31 October 2007

Terengganu dan Arak: Dulu dan Sekarang

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Minggu lepas, aku menerima risalah sebaran Giant. Bukan risalah politik, sebab Giant tidak membekalkan riben merah kepada polis (aku rasa la). Risalah sambutan ulangtahun Giant. Biasa la Hyper Market ni, ada je sambutan yang dibuat kerana nak menawarkan harga murah (kononnya!)

Ini adalah kali kedua aku menerima risalah promosi dari Giant. Kali pertama dulu ketika Giant mahu dibuka 26 September lalu. Ketika itu pasaraya berkenaan menawarkan pelbagai barangan pada harga yang ‘istimewa’. Apa yang menarik perhatian aku pada risalah kali ini adalah IKLAN JUALAN ARAK yang turut diselitkan bersama barangan lain.

Aku tidak tahu samada orang lain sensitif atau tidak perkara ini, namun aku kira sebagai sebuah negeri Pantai Timur yang majoritinya adalah Melayu, IKLAN JUALAN ARAK berkenaan cukup sensitif dan amat tidak patut sama sekali. Sebaran yang meluas sampai ke setiap rumah di taman-taman sekitar Bandar Kuala Terengganu itu sudah tentu turut dibaca atau dilihat oleh kanak-kanak.IKLAN JUALAN ARAK itu juga tidak dilabel sebagai makanan yang TIDAK HALAL. Ini mungkin mengelirukan bukan sahaja kanak-kanak, malah kepada sesiapa juga yang tidak pernah melihat minuman keras ini. Mungkin ada yang menganggap minuman di dalam tin itu mahal kerana mempunyai khasiat tersendiri sepertimana Tongkat Ali, dan pelbagai lagi minuman herba dan kesihatan yang lain.

Mungkin jika ditanya pihak Giant, mereka akan menjawab “Iklan ini kami cetak sekaligus untuk seluruh pasaraya kami di seluruh Malaysia, itu pasal semua pun ada IKLAN JUALAN ARAK”. Itu satu kemungkinan jawapan. Kesilapan? Mungkin tidak sama sekali. Itu memang disengajakan.
Aku teringat IKLAN CELCOM yang memaparkan wajah Maya Karin sebagai penghias billboard. Jika di Kelantan dan Terengganu, setakat ini wajah Maya Karin masih lagi bertudung merah. Cantik pada aku berbanding dengan rambutnya yang mengurai umpama pontianak itu. Iklan di Terengganu yang masih bertudung itu adalah warisan Kerajaan PAS Terengganu.

Sewaktu PAS memertintah Terengganu, hanya 8 premis jualan arak sahaja yang dibenarkan. 8 yang dibenarkan itu pun bising dijaja UMNO bahawa PAS mengambil cukai arak. Sedangkan ketika itu kawalan terhadap jualan minuman keras ini sangat ketat walaupun masih ada yang menjual secara curi-curi. Nak iklan dalam risalah seperti Giant itu, jangan harap!

Itu IKLAN JUALAN ARAK di Giant. Sekiranya sesiapa mengunjungi Bandar Kuala Terengganu hari ini, sudah ada kedai-kedai yang memasang signboard kedai dengan iklan arak sebagai penaja. Ini mula dapat diperhatikan sekitar Bandar Kuala Terengganu. Daerah-daerah lain aku masih tidak mendapat maklumat berkenaan perkara tersebut.

Jika sebegitu hebat promosi dan iklan arak yang ada di Terengganu, maka tidak hairan betapa sebelum ini akhbar-akhbar tempatan Edisi Timur dan Sinar Harian sendiri mendedahkan betapa gejala arak yang ada di Terengganu sekarang semakin membimbangkan. Jika arak yang merupakan ibu maksiat ini menjadi satu kebiasaan di Terengganu, maka apalah mahu dihairankan mengapa Terengganu semakin subur dengan jenayah dan masalah.

Indahnya masa lalu. Walau dalam serba kekurangan, tapi terasa cukup dengan apa yang telah diberikan kerajaan. Rasa tenang dan aman melebihi terasa nikmat dari pembangunan, tetapi penuh dengan kezaliman dan tertekan. Semoga rindu ini terubat dengan PRU-12 nanti. InsyaAllah.




amdang: suka wanita bertudung hitam

26 October 2007

Sebulan Giant Di Terengganu

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Sebulan lalu, 26 September 2007, Giant Terengganu telah dibuka dengan secara rasminya. Pembukaan Giant itu merupakan kewujudan HyperMarket yang kedua di negeri ini selepas Mydin Mall. Ketika itu Umat Islam sedang sibuk membuat persiapan akhir menyambut Aidilfitri. Maka berduyun-duyunlah rakyat Terengganu memenuhi pasaraya berkenaan yang turut menawarkan harga istimewa sempena pembukaannya itu.

Kesempatan pembukaan Giant itu digunakan sepenuhnya oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu bagi bertemu orang ramai bagi menerangkan apa sebenarnya yang berlaku di Batu Burok dengan menyebarkan risalah penerangan. Risalah bertajuk "Umno Rancang Rusuhan" itu diterima baik oleh orang ramai yang mengunjungi pasaraya berkenaan. Kita tinggalkan seketika isu PBBB 809.

Setelah sebulan Pasaraya Giant menjadi jiran baru Mydin Mall, sungutan dan keluhan para peniaga makin kedengaran. Sebelum ini kemunculan Mydin Mall telah cukup membuat perniagaan mereka terjejas. Kali ini dengan kemunculan Giant, tekanan yang mereka rasai semakin kuat.

Tekanan itu bukan hanya dirasai oleh mereka yang berniaga barangan runcit, malah yang turut merasai bahang ini adalah mereka yang berniaga di pasar-pasar samada borong mahupun harian. Sebagai peniaga kecil, mereka sememangnya tidak mampu bersaing dengan pasaraya yang bukan sahaja mempunyai banyak kemudahan, malah turut menawarkan harga yang mampu memikat pelanggan.

Kewujudan pasaraya bukan sesuatu yang pelik bagi sebuah negeri yang sedang membangun. Kewujudannya turut boleh dikaitkan dengan kuasa beli rakyat dan ekonomi rakyat sesebuah negeri terbabit semakin baik. Namun apa yang berlaku di Terengganu adalah sesuatu yang mungkin tidak berlaku di negeri lain. Bolehkah kalian bayangkan bagaimana dua buah pasaraya besar bersaing dengan jarak antara keduanya tidak sampai 500 Meter!

Mungkin ramai melihat akan berlaku persaingan sihat, dan pengguna khususnya rakyat Terengganu akan mendapat manfaat dari persaingan sihat itu. Mereka akan bersaing menawarkan perkhidmatan terbaik, harga termurah dan juga pelbagai aktiviti yang mampu menarik pengunjung ke premis masing-masing. Namun tanpa sedar pertembungan dua gergasi itu akan memberikan kesan negatif yang cukup menakutkan. Peniaga lain akan makin terhimpit lantaran tidak mampu bersaing langsung.

Desas-desus di Terengganu kini juga hangat apabila Pasaraya Tesco pula disebut-sebut akan turut dibuka di Pekan Batu Enam, Kuala Terengganu. Kelulusan dikatakan sudah diberikan, namun perundingan berkaitan tapak sahaja yang masih belum selesai. Kebimbangan golongan peniaga semakin terasa dan akan membuat mereka patah semangat. Bukan langsung tiada harapan untuk bersaing, namun Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) pun dilihat tidak berminat menolong peniaga bumiputera Melayu, malah turut sama terlibat dalam pasaraya Giant.

Kini, hanya terdapat dua pasaraya milik penuh Melayu iaitu Sabasun dan Si Comel. Sebelum ini Pasaraya Nur Fresh & Frozen telah ditutup sebaik sahaja beberapa minggu Mydin Mall bertapak di Terengganu. Teringat pula pada kenyataan MB Terengganu, Idris Jusoh berkenaan pasaraya ketika mana Mydin Mall dibuka dahulu. Entah apa pula komen MB yang seorang itu bilamana Melayu semakin terpinggir di negeri Melayu.

Hentikanlah penderitaan rakyat Terengganu ini. Benarlah mereka ini sudah tidak boleh dibiarkan lagi memerintah. Bukan sahaja segala macam projek diserahkan kepada kroni dan kontraktor luar, malah peluang berniaga dan bermacam lagi untuk rakyat dinafikan. Pembangunan yang tiada perancangan dan bersifat membazir dibiarkan berterusan.

Dok Leh Lok Doh... Punoh!


25 October 2007

1924: Satu cerita Lalu

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Saje nak kongsi satu lagu dari Soldier Of Allah. Aku mula diperkenalkan lagu-lagu mereka ni sejak berada di kampus lagi. Mula-mula dengar memang tak terasa apa sebab tak dapat tangkap bunyi lirik. Tetapi setelah biasa dan meneliti lirik, muzik yang agak asing ini aku boleh terima. Bukan soal muzik, tapi amatilah pada lirik. Mungkin ada yang persoalkan muzik begini dan begitu, tetapi dalam mendekati golongan yang sukakan muzik sebegini, kadangkala mungkin perlu. Bukan selalu, tetapi pada golongan yang tertentu.



Umpama seorang ustaz tidak memakai kopiah, tidak salah. Tetapi bila berada di kelompok orang lain memakai kopiah, maka si ustaz tadi perlu rasanya berserban. Paling tidak turut sama berkopiah. Sekadar menghormati pandangan umum. Kerana mungkin timbul fitnah, atau paling kurang tidak menimbulkan rasa gundah sesetengah pihak. Menjaga ummah dari berbalah perkara kecik dan remeh.

Jadi, lagu ini boleh dipasang dan didengar dari corong komputer di rumah atau di tempat yang private. Jangan terburu memasang pada corong speker sebelum ceramah, apatah lagi pada surau atau masjid. Sebab ini bukan lagu nasyid. Kerana orang kita tidak boleh menerima akal ini adalah nasyid. Tetapi panggil aja lagu dakwah. Ketika itu, hulurlah lirik di bawah. Biar mereka faham apa itu sejarah. Tidaklah mengeluh ini lagu yang apa-apa ntah! Wallahua'lam.

Layannnnzz..



Link untuk download MP3 dan Lirik lagu-lagu Soldier Of Allah.