25 November 2010

Permata Hatiku: Kerenah 2 Anak.

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...


Alhamdulillah, hari ini sudah masuk hari ke 28 Izzah dilahirkan. Secara jujurnya, sangat kurang masa yang dapat aku luangkan untuk bersama Izzah. Mandikan Izzah tidak pernah. Salin lampin dan pakaikan baju adalah beberapa kali. Menyusukan, hanya 2 kali rasanya (susu badan yang dimasukkan ke dalam botol. Aku tidak mengambil pil / suntikan bagi mengeluarkan susu!). Paling kerap pun tidurkan Izzah atau mendukung Izzah dan melarikannya dari serangan Balqis!. Apatah lagi kali ini aku memberi peluang untuk isteriku berpantang di rumah ibunya. Makin jaranglah kami berkumpul.

Dalam 28 hari ini juga, aku lebihkan banyak masa terhadap Balqis. Biarlah Izzah dengan uminya. Balqis aku bawa balik ke rumah sewaku, ada kalanya turut membawa dia ke pejabat. Hujung minggu pula aku selalu larikan Balqis ke rumah mak dan ayah aku. Awal-awal kelahiran Izzah, Balqis aku lihat cukup 'terasa' yang dia dipinggirkan. Apa tidaknya, pintu bilik sentiasa ditutup bagi mengelakkan Balqis mengganggu Izzah. Gurauannya agak kasar. Kepala adik akan ditampar setelah menggosok perlahan beberapa kali.

Alhamdulillah, perkembangan Izzah sebaik Balqis. Cuma tidak sebaik Balqis. Kedua-duanya tidak terkena kuning. Sihat dan sangat menyenangkan. Cuma jika nak dibandingkan, Balqis sudah tentu menang dengan kebaikannya.

Hari pertama pulang dari HSNZ, Izzah menangis hampir sepanjang malam. Suatu trauma bagi kami yang tidak pernah mengalaminya sebelum ini. Jika dibandingkan dengan Balqis, sungguh mudah. Tidur sahaja kerjanya. Siang dan malam. Laungan Izzah pula bukannya perlahan. Sekali nangis, terus masuk gear 5 kata isteriku.

Rupanya mimpi ngeri itu tidaklah berlarutan. Hanya semalaman itu sahaja Izzah menangis. Malam-malam lain, dia akan terjaga ketika mahukan susu dan merengek-rengek. Disuakan apa yang diingini, senyaplah dia. Begitu juga dengan siang hari. Cuma Izzah lebih kuat menyusu.

Balqis, kami ajar tidur tanpa buaian. Alhamdulillah ianya berjaya. Kami tiarapkan Balqis supaya tidurnya lebih lena. Berbanding Izzah, kerana agak sukar tidur kadang-kala, memaksa Tok Ma (ibu Mertuaku) membuka kembali buaian yang sudah lama disimpan di dalam stor. Tapi Izzah cuba dielakkan dengan buaian. Cuma jika tidak tahan dia terjaga dan mendukungnya, barulah dibuaikan. Terfikir juga, apakah Izzah selepas ini akan bergantung kepada buaian?

Membezakan kedua-dua anak ini, melahirkan rasa syukur yang amat sangat terhadap kurniaan Allah. Allah melebihkan kedua-dua anakku dengan kelebihan masing-masing, diuji dengan ujian yang berbeza-beza. Semoga Allah memelihara kedua-dua anakku ini dengan melindungi mereka dari fitnah dunia dan kerosakan manusia. Semoga Allah memberi kami kekuatan dalam menunaikan tanggungjawab yang ditambah ini. Wallahua'lam.

P/s: Aku pernah ditegur seorang kawan berpangkat ustaz. Katanya, dulu ketika bujang aku rajin update blog. Selepas kahwin makin kurang. Agaknya sekarang dia akan kata selepas anak sorang, dah makin kurang, bila anak dua laagiii jarang. ; )

3 comments:

Azma said...

hihi..abi sibuk ngan anak2 tak sempat update blog.. betul kata zaidan. setiap anak punya kelebihan tersendiri. Tugas kita menyayangi mereka sepenuh hati dengan seadil-adilnya... Selamat menghadapi dunia baru dgn ceria ye..InsyaAllah..

Mohd Zulkifli Shafie said...

Zaidan,

Anak kecik bila dapat adik mmg akan terasa, lagi2 kalau kita tutup pintu bilik, kurang bagi peluang dia sayang, usap2 adik dia atau tak diberi peluang tolong ibunya utk siap2kan adiknya.

Kekadang dia nak sayang, tapi kita rasa dia nak lepas geram. Apa yg ana perasan, kita kena ajar dia cara utk sayang adik dia dgn betul. Bila dia dtg dekat, kita ajar dia usap adik dia. Ajar dia cara sayang dgn betul. Dan kita bagi perhargaan (tepuk tgn/ bg pujian) bila dia buat cara betul. InsyaAllah dia akan sayang adik dia dgn cara yg betul nnt.

Untuk elakkan dia rasa tersisih, mungkin letakkan adik dia dalam playpan (baby court) yg dia sentiasa boleh tengok adik dia. Dia mmg akan rasa tersisih kalau kita kurang bagi peluang untuk dia dtg dekat, lebih2 lagi kalau tutup pintu bilik.

Dan satu lagi, bagi dia participate utk bantu ibunya siap2kan adik dia. Mtk tlg ambikkan lampin, hulurkan susu dsb. InsyaAllah, dia tak akan rasa tersisih. Dia akan seronok buat baik pd adik dia.

Itulah sikit pengalaman ana dengan 5 orang anak kecik. Moga membantu.

Wallahu a'lam.

amdang81 said...

Zul,

Thanks banyak2 atas nasihat / panduan tu. Sebenarnya mmg ada ajar semua tu, cuma kadang2 tak terlayan dia.. semua benda nak tolong.. InsyaAllah akan lebih praktik. : )