24 June 2008

Gurauan Usul Undi Tidak Percaya SAPP Berhantu!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Aku tidak dapat bayangkan betapa gementar dan kalutnya Pak Lah dan BN bilamana SAPP mengeluarkan kenyataan mahu membuat usul undi tidak percaya kepada PM. Semua parti komponen utama membuat pengakuan terbuka menyokong terhadap kepimpinan Pak Lah. Tidak cukup dengan itu, turut dibuat mesyuarat khas untuk ahli-ahli parlimen BN.

Tarikh yang disebut-sebut untuk membentangkan usul tersebut adalah semalam. Sidang Parlimen berlalu sehari tanpa usul tersebut. Pak Lah mengurut dada. Najib turut lega. Kerusi PM yang hanya selangkah sahaja itu masih diidamkannya.

SAPP pada aku tidak lebih kepada bergurau. Namun gurauannya kasar dan tidak bertempat sebagai Parti Komponen BN. Tapi, isyaratnya jelas. Tidak percaya kepada PM. Tuntutan yang dilihat tidak relevan juga menunjukkan parti itu sengaja mencari pasal dengan BN. Mereka tahu BN tidak akan mengeluarkan SAPP dari BN di waktu ini. Memang nakal!.

Walaupun semalam berlalu dengan aman, namun gurauan tersebut pada aku cukup berhantu. Istilah Usul Undi Tidak Percaya akan terus bermain dari satu pihak ke satu pihak. Akan berbisik dari satu parti ke satu parti.

Pakatan Rakyat juga telah membuat kenyataan akan turut mengemukakan usul ini suatu ketika nanti. Masanya akan ditentukan. Mungkin juga menunggu lagi beberapa orang MP dari BN yang sama seperti SAPP.

Wallahua'lam.

No comments: