03 April 2008

Apa bisikan Deris pada Mat Said?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Rata-rata akhbar 30 Mac lalu menunjukkan gambar Mat Said dan Deris Jusoh berpelukan. Deris dilihat tersenyum, manakala Mat Said dilihat sedikit gementar dan gugup. Terharu mungkin. Sedikit pucat.

Ramai pemberita mengulas dengan mengatakan pelukan itu membuktikan Mat Said tidak pernah berdendam dan telah memaafkan Deris dan semua yang terlibat. Mat Said juga berkata demikian.

Mungkin ada kebenaran sekiranya Mat Said telah memaafkan Deris dan konco-konconya. Ini kerana dengan memaafkan merekalah Mat Said boleh lebih lama kekal sebagai MB seterusnya memerintah Terengganu. Sekiranya Mat Said tidak bergabung dengan 23 Adun BN yang lain, sudah tentu dia menghadapi kesukaran dan terpaksa berdepan dengan undi tidak percaya. Jika bergabung dengan 8 wakil PAS tidak memungkinkan Mat Said membentuk kerajaan yang kuat.

Namun, apakah Deris dan konco-konconya juga sudah memaafkan Mat Said yang 'merampas' takhta MB Terengganu itu? Apakah Deris tidak terasa malu dihalau sebegitu rupa sedangkan ketika itu semua YB BN menyokongnya? Apakah Deris sanggup hilang kuasa pembahagian tender yang selama ini menjadi miliknya? Sejak bila Deris menjadi seorang yang pemaaf?

Seorang kawan secara bergurau berkata "Mung tahu tak apa bisikan Deris kepada Mat Said semasa berpelukan tu? Deris kata, siap la mung Mat Said!"

Aku tergelak. Namun, jika dilihat pada gambar tersebut mungkin ada kebarangkalian kata-kata itu diungkapkan oleh Deris. Jika tidak, masakan rupa Mat Said tidak ceria, manakala rupa Deris senyum penuh makna.

Perang Mat Said dan Deris sebenarnya baru sahaja bermula dengan majlis angkat sumpah tersebut. Mat Said dalam kenyataannya telah memaklumkan barisan exco pilihannya nanti adalah muka-muka baru. Maknanya, ramai penyokong Deris akan tercantas. Deris sendiri sudah tentu tidak akan dilantik exco. Rosol wahid? Batu api sewajarnya dipendam di dasar laut. Biar sejuk.

Sebagai bekas MB yang dikira banyak membawa 'pembangunan' di Terengganu, sudah tentu Deris akan cuba menenggelamkan nama Mat Said supaya tidak 'seharum' namanya. Sudah tentu ada gangguan dan kacau mengacau dalam pentadbiran Mat Said ini. Jika Deris tidak melakukan demikian, namanya akan tenggelam dan rakyat akan melupakannya. Paling tidak, Deris mahu rakyat akan berkata "Masa Deris jadi MB dulu lagi baik dari sekarang."

Kepada Mat Said, perlu lebih hati-hati. Jangan pula cuba mengusik PAS ketika mana kedudukannya sebagai MB itu masih tidak senang duduk sebenarnya. Bukan apa, takut-takut Mat Said keseorangan dalam melawan Deris dan PAS.

No comments: