28 Oktober 2010, Khamis.
Jam 5.00 pagi aku menerima SMS dari isteri yang sudah berada di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). Katanya semakin sakit. Terdahulu, kira-kira jam 2 pagi isteriku sudah menghantar SMS mengatakan bukaan faraj sudah 2cm. Mengikut pengalaman lalu, aku menjangkakan pagi esoknya bukaannya akan lebih besar. Jadi, tiada apa yang perlu dibimbangkan. Aku mengambil keputusan untuk tidur sahaja.
Jam 7.00 pagi aku menerima SMS lagi. "cepatlah mari!". Ketika itu aku sedang bersiap-siap untuk ke Hospital. Tapi masih di rumah. Aku teringat yang aku ada mesyuarat jam 9.00 pagi. Segera aku SMS minta dibatalkan mesyuarat tersebut.
Jam 7.20 pagi ketika dalam perjalanan ke hospital, aku terima panggilan dari isteriku mengatakan dia sudah hendak dibawa masuk ke Dewan Bersalin. Aku melajukan kereta.
Alhamdulillah, ruangan parking di waktu itu masih banyak yang kosong. Kebiasaannya aku terpaksa mengelilingi beberapa kali sebelum menjumpai ruangan parking. Paling tidak, aku parking sahaja di belakang kenderaan lain dengan membiarkan gear dalam keadaan free dan tidak mengangkat brek tangan. Dalam pemerhatian aku, ada juga yang meletakkan kenderaan di belakang kenderaan lain, tetapi tidak membiarkan gear free dan menarik brek tangan. Ada juga yang menyusun kereta agak rapat antara satu sama lain sehinggakan sukar untuk kereta dialihkan.
7.30 pagi aku bertembung dengan isteri di tangga tingkat 1. Dia baru keluar wad untuk masuk ke Dewan Bersalin. Aku diminta misi yang menolak isteriku untuk tunggu di luar sehingga nama dipanggil. Kata mereka, isteriku perlu diperiksa dan disiapkan terlebih dahulu. Bosan menunggu, aku SMS saudara terdekat mengkhabarkan hal isteriku.
9.00 Pagi barulah aku dipanggil masuk. Aku diminta membaca peraturan di situ, dan diminta memakai pakaian khas. Terus aku dibawa ke ruangan 5. Aku lihat isteriku mengaduh kesakitan. Aku duduk di kerusi yang disediakan di tepi katil. Aku pegang tangan isteriku sambil mencium kepalanya.
Dari perbualan petugas di ruang tersebut, bukaan faraj ketika itu sudah 8cm. Dalam kepala aku, aku mencongak "insyaAllah pukul 10 lebih nanti keluarlah baby tu".
10.00 Pagi masih pada bukaan 8cm. Isteriku menangis kesakitan. Aku pula terasa lebih berdebar menghadapi situasi kali ini berbanding ketika kali pertama dahulu. Aku selawat di telinga isteriku sambil diselangi dengan La ila ha illa anta subha naka inni kuntu minadzolimin. Bacaan-bacaan lain juga aku baca. Aku ketika itu tidak tahu bagaimana mahu menenangkan isteriku.
Aku bergilir memeluk kepala, mencium tangan dan pipi isteriku sambil membisikkan kata-kata semangat dan doa. Ketika itu misi terus memeriksa keadaan isteriku. Sekejap datang, sekejap pergi.
Suara-suara bayi yang baru dilahirkan silih berganti di ruangan sebelah. Isteriku masih terus menahan kesakitan.
"Mengiring ke kiri, sikit lagi nak bukak tu" Itulah perkataan yang selalu diulang oleh misi-misi di situ. Aku yang berada di kiri isteriku pula setia memaut tangannya untuk mengiring.
11.00 Pagi tiada perubahan yang ketara. Cuma isteriku mengadu hendak 'meneran'. Misi-misi melarang kerana pada mereka belum sampai masanya. Menurut misi-misi yang bertugas itu bukaan masih pada 8cm.
12.00 Tengahari masih pada bukaan 8cm. Aku penat kerana belum sarapan. Mengantuk juga ada kerana malamnya hanya tidur seketika. Ketika itu kedengaran suara-suara perbincangan dari misi-misi. Melalui perbincangan mereka, jika 12.15 bukaan masih pada tahap sama, mereka terpaksa melakukan bukaan dengan cara 'paksa'.
Jam 12.20 katil sudah dikelilingi misi dan doktor bertugas. Seorang misi pelatih pada mulanya ditugaskan untuk menyambut bayi keduaku. Namun, setelah didapati gagal dan masih 'penakut', maka tugas tersebut diambil alih oleh seorang misi yang lain. Walaupun pada pandangan aku, perlakuan misi tersebut agak kasar, namun aku percaya apa yang dilakukan oleh mereka adalah untuk kebaikan isteriku dan anak yang bakal lahir.
Tepat jam 1.00 petang, lahirlah seorang bayi puteri yang comel. Setelah dibersihkan, aku diberikan bayi tersebut untuk dilaungkan azan dan iqamah. Alhamdulillah, syukur padaMu ya Allah di atas kurniaan yang besar dan sangat bermakna ini.
Hari ini sudah 12 hari bayi yang comel itu melihat dunia. Kami namakannya Izzah yang membawa maksud kemuliaan. Pada kami nama yang ringkas ini memudahkan mereka didoakan.
Di sini aku kongsikan video dan gambar-gambar Izzah dan Kak Long Balqis.
3 comments:
alhamdulillah.. tahniah buat kalian bertiga... kamu, isteri dan balqis.. semoga dimurahkan lagi rezeki keluarga kamu.. :)
Terima kasih Mawar..
Alhamdulillah.. Mawar juga harus menjaga diri agar kandungan kekal sihat dan selamat. Embun kena lebih dewasa mulai sekarang! : )
Alhamdulillah..berdebar2 plak baca saat2 Izzah nak dilahirkan..Rasa takut masih menguasai diri lepas bersalinkan hasif ituari...hihi..
Tahniah buat Zaidan & Jun.. Smg rezeki bertambah2 lagi pas ni ye!
Post a Comment