan ringgit itu dibina ketika mantan Menteri Besar Barisan Nasional (BN) Terengganu, Dato’ Seri Idris Jusoh memerintah negeri ini.

Manakala, Exco Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab ketika itu adalah Dato’ Wan Hisham Wan Salleh yang juga Pengerusi T-Best Events bagi penganjuran pertandingan perahu layar Piala Monsun Cup.

Jika kita semua hari ini (3 Januari 2010) ke lokasi berkenaan mendapati deretan bangunan tersebut telah siap tetapi terbiar menjadi tempat teduhan kambing, kotor serta berbau.

Ambo telah diberitahu oleh Pengerusi Persatuan Penduduk Pulau Duyung (Pekeduy), Muzafiq Affyulzaifuzan Mohamad bahawa beliau mempersoalkan pihak kerajaan negeri yang gagal menguruskan bangunan tersebut.

Katanya, deretan bangunan yang dibina dengan duit rakyat menelan belanja jutaan ringgit terbiar begitu sahaja.

“Kami (penduduk) sangat dukacita kenapa kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) buat bangunan yang secantik itu tetapi terbiar begitu sahaja.

“Kerajaan gagal manfaatkan dengan baik dan telah membazirkan jutaan ringgit wang rakyat,” ujarnya, baru-baru ini.

Menurutnya, pada asal tempat tersebut merupakan jeti pendaratan bagi bot-bot nelayan tempatan serta pengkalan penambang.

Kata Muzafiq, kepentingan rakyat di Pulau Duyung ‘dikorbankan’ untuk dibina Pusat Akademik Pelayaran yang akhirnya terbiar.

Rakannya, Saudara Saado Mohd Nor menyifatkan pembinaan Pusat Akademik Pelayaran yang pernah diumumkan oleh bekas Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Hisham pada 5 Disember 2007 lalu membazir.

Katanya, deretan bangunan tersebut kini menjadi ‘gajah putih’ yang hanya tersergam indah tetapi terbiar kosong.

Menurutnya, pembinaan projek tersebut menyusahkan rakyat terutama bagi para nelayan kerana telah menjadi kawasan larangan.

“Semasa projek itu dalam pembinaan lagi para nelayan tempatan tidak dibenarkan menggunakan kawasan itu. Nelayan dilarang menggunakan lokasi berdekatan,” jelasnya.

Menurutnya, cadangan pembinaan Pusat Akademik Pelayaran di perkampungan tersebut berkait rapat dengan penganjuran projek Monsun Cup.

Ambo difahamkan deretan bangunan berkenaan terbiar akibat keengganan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said memberi kelulusan dan menandatangani tuntutan perbelanjaan luar jangka oleh pihak pemaju.

Oleh itu, wahai rakyat dan penduduk di Pulau Duyong bahawa anda semua merupakan sebahagian dari pengundi dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Tunggal di Parlimen Kuala Nerus.

Jika datang musim pilihan raya harap ‘pandi-pandailah’ fakir mana satu ‘orang’ (kerajaan) yang baik dan boleh jaga hak serta kepentingan rakyat dan agama-Nya.

Sebab, tidak ‘imbuh’ kita ‘orang’ (pemimpin) dapat ‘laba’ (harta) berjuta-juta tetapi kita (rakyat) di Pualau Duyong ini sekadar melihat dan melihat harta serta khazanah nenek-moyang ‘dirompak’ didepan mata. ‘BIAR PUTIH TULANG…JANGAN BERPUTIH MATA’.-Renung-renunglah.

Sumber asal: apaorangkata.blogspot.com ---> Saje nak memperkenalkan blog ini.

11 January 2010

Peniaga di KT Naikkan Harga Minuman.

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Sudah ada peniaga minuman di sekitar bandar Kuala Terengganu dikesan menaikkan harga jualan mereka dengan alasan harga guladinaikkan baru-baru ini.

Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDKK) Terengganu, Abdul Ghani Harun berkata peniaga beberapa kedai makan, warung dan restoran itu dikesan menaikkan harga minuman bergula sehingga 10 sen secawan.

"Setakat ini 10 kes kenaikan harga minuman dikesan. Kesemua peniaga terlibat akan dikenakan tindakan lanjut sama ada didakwa di mahkamah atau dikenakan kompaun.

Harga gula naik 20 sen sekilogram bermula 1 Jan lalu.

Abdul Ghani berkata operasi semalam melibatkan 30 pegawai penguatkuasa dibuat di beberapa lokasi terpilih sekitar kawasan bandar dan akan diteruskan ke seluruh negeri.

Beliau meminta pengguna membuat aduan segera ke pejabat KPDKK jika mendapati peniaga menaikkan harga minuman. - Bernama

--------------------------------------------------------
Di Terengganu mana ada benda yang murah. Semua mahal punya. Sekarang ni yang paling murah dan tidak laku hanya satu sahaja, tiket masuk ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Lagipun, sekarang ni dah 2 tahun KT jadi Bandaraya. Bandaraya mestilah semua mahal. Tak gitu?

UMNO Tidak Membakar Gereja. Percayalah!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...



"Jadi, apabila berlaku apa-apa insiden, jangan tuding jari kepada Umno mengatakan parti ini rasis...bila ada gereja terbakar, kata Umno jahat," Itulah penafian Najib.

Najib telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM 500 000 duit rakyat kepada Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati yang terbakar kerana dibaling bom api.

Sebelum ini Najib dipetik berkata kerajaan tidak akan menghalang orang ramai yang ingin mengadakan perhimpunan di masjid-masjid selepas solat Jumaat esok bagi membantah mingguan Katholik menggunakan nama 'Allah'.



"Tuduhan mengatakan Umno sebenarnya di belakang semua kejadian ini merupakan satu fitnah yang amat dahsyat dan akhirnya orang akan tahu kerana kita telah mempunyai maklumat-maklumat tertentu berhubung siapa yang terlibat," katanya Hishamudin pula.

Hishammuddin turut berkata terdapat segelintir media asing yang memberi gambaran kurang tepat, malah menggembar-gemburkan kejadian itu seolah-olah keadaan di negara ini tidak terkawal.

Sebelum itu, Hishamuddin yang 'lembut' dilihat agak tegas berbanding Najib dalam memastikan tiada perhimpunan diadakan.

"Buat masa ini, dalam keadaan seperti ini, jika tidak dibenarkan, ia akan mewujudkan emosi dan jika dibenarkan, emosi itu akan sampai ke tahap yang tidak dapat dikawal, ini akan menjejaskan keselamatan negara," Kata Hishamuddin mengulas perhimpunan yang mahu diadakan Jumaat lalu.



UMNO hanya telah terbukti pernah merobohkan surau dan masjid sahaja. Diulangi, UMNO hanya pernah merobohkan surau dan masjid sahaja, tetapi tidak membakar gereja. Hanya surau dan masjid sahaja, dan bukan gereja.

Kesimpulannya, UMNO tidak membakar gereja. Percayalah. Percayalah dan percayalah. Percayalah!!!

p/s: Tolonglah percaya, bahawa UMNO tidak membakar gereja. Susah sangatkah mahu percaya? Tolonglah percaya!!

10 January 2010

Isu Nama Allah: PAS Buat Keputusan Tepat!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

"PAS adakan mesyuarat Khas Lajnah Politik bagi membincangkan isu nama Allah" -itulah antara tajuk utama Harakahdaily beberapa hari lalu apabila isu nama Allah kian hangat dibincang dan diperdebatkan.


YB. Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang, Presiden PAS

Mungkin ramai yang tertanya-tanya, isu tersebut bersifat agama, tapi kenapa Lajnah Politik yang dipanggil mesyuarat? Kenapa tidak Majlis Syura Ulama, atau sekurang-kurangnya Dewan Ulama yang berbincang bagi mengeluarkan suatu 'keputusan' berkenaan isu tersebut.

Ramai juga yang melihat PAS terkebelakang apabila puak-puak UMNO sibuk berdemonstrasi membantah penggunaan nama Allah, tetapi PAS dan kebanyakan pimpinannya memilih untuk bersikap berkecuali. Aku percaya ramai yang melihat PAS terperangkap dengan isu Nama Allah tersebut.

Najib pula agak gopoh apabila melihat terdapat sokongan dari golongan Melayu terhadap demonstrasi yang diadakan oleh puak UMNO, telah mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan tidak dapat menyekat mereka yang mahu mengadakan demonstrasi walaupun pihak polis sudah mengeluarkan kenyataan sebaliknya.

Mengikuti kenyataan Media PAS sebaik sahaja selesai Mesyuarat Lajnah Politik, PAS dilihat terbuka untuk membincangkan isu ini. Bagi PAS, isu ini bukanlah sesuatu yang wajar diselesaikan melalui provokasi atau semberono sahaja.

Tulisan Tuan Guru Presiden PAS pula menunjukkan kematangan akal yang tinggi, bersifat benar tanpa prejudis dan mematuhi lunas-lunas yang dibenarkan dalam agama walaupun isu tersebut dilihat 'merugikan' agama. Sedangkan di sana terdapat ruang dakwah yang lebih besar dalam menerangkan siapa Allah kepada masyarakat bukan Islam. Sudah tentu Islam akan memecahkan kefahaman sempit mereka terhadap Allah yang begitu dan begitu, dengan keEsaan Allah yang sebenarnya. Allah itu Satu.


Kepimpinan PAS melawat sebuah gereja yang diserang dan terbakar

Semua pertanyaan, kegelisahan penyokong dan ahli di bawah terjawab apabila berlaku sesuatu yang diluar jangkaan iaitu peristiwa pengeboman gereja di sekitar Kuala Lumpur. Sehingga akhirnya Najib merasa tertampar sehingga terpaksa 'menafikan' perbuatan tersebut bukan dilakukan oleh UMNO!

Tahniah PAS dan kepimpinan PAS atas suatu sikap matang dan menepati kehendak semasa!

العجلة من الشيطان والتأني من الله

"Sifat terburu-buru itu dari syaitan dan sifat bertenang dari Allah" - maksud Hadis.

Wallahua'lam.

p/s: Kadang kala kita di bawah ni gelisah bukan main, tetapi kita lihat pimpinan ni macam tak reti politik plak. Rupa-rupanya kita ini tidak reti politik. Politik bukan buat kenyataan demi kenyataan, rupanya diam dan senyap itu juga adalah politik!! Tahniah TG Presiden!

08 January 2010

Bom Gereja: Najib Patut disalahkan?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...



Semalam, Najib dipetik mengatakan kerajaan tidak akan menghalang orang ramai yang ingin mengadakan perhimpunan di masjid-masjid selepas solat Jumaat esok bagi membantah mingguan Katholik menggunakan nama 'Allah'.

Najib diminta mengulas sama ada kerajaan mengamalkan sikap berbeza terhadap kumpulan tertentu yang menganjurkan demonstrasi.

Semalam juga menyaksikan Ketua Polis Negara, Musa Hassan berkata "Jangan buat sesuatu tindakan yang boleh mengusutkan keadaan, kita perlu bertenang kerana ia melibatkan isu agama yang menjadi isu sensitif,"

Musa Hassan turut memberi amaran kepada mana-mana pihak yang berhasrat untuk berhimpun bagi membantah isu penggunaan kalimah Allah esok agar membatalkannya sebelum tindakan tegas diambil.

Beliau yang memantau secara serius perkara itu, berkata polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengeruh dan menjejaskan keselamatan negara.

Hari ini, Najib dalam nada tegas mengutuk tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab dalam insiden membakar gereja di Desa Melawati.

Hari ini juga Musa Hassan mengatakan pihaknya mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab dalam insiden itu, dan mengesyaki perbuatan itu dilakukan oleh individu yang terlalu emosional.

Emosional, hilang kawalan, mahupun bertindak di luar batas tidak akan berlaku jika suasana yang ada dapat dikawal dengan baik. Di sinilah aku melihat kesilapan Najib dalam membenarkan isu ini dimainkan sehingga menimbulkan ketegangan yang memuncak sehingga berlaku kejadian gereja dibakar.

Niat Najib yang jelas dapat dilihat dalam kenyataannya semalam adalah, UMNO mempertahankan nama Allah dengan mengadakan demo di sana dan sini. Sedangkan sikap Najib yang tidak menghalang demo sebenarnya menyemarakkan lagi emosi sesetengah pihak yang membuta tuli memahami isu ini sebenarnya.

Musa Hassan, perlukah satu laporan polis untuk Najib ditahan?

07 January 2010

"Nizar Tidak Perlu Laju. Perlu Hati-Hati"

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

DS Nizar kemalangan. Kereta terbalik. Teruk juga jika dilihat dalam gambar. Semuanya gara-gara mengelak dari sebuah kereta yang mahu keluar dari simpang. Pada aku, mengelak sampai terbalik mungkin disebabkan laju. Atau terlalu laju.

Sabarlah DS Nizar. Tidak perlu laju-laju. Hati-hatilah dalam perjalanan dan perjuangan yang masih panjang dan jauh.

------------------------------------------------
http://buletinonline.net/images/stories/berita19/100_4485.JPG

Menteri besar Pakatan Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin cedera ringan apabila keretanya terbalik ketika cuba mengelak sebuah lagi kereta yang keluar dari simpang jalan hari ini.


Ketua polis trafik negeri, Wan Abdullah Ishak berkata Mohammad Nizar dalam perjalanan dari rumahnya di Sungai Rokam ke sebuah klinik pergigian di Jalan Sultan Idris Shah apabila kemalangan itu berlaku pada kira-kira jam 9.30 pagi.

Beliau hilang kawalan kereta Toyota Camry yang dipandunya ketika cuba mengelak kereta yang keluar dari simpang itu.

Mohammad Nizar, yang juga ahli parlimen Bukit Gantang, menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun Hospital. - Bernama

http://buletinonline.net/images/stories/berita19/100_4482.JPG

http://buletinonline.net/images/stories/berita19/100_4488.JPG


P/s: Aku copy berita ni dari BuletinOnline. Betul ke BERNAMA kata DS Nizar tu MB Pakatan Perak?

Penggunaan Perkataan Allah - TG Presiden

PENGGUNAAN PERKATAAN ALLAH



Oleh: DATO’ SERI HAJI ABDUL HADI HAJI AWANG, Presiden PAS

Penggunaan nama Allah oleh penganut agama bukan Islam menjadi polemik hangat dalam negara, menjadi lebih panas setelah mahkamah membuat keputusan keizinan kepada pihak gereja Katholik memakai perkataan Allah dalam penyebaran mereka kepada masyarakat umum, khususnya masyarakat yang hidup di dalamnya umat Islam, kerana menyentuh perasaan mereka, kerana perkataan ALLAH sangat mulia di sisi umat Islam. Apa yang menghairankan sebelum ini pengamal ajaran Kristian itu menyebut tuhan dengan bahasa mereka masing-masing. Adapun umat Islam yang terdiri daripada berbagai bangsa dan bahasa tetap berlafaz dan menulis dengan perkataan Allah dari kitab suci mereka (al-Quran) yang tidak diterjemahkan lagi ke dalam bahasa masing-masing, kerana perkataan Allah tidak mampu diterjemahkan ke dalam bahasa lain, dengan berpegang kepada makna asalnya dalam bahasa al-Quran.

Adakah ia boleh dibenarkan begitu sahaja di atas konsep kebebasan beragama? Sedangkan kebebasan secara saksama mempunyai batas sempadan yang tidak menimbulkan masalah yang mencetuskan perkara yang merosakan hubungan sesama manusia. Perkara ini perlu dijawab secara ilmu, kerana umat Islam menyebut dan menulis kalimah Allah mengikut maknanya yang sebenar sehingga menjadi akidah yang menjadi asas kepada amalan mereka.

Perlu difahami adakah penggunaan perkataan Allah oleh penganut agama lain mengikut makna perkataan Allah yang tepat dengan maksudnya dari segi bahasa Arab yang terus di-gunakan oleh umat Islam yang terdiri daripada berbagai bangsa dan bahasa dengan tetap berpegang kepada makna dan maksud perkataan Allah atau mereka yang bukan Islam itu memakai perkataan mempunyai maksud mereka sendiri yang tidak tepat mengikut bahasa bangsa yang menggunakannya sehingga menjadi ejekan atau mengurangkan maksudnya sehingga menyentuh perasaan penganut Islam yang memuja kalimah ini .

Perkataan Allah disebut oleh orang Arab atau pengguna bahasa Arab yang menganut berbagai agama, sama ada penganut Yahudi, Kristian dan penyembah berhala sejak dahulu kala. Al-Quran menyebut secara jelas bahawa penganut agama-agama itu menyebut dan menulis perkataan Allah.

Firman Allah dalam Surah Al-Ankabut, ayat 61 yang bermaksud:

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhluk-Nya)?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintah-Nya)?

Firman Allah lagi di dalam Al-Ankabut, ayat 63:

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak memahami (hakikat tauhid dan pengertian syirik).

Firman Allah di dalam Surah Luqman pula pada ayat 25:

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (Wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian - tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik).

Firman Allah di dalam Surah Az-Zumar, ayat 38 pula berbunyi:

Dan sesungguhnya, jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang mencipta langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Katakanlah (kepada mereka): "Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu? Jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayanya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmat-Nya itu?" Katakanlah lagi: "Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepada-Nyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri".

Firman Allah di dalam Surah Az-Zukhruf, ayat 9:

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu:" Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Yang menciptakannya ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui".

Firman Allah lagi dalam Surah Az-Zukhruf, pada ayat 87 pula bermaksud:

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah!". (Jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah dan mengesakan-Nya)?

Ayat-ayat tersebut di atas mendedahkan bahawa orang-orang yang bukan Islam yang menganut berbagai agama itu mengaku wujudnya Tuhan yang bernama Allah mengikut naluri dalam Tauhid Rububiyyah (adanya Tuhan Pencipta Alam) hanya sekadar itu, namun kepercayaan mereka tidak menepati hakikat dari makna perkataan Allah mengikut maknanya yang sebenar, supaya mengesakan Allah dalam ibadah dan cara hidup seluruhnya.

Hari ini kita melihat makjizat al-Quran, apabila mereka memaksa diri menggunakan perkataan Allah, pada hal selama ini mereka menggunakan perkataan yang menamakan Tuhan dengan bahasa masing-masing seperti GOD, LORD dan kalau itulah Allah mengikut kefahaman mereka maka tidak tepat dengan maksudnya. Kita tidak boleh memaksa kefahaman mereka yang salah mengikut ajaran dan bahasa kita, walaupun mereka percaya kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa, tetapi mereka melantik tuhan-tuhan yang lain daripadanya dengan berbagai-bagai cara. Kalangan penganut Kristian dengan kepercayaan Trinity (Tiga Tuhannya) dengan mengadakan isteri dan anak bagi Tuhan Yang Maha Esa dan Maha Suci itu . Agama yang lain menambah perlantikan Tuhan mengikut kefahaman mereka masing-masing.

Mengikut ajaran Islam perkataan Allah ialah salah satu daripada nama-nama yang banyak bagi Tuhan Yang Maha Esa (al-Asma al-Husna). Imam Al-Baihaqi menulis dalam kitabnya (Al-Asma Wa Sifat).

“Perkataan Allah itu ialah Tuhan Yang Maha Esa, tidak berbilang lebih dari satu dan tidak ada sekutu baginya (sama ada dinamakan bapa, anak dan apa sahaja) . Allah mengikut bahasa Arab yang fasih dan nyata bermaksud, Dia Sahaja Tuhan, Yang Maha Esa, tidak ada lagi tuhan yang lain daripadanya. Perkataan ALLAH itu daripada perkataan AL-ILAH dengan menambah AL kepada perkataan asal ILAH yang bermakna Tuhan secara umum. Apabila diletakkan Alif dan Lam (AL) menjadi yang khusus satunya yang dikenali dan diyakini benarnya, kemudian dimudahkan sebutannya dengan membuang beberapa huruf maka, di sebut ALLAH. Penambahan Al dalam bahasa Arab bertujuan makrifah (yang dikenali ) secara khusus yang tidak boleh dikelirukan dengan kepercayaan salah, iaitu berbilang tuhan”.

Al-Quran mengajar cara penjelasan makna yang sebenar, begitu juga hadith-hadith Rasulullah SAW tanpa melarang mereka menyebut, tetapi memberi penjelasan secara ilmu, bahawa penggunaan perkataan Allah oleh mereka yang percaya adanya sifat ketuhanan dan nama ketuhanan yang lain daripada Allah adalah tidak tepat.

Apabila Rasulullah SAW menghantar surat kepada raja-raja yang menganut agama kitab disebut dalam surat perutusan itu firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 64 yang menjelaskan kepercayaan yang sebenar kepada Allah:

Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengannya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain daripada Allah". Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam".

Perutusan Rasulullah SAW mendedahkah bagaimana golongan Ahli Kitab (Kristian dan Yahudi) memakai perkataan yang sama apabila menyebut perkataan Allah, seterusnya dijelaskan dengan makna aqidah yang tepat secara ajaran tauhid, (mengesakan Allah) tanpa syirik, sama ada syirik itu melakukan upacara ibadat dengan menyembah tuhan-tuhan yang lain daripada Allah, atau mematuhi hukum-hukum dan undang-undang ciptaan para ahli agama (paderi-paderi) dan pemimpin-pemimpin (Arbab) yang mencipta undang-undang dan hukum yang menentang hukum Allah seperti menghalal apa yang diharamkan oleh Allah dalam kitab yang diturunkan kepada Rasul mereka sendiri atau mengharamkan apa yang dihalalkan, atau memberi hak ketuhanan kepada ahli agama boleh mengampunkan dosa yang menjadi hak Allah sahaja.

Kesimpulannya, kita tidak boleh melarang mereka menggunakan perkataan Allah di kalangan mereka sendiri, dalam ibadat mereka dan amalan mereka, walau pun salah maksud dan maknanya yang asal mengikut bahasa kita. Adapun menggunakan perkataan Allah oleh mereka terhadap masyarakat Islam untuk menyebarkan aqidah mereka dengan fahaman mereka, atau menjadikan perkataan Allah sekadar mengubah jenama melariskan barangan dalam masyarakat Islam, tidak boleh dizinkan sekali-kali, kerana menyalah-gunakan perkataan Allah Yang Maha Suci kepada umat Islam dan bercanggah dengan makna mengikut bahasa yang diamal oleh umat Islam, seterusnya dikira menodai kesucian dan kemurnian kalimah Allah di hadapan umat Islam.

Imam ‘Ali KW menegaskan kepada mereka yang menyalahgunakan perkataan yang benar dengan tujuan yang salah, dengan apa nama sekalipun:

كلمة حق أريد بها باطل

(Kalimahnya benar , tetapi dimaksudkan dengan tujuan yang salah).

Kalimah ALLAH adalah paling benar, tetapi kalau menulis atau menyebut perkataan Allah laksana memakai jenama barangan untuk melariskan jualan di tengah masyarakat umat Islam sangat menyentuh sensitiviti umat Islam, sehingga menggerakkan semua kalangan umat Islam yang berbeza pertubuhan (NGO) fahaman politik dan individu, bersatu mengeluarkan suara hati mereka yang sangat memuliakan kalimah ALLAH boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat majmuk.

Al-Quran juga memerintah penganutnya supaya tidak menghina dan mencaci penganut agama lain sehingga menyebabkan mereka mencaci Allah.

Firman Allah dalam surah Al-An’am, ayat 108:

Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.

Demikianlah keterbukaan Islam terhadap kebebasan beragama dengan batas sempadan yang tidak menegangkan hubungan dalam masyarakat berbagai agama.

(Telah diedit oleh amdang81 dengan tidak memasukkan ayat-ayat Al-Quran kerana tidak dapat dibaca oleh ‘blogger.com’)

06 January 2010

Isu Nama Allah: Kenyataan Media PAS

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...



Kenyataan Media PAS - Isu Nama Allah
4 Januari 2010.


PAS sebagai parti Islam, amat menghormati prinsip kebebasan beragama seperti mana yang ditekankan oleh Islam kerana manusia tidak boleh dipaksa untuk menerima mana-mana agama melainkan ia merupakan pilihan sendiri.

Prinsip kebebasan beragama ini juga telah termaktub di dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutaan.

Walaupun demikian dalam konteks masyarakat di Malaysia, suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira di atas kepentingan awam bagi memelihara keharmonian berbagai kaum dan agama.

Setiap warganegara Malaysia wajib memelihara suasana dan keadaan ini. PAS ingin menjelaskan bahawa berdasarkan kepada kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.

Walau bagaimanapun, penggunaan kalimah Allah secara salah dan tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini.

PAS memberikan peringatan kepada semua pihak supaya tidak menyalahgunakan perkataan Allah bagi mengelirukan atau menjadikan politik murahan untuk mendapatkan sokongan rakyat.

Al-Quran telah menyarankan cara yang betul menggunakan perkataan Allah, sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah Al Imran ayat 64 yang bermaksud.

‘‘Katakanlah: Hai Ahli Kitab,marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sesama manusia seperti pemimpin dan sebagainya sebagai tuhan selain Allah’’.

PAS dengan tegasnya ingin menolak sebarang bentuk tindakan agresif dan provokatif jahat yang boleh mengugat keharmonian dan mencetuskan ketegangan masyarakat.

PAS dengan segala rasa penuh tanggungjawab bersedia untuk menjelaskan isu ini kepada semua pihak bagi mewujudkan suasana yang harmoni berdasarkan kepada prinsip keadilan sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan dan dijamin oleh Islam.
-------------------------------------------------------